Bendung Gejala Sosial dengan Pendidikan Islam

KUALA LUMPUR, 28 April: “Setuju mata pelajaran pendidikan seks tidak diajar di sekolah sebagai pendidikan khas,” kata Presiden Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM), Mohd Syahid Mohd Zaini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi kelmarin mengenai keputusan Kementerian Pelajaran untuk tidak melaksanakan pendidikan seks di sekolah.

Namun menurut beliau lagi yang juga Exco MPMUM Sesi 2009/2010, apa yang dikesalkan, silibus Pengajian Islam di sekolah-sekolah masih tidak mampu untuk memahirkan pelajar perkara yang berkaitan dengan rukun Islam seperti solat, zakat, puasa, haji serta amalan lain seperti membaca al Quran, menutup aurat dan lain-lain lagi.

Katanya, hanya penerapan ajaran dan pendidikan Islam secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah mampu membendung gejala maksiat dan zina.

“Jadi penyelesaian paling 'mujarab' untuk membendung gejala sosial adalah menumpukan pendidikan Islam, bukannya melalui pendidikan seks. Ajaran Islam patut diutamakan dalam setiap aspek,” ujarnya.

Bendahari PMAPIUM, Muhammad Rusydan Muhammad Ruslan pula berkata, subjek khas pendidikan seks tidak mampu menyelesaikan masalah gejala sosial yang berlaku khususnya masalah zina, maksiat, rogol dan pembuangan bayi.

“Pendidikan seks hanya mengenalkan remaja tentang persoalan seks dan masalahnya sahaja tetapi tidak dapat memahamkan persoalan hukum berkaitan dengan seks. Kita mengetahui remaja pada hari ini sangat jahil terhadap agama,” katanya.

Katanya, kebanyakan kes yang berlaku seperti zina dan pergaulan bebas adalah berpunca dari kejahilan mereka terhadap agama seperti hukum halal dan haram.

“Remaja sekarang menganggap persoalan aurat dan pergaulan bebas adalah perkara remeh dan tidak penting,” ujarnya.

Nur Dalilah Mokhtar turut bersetuju dengan kementerian supaya tidak melaksanakannya.

“Ini disebabkan, sudah tentu acuan kita tidak sama dengan acuan sekular Barat kerana sistem nilai kita yang berbeza.

“Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan itu,” katanya.

Baginya, yang pasti teknik pengajaran serta intipati pembelajaran untuk memberi panduan safe sex adalah berbeza dengan matlamat untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang.

Baca seterusnya...

Pendirian Gamis Mengenai Kes Aminulrasyid

PENDIRIAN DAN KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID

Pendahuluan

Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah, 15 tahun, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media telah melaporkan bahawa remaja terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun, namun perkara ini dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda untuk melarikan diri dan polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang seterusnya membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta ketika kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, rakan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar sebuah kenderaan lain dan terus memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi utama ini juga melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 9, beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.

Pendirian GAMIS :

Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan walaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana yang masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam dan meragut nyawa. Kemungkinan dari kes ini akan menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat dan terancam walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan sesuatu isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, perkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesan agar kita kita membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan, bahkan masih ada yang belum dapat diselesaikan sehingga kini. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid ini, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.

Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Gamisdaily

Baca seterusnya...

Mahasiswa Kecam Tindakan Polis Bunuh Aminulrasyid

27 April: Kesalahan Bush membunuh umat Islam memang tidak dapat dimaafkan. Kejahatan Ariel Sharon menyembelih umat Islam sangat menyayat hati.


Namun apakah yang lebih kejam apabila seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh Polis Raja di Malaysia (PDRM) atas kesalahan yang belum pasti lagi?

Begitulah nasib malang yang menimpa adik Aminulrasyid yang mati ditembak pada awal pagi Isnin di Seksyen 11, Shah Alam.

Luluh hati seorang ibu melihat anak yang dikandung selama 9 bulan itu akhirnya menemui ajal dalam keadaan sedemikian.

Tambah memeritkan ia bukan dilakukan oleh penjenayah, ia dilakukan oleh anggota polis! Pasti hancur hati ibu tersebut.

Mahasiswa berasa sangat kesal bagaimana kejadian sebegini boleh berlaku. Jika perkara sebegini boleh berlaku, masih berkreadibilitikah polis Malaysia ini?

Mahasiswa tidak akan berdiam diri dalam hal ini. Mahasiswa menuntut kes ini diadili dengan telus.

“Kami menuntut supaya kes ini diadili sewajarnya. Kes ini melibatkan nyawa dan keadilan. Jika kes ini tidak diadili sewajarnya, pasti negara luar akan memandang serong terhadap keselamatan Malaysia seterusnya menjejaskan status Malaysia dipersada dunia” kata Mohd Fadzil, timbalan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

Manakala Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), melalui pengerusinya, saudara Shazni Munir mengatakan Mahasiswa akan turun bersama rakyat Malaysia menuntut keadilan jika kes ini tidak diadili sewajarnya.

“Kita meminta kes ini diadili dengan telus dan adil. Jika tidak, kami (mahasiswa) akan turun bersama rakyat Malaysia bagi menuntut keadilan kematian adik Aminulrasyid” tegas beliau.

Beliau juga mempersoalkan sejauh mana kuasa polis dalam undang-undang.

“Adakah polis boleh menembak sesiapa sahaja yang mereka suka? Tidakkah undang-undang dicipta untuk melindungi. Bukan untuk diguna sesuka hati oleh pihak-pihak tertentu” katanya lagi.

Mahasiswakini

Anak saya bukan seorang penjenayah - Norsiah

SHAH ALAM 27 April - Ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11 di sini awal pagi semalam, mahu pasukan itu melakukan siasatan secara telus dan adil serta tidak melindungi sesiapa bersalah.

Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, yang masih lagi sedih dengan kejadian menimpa anaknya itu, juga menegaskan bahawa anaknya bukan penjenayah seperti dilaporkan oleh media.

Sebagai seorang ibu, dia lebih arif tentang sikap dan tingkah laku Allahyarham yang bersopan santun serta menghormati orang lebih tua.

"Malah kami bukan daripada keluarga penjenayah. Saya akan berbincang dengan ahli keluarga lain bagi melantik peguam untuk tindakan selanjutnya agar anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya juga mahu pihak polis menjalankan siasatan telus dan tidak melindungi anggota-anggota polis peronda yang terlibat dalam insiden tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu, terbunuh apabila terkena tembakan polis setelah mangsa dan rakannya yang menaiki kereta Proton Iswara cuba ditahan polis kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Norsiah berkata, dia mendapat tahu anaknya keluar rumah secara senyap menggunakan kereta kakaknya untuk menonton perlawanan bola sepak di Seksyen 7 di sini.

Namun katanya, rakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta itu memberitahu, dalam perjalanan pulang mereka sempat membantu rakan yang kerosakan motosikal di Seksyen 2.

Katanya lagi, malangnya selepas itu, kereta mereka terlanggar pula sebuah kereta Mercedez-Benz.

"Mereka panik kerana tiada lesen memandu lalu terus memecut laju menyebabkan beberapa buah motosikal mengejar kereta anak saya hingga bergesel dengan salah sebuah motosikal tersebut.

"Tiba-tiba mereka bertembung dengan sebuah kereta polis... Disebabkan takut mereka terus memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, polis yang mengejar kereta itu telah melepaskan tembakan dan mengenai salah satu tayar manakala satu das lagi menembusi cermin dan belakang kepala anaknya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya melepaskan stereng kereta dan rebah ke pangkuan rakannya di sebelah, lalu menyebabkan kereta itu terus bergerak sebelum terbabas di dalam longkang.

"Oleh itu, saya meragui dengan kenyataan polis bahawa tembakan dilepaskan kerana kereta itu mengundur dan cuba merempuh anggota polis berkenaan," ujar beliau.

Seorang ahli kariah surau Seksyen 11 yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian tersebut memang mengejutkan penduduk kerana arwah kerap mengunjungi surau tersebut

"Dia kawan anak saya dan bukan budak rempit. Apabila polis mengesyaki arwah penjenayah, kami mengenali arwah sangat terluka dengan kenyataan itu kerana dia budak yang sangat baik, bukan seperti didakwa," ujarnya pula.

Guru Aminulrasyid yang enggan dikenali berkata, anak muridnya itu seorang pelajar ceria, mesra dan menghormati guru-guru serta aktif dalam kegiatan kokurikulum selain mewakili daerah Petaling Jaya dalam pertandingan bola sepak.

Utusan Malaysia

Baca seterusnya...

Gamis Bantah Kehadiran Tony Blair

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) membantah sekeras-kerasnya kehadiran penjenayah perang, Tony Blair ke Malaysia.

Menurut sumber, sebuah syarikat Success Resources berpengkalan di Singapura dan juga beroperasi di Malaysia akan menjemput bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menyampaikan ceramah di National Achieves Congress 2010 Pada 24 hb April 2010 .

GAMIS memandang serius jemputan penjenayah perang tersebut kerana ianya seolah-olah penghinaan kepada pencinta keamanan di seluruh dunia.

Menurut Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, penghormatan terhadap Blair sebagai penceramah dalam kongres tersebut seolah-olah menunjukkan betapa pihak penganjur tidak sensitif terhadap penderitaan berjuta rakyat Iraq, mangsa yang tidak bersalah akibat tindakan jenayahnya dan perasaan rakyat Malaysia yang menyokong mereka sepenuhnya.

Bantahan ini dibuat atas dasar Blair adalah penjenayah dan pembunuh besar kerana bersekongkol dengan bekas Presiden Amerikat Syarikat , George Bush yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan pencerobohan ke atas Iraq .

“Dalam keadaan hati rakyat Malaysia yang masih luka dengan penglibatan syarikat Yahudi APCO Worldwide dan Asiasoft dalam pentadbiran negara serta pendirian Perdana Menteri selepas bertemu Barack Obama berkaitan Afghanistan dan Iran, isu ini seolah-olah menambah luka di hati kita. Pihak Success Resources seolah-olah tidak memandang kepada sensitiviti rakyat ini serta pejuang keamanan seluruh dunia. Tony Blair sepatutnya berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas jenayah kejam yang dilakukan olehnya, bukan mendapat penghormatan sebegini,” kata Mohd Idris.

Justeru, GAMIS, NGO mahasiswa Islam yang turut berpendirian dengan NGO-NGO yang bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa agar pihak penganjur membatalkan syarahan itu bagi menghormati permintaan dan perasaan rakyat Malaysia dan menyeru orang ramai supaya mengadakan demonstrasi terhadap kunjungan Blair.

Kepada mereka yang mampu untuk mendekati Blair diseru untuk menguatkuasakan tangkapan ke atas beliau kerana tindakan beliau melakukan jenayah kemanusiaan. GAMIS turut menggesa pihak kerajaan Malaysia agar mengharamkan penjenayah perang seperti Blair dan Bush daripada memasuki Malaysia.

Blair dikecam di seluruh dunia semenjak pencerobohan Amerika Syarikat-Britain terhadap Iraq pada tahun 2003 yang telah mengakibatkan kekejaman terhadap rakyat Iraq dan kemusnahan sepenuhnya tanah air mereka.

Lebih daripada 1 juta orang mati akibat daripada perang itu. Hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal, 2.7 juta di dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah.

-Gamisdaily

Baca seterusnya...

“Bawa Kembali Roh Universiti” - Saifuddin Abdullah

UNIVERSITI MALAYA, 15 April, 8.00 am: “Kita kena bawa kembali roh universiti,” ujar Dato' Saifuddin bin Abdullah, Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi dalam pidatonya di majlis Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia yang berlangsung di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (FSSSUM).

Beliau merupakan salah seorang dari ahli panel program tersebut yang diadakan sempena pelancaran Universiti Malaya Centre of Democracy and Election (UMCEDEL) menyifatkan semangat pindaan AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti) masih belum difahami oleh semua orang.

Forum tersebut antara lain bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa untuk menilai sendiri kesedaran berpolitik dan kesedaran dalam pentingnya menjadi penegur kepada kerajaan dikalangan mahasiswa universiti kini.

“Kalau nak difikirkan dalam AUKU hanya ada tiga perkara yang tak boleh, pertama tak boleh menjadi ahli politik, kedua tak boleh menjadi ahli kesatuan sekerja, ketiga tak boleh menyertai pertubuhan yang disenaraikan oleh Menteri (Menteri Kementerian Pengajian Tinggi) tak boleh.”

Baca seterusnya...

“Saya Tidak Berpuas Hati Terhadap AUKU” – Dato’ Saifuddin Abdullah

Universiti Malaya 14 Apr - Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin bin Abdullah hari ini menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kenyataan tersebut diucapkan ketika Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia sempena pelancaran UM Centre of Democracy & Election (UMCEDEL) yang berlangsung di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

“Sebenarnya AUKU ini sudah 1 tahun 2 bulan digazetkan kepada AUKU pindaan baru, tapi saya pun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan yang ada.” Katanya.

Beliau juga berkata, hakikatnya tidak banyak sekatan di dalam AUKU yang dikenakan kepada mahasiswa, kecuali hanya terhadap tiga perkara iaitu menjadi ahli kepada parti politik, menjadi ahli kesatuan sekerja dan menjadi ahli atau memberi sokongan kepada pertubuhan yang disenarai hitamkan oleh pihak Menteri.

“Hal ini bergantung kepada tafsiran terhadap AUKU itu sendiri.” ujar beliau.

Tambahan beliau, pihak menteri juga tidak berhajat untuk menyenarai hitamkan mana-mana pertubuhan daripada mendapat keterlibatan mahasiswa.

Berkenaan dengan sekatan-sekatan terhadap aktiviti yang dijalankan di dalam universiti yang melibatkan orang luar seperti pihak pembangkang, beliau mengatakan bahawa tidak sepatutnya wujud sekatan sedemikian.

“Saya sebenarnya sudah memberitahu pihak universiti, mahasiswa dibenarkan panggil mana-mana wakil daripada pihak pembangkang dan kerajaan. Kalau ada yang halang, beritahu saya.” tegas beliau.

Beliau juga memberi amaran supaya pihak universiti tidak menghalang keterlibatan mahasiswa dan masyarakat sekalipun dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Jangan lupa bahawa universiti juga guna duit rakyat.” katanya.

Forum yang dihadiri hampir 200 orang mahasiswa itu dianggap merupakan titik permulaan dalam membangunkan kesedaran politik anak muda di samping mengembalikan semula roh universiti dalam menjunjung tradisi keilmuan.

-umtoday

Baca seterusnya...

Jadual Terbaru 'Shuttle bus'...


Akhirnya, tidak sia-sia perjuangan MPP lalu hinggalah MPP kini, yang kesinambungannya diperjuangkan oleh Sdri Paezah Andilala, Exco 3K MPP Pro-Mahasiswa.

Bagi mahasiswi Mutiara, perkhidmatan bas yang diperuntukkan hanyalah perjalanan ke kampus dengan penjadualan yang seperti biasa. Akan tetapi, sekiranya mahasiswi mutiara ingin ke bandar, perlu menaiki 'shuttle-bus' dari kampus. Walaupun, isu mahasiswi mutiara pernah beberapa kali dibangkitkan, untuk mendapatkan kemudahan 'shuttle-bus' Mutiara-UK, ia ditolak oleh pihak UMS. Alasan yang diberikan adalah supaya tidak berlaku 'double-standard' kemudahan bas dikalangan mahasiswi Mutiara yang sebenarnya pembayaran yuran perkhidmatan bas adalah sama nilainya dengan Mahasiswa lain yang tinggal di kampus.

Jika kita melihat rentetannya, sejak dari awal pemerintahan mpp lalu sehingga kini, selepas segala macam tohmahan dirasai, bermula dari borang kaji selidik terhadap selera mahasiswa tentang isu bas, kemudian kertas kerja, dan laporan demi laporan dibuat mengenai isu 'shuttle-bus', yang kemudiannya diserahkan pada ramai pihak pentadbiran UMSKAL, tetap tiada penyelesaian konkrit.

Akhirnya selepas laporan diserahkan oleh Sdri. Paezah, Exco 3K MPP pada 24 Mac 2010 yang lalu kepada TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Yg Berusaha Prof Madya Dr Hj Kassim Md Mansur. Jawapannya menyedapkan hati kita. Kini, penjadualan 'shuttle-bus' lebih sistematik. Mahasiswa perlu manfaatkan kemudahan yang ada. Ayuh! kita perhatikan pelaksanaannya...

"Mahasiswa mesti PEKA...!"

Baca seterusnya...

Parlimen Mahasiswa Medan Bincang Mahasiswa, Pemerintah - Shafie

Parlimen mahasiswa hampir dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Shafie Hashim berkata parlimen mahasiswa wajar diwujudkan untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk menggerakkan aktiviti kemahasiswaan mengikut acuan idealisme mahasiswa sendiri.

Beliau berkata demikian kepada Mahasiswakini ketika menghadiri pertemuan khas bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Pro-Mahasiswa di Petaling Jaya semalam.

"Namun kita risau, parlimen mahasiswa yang diwujudkan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) baru-baru ini, bukan parlimen yang sebenar. Sebab dalam parlimen ciptaan KPT ini masih lagi menyekat mahasiswa untuk membuat keputusan dalam semua perkara termasuk isu yang berkaitan pentadbiran universiti dan politik tanah air," ujarnya.

"Jika benar hendak wujudkan parlimen mahasiswa, tak cukup setakat bincang tentang "marilah membaca" atau "makanlah buah-buah tempatan" tapi biarlah bertindak sebagai medan perbincangan mahasiswa dan pemerintah. Jika tidak ia masih belum wajar digelar parlimen mahasiswa.

"Kalau masih nak mengekang kebebasan bersuara mahasiswa, saya anggap ia parlimen budak-budak tadika yang bersifat boneka dan kosmetik. Secara tidak sedar mahasiswa dijadikan seperti lembu dicucuk hidung," ambahnya.

Kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa yang diserahkan oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan 7 Januari lalu, bakal dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Sementara itu, Shafie juga menyeru seluruh mahasiswa agar bersama-sama terlibat di dalam pilihan raya kecil (PRK) P.94 Hulu Selangor.

"Ini juga adalah sebagai medan latihan sebelum kita meneruskan agenda parlimen mahasiswa," ujarnya.

-Mahasiswakini

Baca seterusnya...

Pinda Perlembagaan Universiti untuk Parlimen Mahasiswa

Pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata proses pindaan perlembagaan yang membabitkan 18 universiti awam itu kini pada peringkat akhir.

“Untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa, kita perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti. Perkara ini kini berada pada peringkat Peguam Negara,” katanya selepas melancarkan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku).

Pada 7 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul, telah menyerahkan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa itu dicadangkan golongan mahasiswa yang mahu satu saluran bagi menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihati golongan mahasiswa supaya tidak terbabit berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

“Kita akan memantau supaya golongan mahasiswa tidak turut serta dalam kempen pilihan raya itu,” katanya.

- Bernama

Baca seterusnya...

SMM Selar Keterlibatan APCO dalam Kerajaan

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyelar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Najib kerana membuat perjanjian dengan APCO. Satu badan firma Israel yang dikatakan membantu kerajaan persekutuan dalam meningkatkan imej Malaysia.

Ia berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan, “Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. untuk melaksanakn perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh. APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara.”

Sehingga kini, Perdana Menteri masih membisu dalam hal terpenting ini. Sejauh mana APCO terlibat dalam pentadiran kerajaan persekutuan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saudara Shazni Munir ketika memberi reaksi mengenai isu ini memberitahu tindakan kerajaan ini adalah satu penghinaan kepada anak tempatan.

“Perjanjian dengan APCO ialah satu penghinaan kerajaan kepada kebolehan anak tempatan untuk mengurus imej negara,” tegas beliau.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Malaysia sebagai sebuah Negara Islam membuat perjanjian dengan APCO yang secara terang-terangan mempunyai kaitan dengan kerajaan haram Israel.

“Tambahan pula, APCO secara jelas mempunyai perkaitan dengan kerajaan haram Israel. Kita pun tidak tahu sejauh mana rahsia-rahsia sulit Negara telah terbongkar dalam proses perlaksanaan perjanjian tersebut” ujarnya lagi.

Justeru, mahasiswa menuntut agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abd Razak membuat penjelasan mengenai isu APCO ini. Sejauh mana penglibatan APCO dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

Mahasiswa juga menuntut agar perjanjian APCO segera dihentikan demi keselamatan dan masa hadapan Negara sendiri. Mahasiswa tidak mahu Malaysia mempunyai kaitan sama sekali dengan kerajaan haram Israel.

Mahasiswakini

Baca seterusnya...

APCO - Prinsip dan Maruah

Negara pada hari ini panas membincangkan isu sebuah perunding komunikasi yang dikaitkan dengan syarikat yang dimiliki oleh rejim zoinis Israel. Malaysia dikatakan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara diperingkat antarabangsa.

Dalam satu sudut pandang, ianya nampak positif iaitu untuk menarik pelabur asing masuk ke dalam negara kita. Namun pada hakikatnya, kita tidak bersetuju dengan syarikat perunding berkenaan disebabkan secara jelasnya ia dimiliki oleh golongan Yahudi yang sememangnya menjadi musuh ummat Islam.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke-120:

"Tidak akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada ummat Islam sehingga mana kamu tidak mengikut agama yang dibawanya …”

Pada mulanya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menimbulkan polemik yang tersendiri di kalangan rakyat. Namun selepas beberapa hari daripada itu, maka pengakuan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin sendiri mengesahkan bahawa jumlah yang dibayar kepada syarikat perunding berkenaan ialah sebanyak RM76.5 juta.

Kami di peringkat mahasiswa merasa sungguh kecewa dengan berita tersebut kerana ia melibatkan maruah negara dan agama Islam. Mana tidaknya, kita mengisytihar negara ini sebagai Negara Islam, namun sebaliknya kita berkompromi dan menggunakan khidmat musuh Islam yang nyata telah menyembelih adik-beradik Islam kita yang berada di Palestin.

Perkara ini secara tuntasnya akan menimbulkan kemarahan masyarakat khususnya ummat Islam kerana kita pada awal lagi tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, namun apa yang berlaku sebaliknya kita bersetuju dan menggunakan syarikat yang datangnya daripada Israel sendiri. Mana prinsip dan maruah kita? Buktinya jelas bahawa syarkat ini adalah antara penyumbang kepada kewangan Israel:

"Its CEO in Israel, Gad Ben-Ari, was a personal adviser of the late PM Yishak RabinAlso, the relationship between Israel and APCO is more than merely having an office in Tel Aviv. APCO’s activities in the Zionist state go beyond the civilian sectors”

Jumlah bayaran RM76.82juta juga menjadi persoalannya. Perbelanjaan yang banyak ini tidak dinyatakan dan dimaklumkan kepada rakyat khususnya dan hanya dimaklumkan selepas ditanya didalam dewan rakyat selepas isu ini timbul. Rakyat membayar cukai bukan kepada kerajaan bukan untuk dibelanjakan kepada sebuah syarikat zionis, tetapi rakyat mengharapkan ianya (hasil cukai) digunakan untuk manfaat rakyat yang lain. Namun akhirnya duit itu menjadi pembiaya utama kepada Israel yang semakin bengis dan rakus membunuh ummat Islam di Palestin.

Dengan jumlah hampir RM77 juta itu, kerajaan mampu memberikan biasiswa kepada lebih 4000 mahasiswa sekiranya duit itu dibelanjakan untuk membina modal insan yang boleh mencorakkan imej Negara dengan lebih baik berbanding syarikat perunding. Mana keutamaan kita untuk membangunkan modal insan yang boleh berbakti kepada Negara atau hanya membersihkan imej untuk kepentingan politik dalam masa yang singkat sahaja?

Ternyata dengan timbulnya isu ini, kami(mahasiswa) tidak akan berdiam diri sehinggalah kerajaan membatalkan perjanjian dengan syarikat berkenaan demi menjaga maruah dan nama kita kerana ia jelas melanggar prinsip dan teras dalam perhubungan kita dengan pihak luar.

Persoalan yang saya timbulkan ialah, kenapa perlu melantik sebuah syarikat perunding komunikasi sedangkan kita telah berbelanja besar untuk membayar duta-duta kita keseluruh negara yang mempunyai hubungan dengan kita? Apa fungsi duta kita? Bukan sekadar itu, kita pula melantik syarikat yang datangnya dari negara yang lansung tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Kami tidak HALALKAN cukai yang dibayar kepada kerajaan itu sebagai saluran bayaran membiayai syarikat zionis itu. Hentikan, tamatkan dan putuskan apa jua perundingan dan perkhidmatan yang melibatkan syarikat zionis tersebut!

Jangan menggadaikan maruah negara sebegitu mudah. Kita kenal siapa Israel. Kita kenal siapa zionis. Justeru saya menyeru seluruh mahasiswa sedar untuk bangkit menyatakan bantahan terhadap syarikat APCO ini. Ini bukan soal politik,bukan soal kaum mahupun bangsa tapi soal maruah dan keselamatan negara. Kami rela gadaikan parti politik demi keamanan negara dan agama Islam terus terjaga.

"Kami tidak rela duit kami dibayar untuk MEMBUNUH adik-beradik kami di Palestin."

p/s: Penulis merupakan presiden PMIUM sesi 2010/2011

Baca seterusnya...

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 2 Sesi 2009/2010


PRO-MAHASISWA mengucapkan
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN
buat semua mahasiswa/i UMSKAL...

Jadikan peperiksaan ini sebagai penilai kefahaman kita mengenai ilmu yang telah dikutip sepanjang semester ini.

SEMOGA BERJAYA!

Baca seterusnya...

GAMIS Bantah Pendirian Najib Isu Afghanistan

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memandang serius keputusan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menghantar bantuan ke Afghanistan setelah mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

GAMIS memandang isu ini perlu diberi perhatian, tindakan tersebut agak terburu-buru memandangkan isu Afghanistan yang belum selesai sehingga hari ini. Amerika dilihat seolah-olah terdesak mahukan Malaysia bersama terlibat setelah banyak negara menarik balik tentera pengaman mereka keluar dari Afghanistan.

Malaysia seolah-olah akan menjadi mangsa keadaan di samping akan dilihat sebagai boneka Amerika dalam isu ini setelah krisis di Afghanistan masih tidak dapat diselesaikan.

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, Dato’ Seri Najib tidak boleh terburu-buru dalam isu ini. Walaupun atas nama kemanusiaan sekalipun, dunia akan melihat Malaysia seolah-olah ingin ditarik oleh Amerika dalam kes yang mereka sendiri cipta, ini kerana isu ini masih menemui jalan buntu untuk menyelesaikannya.

Malaysia juga perlu mengambil berat aspek keselamatan negara serta wakil yang akan dihantar memandangkan ancaman dari al-Qaeda sebelum ini yang telah mengisytiharkan perang terhadap mana-mana negara yang mahu bersengkongkol dengan Amerika walaupun atas alasan bantuan kemanusiaan dan latihan.

“Amerika dilihat begitu tedesak dalam isu Afghanistan ini. Dalam keadaan negara-negara seperti Perancis, Kanada, Korea Selatan dan lain-lainnya menarik balik tentera pengaman di Afghanistan setelah mendapat tekanan dari masyarakat dunia yang mengutuk tindakan tersebut, tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia telah membuat keputusan yang seolah-olah ingin menarik Malaysia untuk terlibat dalam isu yang dimulai oleh kezaliman dan kerakusan Amerika itu,” ujar Mohd Idris lagi.

GAMIS berharap Perdana Menteri mempertimbangkan dalam aspek keselamatan wakil yang akan dihantar ke sana memandangkan masyarakat dunia pada hari ini dapat melihat ancaman yang diterima di sana.

Jumlah askar negara luar yg maut atas alasan untuk tujuan pembangunan dan latihan adalah tinggi. Hal demikian termasuklah dari Australia seramai 11 orang, Britain 270,Kanada 140, Denmark 31, Belanda 43, Perancis 41, Jerman 43, Itali 22, Romania 12, Spannyol 17, Turki 3, Amerika Syarikat 951 dan ramai lagi yang tidak dinyatakan jumlahnya di sini. Manakala yang cedera dan cacat pula melebihi 5000 orang.

Ikut kajian oleh Pew Global Attitudes, daripada 47 negara, hanya 2 negara yang rakyatnya sokong perang di Afghanistan lebih 50% iaitu Israel 59% dan Kenya 60%. Yang lain semua majoriti rakyatnya tidak sokong. GAMIS juga yakin rakyat Malaysia juga tidak menyokong sama sekali.

GAMIS turut mengutuk pendirian bersama Perdana Menteri Malaysia serta Presiden Amerika Syarikat di Washington dalam isu pembangunan Nuklear Iran kerana Malaysia seolah-olah dilihat hanya mengangguk atas beberapa pendirian Amerika.

Pendirian Amerika dalam isu nuklear ini dilihat tidak adil kerana seolah-olah memejam mata dalam isu yang melibatkan sekutunya termasuklah Israel.Begitu juga keadaan isu APCO di Malaysia yang bersangkut paut dengan agen Yahudi tiada jawapan yang jelas dari Perdana Menteri, pendirian-pendirian Perdana Menteri di Washington seolah-olah menambahkan lagi barah kepada rakyat Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan masih berada di Washington untuk menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA

http://mygamis.blogspot.com/2010/04/gamis-bantah-pendirian-najib-isu.html

Baca seterusnya...

Suara Terkilan Mahasiswa

Last minute...

'Study week ' sudah menjengah tiba. Semua mahasiswa sedang mengatur jadual belajar untuk menghadapi peperiksaan akhir yang akan bermula 19 April nanti. Namun tidak kurang yang masih sibuk dengan tugasan-tugasan terakhir yang belum disempurnakan seperti pembentangan, test, malah difahamkan ada lagi yang ada kelas minggu hadapan!. mungkin belum habis bab yang perlu dipelajari. Perkara ini berlaku mungkin atas beberapa sebab yang datang daripada beberapa aspek.

Ramai yang mengatakan bahawa semester ini sangat pendek tempoh waktunya. Mungkin perkara ini menjadi penyebab utama kebanyakan pensyarah tidak dapat menghabiskan bab-bab pembelajaran seperti biasa. Sehinggakan ada kelas yang mengadu mendapat assignment di saat-saat akhir, minggu-minggu terakhir sebelum study week bermula.

Selain itu mungkin juga kerana terdapat banyak program-program penting sepanjang semester ini. Pilihan raya kampus, penilaian ISO, Islamic Finance conference, termasuk juga 3 siri perhimpunan mahasiswa tuntut pulihkan isu air. perkara-perkara ini juga kemungkinan menjadi penyebab (kalaulah berkaiatan) dengan tertundanya kelas. Perkara ini hanya pemerhatian kasar sahaja, boleh jadi betul dn juga mungkin silap.

Jadual Kuliah 5pm - 7 pm

Terdengar suara segelintir mahasiswa yang kurang setuju dengan jadual kuliah bermula 5 PM berakhir 7 PM. antara sebab utama yang dinyatakan adalah waktu tersebut adalah waktu mengerjakan solat maghrib bagi orang-orang muslim, agak terhad masa selepas kuliah tersebut untuk solat maghrib, memandangkan waktu solat maghrib yang sangat pendek tempohnya. Penyebab perkara ini terjadi belum lagi dikji secara terperinci, namun, suara-suara mahasiswa ini telah diambil perhatian oleh pihak majlis perwakilan pelajar, melalui kenyataan Naib Presiden KAL sendiri ketika ditemui. Pihak Pro-Mahasiswa sedang meneliti pendangan daripada semua mahasiswa menegnai perkara ini.

Kelas Ganti yang AD-HOC

Selain masalah jadual kuliah ini, terdapat juga suara-suara terkilan daripada beberapa orang mahasiswa yang menyatakan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pensyarah yang menetapkan kelas ganti secara ad-hoc. Perkara ini menyebabkan ada pelajar yang tidak dapat menghadiri kuliah tersebut kerana maklumat tidak sampai ataupun jadual masa bertembung dengan perancangan aktiviti yang telah ditetapkan awal oleh pelajar tersebut. Perkara ini mungkin hanya kes-kes terpencil, namun suara mahasiswa ini juga sewajarnya diambil perhatian.


Perkara-perkara ini merupakan suara-suara terkilan daripada segelintir mahasiswa. Penelitian lanjut perlu dilakukan bagi mempertimbangkan kewajaran dan cadangan jalan peyelesaian terbaik sekiranya perkara-perkara tersebut memang menjadi masalah kepada mahasiswa.

Sebarang komen dan cadangan daripada semua mahasiswa amat-amat diharapkan suapaya isu ini mendapat penelitian menyeluruh kepada semua mahasiswa, bukan terhadap golongan-golongan tertentu sahaja. Silakan meninggalkan komen anda semua. Salam kebangkitan Idealisma Mahasiswa.

Baca seterusnya...

Kebangkitan Mahasiswa - Ulangi Sejarah Ini



Baca seterusnya...

Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia

ABSTRACT

This paper was carried out to expound around issues on leadership’s revolution and New-Politics of Malaysia according student’s perspective. The studied focus on the leadership and its contribution that has been done by the students of University of Malaya from many aspects such to maintain the beauty of democracy-liberal-relative until Malaysian Neo-Politic in Malaysia nowadays. Through out this paper, we will explore how effective the University Malaya student’s revolusioner in encouraging the new Malaysian political culture. [mahasiswa, politik baru, revolusi, new politic]

Pendahuluan

Dalam siri-siri wacana kemahasiswaan Malaysia, istilah “revolusi” hampir tidak ditemukan. Berbeza oleh “evolusi” yang merujuk kepada proses pembentukan atau perubahan secara beransur-ansur. Revolusi pula menghasilkan perubahan secara cepat dan mendadak. Revolusi yang sebenar berpunca oleh perubahan asas pemikiran dan sistem yang mendasari sesuatu. Revolusi terjadi ekoran perencanaan dan dan tindakan segelintir individu/kepemimpinan ke arah perubahan tersebut.

Begitu juga dengan ‘politik baru’. Terminologi politik baru jua sudah lama dibincangkan secara sedar atau sebaliknya oleh kaum pemikir sebelum ini. ‘Politik Baru’ terhasil ekoran wujudnya permusuhan antara amalan berpolitik generasi baru yang mungkin mahasiswa sendiri dan kepemimpinan atau amalan politik yang sedia ada - sehingga disebut-sebut sebagai ‘politik baru’.

Oleh kerana Malaysia sendiri secara tabi’enya mengalami pelbagai perubahan - dari era kesultanan Melayu-Islam pada kolonialisme; kemudiannya era kemerdekaan sehinggalah era demokrasi liberal retatif sekarang ini; maka sudah tentu paradigma dan budaya kepolitikan masyarakat di dalamnya juga berubah-ubah.

Kepemimpinan mahasiswa Malaysia juga begitu; tidak terlepas dari menempuhi perubahan-perubahan tersebut yang akhirnya dirumuskan sebagai ‘politik baru’ dalam satu-satu periodisasi massa.Dalam kertas kerja ini, Penulis akan mengupas persoalan kepemimpinan mahasiswa sehinggalah budaya ‘politik baru’ sedang wujud belakangan ini.

REVOLUSI KEPEMIMPINAN DAN BENTUK-BENTUK ‘POLITIK BARU’

Sejak era kolonialisme sehingga era demokrasi berparlimen, sama ada suka atau tidak, telah banyak mengubah warna pemikiran dan rentak sikap kepemimpinan mahasiswa Malaysia sendiri. Boleh jadi bukan sahaja mahasiswa tidak wujud, malah mungkin tidak berperanan sejak awal era kemerdekaan negara, sekiranya tidak ada institusi pengajian tinggi tempatan sendiri.

Kalau boleh dikongsi tentang sejarah kepemimpinan mahasiswa di Malaysia sendiri, Universiti Malaya di Singapura (kini dikenali Universiti Kebangsaan Singapura) adalah antara pentas awal yang menyaksikan aksi revolusi kepemimpinan dan banyak mewarnai lanskap politik Malaysia akhirnya.

Era 1950an sehingga pertengahan era 1960an menyaksikan kepemimpinan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh idea anti-kolonialisme. Kelab Sosialis Universiti Malaya (KSUM) merupakan antara kelompok pendesak (pressure group) yang lantang berdepan dengan pemerintah.

Bukan tidak ada pertubuhan lain di Universiti. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah ada.

Namun, yang menarik - kelantangan KSUM tersebut tidak disemak imbang oleh pertubuhan-pertubuhan lain secara serius dan konsistan. Akhirnya, KSUM dilihat dominan pada jendela ukur politik pemerintah walaupun sebenarnya KSUM hanya dianggotai oleh sebilangan kecil sahaja mahasiswa.

Dari segi lain, kelompok itu turut dilihat berpegang kuat dengan idea faham sosialisme sebagaimana beberapa parti politik pada waktu itu. Akhirnya, kelompok itu turut dilabelkan anti-establishment atau dalam ungkapan semasa kini - agen/pro pembangkang.

Hakikat itu turut diakui sendiri beberapa ahli sarjana falsafah di Universiti Malaya sendiri. Menurut Prof. Emeritius Dr. Khoo Kay Kim (2005), perkembangan idea sosialis dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu bertitik-tolak pada penentangan kuasa-kuasa kolonial di peringkat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Malayan Democratic Union (MDU) (1945) , Pan-Malayan Labour Party (1952) dan Malaya Indian Congres (MIC) (1946) dilihat antara beberapa parti politik awal yang menggerakkan idea tersebut.

Selepas era tersebut, revolusi mahasiswa lebih terarus oleh nasionalisme Melayu dan kemudiannya nasionalisme Melayu-Islam.

PBMUM dilihat sebagai pemain utama pergerakan ketika itu kerana majoriti penuntut Universiti lebih cenderung pada pertubuhan itu.

Menurut Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar, fenomena itu berlaku ekoran kebanjiran masuk etnik Melayu-Islam bermula pada tahun 1962; di mana mereka ini telahpun melihat sendiri kemunduran ummat ketika menjadi pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Dari tahun 1965 sehinggalah tahun 1974, demontrasi Papan Tanda sehinggalah beberapa konvensyen kebudayaan nasional, bahasa Melayu dan kemiskinan rakyat merupakan antara respon mahasiswa terhadap sikap-sikap pemerintah.

Aksi-aksi ini jugalah menjadi pemangkin (catalyst) pada wujudnya Akta Bahasa Kebangsaan (1963, pindaan 1967/71); Dasar Kebudayaan Nasional (1967) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya di peringkat nasional.

Sesuatu yang menarik, walaupun revolusi mahasiswa terarus oleh idea faham nasionalisme Melayu, namun mereka tetap tidak bersekongkol dengan kaum pemerintah yang secara asasnya menganut kepercayaan yang sama.

Banyak penulis menggambarkan bahawa revolusi gerakan mahasiswa Islam yang berlaku di Universiti Kabul, Afghanistan bermula pada tahun 1972 dan kemudiannya revolusi Islam di Iran
pada 1979 banyak mewarnai pergerakan mahasiswa di Malaysia.

Di kebanyakan kampus utama turut mengalami fenomena yang sama - iaitu lahirnya ‘Islamic Group’. Di Universiti Malaya sendiri, antara Sdr. Siddiq Fadhil melalui PMIUM merupakan antara pemain utama yang sedaya upaya membawa mahasiswa Islam keluar dari idea faham nasionalis-Islamic kepada idea faham Islam yang hakiki.

Tanpa menafikan kewujudkan kepemimpinan mahasiswa nasionalis-Melayu dan sebagainya, menjaukau sedekad juga didapati idea faham Islam berkembang subur dan bernadi dalam gerakan mahasiswa di Malaysia.

Isu hak asasi, politik kepartaian, perundangan, autonomi serta kebejatan nilai mewarnai pergerakan mahasiswa. Pelbagai aksi revolusi boleh dilihat dalam pergerakan mahasiswa secara sedar atau tidak.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (kini Se-Malaysia/GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GPMS) merupakan antara pemain penting yang mewarnai gerakan pada waktu itu.

Masing-masing lebih mementingkan soal keluhuran semula nilai keadilan dalam negara. Masing-masing lebih mementingkan peranan generasi mahasiswa dan anak muda secara amnya untuk merobah nilai pemerintahan yang dilihat tidak selari dengan naluri mereka.

Akhirnya, didapati seolah-olah wujudnya asimilasi idea faham antara pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang plural itu. Soal keagamaan, status quo Melayu nasional, etniksiti bukan lagi menjadi halangan utama untuk masing-masing perperanan secara kolektif dan sepadu.

KAREKTORISTIK MAHASISWA DAN WAJAH POLITIK BARU MALAYSIA

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kepemimpinan mahasiswa serta aksi revolusi masing-masing sekarang ini banyak dipengaruhi oleh suatu kepercayaan baru; yang kalau boleh disebut-sebut sebagai demokrasi liberal relatif.

Kepercayaan baru ini boleh dilihat sendiri secara langsung dalam kepemimpinan mahasiswa dan boleh juga dilihat secara simplistik dalam wajah pemikiran rakyat muda Malaysia. Apa sebenarnya kepercayaan demokrasi liberal relatif yang dituntaskan sebagai wajah politik baru Malaysia?

Berdasarkan pada observarsi rawak Penulis, antara karektoristik pemimpin-pemimpin mahasiswa nasional dan dogma rakyat muda yang sedang wujud secara revolusi dan tabi’e belakangan ini adalah:

1. Menganut idea faham politic of hope hatta dengan tersendirinya memusuhi politic of fear ciptaan pemerintah. Contoh, penyalahgunaan AUKU, ISA dll; ugutan, fitnah dan penindasan.

2. Kepemimpinan yang mempunyai kebolehan mengakses dan mengupaya dunia maklumat secara bebas, cepat dan sahih. Contoh, budaya blog, website, portal, flyers, akhbar dll.

3. Kepemimpinan yang mengamalkan politik budiman, jauhari, integriti; hatta menolak politik lama amalan pemerintah - perkauman sempit, Governence always-know-all, politik wang (rasuah) dll.

4. Kepemimpinan yang tidak mahu diikat dengan mana-mana fraksi kekuasaan, parti-parti politik (sama ada pemerintah atau oposisis), namun mahu menyertai politik nasional dalam rupa perayaan demokrasi dan hak asasi semata-mata.

5. Kepemimpinan yang menganggap menjadi mahasiswa di universiti sebagai profesyen profesional, popular dan eksklusif; hatta menganggap pihak-pihak yang mengamalkan ‘politik kekuasaan’ (politic of power) sebagai musuh atau pesaing mereka.

Bertitik-tolak pada beberapa karektoristik di atas inilah, maka kaum pemerintah harus mencermati akar-akar revolusi yang sedang digemblingkan dalam kepemimpinan dan fikrah mahsiswa; bukan asyik dalam konseptual ‘lama’ - mahasiswa adalah agen pembangkang.

Aksi-aksi mahasiswa adalah natijah semata-mata. Kelahiran Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang mengambil keputusan nekad umpamanya - mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum ke-12 lepas - malah mengkritik sikap-sikap ‘politik lama’ yang wujud dan segar dalam parti-parti oposisi (PAS, PKR dan DAP sendiri); seharusnya menuntut kaum pemerintah mengenal pasti apakah akar-akar permasalah serta revolusi mental yang harus dipacu bersama.

Kesimpulannya

Penulis secara peribadi yakin, kepercayaan demokrasi liberal relatif adalah sesuatu yang perlu dan benar menurut al-Quran sendiri. Sesungguhnya kepercayaan ini telah lama disinggungkan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Tanpa menafikan peranan dan kebaikan yang dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin parti politik, Penulis menyeru semua pihak untuk menggalakkan al-Isti’mar atau kemakmuran (11:61), al-Istiklaf atau urus tadbir baik (24:55).

Renungkanlah kata-kata Bapak Mohamad Natsir, seorang tokoh cendikiawan Islam Nusantara yang hidup sezaman dengan Sukarno dan Hamka;

"Bisa ada percetakan yang mampu mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah dan tutorial, tetapi tumbuh dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan-rakan seangkatan, lalu diangkat dan dijulang oleh ummat.”

—————————-

* Kertas kerja ini dibentangkan semasa Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2009 di Universiti Tun Hussain Onn Malaysia (UTHM) pada 15-20hb Mei 2009 oleh Mohd Riduan Mohamad, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top