Ada Apa Dengan MAHASISWA..?

Jika disoroti beberapa dasawarsa yang lalu, tidak dapat dinafikan bahawa gerakan anak muda di Malaysia berada pada puncak perjuangan mereka. Bermula dengan aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan atau extramural activities oleh para pelajar Universiti Malaya sekitar tahun 1957-1958, gerakan mula berganjak kepada aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat mencabar seperti penubuhan Sudut Pidato ataupun Speaker's Corner pada 27 Mei 1966 di kampus Universiti Malaya, demonstrasi mengutuk pengeboman Hanoi-Haiphong oleh Amerika Syarikat pada 21 Julai 1966 d hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur,peristiwa Hamid Tuah 1967,demonstrasi anti-Tunku 1969,penyebaran manifesto mahasiswa 1969,demostrasi Tasek Utara 1974,demostrasi Baling 1974,Ops Kriket 1997,reformasi 1998, demonstrasi Selatan Thai 2009 hinggalah kepada demonstrasi Demokrasi Kampus 2010. (sekadar beberapa peristiwa)

"Dan bagi mereka penentangan kepada setiap keadaan yang tidak dapat mereka terima, sama ada keadaan itu lahir dari kerajaan, masyarakat umum atau pihak universiti sendiri, adalah satu hak yang sudah pun menjadi sebahagian dari tradisi mereka -TRADISI MENCABAR!" - Mahasiswa Menggugat, Prof. Muhammad Abu Bakar, 1971 -

"Politik kampus seterusnya menjadi aspek dan element penting dalam proses politik nasional. Dan hal ini seringkali berlaku dalam sejarah kegiatan pelajar-pelajar Universiti Malaya di mana mereka secara langsung atau tidak telah mempengaruhi proses pembangunan masyarakat dan negara. Yaitu ketika mana mahasiswa-mahasiswa tampil ke hadapan sebagai watch dog masyarakat, memberontak kepada setiap keadaan yang mereka anggap sebagai manifestasi ketidakadilan."- Mahasiswa Menggugat, Prof. Muhammad Abu Bakar, 1971 -

Kini sejarah tersebut hanya berdiri sebagai tinggalan seni usang yang terus menjadi tatapan berharga anak muda Malaysia yang tanpa rasa segan dan malu dengan perjuangan mereka pada hari ini. Segalanya sudah termaktub. Sejarah terus berlalu sebagai sebuah sejarah, tanpa kita mampu mengulangi sejarah tersebut.

Jika dahulu mahasiswa begitu gah dengan slogan "Mahasiswa Jurubicara Rakyat", kini mahasiswa hanya mampu berbangga dengan slogan "Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa". Jika dahulu para mahasiswa meletakkan martabat mereka ke tempat yang tertinggi hingga mampu berdialog dengan Perdana Menteri, hari ini mahasiswa hanya mampu berbangga dengan penyerahan memorandum kepada wakil Menteri Pengajian Tinggi.

Tuntas, di mana harus diletakkan tanggungjawab untuk kita kembali melestarikan nilai pengorbanan dan perjuangan anak muda yang bergelar mahasiswa di Malaysia kini.

Mahasiswa Wakil Rakyat

Mahasiswa pada hari ini harus bertindak dan bergerak sebagai wakil kepada rakyat. Usah dibiarkan masyarakat terus terkapai-kapai di dalam arus deras kebatilan yang melanda negara kita pada hari ini.

Menilai kembali seni perjuangan yang ditinggalkan oleh para pejuang anak muda terdahulu. Masyarakat dijadikan element utama di dalam agenda perjuangan mereka. Segala permasalahan yang melanda institusi kemasyarakatan menjadi antara aspek utama nilai perjuangan yang akan terus diangkat oleh anak muda mahasiswa pada ketika itu. Bermula dengan masalah bahasa kebangsaan, institusi masyarakat luar bandar, masalah pemilikan tanah, masalah perumahan dan penempatan hinggakan kepada permasalahan ekonomi masyarakat menjadi 'bahan mainan' di atas kanvas perjuangan mahasiswa.

Sebaliknya mahasiswa dekad kini hanya mampu untuk berpencak di lapangan kampus masing-masing sahaja tanpa menghiraukan permasalahan besar yang melanda masyarakat di negara kita pada hari ini.

Di mana mahasiswa ketika berlakunya permasalahan moral yang kritikal di kalangan muda-mudi Malaysia, di mana jari harus ditudingkan ketika kadar jenayah terus meningkat saban tahun walaupun indeks jenayah dikatakan mencatat menurunan 15.35 % menurut Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan apa peranan kita untuk memastikan prestasi ekonomi negara terus berada pada tahap yang stabil ketika inflasi terus meningkat kerana antara lainya, kenaikan cukai, seumpama kesan GST, penarikan subsidi seumpama bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik dan rakyat akan terus kehilangan kuasa membeli.

Segalanya harus dirobah segera! Mahasiswa harus kembali kepada peranan asal mereka. Sekarang bukan lagi masanya untuk kita terus-menerus melayan permasalahan remeh yang berlegar di lapangan kampus kecil kita sahaja, bahkan kita sudah perlu turun ke lapangan masyarakat yang begitu dahagakan sentuhan tajdid.

Kita Mencipta 'AUKU' Kedua

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mula dibonsaikan oleh pihak tertentu pada tahun 1971 dan dipinda dengan lebih bersifat draconian pada tahun 1974 telah banyak membantutkan pembangunan intelektual dan aktivisme mahasiswa Malaysia. Walaupun telah dipinda untuk yang sekian kalinya pada februari 2009 dan dikatakan lebih bersifat terbuka dengan aktivisme mahasiswa, namun ia hanyalah sekadar retorika dan bersifat kosmetik semata-mata. Hakikatnya mahasiswa masih terus-menerus menjadi takut dan gentar dengan sebuah lembaga yang bernama AUKU dan proses pembodohan ini semakin berjaya. Tahniah!

Namun hari ini segalanya menjadi semakin kejam ! Mahasiswa sendiri telah berusaha menggubal 'AUKU' kedua di kampus masing-masing. Gerakan mahasiswa sendiri telah memasung dan mentempurungkan gerakan mereka.

Gerakan mahasiswa pada hari ini dilihat gagal untuk mencipta ruang dan peluang bagi mengangkat nilai sebuah perjuangan dan pengorbanan. Ahli gerakan masih berada di posisi menunggu dan mengharap tanpa mahu berfikir, menjadi 'kreatif' dan membuat sesuatu tindakan yang bersifat 'X-factor' di dalam gerakan. Mungkinkah semua ini berpunca daripada tertutupnya pintu berfikir dan berijtihad di kalangan ahli gerakan?

Lebih membimbangkan lagi apabila terdapat segelintir ahli yang mengambil sikap berdiam diri, malas berfikir dan menggoyangkan kaki akibat keselesaan yang dikecapi hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pejuang terdahulu. Memalukan!

Natijahnya, perjuangan kita tidak akan mampu ke mana-mana. Masyarakat terus hampa menunggu sentuhan tajdid mahasiswa. Pihak-pihak tertentu terus-menerus mentertawa dan memandang sinis terhadap perjuangan kita yang pada mereka hanya bersifat pra-matang.

Kita pula terus-menerus dibuai mimpi di alam fantasi ciptaan kita sendiri. Selagi mana kotak pemikiran kita tidak dirobah, selagi mana nadi perjuangan kita tidak dipasak dengan iltizam yang kuat, selagi itulah gerakan anak muda pada hari ini akan terus dipandang sepi oleh masyarakat. Mungkin bagi kita perjuangan yang kita angkat selama ini merupakan sebuah karya yang agung, namun mungkin bagi masyarakat luar ia hanyalah sebuah 'penambah rasa' di dalam potret kehidupan ini.

'Jangan menjadi pemusnah kepada perjuangan yang telah kita angkat selama ini.'

Mahasiswa Untuk Dunia

Di dalam negara demokrasi, adalah penting di mana kebebasan akademik atau sekurang-kurangnya jaminan hak mahasiswa itu wujud. Keyakinan asas kita ialah mahasiswa itu sendiri cukup bijak untuk menentu dan memutuskan pandangan dunia (world view) mereka. Sebarang bentuk sekatan, termasuk akta dan akujanji hanya dilakukan oleh pemerintah autokratik yang harus ditentang.

Perjuangan untuk menjamin kebebasan akademik daripada cengkaman kuasa politik adalah wajib menjadi antara agenda anak muda. Bukan esok-esok. Bukan nanti-nanti, tetapi hari ini juga. Sekarang!

"Saya melihat dengan penuh bimbang tindak-tanduk pelajar-pelajar kita, kebanyakan daripada permintaan-permintaan yang mereka buat adalah baik dan patut diberi perhatian. Saya yakin bahawa pelajar-pelajar militan, radikal dan orang-orang muda boleh menjadi kuasa positif dalam membawa pembaikan yang radikal dan positif dalam masyarakat" - Presiden Marcos, mantan presiden Filipina -

"Sudah tentu hal ini lebih menyakinkan kita lagi bahawa kehadiran pelajar-pelajar dengan aktiviti-aktiviti politik mereka adalah satu peristiwa zaman yang penting bagi sesebuah masyarakat yang ingin dan sedang membangun. Apatah lagi jikalau difikirkan bahawa pelajar-pelajar aktivis, seperti aktivis-aktivis lain adalah manusia-manusia yang selalunya mimpikan masyarakat yang lebih adil, yang selalunya sanggup melakukan apa sahaja yang mereka percayai sebagai kebenaran, dan selalunya mempelajari kedudukan dan penderitaan rakyat dalam usaha memajukan mereka" - Pablo R. Jajalla, Phillippine Free Press -

"Pelajar-pelajar merupakan pengundi, orang dewasa yang masih muda, bakal pemimpin dan opinion maker masa hadapan..." - Dr. Hector Kinloch -


Ahmad Shukri Kamarudin
19 September 2010
Rembau, Negeri Sembilan

Baca seterusnya...

Merdeka : Sudut Pandang Anak Muda Malaysia

Nun di hadapan berdiri tegak tubuh-tubuh menongkah langit dengan keris yang menjulang. Hari itu menjadi saksi sejarah perjuangan, hadiah tidak ternilai kepada sebuah pengorbanan. Bergembiralah Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan Datuk Maharajalela. Bergembiralah Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Bakir dan Onn Jaafar. Bergembiralah segenap baka yang mewarnai perjuangan itu, rebah segala resah tatkala bergema kalimah Merdeka!

Namun hari ini segalanya termaktub di dalam lembaran, hikayat dan sejarah. Bait-bait yang membentuk ceritera-ceritera perjuangan kemerdekaan berseni sebagai tinggalan usang. Cakerawala sangat gundah semakin dingin dibawa arus kemajuan. Lantas pesta 31 Ogos seakan-akan jasad kosong yang tidak berjiwa dek kerana bayang-bayang hitam yang membenam dan membunuh roh 1957.

Anak kecil terbiar di jalanan. Pemuda, pemudi bermain dengan maruah seakan-akan mainan. Fitnah mencaci, fitnah menganiaya menjadi rutin kehidupan. Inilah fantasi rekaan barat yang diterima sebagai anutan !

Andai Tuhan menyingkap tirai kehidupan hari ini, lantas dipamerkan kepada mereka yang telah tiada, pasti sebak jiwa mereka dengan kekesalan, tersentak perasaan dengan seribu kekecewaan. Adakah ini generasi mereka ? Apa salah mereka hingga ini menjadi natijah ? Atau ini sememangnya hadiah yang tidak berperikemanusiaan, atau lumrah zaman yang sememangnya kejam. Apakah ini sebenarnya refleksi sebuah Kemerdekaan ?

Namun harus diingat, segalanya bermula pada hari itu. Kemerdekaan yang disanjung, kemerdekaan yang ditatang dan kemerdekaan yang di perjuangkan, adakah ini semua mempunyai sebuah nilai yang tidak terhingga ?

Ayuh kita nilai kembali apresiasi sebuah kemerdekaan yang kini dilihat seakan-akan sudah tidak bermaruah buat anak bangsa Malaysia. Mari kita singgap sejenak nilai kemerdekaan yang telah diperjuangkan dengan kudrat dan darah oleh bangsa terdahulu dan kini ia semakin dipandang sepi oleh anak muda pasca kemodenan.

Sejarah Kemerdekaan Menyembunyikan Tokoh-Tokoh Tertentu

Tidak dinafikan di dalam lembaran-lembaran dan hikayat sejarah perjuangan dan kemerdekaan negara, ia pernah dibasahi dengan darah dan keringat pejuang-pejuang terdahulu. Namun begitu malang sekali apabila terdapat beberapa batang tubuh tokoh perjuangan kemerdekaan yang cuba untuk disembunyikan daripada tatapan dan pandangan masyarakat umum.

Pasca tahun 1945 hingga tahun 1948, ketika pertembungan sengit antara bangsa Melayu dan pihak British, ada sosok tubuh tokoh-tokoh tertentu yang begitu hebat memerah kudrat bagi meraih kemerdekaan Tanah Melayu. Namun di mana letaknya nama-nama mereka di dalam lembaran-lembaran dan teks-teks sejarah negara di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat universiti. Di mana letaknya nama-nama tokoh kemerdekaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad, Ibrahim Hj Yakob mahupun Shamsiah Fakeh di dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu ?

Mungkin ada nama-nama mereka yang diselitkan di dalam lembaran sejarah kemerdekaan negara namun apakah cerita yang disampaikan mengenai mereka ? Adakah hak-hak mereka telah diadili dengan sebenarnya di dalam ceritera sejarah negara kita ?

Hinggakan adik-adik di peringkat sekolah menengah, bahkan anak muda-anak muda di peringkat universiti tidak mengenali siapakah tokoh kemerdekaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir mahupun Ahmad Boestaman. Apabila disebutkan nama tokoh-tokoh kemerdekaan ini, jiwa generasi muda kita tidak tersentuh, hati mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh tersebut.

Mungkin juga nama-nama mereka cuba disembunyikan daripada tatapan umum kerana mereka bukanlah se-bahtera dengan mereka yang kononnya sebagai pemencak utama di dalam lapangan kemerdekaan. Ataupun nama mereka cuba disembunyikan kerana ada cerita sebenar mengenai kemerdekaan negara kita yang cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Jika benar kemerdekaan negara kita ini suci, jika benar kemerdekan negara kita ini bermaruah, jika benar kemerdekaan negara kita ini bernilai, mengapa perlu ada tokoh-tokoh yang cuba disembunyikan daripada tatapan masyarakat umum ?

Sejarah Kemerdekaan Mencemarkan Bangsa Melayu

Persepsi ini mudah. Ayuh kita buka dan lihat lembaran-lembaran sejarah kemerdekaan, teks-teks sejarah di peringkat sekolah menengah, video-video kemerdekaan dan kita lihat berapa ramai bangsa Melayu yang memenuhi stadium-stadium, yang membanjiri padang-padang, yang mendengar di corong-corong radio sambil mendengar dan menyambut laungan Merdeka dan kita lihat siapa yang berada di atas pentas pengisytiharan kemerdekaan.

Mengapa masih ada seorang bangsa yang berkulit putih, yang bertopi putih duduk di atas pentas kemerdekaan sambil memerhatikan Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat Merdeka dari belakang dan melihat bangsa Melayu yang duduk di bawah. Cukup simbolik !

Adakah benar negara kita sudah merdeka ? Jika benar negara kita sudah merdeka, halau sahaja si kulit putih itu dari atas pentas kemerdekaan. Namun ia tidak berlaku. Si kulit putih itu tetap berada di atas pentas kemerdekaan, gambar-gambar dan hikayatnya telah tercatat di dalam lembaran sejarah negara kita dan 20 tahun akan datang, 30 tahun akan datang si kulit putih itu akan tetap akan berada di dalam sejarah kemerdekaan negara kita.

Cukup ironis. Persoalannya, di mana nilai sebenar kemerdekaan negara kita?

Kemerdekaan Menjatuhkan Maruah Pejuang Terdahulu

Kita sering kali mendengar nama-nama tokoh pejuang terdahulu seperti Bendahara Paduka Raja, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Datuk Bahaman yang sering menggunakan kalimah, "akan mempertahankan tanah ini hingga titisan darah yang terakhir".

Biar dada tembus dengan tombak penjajah, biar badan dihujani peluru musuh, tanah ini akan tetap dipertahankan walau cuma seinci. Begitu suci dan mulia perjuangan dan pengorbanan mereka.

Namun tahun telah beralih, zaman juga sudah semakin maju hinggalah ke pasca tahun 1957. Jiwa perjuangan telah banyak berubah. Toleransi demi toleransi, diplomasi demi diplomasi telah banyak mewarnai kancah perjuangan kemerdekaan pada ketika itu hingga generasi muda seakan-akan alpa apa sebenar erti sebuah perjuangan. Namun hakikatnya, toleransi yang di garap telah melampaui batas-batas perjuangan.

Mereka bertoleransi dengan golongan yang dahulunya telah membunuh pejuang-pejuang yang lampau. Mereka bertoleransi dengan golongan yang dahulunya telah menghalau pejuang-pejuang terdahulu. Lalu kemerdekaan diterima dengan cara yang amat mudah daripada tangan-tangan kotor tersebut. Inilah potret perjuangan 1957.

Juga persoalan ingin diungkapkan. Apa nilai sebenar kemerdekaan negara kita ?

Signifikan Kemerdekaan Yang Memalukan Negara

Usah bicara soal kebebasan, usah bicara soal demokrasi, usah bicara soal hak-hak individu, usah bicara soal keadilan, usah bicara soal autonomi universiti, usah bicara soal kebebasan akademik jika kemerdekaan yang kita perjuang dan pertahankan selama ini tidak melambangkan erti sebenar sebuah kemerdekaan.

Kemerdekaan sendiri telah menutup ruang kebebasan, kemerdekaan sendiri telah memalukan bangsa Melayu dan kemerdekaan sendiri telah mencemarkan nilainya. Jangan diharap bulan jatuh ke riba, selagi adanya satu 'bayang-bayang" yang telah mengotori sistem negara ini tidak kita musnahkan, selagi itu kemerdekaan hanya akan tinggal sebagai kemerdekaan !

Buat para anak muda Malaysia, segala yang diungkapkan di dalam hikayat ini bukanlah antipati sebenar sebuah kemerdekaan negara kita namun ia hanyalah satu garapan idea dari sisi pandang yang sedikit berbeza yang seharusnya kita kupas bersama dan kita sebagai anak muda semestinya harus memikirkan apa yang seharusnya kita lakukan demi menjamin eksistensi perjuangan dan pengorbanan bagi meneruskan nafas sebuah keMERDEKAan.


Ahmad Shukri Kamarudin
Bandar Seri Putra, Bangi.

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top