Mahasiswa: Eloklah Shabery terbuka macam Saifuddin

Sumber: HarakahDaily.Net

Setakat ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah masih istiqomah dengan sikap dan komitmennya memperjuangkan peraturan lebih terbuka untuk aktivisme mahasiswa. Selaku bekas aktivis pelajar di zaman kampus dulu, beliau sendiri tentu lebih maklum dengan kekangan dan kongkongan yang sekian lama dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik masing-masing.

Kebetulan pula beliau kini berada di tapak yang amat bersesuaian dengan kecenderungan pemikirannya. Kementerian dijaganya membolehkan beliau merealisasikan hasrat mewujudkan suasana lebih liberal dan adil untuk pembinaan insan lebih kreatif dan cemerlang di kampus-kampus institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Perkembangan semasa yang memungkinkan pemimpin mahasiswa IPT menyatakan sikap secara terbuka turut membantu mempercepatkan pencapaian hasrat itu. Sebab itu apabila ada kumpulan mahasiswa menyatakan persetujuan membenarkan mereka terbabit dalam parti politik, ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ buat Saifuddin.

“Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara mahasiswa IPTA itu sendiri,” media pada Selasa (10 Ogos) memetik katanya.

Beliau mengulas penyerahan resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar dua hari sebelumnya. Menerusi resolusi itu, mahasiswa mengambil kata sepakat bersetuju mereka dibenarkan terbabit dalam parti politik.

“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” ulasnya lagi.

Tidak syak lagi, secara idealnya pandangan dan pendirian sebegitulah yang amat kita harapkan. Kehidupan kampus sering dianggap platform terbaik menggilap bakat kepemimpinan yang diharapkan menjadi pelapis teraju masyarakat dan negara.

Untuk itu sudah sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa ditiadakan. Mereka perlu didedahkan dengan perkembangan “dunia luar”. Selaku juru bicara ummah dan ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat.

Tidak dapat tidak, secara adilnya mereka perlu diberi kebebasan memilih dan menzahirkan kecenderungan politik masing-masing. Malangnya, keterbukaan dan sikap lapang dada ditunjukkan Saifuddin itu gagal dikongsi pemimpin lain.

Biar pun secara zahir para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menampakkan kesediaan mewujudkan kelonggaran dituntut mahasiswa, ia bukan kebebasan sepenuhnya. Kebebasan dibayangkan itu tidak akan menyebabkan mahasiswa terlalu berani menzahirkan sikap anti-establishment, yang merugikan parti pemerintah.

Sebab itu di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin memuncak mutakhir ini, sikap sebilangan pemimpin negara tidak sealiran dengan kecenderungan rakyat itu.

Bahkan, ada menteri tergamak membangkitkan isu kononnya parti pembangkang membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menjayakan program merekrut mahasiswa. Umpamanya, PAS didakwa menjadikan pelajar Malaysia di Mesir sebagai ‘kilang’ untuk melahirkan pemimpin dan pendokong parti itu.

“Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia, dan juga sedikit di England,” media pada Ahad (8 Ogos) memetik kebimbangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, partinya tidak pernah mengeluarkan duit untuk mengadakan program dengan pelajar di luar negara.

“(Perjuangan di atas dasar) kebenaran tidak memerlukan wang. Sebaliknya, jika memang benar terdapat pelajar di luar negara yang memilih perjuangan PAS, itu menunjukkan golongan cerdik pandai sentiasa bersama parti ini,” ulasnya sinis.

Namun isu lebih utama di sini ialah kegagalan Shabery berfikir secara terbuka dan bersikap adil, terutama berhubung peluang sama rata antara parti-parti politik dalam mendekati warga kampus, dalam mahu pun luar negara. Maksudnya, di saat parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, apakah masih wajar untuk BN-Umno berdengki dengan sokongan diterima parti lawan?

“Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.

Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu Saifuddin sejak dulu. Sebilangan tulisannya sarat dengan pandangan meliberalisasikan peraturan, terutama berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.

Sebab itu apabila ada dakwaan kononnya kumpulan mahasiswa tertentu dalam pilihan raya kampus dibantu pihak luar dalam kempen mereka, beliau mendesak ia dinilai secara lebih adil.

“Siapa pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami politik kampus, lazimnya pihak luar itu ditujukan kepada pembangkang. Bagaimana jika pihak luar itu turut membabitkan orang kerajaan?”, soalnya menerusi kolum beliau dalam sebuah akhbar arus perdana, 23 September 2006.

Kita percaya Saifuddin sendiri sedia maklum betapa Umno jauh lebih ke depan dalam mempengaruhi politik kampus berbanding pembangkang. Justeru, di mana adilnya jika kecenderungan politik di kalangan warga kampus dibataskan hanya untuk kepentingan BN-Umno.

Tidak syak lagi pemikiran terbuka sebegitu tidak dikongsi rakannya dalam Umno. Justeru, ada baiknya beliau memperturunkan sedikit pemikiran sebegitu kepada yang lain, terutamanya Shabery.

Baca seterusnya...

Mahasiswa berpolitik: Tubuh kaukus rentas parti

PETALING JAYA: Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah Kerajaan yang ketinggalan dan tidak prihatin dengan apa yang berlaku di persekitarannya.

Tindakan Kerajaan melayan bantahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya bermakna pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.

Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas – yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja.

Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda.

Kami dengan ini menggesa pembentukan kaukus rentas parti oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya.

Usaha Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarikh perhatian terhadap isu ini beserta tentangan daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian
rentas parti terhadap isu ini.

Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput Datuk Saifuddin untuk mempimpin kaukus rentas parti dalam isu ini. Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka.

Kenyataan media ini dikeluarkan bersama oleh Nurul Izzah Anwar, Yusmadi Yusoff, Yunus Jamhari, Kesavan, Nik Nazmi Ahmad, Chan Ming Kai, Chang Lih Kang, Sim Tze Tzin, Amiruddin Shari dan Gan Pei Nei.

YB NURUL IZZAH ANWAR, Ahli Parlimen Lembah Pantai
YB YUSMADI YUSUF, Ahli Parlimen Balik Pulau
YB YUNUS JAMHARI, ADUN Kuala Kurau
YB KESAVAN, ADUN Hutan Melintang
YB NIK NAZMI AHMAD, ADUN Seri Setia
YB CHAN MING KAI, ADUN Simpang Pulai
YB CHANG LIH KANG, ADUN Teja
YB SIM TZE TZIN, ADUN Pantai Jerejak
YB AMIRUDDIN SHARI, ADUN Batu Caves
YB GAN PEI NEI, ADUN Rawang

Baca seterusnya...

PRO M sokong seruan IMAM muda

JUARA Imam Muda Asyraf (gambar) mengajak para remaja melepak dan menghabiskan masa masjid atau surau.

Memandangkan bulan Ramadan ini menuntut umat Islam mengerjakan solat terawih, bagi Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, tidak salah sekiranya remaja melepak di masjid atau surau berbanding di tempat lain.

Sekurang-kurangnya dengan mengajak remaja walaupun hanya duduk di tepi masjid atau surau, mampu meninggalkan kesan yang baik kepada mereka pada masa akan datang.

Mungkin dengan cara tersebut, para remaja akan terbuka hati untuk sama-sama melakukan solat dan mengimarahkan rumah ibadat.

Selepas memenangi program realiti kelolaan Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, Asyraf kembali menjalankan tugasnya sebagai imam di Masjid Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Untuk bulan Ramadan ini, tugas imam muda yang berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu tidak hanya terikat di Masjid Desa Petaling sahaja sebaliknya dia akan ke beberapa masjid di dalam dan luar Kuala Lumpur.

Dia bukan sahaja dijemput untuk mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan terawih malah ada juga sesetengah masjid yang menjemputnya berbuka puasa, menyampaikan tazkirah, qiamulail, serta kuliah Subuh dan Zohor.

Asyraf yang berpengalaman menjadi imam di Masjid Desa Petaling sejak Januari tahun ini akui tanggungjawabnya semakin mencabar namun dia akan cuba melakukan yang terbaik demi menggalas tugas sebagai imam.

“Insya-Allah, saya akan cuba menarik lebih ramai golongan muda ke masjid kerana kebiasaannya mereka hanya akan datang atas faktor tertentu.

“Saya rasa mulai sekarang, kita sepatutnya memberi peluang kepada golongan muda untuk melaksanakan tugas-tugas di masjid. Jangan membuat persepsi awal yang mereka tidak mampu melakukannya kerana dengan cara itu mereka akan rasa layak untuk menjadi orang masjid,” katanya yang mempunyai kontrak dengan Astro selama tiga bulan lagi.

Buat masa ini, dia akan terikat dengan beberapa aktiviti yang diatur oleh Astro. Barangkali selepas ini, dia bakal bergelar peniaga yang setakat ini sudah ada dalam perancangannya disamping menjawat jawatan imam dan guru tuisyen mengaji al-Quran dari rumah ke rumah.

Biar apa pun, sebelum berniaga, anak kedua dari lima beradik kepada pasangan Mohd Ridzuan Yusoff, 55, dan Robiah Bakar, 55, itu akan menamatkan pengajian peringkat Sarjananya di Universiti Malaya terlebih dahulu.

“Selepas selesai dengan Imam Muda, saya rasa kehidupan saya tidak terlalu berubah dengan drastik sebaliknya biasa-biasa sahaja. Tetapi apabila ke masjid, ada juga yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan saya dan menegur sapa.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting kepada saya selepas ini adalah untuk menjaga diri-sendiri kerana ramai ulama dan tokoh Islam yang memerhati serta memberikan nasihat kepada saya. Sekarang, pandangan orang terhadap saya terbahagi kepada dua iaitu bertanggungjawab sebagai imam dan imam muda,” beritahunya yang sudah berkahwin dengan Nurhusna Yusof, 23.

Sempena bulan Ramadan, Asyraf sempat berpesan kepada semua umat Islam agar menganggap bulan ini sebagai Ramadan yang terakhir dalam hidup kita.

Baca seterusnya...

‘Hentikan Campurtangan Politik di Universiti’

Syarahan perdana dan tayangan Student Power oleh seorang aktivis sosial, Fahmi Reza telah mendapat perhatian umum di kalangan anak muda dan mahasiswa di Malaysia, kata Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Beberapa siri syarahan telah dijalankan secara terbuka di luar kampus khusus di Lembah Klang, kata presidennya Hilman Idham.

Menurutnya, pihak penganjur juga telah menambah inisiatif untuk menjalankan syarahan perdana ini di dalam kampus.

“Namun, percubaan untuk menganjurkannya di dalam kampus itu telah digagalkan apabila program itu diarah dibatal serta-merta – minggu lepas di UiTM Kampus Puncak Perdana dan semalam di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

“KAMI melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran universiti yang membatalkan program syarahan itu tanpa sebab yang munasabah.

“KAMI juga mengecam sekeras-kerasnya campurtangan politik yang tidak mahu program sebegini terus berlangsung,” tegasnya.

Bagi KAMI, tambahnya, pihak universiti seharusnya lebih bersikap terbuka dalam membuat keputusan dan mengabaikan sebarang tekanan politik yang diberikan khususnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.

“KAMI menolak sebarang campurtangan politik dalam universiti atas kesedaran bahawa autonomi universiti itu harus diserahkan kembali kepada mahasiswa.

“Masalah yang terbesar dengan sistem pengajian tinggi di Malaysia ialah apabila segala keputusan dan tindakan yang akan diambil itu adalah tindakan dan keputusan politik.

“Keputusan ini akhirnya adalah di tangan naib canselor yang dilantik langsung oleh Menteri Pengajian Tinggi atas dasar lantikan politik.

“Maka keputusan yang dibuat oleh Naib Canselor dan pentadbirannya juga adalah keputusan politik. Ini adalah masalah yang terbesar bagi IPTA di Malaysia,” tambahnya.

Atas kesedaran itu, katanya, KAMI berpendirian bahawa:
  1. `Pihak Naib Canselor dan pentadbiran universiti harus lebih terbuka dan demokratik dalam membuat keputusan;
  2. Mengecam keras sebarang campurtangan politik dalam keputusan yang diambil oleh universiti; dan
  3. Mendesak agar universiti membenarkan penganjuran program syarahan perdana Student Power.

Baca seterusnya...

Larangan Politik: Pelajar Cadang Anjur Forum Terbuka

Sekumpulan mahasiswa bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membahaskan keputusan kerajaan melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Ridhuan Othman berkata pihaknya bercadang menganjurkan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya akan menjemput wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan perkara tersebut.

Mohd Ridhuan yang juga graduan pelajar Universiti Malaya (UM) mengulas mengenai keputusan kabinet kelmarin yang melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Turut hadir dalam sidang media itu antaranya jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma),Abdullah Omar Muhammad Fuad.

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Mohd Ridhuan berkata pihaknya akan bermesyuarat hujung minggu ini bersama wakil persatuan mahasiswa lain untuk menetapkan tarikh, tempat serta aturcara forum tersebut.

‘Kami ada otak’

“Hasil forum itu nanti akan dimasukan dalam memorandum untuk diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MT untuk dibincangkan mesyuarat tersebut,” katanya.

Mereka juga bercadang untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada PKR dan PAS supaya dapat dibincangkan di peringkat parti masing-masing.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama juga, Ahmad Syukri berkata beliau “muak” dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled yang melarang mahasiswa supaya tidak terlibat dengan politik.

“Mahasiswa tidak bodoh, kami ada otak. Kami sudah muak dengan dogma tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik,” katanya.

Beliau juga menempelak kerajaan yang didakwanya bersikap dwi-standard kerana membenarkan penubuhan kelab Umno di luar negara tetapi tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik di dalam negara.

Baca seterusnya...

AUKU & Mahasiswa Politik

Secara peribadi, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah YB Dato’ Khaleed Noordin; yang pernah satu ketika dahulu untuk menilai semula AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 / Pindaan 1974). YB Khaleed Nordin mahu menilai semula AUKU ini demi memberi kebebasan berpersatuan dan autonomi kampus kepada warga Universiti. Namun, dalam pengetahuan saya, perkara ini juga telah pun dinyatakan oleh dua (2) Menteri KPT sebelum beliau; Datuk Mustapha Muhammad dan Dato’ Shafie Salleh. Kita telah maklumi bahawa masih belum ada apa-apa inisiatif dalam hasrat ini. TV3 ada melancarkan kutipan responden. Alhamdulillah, lebih 80 peratus setuju AUKU ini dikaji semula.

Bagi saya, AUKU ini patut dimansuhkan bukan kerana pandangan umum rakyat Malaysia, tetapi kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. Satu-satu perkara yang zalim ini wajib disanggah, biarpun hanya didokong oleh satu jiwa yang adil sahaja.

KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 ; sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.

Saya ingin memetik pendapat Junaidi Abu Bakar dalam buku Mahasiswa dan Undang-Undang dengan izin. Menurut beliau, setiap undang-undang yang digubal mesti mempunyai niat pengubalannya. Begitu juga dengan AUKU, digubal selepas berlakunya beberapa aksi mahasiswa – (1)penyebaran Manifesto Mahasiswa oleh PMUM (Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya) menjelang PRU4 sehingga menggugat status quo parti-parti memerintah; (2)Demontrasi anti-Tunku (29/8/69); (3)Demontasi ‘Papan Tanda’ demi mempertahankan bahasa Melayu di UM; dan sebagainya.

Selepas berlakunya beberapa peristiwa tersebut, kerajaan telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ dan AUKU ini diperkenalkan dan digazet di Parlimen yang mulia ini. Sila rujuk Laporan Muhammad Abu Bakar dalam Mahasiswa Menggugat. Persoalan yang ingin saya timbulkan, adakah mahasiswa pada ketika itu melakukan suatu jenayah di sisi undang-undang Malaysia atau Kerajaan sendiri sebenarnya cuba untuk menutup pekungnya sendiri dengan melumpuhkan aktivitisme mahasiswa secara berperundangan?

Saya secara peribadi yakin, niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas anak-anak kita di kampus. Dan selama itu juga kita telah lihat sejauhmana perkembangan generasi muda dan IPT di Malaysia. Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.

Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 7(1), Sekyen 7(3), Sekyen 8, Sekyen 9, Sekyen 11, Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.

Bagi saya, akta di atas ini bertentangan dengan Hak Asasi Manusia; kebebasan bersuara dan berpertubuhan sebagaimana yang dijamin oleh Hak Asasi Manusia. Kadang-kadang, saya melihat tukang sapu sampah atau pemandu teksi atau peniaga yang usianya sebaya dengan usia mahasiswa jauh lebih bertuah di Malaysia ini kerana mereka bebas bersuara dan berpertubuhan serta berorganisasi. Justeru, pada hemat saya AUKU ini dimansuhkan. AUKU juga sebenarnya jelas berdiskriminasi hak-hak kemahasiswaan dan tidak berperikemanusian.

Saya ingin membawa contoh, dengan izin. Sila rujuk Seksyen 15D(1):

“Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan di bawah kesalahan jenayah maka ianya hendaklah dengan serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan perbicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus atau kampus mana-mana universiti lain.

Dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty). Berdasarkan pada nature of law dan contoh seksyen AUKU di atas, jelasnya berlaku pra-penghakiman (pre judgement conviction).

Kes ini lebih ketara dalam isu penangkapan ISA7 yang belum selesai sehingga kini, namun hak belajar dan menerima keadilan di Universiti telah dinafikan oleh mereka. Selain itu juga boleh merujuk dalam isu Norlia bte Syukri vs Universiti of Malaya, 1978 dalam laporan Tribunal Tatatertib Universiti, UM dan laporan tindakan ke atas 1 orang mahasiswa yang ditahan beberapa bulan lepas dan diberikan amaran keras oleh tatatertib Universiti kerana kesalahan mendatangkan kesan buruk secara langsung atau tidak langsung kepada universiti kerana menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Hasil penghujahan yang dilaporkan media dan tribunal perbicaraan walaupun sabit kesalahan tetapi AUKU terbatal sama sekali untuk menjatuhkan hukuman kepada beliau kerana ia bercanggah dengan undang-undang persekutuan dan perlembagaan yang memberikan ruang dan hak yang luas kepada warganegaranya untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Jadi hingga kini saya masih keliru di manakah relevannya akta ala rimba ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kampus bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.

Status Umur 21 tahun, mahasiswa layak berpolitik

Berhubung dengan status umur 21 tahun, sewajarnya bila bergelar student/mahasiswa ; mahasiswa semestinya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen/entiti yang boleh menjadi sebahagian elementasi "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan agar lunas demokrasi, pembangunan dan proses pentadbiran yang diamalkan dapat dilaksanakan secara seimbang dan saksama bukan hanya mahasiswa sekadar pergi mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya, kewujudan AUKU telah menyekat peranan ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran. Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan/ cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Sewajarnya pihak kerajaan menyokong tindakan ini kerana modal insan yang sebeginilah yang sepatutnya kita lahirkan demi generasi yang lebih cemerlang pada masa akan datang. "Generasi Baru Untuk Malaysia Yang Baru"

Insan yang baik semestinya warganegara yang baik, namun apa yang terjadi kita mampu melahirkan warganegara yang hanya menjadi pengikut yang setia yang kadangkala tidak mengerti apa tanggungjawab dan tuntutan yang perlu ditunaikan sebagai warganegara. Bagi warga pelajar dan mahasiswa, segalanya bermula dengan pendidikan yang akhirnya membuahkan kefahaman dan mencetuskan kesedaran. Apa yang berlaku sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang baik kerana ia masih bersifat konservatif dan tidak efektif. Para pelajar masih kekal dengan sistem pelajaran kuno (disuap) tanpa di didik agar berfikir dan bertindak, seolah-olah semuanya telah dicaturkan. Senario ini berlaku di semua peringkat/tahap pengajian sama ada rendah, menengah atau tinggi. Kegagalan memikirkan formulasi yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini akhirnya pada persepsi saya akan menyebabkan kita masih dan terus gagal membina masyarakat dan melahirkan generasi warganegara yang baik. Bagaimana boleh melahirkan insan dan warganegara yang baik sekiranya pendedahan tentang peranan itupun tidak cuba diterapkan dengan komprehensif dan konsisten dilapangan ilmu yang sebenar. Ini terbukti kelemahan sistem pendidikan kita tidak berupaya melahirkan warganegara yang prihatin, peka, proaktif kerana kesedaran komponen pendidikan politik pun tidak dapat disalurkan dengan sistematik di segenap lapisan masyarakat. Adakah ia menjadi ketakutan, kegusaran, dan kebimbangan kepada pihak kerajaan sekiranya gelombang kesedaran itu muncul ditengah masyarakat atas dasar kefahaman, keprihatinan dan kepekaan..

Lantaran itu, buat pihak kerajaan dan parti pemerintah, saya amat kesal dan kecewa dengan pihak kerajaan kerana gagal memulangkan segala mandat dan kepercayaan yang diberikan pada pilihanraya yang lepas (PRU 12, Mac 2008) kemenangan pada pilihanraya yang lalu hanya dari kacamata kemenangan kerusi (parlimen & DUN) semata, namun tampak jelas hampir 3 tahun memegang amanah ini, pentadbiran dan kepimpinan ini hanya seolah-olah melepaskan batuk ditangga, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib dan kabinetnya pada amatan saya adalah terlalu lemah walaupun gagasan 1 Malaysia seolah-olah suatu omongan kosong yang cantik pada luaran dan bersifat retorik semata-mata, semakin banyak isu (keselamatan negara, kehakiman, pendidikan, sosial, bencana ekonomi dll) dan gejala salah laku para pegawai kerajaan dan bapak menteri (rasuah, skandal seks, korupsi, pembunuhan dll) semakin hangat didedahkan di dada akhbar dan media massa. Semuanya gagal ditangani dengan baik dan hanya sekadar respon tetapi tidak serius dalam segala tindakan yang diambil. Terlalu banyak kelompangan yang berlaku, namun rakyat tidak diberikan kesedaran dan penerangan, mereka semakin ditindas dan dipergunakan. Sudah masanya rakyat memikirkan sesuatu yang lebih baik untuk memilih kepimpinan negara yang lebih baik pada masa hadapan. Sewajarnya, kita bersedia dan berani membuat perubahan dan bertukar kerajaan jika diberi peluang pada masa akan datang.

Di tambah pula, baru-baru ini isu 4 orang pelajar UKM ditangkap atas pertuduhan berkempen pada pilihan raya Hulu Selangor dan Kes Rosmah Puaka adalah sesuatu yang naif. Adakah layak dan sewajarnya mereka dihukum tanpa meminta penjelasan dan pengadilan serta pihak Universiti menggunakan AUKU sewenang-wenangnya, arahan yang agak tergopoh gapah dan tindakan melulu yang dikeluarkan oleh KPT kepada para Naib Canselor agar mengenalpasti dan mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang terlibat dengan politik dan unsur negatif yang mungkin suatu konspirasi ini adalah satu perkara yang pada pandangan saya adalah bukan sebagai penguatkuasaan undang-undang (AUKU) kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, tetapi apa yang kami lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam negara. Pada amatan kami arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai usaha untuk mempertahankan kekebalan parti pemerintah/ kerajaan dan melindungi segala kepentingan mereka kerana mereka amat bimbang ketika mana mahasiswa terlibat secara langsung dalam mematangkan politik negara dan bersuara.

Terbaru, kerajaan melalui jemaah menteri sebulat suara melarang mahasiswa terlibat aktif dalam politik? Ketakutan semakin memuncak, segalanya nampak terdesak. Forum ‘student power’ pula telah diharamkan di UiTM. Adakah semua ini mampu menghalang kebangkitan mahasiswa? Ataupun mahasiswa yang ada masih tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku. Jika dipandang secara sinikalnya, apakah tiada beza antara mahasiswa dan belia muda diluar sana yang bebas menentukan warna politik dan anutan idealisme mereka yang tersendiri. Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon dan dogma jahat yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie

"Teguh Bersatu Demi Kebenaran, Hidup Mahasiswa"- Azlan Zainal

Baca seterusnya...

Mahasiswa Berpolitik:Saifuddin Sedia Temui Sesiapa Termasuk Pemuda PAS

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini melahirkan kesediaan untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, saya akan menerima jemputan sesiapa sahaja sama ada Pemuda PAS atau daripada mana-mana pihak,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Saya akan menemui mereka atas kapasiti sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Temerloh ini juga berkata, beliau juga ada menerima permintaan daripada beberapa pihak lain berhubung isu semasa ini.

Bagaimanapun Saifuddin enggan berkongsi identiti pihak-pihak terbabit yang turut mempelawa beliau.

Ketika ditanya sama ada akan menemui mereka serentak dalam satu pertemuan, Saifuddin menjelaskan, ia bergantung kepada mereka.

“Kalau hendak diadakan sekali pun pun OK, tiada masalah,” katanya lagi sambil menekankan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan melihat kemungkinan membebarkan mahasiswa menyertai politik.

Berita The Malaysian Insider awal pagi ini menyebut, Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Saifuddin untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya membuat pelawaan itu ekoran rentetan daripada sikap keterbukaan ditonjolkan oleh Saifuddin bagi memberi lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia,” kata beliau.

Nasrudin menambah, perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.

Dalam reaksi pagi ini, Saifuddin juga mengesahkan beliau akan membawa idea berkenaan ke perhatian Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini.

“Ya, saya akan mengetengahkan pandangan membenarkan mahasiswa menyertai politik,” katanya.

Majlis Tertinggi Umno dijadual mengadakan mesyuarat bulanannya 27 Ogos ini.

Dalam mesej menerusi Twitter lewat malam tadi, Saifuddin berkata, beliau “menantikan mesyuarat MT 27 Ogos (ini) untuk membawa isu-isu politik dan pelajar.”

Reaksi itu dikeluarkan selepas laporan awal menyebut Kabinet telah menolak idea membenarkan mahasiswa menyertai politik secara aktif.

Laporan awal Bernama petang semalam menyebut Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Laporan itu yang memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin ditarik balik beberapa jam kemudian.

Ekoran laporan awal media termasuk berita SMS keluaran beberapa akhbar, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan awal 27 Julai lalu, Saifuddin berkata beliau akan membawa cadangan itu mesyuarat MT Umno akan datang.

Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut IPTA dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

Baca seterusnya...

Kabinet ‘Tak Matang’ Larang Mahasiswa Berpolitik

Keputusan jemaah menteri yang melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, semalam, disifatkan sebagai “tidak matang”.

Malah, kata pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin keputusan itu dibuat dilihat tidak mengambil kira bahawa mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

“Kerajaan perlu melihat mahasiswa sebagai warganegara yang berumur 21 tahun ke atas diberi hak, partisipasi (dalam politik), berhimpun dan memberikan pandangan.

“Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa.

“Jika seksyen 15 AUKU (Akta Univeristi dan Kolej Universiti) membenarkan mahasiswa berpolitik dengan izin naib canselor, maka seksyen ini jugalah digunakan untuk mendakwa mahasiswa dalam mahkamah. Di mana hak mahasiswa?” soalnya.

Shazni Munir yang juga pelajar Universiti Malaya mengulas mengenai keputusan jemaah menteri semalam yang memutuskan bahawa mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sepatutnya diberi hak untuk berpolitik sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Jadi mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana berumur 21 tahun, bebas terlibat dengan politik dan berhimpun.

“Di mana kerajaan meletakkan mahasiswa sebagai agen intelektual. Ruang (berpolitik) harus diberikan lebih luas seperti berdebat dengan menteri atau NGO,” katanya.

Mengulas mengenai mahasiswa diwajibkan memohon kebenaran daripada naib canselor sebelum menyertai poltik, Shazni Munir berkata sepatutnya perkara tersebut tidak perlu.

Mohon restu mak, ayah

“Sepatutnya mereka memikirkan untuk menaikkan kedudukan universiti ke tahap global dan antarabangsa. Memadai memohon restu mak dan ayah. Kenapa nak susah-susah nak minta izin kepada naib canselor,” katanya.

Sementara itu, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS), Mohd Idris Mohd Yusoff berkata walaupun kerajaan membuat keputusan tersebut, pihaknya akan tetap memperjuangkan agar mahasiswa boleh menyetai politik kepartian.

“Ini soal rakyat Malaysia, soal hak dan kebebasan mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Ahmad Wafi Sahedan berkata beliau menyambut baik keputusan jemaah menteri itu kerana berpandangan kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Ahmad Wafi berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian, kumpulan itu mempunyai saluran lain untuk terlibat dengan kegiatan masyarakat.

“Pindaan AUKU memberi peluang untuk menjadi mahasiwa berwibawa dan lebih bagus dengan terlibat dengan NGO untuk menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan,” katanya.

Tegasnya, mahasiswa perlu menjadi satu golongan yang mempunyai pendirian dan tidak dipengaruhi serta bebas mengkritik mana-mana pihak.

Ahmad Wafi merupakan yang juga yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (MPMUSM).

Baca seterusnya...

Untung Rugi Siswa Berpolitik — Mohd Khuzairi Ismail

Jika persekitaran politik di universiti ketika ini diperhatikan dengan teliti, kebenaran kepadaJustify Full mahasiswa untuk bergiat aktif dalam politik perdana seharusnya tidak dijadikan isu. Ini kerana kebenaran berpolitik itu sebenarnya tidak lebih daripada formaliti kepada satu budaya berpolitik yang sudah pun wujud dalam persekitaran universiti itu sendiri.

Hakikatnya, di mana-mana universiti baik awam mahupun swasta, budaya politik partisan dalam kalangan mahasiswa sudah lama diamalkan. Jika tidak, tidak akan ada istilah kemenangan mahasiswa propembangkang atau prokerajaan setiap kali berlangsungnya pilihan raya kampus.

Malah, beberapa buah universiti juga sudah sinonim dilabel sebagai kubu kuat sama ada kerajaan atau pembangkang. Apa yang menjadi halangan untuk mereka memperlihatkan sokongan berpolitik itu adalah peruntukan undang-undang di bawah Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU) (Pindaan 2009) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976).

Akta ini antara lain tidak membenarkan mahasiswa atau pelajar IPT menjadi ahli politik melainkan dengan kebenaran Naib Canselor. Di universiti swasta pula, mahasiswa terikat dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) bagi perkara yang sama. Justeru, sebelum perbincangan mengenai kewajaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa dibuka lebih luas, kekangan dari sudut AUKU perlu diperjelaskan terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu ini berpandangan, kebenaran itu tidaklah sampai memerlukan pindaan kepada AUKU. Tetapi apa yang boleh difikirkan adalah garis panduan atau pekeliling tata tertib berpolitik yang dikeluarkan oleh universiti.

Ini bagi memastikan proses penglibatan mahasiswa itu boleh dipermudahkan tanpa perlu menunggu pindaan AUKU yang perlu dibawa ke Kabinet. Jadi, dari sudut undang-undang, mahasiswa sudah mendapat jaminan dan kebenaran untuk berpolitik.

Meskipun ia masih di peringkat perancangan dan lebih banyak diskusi serta perbincangan perlu dilakukan, namun perkara ini boleh menjurus ke arah yang positif. Malah, banyak persatuan terutamanya berkaitan belia dan mahasiswa juga mahu melihat kebenaran berpolitik terpimpin di kalangan mahasiswa itu dapat dilaksanakan.

Perkara ini boleh dilihat dengan jelas ketika berlangsungnya sesi meja bulat mengenai isu berkenaan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini. Saifuddin sendiri merupakan salah seorang panel bagi sesi tersebut bersama-sama tokoh akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Sarjit Singh Darshan Singh Gill. Panel lain ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.

Sesi diskusi itu turut disertai beberapa barisan pemimpin pelajar dari universiti awam dan swasta, selain pemimpin-pemimpin pertubuhan belia. Rata-rata mereka sependapat dalam soal memberikan kebebasan kepada pelajar berpolitik tetapi beberapa perkara masih tidak jelas daripada kebenaran tersebut.

Antaranya, adakah ini bermaksud mereka boleh membawa identiti parti-parti tertentu di dalam kampus? Adakah mahasiswa juga dibenarkan sehingga menjadi pemimpin di dalam parti politik tertentu? Siapa pula yang dapat memastikan mahasiswa tidak dianiaya terutama dari sudut akademik apabila terpaksa berdepan dengan pensyarah yang tidak sehaluan ideologi politiknya?

Apa pula jaminan terhadap keselamatan di dalam universiti apabila mahasiswa yang berpuak mengikut parti politik bebas menyatakan sokongan dan pendirian masing-masing?

Persoalan-persoalan ini adalah antara sisi kontra yang dibangkitkan daripada sesi diskusi tersebut, selain kebimbangan melebarnya jurang antara kaum apabila parti berasaskan kaum mula menyebarkan ideologi politik mereka di kalangan mahasiswa.

Barangkali inilah juga kebimbangan yang dilihat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa larangan berpolitik dalam kalangan mahasiswa adalah kekal. Namun memandangkan diskusi mengenai perkara ini sedang hangat berlangsung dalam kalangan mahasiswa dan pertubuhan belia, maka wajar sekiranya pandangan serta pendapat mereka diambil kira.

Ini kerana selain sisi negatif yang mungkin lebih ditonjolkan, ada impak positif lain yang boleh dijelmakan daripada kebenaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa. Jika tidak, Saifuddin sendiri selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam menguruskan mahasiswa tidak akan melontarkan cadangan seperti itu.

Beliau pasti sangat menyedari isu ini boleh menjadi perkara yang akan merugikan dirinya dari sudut populariti dan “survival” politik. Umum mengetahui bahawa sensitiviti politik di universiti tidak pernah sealiran dan sependapat dengan sensitiviti politik arus perdana.

Politik bertentangan itu bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di negara-negara lain juga suara-suara mahasiswa yang menentang kerajaan lebih kuat kedengaran berbanding mereka yang berada di blok kerajaan.

Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan kajian yang menunjukkan bahawa 15 peratus mahasiswa tempatan condong kepada pembangkang berbanding hanya lima peratus yang pro kerajaan. Sebanyak 18 peratus mahasiswa lain pula berada di atas pagar dan selebihnya memilih untuk menjauhi politik.

Maka, tindakan kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik boleh menjadi senjata yang memakan diri apabila lebih banyak usaha diperlukan untuk mengawal ideologi dan tindakan mahasiswa berhaluan kiri. Begitu pun, ia bukanlah sesuatu yang tidak disedari oleh Saifuddin.

Selain Saifuddin, ramai lagi tokoh politik di blok kerajaan yang bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Sekadar menyebut beberapa nama, mereka termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain.

Persekitaran politik di universiti ketika ini tidaklah menjadi ancaman kepada kerajaan. Ia juga bukanlah kelebihan kepada pembangkang meskipun keadaannya dilihat lebih ke arah itu. Tetapi kebenaran berpolitik tersebut merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik di dalam diri mahasiswa.

Ia boleh dijadikan medium kepada mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan, seterusnya mengisi barisan kepimpinan masa hadapan. Lebih daripada itu, kebenaran berpolitik kepada mahasiswa juga boleh menyuntik elemen yang lebih segar dan semasa dalam persekitaran pengajian tinggi.

Banyak yang berpandangan persekitaran universiti ketika ini terlalu jumud dan sepi. Mahasiswa lebih banyak dilonggokkan dengan aktiviti bersifat akademik terutamanya kuliah yang adakalanya diadakan pada hari minggu dan sehingga lewat malam.

Ini menyebabkan mereka terbeban dan tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti berbentuk persatuan. Budaya ini terbawa-bawa sehingga mereka meninggalkan alam universiti. Ia sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa generasi muda hari ini tidak berminat mengikuti perkembangan politik semasa.

Malah golongan ini juga merupakan kumpulan paling ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Sudut pidato yang diwujudkan di universiti juga tidak begitu mendapat perhatian mahasiswa.

Mungkin bagi mahasiswa, mereka melihat masih ada kekangan untuk menggunakan sepenuhnya kebebasan dari sudut pidato tersebut. Barangkali kebenaran berpolitik nanti akan menjadikan sudut pidato benar-benar hidup dan mampu menarik pelajar mengikuti perkembangan isu politik semasa dari konteks yang lebih luas.

Begitu pun dalam isu ini, kita perlu kembali kepada mahasiswa kerana merekalah yang akan mencorakkan kebebasan berpolitik itu. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, hanya sedikit sekatan dari sudut undang-undang yang mampu mendidik mahasiswa. Selebihnya, sekatan hanya akan mendorong mereka bertindak melangkaui batasan.

Mahasiswa juga tidak boleh ditakut-takutkan semata-mata mahu mengongkong kebebasan mereka. Mentaliti negatif terhadap keupayaan pelajar tidak akan membantu melahirkan mahasiswa yang berkualiti.

Sebaliknya, mahasiswa perlu diyakini mampu mengamalkan budaya terpimpin dan berakademik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai ahli pemikir termasuk dalam soal kebebasan berpolitik ini.

Baca seterusnya...

Pemuda PAS Ajak Saifuddin Bincang Idea Politik IPTA

Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara ekoran laporan bahawa Kabinet telah menolak cadangan tersebut semalam.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Loke Siew Fook pula berkata pihaknya mengecam keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya membuat pelawaan itu ekoran rentetan daripada sikap keterbukaan ditonjolkan oleh Saifuddin bagi memberi lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia,” kata beliau.

Nasrudin menambah, perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.

“Justeru, Dewan Pemuda berpendapat perkara ini bukan semata-mata untuk kepentingan semua parti, bahkan ia adalah untuk membina idealisme mahasiswa di samping menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Saifuddin dijangka akan terus membangkitkan idea tersebut pada mesyuarat Majlis Teringgi Umno 27 Ogos ini walaupun dilaporkan Kabinet telah menolaknya.

Usaha beliau itu pertama kali dibangkitkan pada 27 Julai lalu.

Loke menjelaskan DAPSY amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

“Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut Loke, keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

“Keputusan Kabinet (semalam) menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan,” katanya.

Kata beliau, keputusan itu juga membuktikan bahawa sayap Pemuda BN khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

“Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

“DAPSY akan terus mendesak supaya AUKU dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

“DAPSY yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan,” katanya lagi.

Baca seterusnya...

KJ, Pakatan Bidas Kabinet Kekal Larang Mahasiswa Sertai Politik

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Terdahulu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar universiti tempatan daripada menyertai politik secara aktif.

Bulan lalu, Timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau akan membawa perkara itu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Tetapi ia ditolak sebelum ia dibawa ke mesyuarat tertinggi Umno.

Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

“Keputusan Kabinet untuk membolehkan pelajar universiti menyertai parti politik adalah (langkah) tidak berani dan pemikiran ketinggalan zaman,” kata Khairy menerusi Twitter sejurus selepas keputusan Khaled diumumkan.

Kemudian beliau menambah: “Ini bayangan kepada Kabinet: Anda mahukan undi golongan muda, mula dengan mempercayai mereka.”

Kata Khairy, ekoran pandangan lama bahawa pelajar universiti adalah mereka yang antikerajaan, bukan bermakna keputusan seumpama itu mutkamad selama-lamanya.

“Misalnya, pelajar antikerajaan dari Oxford pada 1990-an, kini Ketua Pemuda Umno. Macam mana?” katanya.

Anwar pula berkata “larangan mahasiswa berpolitik (adalah keputusan) jumud, usang dari pimpinan autoritarian Umno-BN.”

“Mahasiswa perlu didedah dengan ilmu, teroka,” kata Ketua Pembangkang ini.

Sebelum Khaled mengumumkan keputusan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri dalam politik kepartian dikekalkan.

“Tan Sri Muhyiddin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Kenyataan beliau ini hanya membuktikan bagaimana Umno-BN, secara terancang, mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat,” katanya.

Kata beliau, “apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?”

Kata beliau, AMK yakin dan percaya puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno-BN.

“AMK mencabar Umno-BN melalui Tan Sri Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di universiti awam dan swasta seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus.

“Demikian juga Tan Sri Muhyiddin dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad VOGUE Puteri Umno Malaysia,” katanya.

Kata beliau, AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan akur dan taat kepada kepimpinan parti.

“Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut ‘66 Takut ‘98, “Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa,” katanya.

Baca seterusnya...

Mahasiswa Desak KPT Kaji Semula Pindaan AUKU

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pada Rabu mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menilai semula pindaan terhadap Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang didakwa menyekat kebebasan bersuara, berhimpun dan berpolitik terhadap mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pindaan AUKU perlu dibuat daripada kaca mata yang lebih rasional kerana akta tersebut dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kebanyakan pelajar di IPT berumur 21 tahun dan ke atas, mereka sepatutnya diberikan hak mengundi dan menyertai mana-mana parti politik. Perkara ini termaktub dalam perlembagaan.

“Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan berpolitik ke atas kami? Perkara ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi mStar Onlinedi sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menegaskan bahawa larangan berpolitik terhadap pelajar di IPT kekal walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.

Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pindaan AUKU sedia ada sudah memadai kerana ia telah memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus.

Mengulas lanjut, Shazni yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar Univeristi Malaya berkata, mereka bukan mahu menentang kerajaan dalam hal ini sebaliknya mereka meminta kerajaan terutamanya KPT memberikan peluang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik.

“Mahasiswa bukan lah kanak-kanak mentah, mereka sudah tahu menilai apa yang baik dan buruk.

“Kerajaan juga usah bimbang, sekiranya ada pelajar yang melanggar undang-undang sudah pasti pelajar berkenaan akan dikenakan hukuman yang setimpal mengikut undang-undang negara,” katanya.

Jelasnya, pindaan AUKU yang diluluskan tahun lalu juga agak tidak rasional kerana pelajar hanya boleh terlibat dengan politik hanya selepas mereka mendapatkan kebenaran daripada Naib Canselor.

“Ini satu perkara yang tidak logik, Naib Canselor tidak perlu dibebankan dengan hal remeh-temeh seperti memberikan kebenaran berpolitik kepada pelajar.

“AUKU sepatutnya memfokuskan kepada soal berkaitan dengan pentadbiran dan hal ehwal pelajar di universiti dan bukannya soal politik,” ujarnya.

Lebih malang, Shazni menegaskan, bahawa semua mahasiswa di peringkat sarjana dan doktor falsafah juga tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan politik.

“Bagaimana sekiranya pelajar itu merupakan ahli politik dalam mana-mana parti politik. Adakah mereka perlu meletakkan jawatan dalam parti hanya kerana mereka melanjutkan pelajaran ke IPT?

“Ini tidak adil kepada mereka. Kita harap pindaan semula AUKU akan memberi perhatian kepada isu-isu sebegini,” ujarnya lagi.

Tahun lalu, kerajaan meminda AUKU bagi memberi banyak kebebasan tetapi masih tidak membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik mana-mana parti kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

Baca seterusnya...

Kabinet Putuskan Keputusan Larang Mahasiswa Berpolitik Muktamad – Khaled Nordin

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Rabu mengumumkan bahawa kabinet membuat keputusan untuk tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Katanya, Seksyen 15, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Beliau menegaskan, keputusan itu tidak sama sekali menghalang mahasiswa daripada mengetahui atau mengikuti perkembangan politik tanah air melalui pelbagai cara.

Baca seterusnya...

Salam Ramadhan...

Saya, mewakili saf kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan mengucapkan kepada warga UMSKAL terutamanya, SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA Di BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK...

Pertingkatkan segala amalan dan semangat kita, sebagai mahasiswa/i dan HAMBA kepadaNya di bulan yang penuh barakah ini...

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya kami melakukan kesilapan dan kesalahan secara langsung mahupun sebaliknya selama ini. Bersama kita menjalinkan dan merapatkan kembali kasih sayang antara kita di bulan RAMADHAN AL-MUBARAK ini...

Kami juga menyeru diri kami dan juga semua MUSLIM untuk kita bersama-sama ke masjid untuk solat Maghrib, Isya' dan solat sunat terawih secara berjemaah... Naikkan kembali 'aura' RAMADHAN di UMSKAL ini...

Kepada sahabat-sahabat, mahasiswa/i yang BUKAN MUSLIM, jom bersama-sama kami (MUSLIM) meraikan bulan RAMADHAN ini dan berbuka bersama-sama kami..

Akhir kalam, sekali lagi, saya, mewakili saf kepimpinan MPP UMSKAL sesi 2009/2010 mengucapkan.....

"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DI BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1431H".

Baca seterusnya...

Kerajaan Tetap Halang Mahasiswa Berpolitik

Kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini sudah memadai kerana ia memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus

Larangan itu kekal. Tidak ada perkembangan terbaru mengenai cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik. Mereka terikat dengan AUKU yang sebenarnya sudah dipinda dan memberi agak lebih kebebasan untuk mereka bersuara Malah, di kampus juga sudah ada `speaker corner… ini tidak menghalang mahasiswa membicarakan soal politik kerana mereka juga rakyat Malaysia. Yang kita tidak benarkan ialah membabitkan diri secara aktif dalam parti dan politik, katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Najib Tun Razak: Melakar Transformasi Malaysia di sini, semalam.

Kementerian Pengajian Tinggi kelmarin mahu mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa di IPT awam membabitkan diri dalam parti politik.

Muhyiddin berkata, kebenaran berpolitik di IPT tidak boleh disamakan seperti kebenaran guru berpolitik di sekolah kerana murid sekolah belum boleh terbabit dalam politik berasaskan faktor usia yang masih mentah, sekali gus tidak memberi kesan kepada golongan itu.

Kalau di kampus sasarannya kepada politik pastinya akan membawa kesan yang lain. Saya tahu di negara maju ada juga yang menyekat mahasiswa mereka terbabit (politik) kerana mereka mahu mahasiswa memberi tumpuan kepada akademik, katanya.

Sementara itu, katanya, pembangkang perlu memohon ampun kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang murka dengan tindakan sebuah parti politik menggunakan gambar baginda menerusi poster pada majlis ceramah di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Katanya, pembangkang harus memahami kedudukan Raja sebagai payung negara yang tidak sepatutnya dieksploitasi sehingga boleh menjatuhkan maruah dan martabat Raja.

Baca seterusnya...

Kenyataan Media


Kenyataan Media
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
9 Ogos 2010 (Isnin)

BENARKAN MAHASISWA MENJADI
AHLI PARTI POLITIK


Pendahuluan
Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.

Mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu ini. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respon yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan.

Pendirian MPMN
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berpendirian:

  1. Sudah tiba masanya, kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.
  2. Kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berktrampilan tinggi.
  3. Mendesak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.
Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan. Sesungguhnya, proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Disediakan oleh,
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)

Baca seterusnya...

Setuju desak kerajaan laksana demokrasi

Sudah tentu saya antara jutaan rakyat Malaysia yang bersetuju malah amat bersetuju untuk kita terus mendesak supaya kerajaan melaksanakan dengan sesungguhnya amalan demokrasi di Malaysia. Sewajarnya, perlembagaan persekutuan yang menaungi setiap pergerakan dan peraturan rakyat Malaysia ini dijadikan rujukan utama dan sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya mestilah dibatalkan dengan segera.

Saya ingin menarik minat dan perhatian semua untuk kita sama-sama, sekali lagi membaca kandungan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Bahagian II, berkaitan Hak Asasi khusus kepada Perkara 10,

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara- negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Sudah menjadi tanggungawab saya, dan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendokong perlembagaan ini sebagai titik pertemuan kepada persefahaman tentang bagaimana kita menjalankan kehidupan kita masing-masing di Malaysia yang sama-sama kita kongsi udara, air dan segala yang terkandung di dalamnya. Begitu juga dengan prisnsip demokrasi yang menjadi tunjang dan amalan pentadbiran negara sejak sekian lama.

Bayangkan, jika tanpa peraturan, kita tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah dan konflik yang berlaku saban hari. Contoh mudah, jika kita gagal bersetuju bahawa "MERAH TANDA BERHENTI", dan memilih warna kegemaran masing-masing untuk berhenti mahupun berjalan, maka sudah pasti hasilnya ialah kecelaruan lalu lintas. Tanpa peraturan yang dipersetujui bersama, pergerakan dan kehidupan seharian kita akan tersekat dan terhenti. Konflik akan bertambah dan kemusnahan akan berlaku di mana-mana.

Isu kehormatan diri misalnya, jika kita gagal memahami keperluan untuk menjaga kehormatan diri dan orang lain, dan memilih untuk memberikan tafsiran tersendiri terhadap "kepentingan menjaga kehormatan diri", maka natijahnya ialah kecelaruan sosial dan mengakibatkan krisis pergaulan dan perhubungan yang kronik.

Kembali kepada desakan untuk berpolitik. Sudah pasti, kebebasan berpolitik ini perlu disambut baik oleh semua pihak. Namun, terlebih dahulu kefahaman dan tafsiran khusus terhadap definisi "kebebasan berpolitik" perlu diperjelaskan supaya tidak berlakunya kecelaruan. Istilah politik misalnya, umum memberikan gambaran dan persepsi yang agak negatif terhadap politik. Hakikatnya, politik ini ialah segala hal yang melibatkan pengurusan kehidupan manusia. Bagaimana kita ditadbir dan mentadbir segala urusan seharian kita. Politik perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Ianya bukan sekadar menunjukkan warna, malah yang terlebih penting daripada itu ialah nilai yang dipegang dan dilaksanakan.

Politik sebagai alat pemerintahan dan pentadbiran, sewajarnya berfungsi untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam Kerajaan serta segala urusan dan perkara yang melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira sempadan usia, ras dan keturunan. Setiap warganegara bahkan mereka yang mendapat permit untuk berada di Malaysia ini perlu dijamin keselamatan dan hak masing-masing, dan ini proses ini juga perlu melalui suatu proses yang dinamakan politik. Sekecil-kecil bayi pun menerima kesan dari iklim politik yang melanda sesebuah negara inikan pula golongan mahasiswa dan kakitangan kerajaan yang mengawal dan mengatur kehidupan sendiri.

Memilih dan dipilih merupakan kata kunci utama terhadap penglibatan seseorang dalam politik. Bahawa seseorang itu perlu diberikan kebebasan untuk memilih dan dipilih. Memilih dan dipilih bukan sekadar memilih warna dan kelompok yang disukai, termasuklah dalam memilih serta memperjuangkan nilai yang pada pandangannya perlu diketengahkan. Setiap rakyat perlu diberikan hak untuk menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing. Manusia yang tidak berpendirian samalah seperti lalang yang ditiup angin, maka menidakkan kebebasan untuk berpendirian samalah seperti "me-lalang-kan manusia". Kerajaan yang prihatin terhadap kelangsungan hidup dan penjanaan potensi tenaga manusia, perlu melihat kepada perkara ini secara serius.

Jangan salahkan sistem pendidikan, jika anda sendiri memainkan peranan sebagai kilang mencetak lalang yang utama dalam negara.

Saya bersyukur dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman. Rakyatnya hidup dalam rukun dan damai. Setidak-tidaknya kita masih lagi mampu mengawal beberapa bahagian penting dalam kehidupan seharian kita. Namun, rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kemampuan sistem sedia ada dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan mereka seharian. Pihak berkuasa semakin hilang "kuasanya" pada pandangan sebahagian masyarakat menyebabkan mereka merasakan undang-undang yang sedia tidak berhak dipatuhi. Sistem pendidikan juga hilang cengkamannya terhadap perkembangan dan pertumbuhan minda anak muda menyebabkan mereka suah semakin hilang minat untuk belajar dan mengasah bakat serta potensi mereka.

Langkah untuk pencerahan sistem demokrasi ini perlu dimulakan secepat mungkin supaya rakyat kembai peka dan prihatin terhadap sistem dan nilai yang selama ini mengatur dan menguruskan kehidupan mereka sehari-hari.

Baca seterusnya...

Kerajaan wajar benarkan mahasiswa berpolitik

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.

Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi .

Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.

Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.

Baca seterusnya...

Kerajaan Sedia Kaji Kebenaran Mahasiswa Berpolitik

Kerajaan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak termasuk pemimpin pelajar bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) untuk membolehkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik kepartian.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata sebagai permulaan, beliau akan menghadiri perbincangan meja bulat mengenai perkara itu yang dianjur Majlis Belia Malaysia (MBM).

Beliau berkata perbincangan meja bulat itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin mahasiswa.

“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Saifuddin berkata pada majlis penutup Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar semalam, beliau menerima resolusi dari wakil pemimpin mahasiswa yang mahukan mereka diberi kebebasan untuk terlibat dalam politik kepartian.

Tahun lepas, kerajaan meminda Auku dan memberi banyak kebebasan tetapi masih tidak membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik kecuali dengan kebenaran khas Naib Canselor.

Saifuddin berkata selepas perbincangan dengan pelbagai pihak nanti, kerajaan akan membawa usul ke Parlimen untuk pindaan Auku bagi memperluaskan lagi kebebasan kepada mahasiswa supaya boleh terlibat dalam politik kepartian.

Bagaimanapun perbincangan mengenai kebebasan mahasiswa untuk berpolitik itu mungkin mengambil masa kerana ia memerlukan kajian terperinci mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh golongan berkenaan, katanya

Baca seterusnya...

MPP Sokong Mahasiswa Berpolitik


Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (MPP IPTA) 2010 semalam membuat resolusi menyokong pembabitan mahasiswa IPTA dalam parti-parti politik.

Pengerusi Jemaah Yang Dipertua MPP IPTA Malaysia, Ahmad Wafi Sahirdan, 20, berkata, resolusi itu dicapai apabila 191 daripada 335 anggota MPP pelbagai IPTA yang hadir pada konvensyen itu menyokong dasar tersebut.

“Hanya 128 wakil MPP tidak bersetuju dan selebihnya kurang pasti. Maka kami mengikut keputusan majoriti wakil MPP IPTA seluruh Malaysia yang meminta kerajaan membenarkan pelajar daripada IPTA menyertai politik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Konvensyen MPP IPTA 2010 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di sini semalam.

Baca seterusnya...

Pro-M Selar Kenyataan Dangkal Abu Shah

Universiti Malaya 5 Ogos : Sekali lagi maruah mahasiswa diletak di tapak kasut bagi sesetengah golongan akademi berprofile tinggi. Mereka seolah-olah mahu membiarkan mahasiswa dikampus seperti lembu dicucuk hidung, tidak kritikal dalam bertindak, paling penting taat kepada arahan pemerintah semata-mata. Menurut Pengerusi ProM UM, Sdr. Saufi Jelaini beliau menganggapkan apa sahaja label, kritikan, dan tohmahan adalah merupakan propaganda jahat sesetengah pihak untuk mematikan idealisme mahasiswa.

"Saya yakin budaya kritikal mahasiswa yang sering dipropagandakan sebagai "anti establishment, Pro pembangkang, Pro Keadilan, dan sebagainya oleh "mereka" yang bencikan kebangkitan mahasiswa untuk menjadi 3rd force dalam negara sebenarnya satu propaganda jahat untuk mematikan sejarah gerakan mahasiswa dalam mencorak dan mengemukakan idealisma mereka".

Menurutnya lagi, mereka sering mengatakan mahasiswa dikampus adalah pro kepada parti politik khusunya pembangkang. Dan perjuangan mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau menyelar kenyataan dangkal Mantan NC UiTM dalam Soal Jawab bertajuk " Wajarkah Mahasiswa Jadi Ahli Parti Politik" di TV 3 semalam.

"Kenyataan beliau begitu sinis, cetek, lansung tidak menggambarkan dirinya sebagai ahli akademik yang layak dihormati darjat dan pangkat yang ada pada beliau dalam memberi pandangan secara ilmiah & intelek" ujar saufi.

Dalam forum semalam, Mantan NC UiTM Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah menafikan mahasiswa untuk berpolitik. Alasannya banyak keburukan daripada kebaikan. Pada beliau biarlah mahasiswa tamatkan dulu tanggungjawab dikampus. Apabila tamat dan bergraduan baru boleh fikir untuk terlibat secara lansung dalam politik ataupun politik. Walaupun begitu beliau bersetuju mahasiswa berpolitik , tapi mesti tidak lari dari skop "politik Kampus " yang sebenar.

Pengerusi Pro M Nasional Sdr. Shafie Hashim mempersoalkan kenyataan beliau mengenai politik kampus.

"Ternyata, beliau hanya menyempitkan skop "politik Kampus" seperti bijak berucap, berpakaian kemas, menurut arahan pentadbiran Universiti dan kerajaan, jangan membangkang atas keputusan yang telah diputuskan dan sebaginya."

Menurut Shafie sambil menyokong kenyataan Dato Saifuddin semalam, bahawa kenyataan Mantan NC UiTM itu kontra kerana dalam sejarah gerakan mahasiswa mencorak politk adalah bermula di kampus. Bukan makna kata mahasiswa itu berpolitik atas nama parti semata-mata, namun perlu di lihat adalah kampus merupakan medan asuhan bakat kepimpinan mahasiswa untuk mengembangkan idealisma mereka tersendiri sebagai golongan terpenting dalam negara.

"Apa guna mahasiswa belajar tinggi-tinggi di kampus, tapi mereka tidak kritikal, takut mengemukan pandangan, berpeluk tubuh dan manjadi pak turut semata-mata. Sebaliknya mahasiswa perlu aktif, cerdas dan peka dengan semasa, barulah mereka boleh di gelar jantung hati negara dan rakyat malaysia, bahkan kehadiran mereka selaku mahasiswa di rasai oleh semua pihak."

"Mahasiswa menyokong pandangan Dato Saifudin Abdullah yang begitu rasional dan bebas dalam mengemukan pandangan. Walaupun beliau berada dalam posisi kerajaan dan juga parti politik "UMNO", namun beliau sangat terbuka dan menghormati HAK mahasiswa".-Ujar Shafie.

Program Soal Jawab di TV 3 semalam membincangkan "Wajarkah Mahasiswa menyertai parti Politik" .Panel jemputan semalam terdiri daripada Dato Saifuddin Abdullah Tim. Menteri KPT dan Mantan NC UiTM Tan Sri Ibrahim Abu Shah.-ProKite.

Baca seterusnya...

Mahasiswa dan Politik

Ramai aktivis mahasiswa tersenyum apabila Dato’ Saifuddin Abdullah melontarkan idea bagi membenarkan mahasiswa untuk terlibat dalam politik. Bagi sesetengah pihak, cadangan ini sudah pasti agak kontra kerana ia datang dari seorang pegawai kerajaan. Ibaratnya seperti menyerahkan leher kepada musuh untuk disembelih. Namun, saya berkeyakinan pandangan ini lahir dari kesedaran serta rasa tanggungjawab pemimpin.

Menyoroti semula perjuangan mahasiswa sebelum AUKU dikuatkuasakan, mahasiswa memainkan peranan penting sebagai ‘pressure group’ atau kumpulan pendesak kepada kerajaan. Pelbagai peristiwa memperlihatkan mahasiswa sentiasa bersama membela rakyat. Peristiwa ‘Hamid Tuah’ dan ‘Demonstrasi Baling’ misalnya memperlihatkan sikap dan perjuangan sebenar mahasiswa waktu itu.

Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Dunia juga melihat bagaimana mahasiswa beraksi sehingga berkemampuan untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Sebagai contoh di China, tokoh mahasiswa seperti Mao Tze Tung dan Li Ta Chao merupakan antara individu penting yang menyumbang kepada pembentukan sebuah negara republik di tanah besar China.

Justeru, saya melihat cadangan Dato’ Saifuddin ini suatu yang perlu disegerakan. Bahkan, usaha untuk menyekat mahasiswa dari berpolitik yang diperkenalkan melalui AUKU tidak seharusnya wujud sama sekali. Sebagai rakyat Malaysia yang sudah berumur 21 tahun,hak berpolitik itu sudah sedia terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, jaminan tersebut seharusnya difahami dan dihormati oleh semua pihak.

Kita juga seharusnya tidak terus hidup dalam penafian dan pembohongan ciptaan sendiri. Perlu diakui, parti-parti politik dalam negara sentiasa cuba untuk meraih simpati mahasiswa dalam kampus. Baik dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, persaingan untuk merebut sokongan dari mahasiswa terus berlaku. Jadi, apa perlu dan relevannya peraturan yang wujud dalam Seksyen 15 AUKU hari ini?

Suatu lagi kecelaruan yang ingin saya sentuh ialah layanan kelas kedua terhadap tuntutan berpolitik mahasiswa di universiti tempatan. Sikap ‘double standard’ itu jelas dengan kewujudan Kelab UMNO Luar Negara. Dalam satu keadaan, mahasiswa disuruh menghabiskan pengajian dahulu sebelum terjun ke dunia politik. Dalam satu keadaan lain pula, mahasiswa diberi galakan dan platform untuk berpartisipasi.

Sebaiknya, tali yang mengikat mahasiswa selama hampir 39 tahun ini dileraikan. Kembalikanlah semula hak mahasiswa yang dirampas sejak tahun 1971 itu. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa depannya sendiri. Saya percaya, jika pemimpin yang ada hari ini benar-benar ikhlas, tiada sebab mengapa mahasiswa tidak boleh berpolitik.

Syed Syafiq Syed Hashim
Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM

Baca seterusnya...

Jangan perbodohkan mahasiswa

Oleh: Mohd Shafie Hashim

Mahasiswa sekali lagi cuba diperbodohkan. Maruah mahasiswa ibarat di letak bawah tapak kasut. Langsung tidak diiktiraf dan dihormati.

Paling dikesali mereka terdiri daripada yang berjawatan tinggi, berkelulusan pendidikan tinggi namun kenyataan dan pandangan mereka terhadap entiti mahasiswa ini tidak melambangkan ciri-ciri kelimuan yang sebenar.

Pro M berpandangan Program Soal Jawab di TV3 sminggu lalu yang dibarisi oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas Naib Canselor Universiti Tan Sri Ibrahim Abu Shah sangat wajar diteruskan. Ia mengambarkan keterbukaan media untuk membincangkan persoalan hak di media arus utama.

Namun Pro M kesal dengan beberapa kenyataan Tan Sri Ibrahim yang ternyata penuh dengan prasangka negatif terhadap mahasiswa. Sesi soal jawab yang membincangkan "Wajarkah mahasiswa menyertai parti politik" itu mendedahkan kedangkalan Ibrahim dalam mebincangkan isu berkenaan.

Beliau memilih untuk menafikan hak mahasiswa untuk berpolitik. Katanya, biar habis dahulu belajar, kemudian baru boleh terlibat dalam politik.

Dalam masa yang sama beliau terlalu serkap jarang dengan mengatakan mahasiswa yang aktif di kampus adalah mereka yang anti -kerajaan (anti-establishment dan pro-pembangkang).

Pro M mencadangkan Ibrahim perlu kembali masuk belajar ke menara gading dalam bidang politik sehingga habis dan terjun dalam aktiviti kemahasiswa semula. Baru beliau akan faham dengan baik.

Ingin ditegaskan, universiti adalah medan ilmu dan medan untuk mempraktik, dan mengasah bakat kepimpinan mahasiswa dalam mengurus tadbir aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri.

Tidak cukup jika mereka hanya sekadar berhempas dalam bilik kuliah, berserabut dengan tugasan yang bertimbun-timbun, berseronok dikolej dan hanya menunggu keputusan di akhir pengajian.

Mahasiswa adalah pelaburan rakyat utnuk mereka ini pulang dan berbakti kepada rakyat dan negara satu hari nanti. Jika di alam kampus mereka sudah disekat untuk bebas berfikir atas kapasiti ilmu dan idelisma mereka sendiri, ini akan memandulkan nilai dan kehebatan mahasiswa itu sendiri.

Ibrahim perlu kembali memahami sejarah mahasiswa yang penuh dengan idealisma tersendiri. Sejarah dunia ini kebanyakannya di lakarkan oleh anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, idea, cita-cita, keazaman untuk melakukan perubahan.

Tidak timbul mahasiswa pro-kerajaan ataupun anti-kerajaan. Ini kerana perjuangan mahasiswa adalah untuk menutut keadilan dan hak itu ditegakkan.

Mahasiswa adalah agen ketiga yang menjadi suara ketiga dalam mengemukan pandangan dan idea tidak kira kepada mana-mana pihak sekalipun.

Pro-M setuju dengan Saifuddin yang mengatakan bahawa bukan persoalan mahasiswa mahu pilih parti politik mana, apa baik dan buruknya, apa kesannya terlibat dalam politik. Namun perkara asas yang perlu difikirkan bersama politik itu adalah hak mahasiswa, jadi mahasiswa berhak untuk terlibat dengan politik.

Baca seterusnya...

Apa hak UMNO nak tentukan kebebasan mahasiswa

Kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa sudah tiba masanya kepada kerajaan untuk menimbang kebenaran membenarkan mahasiswa di negara ini terlibat dalam politik dilihat suatu tindakan menongkah arus.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran dari peluang yang diberikan kepada guru-guru yang Gred DG41 hingga DG48 untuk bergiat aktif dalam politik. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan beberapa hari sebelum itu.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Datuk Saifuddin yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa tidak kita memberikan peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian.

Malah wujud juga pandangan dari pihak lain seperti Pergerakan Pemuda Umno agar mahasiswa dan pensyarah di IPT diberi hak yang sama untuk berpolitik.

Namun cadangan tersebut tidak disambut baik oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin. Baginya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) masih relevan.

Beliau yang berpendirian untuk tetap mengekang mahasiswa dari terus terlibat dengan politik menyanggah pendapat beberapa golongan yang ingin memberi kebebasan yang lebih kepada mahasiswa.

Beliau menyatakan bahawa universiti dikhuatiri akan menjadi 'gelanggang politik' sekaligus akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang.

Pendirian beliau jelas digambarkan melalui alasan yang telah diberikan.

"Kalau kita benarkan kedua-duanya (mahasiswa dan pensyarah) berpolitik, bayangkan jika pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya orang PAS, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh berlaku."

Beliau juga mengingatkan bahawa pandangan tersebut perlulah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

Beliau juga mengatakan biarkan keputusan ini dibincang di peringkat Majlis Tertinggi Umno dan pihak yang tidak berkaitan tidak perlu membuat desakan sebegitu.

Di sini saya ingin pertikaikan.

Siapakah Majlis Tertinggi Umno ini?

Apakah bidangkuasa Majlis Tertinggi Umno menjangkau kuasa meminda atau mentafsir Akta Universiti dan Kolej Universiti yang diluluskan oleh Parlimen?

Mengapa urusan kebebasan mahasiswa harus ditentukan oleh Majlis Tertinggi Umno?

Adakah ada pihak yang beranggapan mahasiswa ini milik Umno sepenuhnya?

Saya inginkan mahasiswa yang bebas. Bebas dari pengaruh mana-mana parti politik luar. Biarkan mahasiswa dengan politik mahasiswa sendiri.

Atas hasrat ingin memberi kelonggaran kepada mahasiswa, Auku 1971 diberi wajah baru dengan dilakukan beberapa pindaan pada tahun 2009.

Pindaan Auku ini dilihat 'modal besar' kepada pihak-pihak tertentu untuk dipuji dengan tindakan toleransi mereka terhadap mahasiswa.

Saya masih tidak nampak apakah perbezaan Auku dahulu jika dibanding Auku yang telah dipinda awal tahun 2009.

Setelah Auku dipinda berlaku pengheretan 2 mahasiswa UM yang dicas di bawah Auku (yang telah dipinda)hanya kerana menjemput seorang Adun Selangor ke Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM.

Setelah Auku dipinda juga berlaku 4 orang mahasiswa UKM dituduh di Mahkamah Universiti kerana berada di Hulu Selangor sewaktu kempen pilihanraya berlangsung.

Setelah Auku dipinda juga seorang mahasiswa KUIS ditarik pinjaman PTPTN sebagai tekanan kepada beliau kerana dituduh berkempen di Hulu Selangor.

Di sini boleh tanya adakah pindaan Auku terdahulu hanya kosmetik dan tidak memberi sebarang kesan terhadap Auku itu sendiri?

Dari sudut pandang sisi yang lain, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berusaha melahirkan produk insan yang hebat dalam pelbagai bidang.

Sistem serta bidang pengajian yang ditawarkan disajikan khas bagi mencapai hasrat tersebut.

Mahasiswa didedahkan dengan ilmu keusahawanan, ilmu kemahiran kendiri (soft skill) dan lain-lain penerapan ilmu yang berguna.

Tetapi malang ilmu politik seakan dianaktirikan dan seboleh mungkin dinafikan daripada mahasiswa.

Ilmu politik bukan hanya tertulis di atas nota-nota atau perlu dijawab sewaktu di dalam peperiksaan, ia perlu lebih dari itu.

Mahasiswa perlu menceburkan diri secara langsung ke arena politik. Kerana itu kebebasan perlu diberikan kepada mahasiswa dan jangan sesekali diugut atau ditakutkan mereka.

Jika benar mahu lahirkan mahasiswa yang segar jiwa dan celik pemikirannya, jangan sesekali dibenakkan mata hati mereka.

Dengan kebebasan, mahasiswa akan berani meneroka sesuatu. Dengan berpolitik mahasiswa akan tahu apakah makna politik yang sebenarnya.

Justeru usaha untuk terus menyekat mahasiswa adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Kementerian Pengajian Tinggi akan terus didesak agar menilai kembali Auku agar memastikannya ia dihapuskan agar akta ini tidak akan menjadi penghalang kepada mahasiswa.

Malah satu cabaran kepada Kementerian agar serius serta ikhlas memberi peluang kepada mahasiswa untuk berpolitik.

Politik mahasiswa adalah politik yang matang.


Mohamad Izzuddin Hilmi Universiti Malaya

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top