Pensyarah Turut Mohon Berpolitik

Sumber: Sabahdaily

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik di IPTA amat wajar diberikan hak sama rata seperti yang bakal dinikmati guru Gred DG41 hingga DG48, berikutan pensyarah sering dilihat sebagai idola kepada pelajar universiti yang sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Tambahan pula, katanya, rata-rata pensyarah menepati kriteria kepemimpinan yang digariskan belia, antaranya memiliki ilmu pengetahuan dan berkelulusan tinggi, selain mempunyai sahsiah baik.

Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.

Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.

Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.

Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.

Baca seterusnya...

Saifuddin: Benarkan Mahasiswa Berpolitik Juga

Sumber: Malaysiakini

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Saifuddin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang. Cadangannya itu berikutan pengumuman semalam bahawa guru berijazah dibenarkan berpolitik.

“Masa telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik,” katanya.

Menurut Saifuddin, Akta Universiti dan Kolej Universiti hanya membenarkan pelajar terbabit dengan politik jika mereka mendapatkan kebenaran daripada naib canselor (VC).

“Jika ada klausa yang mengatakan bahawa VC boleh membenarkannya, maka adalah lebih baik membenarkannya secara keseluruhan. Tetapi jika ini menyusahkan, maka lebih baik membuat lebih banyak pindaan,” katanya.

Seringkali pelajar universiti yang didakwa terbabit dalam kempen politik menyaksikan kelab politik di universiti mereka juga digantung. Mereka juga sukar mendapatkan kebenaran daripada naib canselor untuk bergiat dalam politik.

Langkah bijak Katanya lagi tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan membenarkan guru berijazah berpolitik adalah langkah bijak kerana ia boleh mengurangkan politik wang di negara ini.
"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," katanya. Sebagai contoh, Saifuddin berkata apabila guru secara rasmi dilarang berpolitik pada 1993, Umno menyaksikan kemasukan besar-besaran ahli korporat dan usahawan.

Masanya adalah seperti itu. Seseorang boleh membuat kesimpulan berdasarkan perkaar berkenaan,” katanya.

“Politik adalah perkara akar umbi. Terdapat guru lulusan ijazah di seluruh negara, termasuk di kampung. Apabila guru dihadkan daripada berpolitik, cawangan politik kekurangan orang yang berilmu.

“Lagipun kita tidak mempunyai arkitek dan jurutera di setiap kampung,” kata Saifuddin, yang juga adalah ahli majlis tertinggi Umno.

“Saya sentiasa berpendapat tidak membenarkan guru berpolitik adalah satu kesilapan,” katanya lagi.

Baca seterusnya...

Ganasnya Siswi Kita Pada Masa Kini…!!!


Kehadiran golongan cendikiawan @ terpelajar ke Menara Gading amat diperlukan oleh negara kita pada masa kini bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berakal dan berdaya maju seiring dengan kemajuan negara pada masa kini. Bahkan penerapan ilmu-ilmu yang di’subjek’kan di dalam pembelajaran sedikit sebanyak untuk menjana mahasisw/i yang terus kehadapan dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

Tetapi kini, semuanya berubah dengan perubahan kemodenan dan kemajuan serba canggih dan indah di bumi metropolitan ini. Petik jari sahaja, semuanya akan terhidang di depan mata. Disko, tarian bogel, karaoke, pusat snooker dan banyak lagi tempat-tempat hiburan yang menjadi gelanggan mencedok ilmu baru buat ‘golongan terpelajar’ di bumi Malaysia ini.

Kenapa semua ini berlaku dan bagaimana pencegahan yang dibuat?? Tidak siapa yang ambil peduli bahkan setiap hari tangkapan maksiat yang dilakukan kesudahannya mahasiswa/i yang mempeloporinya. Bodohkan mereka? Jawapannya tentu sekali TIDAK kerana mereka ini golongan terpelajar dan cerdik pandai yang diasuh dan diajar di menara gading, mana mungkin seorang yang memasuki menara gading menjadi sebegitu rupa!!! Tetapi yang ditangkap itu SIAPA???

Ke mana jiwa mereka ini menghilang sedangkan rutin harian di waktu siang adalah menelaah pelajaran manakala di sebelah malamnya pula menelaah tarian bogel yang mengenyangkan hawa nafsu!! Ke mana perginya nilai moral dan akhlak seorang golongan terpelajar ini bahkan yang sering dipaparkan adalah golongan ini..Adakah juga sistem pendidikan pada masa kini KURANG memberikan kesan nilai-nilai akhlak yang baik buat ‘golongan terpelajar’ ini?

Kesemua persoalan ini bermain di fikiran tatkala melihat gelagat dan ‘kecerdikan’ golongan-golongan ini yang menatapi setiap ruang dan warkah berita di tanah air ini. Ingin ditekankan lagi bahawa mereka bukan budak BODOH kerana mereka ini memasuki sebuat pusat pengajian tinggi yang kebanyakkannya tidak mampu dan tidak layak memasuki tempat yang hebat ini dan mereka juga mampu memasuki tempat maksiat dan hiburan yang luar biasa kerana mereka mempunyai ‘lesen cerdik’ ini untuk membuat sesuka hati!!!

Sumber: Mohd Ridzuan B Othman

Baca seterusnya...

Jangan Musnahkan Sejarah Mahasiswa!

Oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

"Kami menggoyangkan langit, menggempakan darat dan menggelorakan samudera agar tidak jadi bangsa yang hidup hanya dari dua sen sehari. Bangsa yang kerja keras, bukan bangsa tempe, bukan bangsa kuli. Bangsa yang rela menderita demi pembelian cita-cita.."

Bapak Soekarno, Presiden Indonesia.

Zaman mahasiswa adalah zaman terbaik untuk melakukan apa sahaja. Mahasiswa tidak akan dipersalahkan seandainya mereka tersilap, bahkan didokong oleh ribuan rakyat sekiranya mereka menjadi suara lantang kepada mereka.

Sejarah perit mahasiswa perlu dijadikan pengajaran dan motivasi. Gerakan mahasiswa hari ini usah lupa perjuangan mahasiswa.

Mahasiswa perlu terlibat aktif dalam setiap sejarah yang terjadi kepada tanah air kita. Apatah lagi menjadi pencorak zaman dan jatuh bangun negara.

Bila berbicara soal politik, kita perlu terlibat. Bila berpencak soal pendidikan, kita menjadi lebih dari seorang guru dan pendidik. Apabila berkata-kata berkenaan agama, kita menjadi alim lebih dari seorang ulama' dan tatkala berbicara soal tanah air, kita menjadi sehebat tentera yang cintakan negaranya.

Sifat mahasiswa adalah mencabar. Mencabar sesiapa sahaja yang menjadi penghalang kepada suara-suara keramat kita. Sejarah membuktikan nyawa adalah galang ganti kepada perjuangan mahasiswa.

Kita pernah mencabar dari sebesar-besar manusia kepada sekecil-kecilnya. Daripada seorang Perdana Menteri negara kepada petani-petani di ladang hulu kampung. Jalanan adalah medan kita, manakala penjara adalah penginapan kita. Semua ini susur-galur dalam perjuangan mahasiswa.

Saya titipkan video 'Sumpah Keramat Mahasiswa Indonesia' dirakamkan pada tahun 1998, ketika mahasiswa mengetuai gelombang reformasi negara Indonesia. Semoga ia membakar darah kita mahasiswa!



Sumpah Mahasiswa Indonesia 1998

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Bertanah air satu, tanah air tanpa penindasan

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Berbangsa satu, bangsa cinta keadilan

Kami mahasiswa Indonesia bersumpah!
Berbahasa satu, bahasa tanpa kebohongan

Hidup rakyat!
Hidup Rakyat!

Baca seterusnya...

Skandal UMS: PM Janji Siasat

Sumber: Malaysia Today

KOTA KINABALU: Para kontraktor tempatan mengalu-alukan jaminan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyiasat dakwaan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kontraktor-kontraktor tersebut menarik nafas lega apabila Najib, yang juga Menteri Kewangan mengarahkan satu siasatan dibuat berhubunga isu ini.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi jaminan bahawa satu siasatan akan dilakukan berhubung laporan polis yang kami buat itu," kata Abby Roy, salah seorang daripada 13 kontraktor yang membuat laporan polis tersebut.

Bercakap mewakili kontraktor yang lain, Abby berkata mereka berharap agar siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Najib berkata Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan siasatan SPRM.

"Pihak berkuasa yang berkenaan boleh menyiasat hal ini dan selepas kami menerima laporan daripada SPRM, kita akan teruskan siasatan tersebut," katanya dalam rangka lawatan ke Sabah selama tiga hari baru-baru ini.

Najib memberi reaksi berkenaan berhubung rayuan oleh kontraktor tempatan kepadanya agar Kementerian Kewangan dapat menyiasat projek pembangunan UMS yang dianugerahkan kepada kontraktor.

‘Pegawai lepaskan jawatan’

Dalam laporan berasingan, para kontraktor mendakwa seorang pegawai UMS memegang 78 peratus ekuiti saham dalam syarikat yang mendapat kontrak di universiti itu.

Mereka mengadu ekoran tidak mendapat peluang yang adil dalam membida projek berkenaan dan mempersoalkan sama ada pegawai terbabit mampu mengendalikan syarikatnya sendiri.

Kontraktor terbabit membuat laporan polis berhubung kenyataan Naib Canselor UMS Dr Kamaruzaman Ampon bahawa dakwaan mereka terhadap pegawai terbabit adalah tidak benar.

Kamaruzaman dilaporkan berkata pegawai yang telah meletakkan jawatan dalam syarikat itu sebelum menyertai universiti, individu terbabit adalah ‘bersih’ dan tiada sebarang tindakan akan diambil ke atasnya.

Beliau berkata, satu pasukan petugas khas disediakan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika dipanggil.

Baca seterusnya...

Subsidi Tanggungjawab Negara

Sumber: Malaysiakini

Kenaikan harga bahan bakar dan gula telah diumumkan oleh pihak kerajaan dalam sidang parlimen yang berakhir kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan sebab dan tujuan kenaikannya, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengakui, penarikan subsidi ini sememangnya akan menjimatkan perbelanjaan negara. Seperti yang dipetik daripada ucapan perdana menteri, negara akan menjimatkan kira-kira RM750 juta untuk tahun ini.

Namun, yang menjadi kekesalan, penjimatan ini juga bakal membebankan rakyat, khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah sebagai majoriti rakyat Malaysia.

Isu berkenaan subsidi ini telah lama diperbincangkan. Sebahagian daripada rakyat tidak bersetuju dan sebahagian daripadanya bersetuju.

Bagi SMM, subsidi ini adalah tanggungjawab negara. Negara harus seberapa banyak juga menyediakan belanja untuk menampung keperluan rakyat ini.

Sekalipun subsidi ini dirasakan perlu untuk membantu perjalanan ekonomi negara, maka ia tidak seharusnya dipotong daripada bahan seperti minyak dan gula.

Ini kerana, penarikan subsidi menyebabkan kesan yang buruk kepada rakyat. 'Kesan domino' akan berlanjutan dan menyusahkan masyarakat, khususnya rakyat yang tidak berkemampuan.

Nasihat lucu

Minyak akan meningkatkan kos dan menyebabkan kenaikan harga kebanyakan barang keperluan. Begitu juga gula sebagai keperluan asas masyarakat.

Hal ini telah terbukti apabila Syarikat F&N Dairies (M) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga produknya kemungkinan akan 'turut naik' atau tidak stabil disebabkan keputusan kerajaan itu.

Bagi SMM, hal ini bukan lagi kemungkinan, tetapi pasti berlaku. Kesan kenaikan ini akan dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.

Dalam konteks kesungguhan kerajaan pimpinan perdana menteri untuk menjimatkan perbelanjaan negara, SMM mencadangkan agar keistimewaan-keistimewaan yang diperoleh menteri dan anggota kabinet - sendiri seperti pemberian AP, pengecualian tol dan minyak kenderaan rasmi - ditarik balik sebagai usaha bersama dengan rakyat 'menjimatkan perbelanjaan'.

SMM juga melahirkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap reaksi lucu kerajaan dengan usaha untuk 'menasihati' pengarang media arus perdana beberapa jam sebelum pengumuman kenaikan harga barang, untuk sekadar menggunakan terma 'pelarasan harga' dan 'rasionalisasi subsidi' serta dilarang menggunakan terma 'barang naik'.

Hal ini merupakan cubaan halus untuk merendah-rendahkan nilai intelek serta kesedaran warga Malaysia dan menutup kefahaman sebenar berkenaan hakikat yang dialami oleh seluruh masyarakat.

SMM sebagi warganegara yang sedar dengan keputusan yang tidak sihat ini, akan bersama-sama dengan seluruh lapisan masyarakat membantah kenaikan harga barang.

Dan kami juga menyeru kepada mahasiswa dan seluruh anak muda bersama-sama bangkit di kala sebilangan kelompok elit penguasa tidak langsung merasai kesan daripada kenaikan harga ini.

Baca seterusnya...

Mahasiswa Agen Transformasi

Sumber: Pro-Mahasiswa USM

Perubahan merupakan cogankata yang kerap diperkatakan dewasa ini. Dalam konteks masyarakat kampus kini, mahasiswa-mahasiswi merupakan pemuda-pemudi yang subur untuk dijadikan agen kepada sesuatu perubahan. Apabila kebergantungan diletakkan kepada pemuda, bukanlah hal ini bermakna peranan orang ‘veteran’ dilupakan sepertimana fahaman Korainisme iaitu seorang pemimpin selepas berlakunya revolusi telah menuntut supaya dihapuskan kesemua orang tua supaya tidak menjadi beban kepada negara. Manusia mempunyai kebolehan dan kemampuan yang sesuai dengan tugas-tugas yang tertentu pada setiap peringkat usianya dalam kehidupan. Tugas pada masa usia kanak-kanak lain daripada tugas ketika usia belia, begitu juga dengan tugas sewaktu usia dewasa dan hari-hari tua.

Mahasiswa-mahasiswi adalah aset kepada negara. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan mampu membuat keputusan yang rasional serta mengkritik apabila berlakunya ketidakseimbangan dalam sesuatu perkara. Sumbangan idea yang bernas dari mahasiswa merupakan permata yang mampu membawa perubahan yang positif kepada mahasiswa serta universiti malah negara. Maka, mahasiswa yang berkualiti dan seimbang dari segi fizikal dan spiritual akan memacu universiti ke arah yang kecemerlangan.

Selain itu, mahasiswa-mahasiswi perlu berdiri atas kaki sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan pihak lain. Mahasiswa perlu diberi dorongan dan semangat yang positif supaya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Hal ini kerana, mahasiwa juga bukan boneka ataupun robot tetapi bertindak selaku agen kepada tranformasi yang mampu membentuk jati diri mahasiswa yang seimbang dan sekaligus memartabatkan nama universiti dan negara di persada dunia. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa mahasiswa yang tidak dikongkong, disekat serta dirosakkan pemikirannya akan menghasilkan modal insan (human capital atau human resource) yang berkepimpinan, bebas dan prihatin terhadap persekitarannya.

Baca seterusnya...

UMS-KAL Belanja RM13j Naik Taraf

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
pengarang@utusan.com.my


LABUAN 13 Julai - Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) membelanjakan kira-kira RM13 juta untuk menaik taraf prasarana dan kemudahan bagi keselesaan pelajar baru dan lama kampus itu.

Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Shariff Abdul Kadir Omang berkata, projek berkenaan termasuk menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat (IT), kolej kediaman pelajar seperti memasang pagar keselamatan, kafetaria, kemudahan sukan, perpustakaan dan landskap.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyediakan tangki dan paip air serta membina tembok konkrit untuk memudahkan pelajar.

''Kita jangkakan semua projek ini dapat disiapkan pada pertengahan Ogos ini bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan yang selesa dan selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 624 pelajar baru mendaftar di UMS-KAL bagi sesi 2010/2011.

Dr. Shariff berkata, daripada jumlah itu, seramai 494 pelajar mendaftar di Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL) manakala 97 lagi di Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL).

Beliau berkata, kampus UMS itu turut menerima 29 pelajar baru dari China dan empat orang dari Turki yang akan mengikuti pengajian SPKAL dan SSIL selama tiga tahun.

Katanya, SPKAL masing-masing menerima 320 pelajar perempuan dan 174 pelajar lelaki manakala 68 pelajar perempuan dan 29 pelajar lelaki mendaftar di SSIL.

''Semua pelajar baru akan di tempatkan di Kolej Kediaman Mutiara, Sungai Bedaun dan selebihnya di dalam kampus UMS-KAL," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr. Shariff berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang sesi pendaftaran pelajar ini termasuk taklimat sekolah, kepimpinan mahasiswa, pendaftaran kursus, kurikulum, riadah senam seni dan majlis penutupan.

Baca seterusnya...

Minggu Haluan Siswa: Ibu Terkilan, Bapa Kesal

Sumber: Malaysiakini, 9 Julai 2010

Awal Julai ini menyaksikan puluhan ribu kemasukan pelajar baru di IPTA/IPTS seluruh negara.

Tergambar kegembiraan diwajah ibu bapa masing-masing melihat kejayaan anak mereka bergelar mahasiswa, niat murni ibu bapa yang pastinya diiringi dengan harapan ingin melihat anak yang dihantar ke universiti, keluar sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu merubah masyarakat.

Paling tidak, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Oleh hal yang demikian, pembinaannya bermula daripada asasnya. Bagi mahasiswa baru, first impression mereka adalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang-bayangkan sebagai sebuah pusat 'gedung keilmuan' dan keintelektualan.

Maka minggu haluan siswa yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.

Minggu haluan siswa ataupun minggu suaikenal merupakan antara program wajib universiti yang melibatkan seluruh mahasiswa baru menjadi tapak pemula. Sinonimnya, minggu dimana mahasiswa mengetahui realiti tentang kampus dan gaya hidup dan cabaran sebagai seorang yang bergelar mahasiswa.

Seorang bapa dari Pantai Timur, merasa kesal dengan pengisian minggu haluan siswa. Ini kerana beliau dihubungi anaknya yang bertanyakan pendapat untuk pertandingan debat yang bertajuk “Isu gosip mengangkat nama artis Malaysia.”

Berikutan daripada itu, beliau menyatakan, sangat tidak relevan bagi seorang mahasiswa membincangkan perkara tersebut dan beliau mencadangkan perdebatan di kalangan mahasiswa sepatutnya berunusur ilmiah dan membina keintelektualan mahasiswa sebagai contoh pendidikan di Malaysia, jelasnya.

Memetik kenyataan Tan Sri Arsyad Ayub, pengerusi lembaga pengarah Universiti Malaya, dalam amanatnya sewaktu merasmikan minggu haluan siswa Universiti Malaya menasihat agar mahasiswa menjauhi perkara yang melalaikan dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa seperti lepak, hiburan melampau dan pesta-pesta yang meruntuhkan moral dan kredibiliti mahasiswa.

Di manakah intelektual mahasiswa yang diura-urakan universiti?

Budaya keilmuan tidak lagi menjadi agenda utama dalam membangunkan modal insan mahasiswa. Bukan menolak hiburan, namun mahasiswa tidak boleh dididik dengan budaya hiburan yang melampau, kelak memberi kesan tatkala mereka sudah berada di tengah masyarakat.

Baca seterusnya...

'Biasiswa Khas' untuk Aktivis Pelajar

Sumber: Malaysiakini

Seorang pemimpin pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang pinjaman pendidikannya digantung kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor akan diberikan biasiswa khas.

Aktivis pelajar itu yang juga ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), berkata beliau menerima berita baik itu daripada kerajaan Selangor semalam.

"Saya gembira kerajaan negeri menawarkan biasiswa dan ia mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum ini menggantung pinjaman Ahmad Shukri Kamaruddin's student loan bersama 1,500 lagi pemohon dari KUIS kerana didakwa terbabit dengan pilihan raya.

Ahmad Shukri bagaimanapun menafikan yang beliau berkempen tetapi hadir pada pilihan raya kecil itu atas kapasiti sendiri dan tidak menyokong mana-mana parti.

Mesyuarat dengan MB

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata dia tidak mempunyai maklumat tambahan berhubung biasiswa itu.

"Saya percaya biasiswa itu hasil perjumpaan saya dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan exco pelajaran Dr Halimah Ali pada 23 Jun lalu berhubung pinjaman pelaran saya,” kata Ahmad Shukri, yang berperanan aktif dalam politik kampusnya.

Beliau mengikuti kursus empat tahun bagi mendapatkan Ijazah Pengajian Islam (Syariah) dan mempunyai setahun lagi sebelum tamat pengajiannya.

Dekan Hael Ehwal Pelajar KUIS, Muhammad Subari Ramli berkata pihaknya tidak dimaklumkan berhubung biasiswa yang ditawarkan kepada Ahmad Shukri.

"Tetapi 1,500 permohonan baru sedang diproses oleh PTPTN dan tidak ada masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Dilema Ahmad Shukri mendapat perhatian umum apabila Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) membawa masalah pelajar itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke -Sepuluh di Dewan Rakyat pada 17 Jun lalu.

Baca seterusnya...

IPT Perlu Didik Makna Hidup

Oleh: YB Datuk Saifuddin Abdullah
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Bulan ini ialah musim kemasukan ke universiti. Di sebalik kesibukan rutin seperti mendaftar dan mengorientasi mahasiswa baru, menyelesaikan masalah calon yang baik akademiknya tetapi tidak mendapat tempat, serta berempati kepada calon yang cemerlang kokurikulumnya tetapi tidak diiktiraf sistem semasa, adalah mustahak untuk kita juga menggunakan musim ini untuk bermuhasabah tentang apakah sebenarnya yang diajar kepada mahasiswa.

Muhasabah ini perlu bermula dengan pandangan alam yang tepat terhadap budaya ilmu, matlamat dan peranan pendidikan dan universiti serta betapa pentingnya dikembalikan roh universiti. Seterusnya, muhasabah ini perlu merenung sejauh manakah kita mendidik mahasiswa dengan makna kehidupan.

Mengapakah kita perlu menilai perkara ini? Kerana kita jarang berbicara tentangnya hari ini. Kita berbicara tentang banyak perkara, seperti kebolehpasaran, penyelidikan, penarafan dan sebagainya. Semua ini benar dan penting. Tetapi kita hampir tidak berbicara soal makna kehidupan.

Kita berbicara tentang kemahiran insaniah seperti berkomunikasi dan berfikir secara kritis. Tetapi, adakah pemikiran kita tepat apabila kita mengajar mahasiswa kemahiran berkomunikasi sedangkan mereka tidak dididik tentang makna komunikasi, dan ketika sesetengah saluran komunikasinya terhalang?

Kita mengajar supaya mampu mengkritik sedangkan mereka tidak dididik tentang makna kritik, dan ketika kritik selalu tidak hadir di dalam kelas, serta ketika kita menambah adjektif kepada kritik, dengan menjadikannya "kritik positif", sedangkan kritik memang dengan sendirinya adalah positif.

Menurut Anthony T. Kronman (2007) dalam bukunya Education's End, sejarah universiti dalam konteks mendidik makna kehidupan boleh dibahagikan kepada tiga tahap.

Tahap pertama ialah ketika pendidikan kolej (ketika itu belum digelar universiti, misalnya dalam perkembangan Universiti Harvard) berada atas premis bahawa matlamat kehidupan manusia bukanlah sesuatu yang layak menjadi salah satu subjek yang diajar, tetapi ia adalah satu-satunya subjek yang diajar, atau ia subjek yang diajar sebelum diajar subjek-subjek yang lain. Ketika itu, pengajaran makna kehidupan dogmatik pendekatan dan kandungannya.

Tahap kedua ialah zaman humanisme sekular. Makna kehidupan terus menjadi subjek yang tersusun dalam program ijazah pertama. Ia tidak lagi dogmatik. Tetapi, ia hampir dihadkan dalam bidang sains kemanusiaan sahaja.

Manakala tahap ketiga ialah saat kita berada kini. Persoalan makna kehidupan hampir tidak lagi diiktiraf sebagai satu subjek yang layak diajar, hatta dalam sains kemanusiaan - iaitu jika sains kemanusiaan masih wujud - di kebanyakan universiti.

Kita tidak semestinya perlu kembali ke tahap pertama dan kedua dalam sejarah di atas. Apa yang penting ialah universiti perlu mencari jalan untuk memastikan bahawa persoalan makna kehidupan sentiasa berada dalam arus perdana pemikiran akademik dan berkesinambungan sebagai subjek yang diajar dengan tersusun.

Kita perlu melakukan ini untuk membantu mahasiswa mencabar perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan, yang akan mempersoalkan kedudukan dunia dan moral semasa. Misalnya, adakah kebenaran dan keadilan lebih mulia daripada kekayaan dan kecantikan? Adakah demokrasi memberikan ruang untuk nilai merendah diri?

Ini penting kerana matlamat pendidikan universiti bukan secara utama atau semata-mata untuk menyediakan mahasiswa bagi kerjaya masa depan dengan mengajarnya ilmu yang khusus yang diperlukannya untuk pekerjaannya, walaupun menyediakan mahasiswa untuk kebolehpasaran bukan kesalahan.

Sebaliknya, secara fundamental, universiti perlu menyediakan mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran kehidupan yang komprehensif dengan mendidik mereka dengan apa yang disifatkan oleh Alexander Meiklejohn sebagai latihan dalam "seni kehidupan". Ia bermaksud membantu mahasiswa melengkapkan diri dengan seni ini dan bukan untuk membekalkannya dengan kemahiran terhadap sesuatu pekerjaan yang lebih terhad sifatnya.

Mahasiswa hari ini umumnya (usah persalahkan mereka) datang ke universiti dengan kepercayaan bahawa pilihan yang paling penting yang perlu dibuat ialah tentang kerjaya. Kebanyakannya mempunyai asumsi bahawa kehidupan yang sempurna hanya dapat diraih melalui saluran-saluran kerjaya.

Tetapi kerjaya - apa-apa kerjaya sekalipun - mempunyai horizon yang lebih sempit daripada kehidupan seseorang manusia yang memegang kerjaya tersebut. Tidak kira sejauh mana kepentingan, impak ataupun keuntungan sesuatu kerjaya itu, sebagai kerjaya, ia tetap hanya sekadar sebahagian daripada kehidupan.

Persoalan akan sentiasa timbul tentang di mana dan bagaimana letaknya sesuatu kerjaya itu dalam kehidupan seseorang. Persoalan ini menjadi lebih penting semakin seseorang itu meningkat umurnya, dan menjadi lebih genting apabila seseorang itu menjangkau hujung kehidupannya, iaitu apabila ia perlu hidup di luar pegangan apa-apa kerjaya.

Manusia tidak akan mendapat jawapan terhadap persoalan ini dari dalam horizon sesuatu kerjaya. Persoalan ini muncul, dan mampu dijawab, hanya daripada sudut pandangan kehidupan manusia yang komprehensif. Manusia tidak akan memiliki sudut pandangan ini jika tidak dididik dengan makna kehidupan. Justeru, universiti perlu mendidik mahasiswa tentang makna kehidupan.

Bagi melengkapkan muhasabah ini, kita juga perlu menilai makna universiti. Contohnya, sejauh manakah kita masih berada di atas landasan meningkatkan kualiti pendidikan Islam dan Islamisasi ilmu yang bertujuan mengembalikan kekuatan umat Islam dalam pelbagai disiplin ilmu, iaitu seperti yang dipelopori, antara lain, oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1980), dalam bukunya The Concept of Education in Islam dan Ismail Raji al-Faruqi (1982), dalam bukunya Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan.

Adakah kita masih di hadapan dalam kebitaraan pendidikan tinggi Islam yang moden dan prgoresif? Atau kini kita mula disaingi oleh kebitaraan baru di sebuah negara Timur Tengah yang dahulunya kita anggap terkebelakang?

Di samping itu, kita juga perlu bermuhasabah tentang makna kecemerlangan para pensyarah universiti. Membaca buku Michele Lamont (2009), How Professors Think, menjadikan kita banyak bertanya tentang selok belok penilaian dalam dunia akademik.

Antara persoalannya ialah sejauhmanakah seseorang daripada bidang yang berlainan yang berkuasa menafsirkan penilaian terhadap orang lain yang datang daripada bidang yang berlainan mampu melakukannya dengan terbaik?

Adakah penekanannya terhadap sesuatu bentuk penghasilan, contohnya penulisan jurnal, sentiasa merupakan yang terbaik bagi bidang lain yang penekanannya mungkin dalam bentuk penghasilan yang berbeza, contohnya penulisan buku?

Sesungguhnya makna kehidupan adalah jauh lebih besar daripada tulisan kecil ini. Kita perlu menyertai perjalanan memburunya dengan keberanian, ketulusan dan kesabaran.

Baca seterusnya...

Pelajar Wanita Terus Kuasai UMS

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 4 Julai - Golongan wanita terus menguasai kemasukan ke universiti apabila hampir 70 peratus pelajar baru yang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula hari ini adalah wanita.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, hanya 32 peratus daripada 4,010 pelajar baru yang ditawarkan ke UMS kali ini adalah lelaki.

"Jumlah pelajar wanita masih melebihi pelajar lelaki seperti tahun sebelum ini, pada kali ini sebanyak 68 peratus adalah wanita.

"Ia bukanlah bermaksud kita hanya memilih pelajar wanita kerana pemilihan adalah berdasarkan permohonan dan juga kelayakan pelajar," katanya. Beliau ditemui selepas memantau perkembangan pendaftaran pelajar baru UMS di Dewan Canselori di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor UMS (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Amran Ahmed; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Madya Dr. Kasim Md. Mansur dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosnah Ismail.

Pendaftaran pelajar baru UMS bermula 8.30 pagi ini hingga esok. Bagaimanapun pelajar yang tinggal jauh diberi tempoh seminggu untuk mendaftar.

Menurut Kamaruzaman, jumlah pelajar baru UMS pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan berbanding 3,800 orang pada tahun lalu.

"Peningkatan jumlah pelajar ini menunjukkan pelajar dan ibu bapa meyakini kemampuan UMS melahirkan pelajar yang cemerlang dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 42 peratus pelajar pada tahun ini berasal dari Sabah dan selebihnya adalah dari Sarawak dan Semenanjung. Dalam pada itu katanya, pada tahun ini juga seramai 91 pelajar antarabangsa ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Katanya, antara pelajar antarabangsa pada tahun ini termasuklah dari China, Turki, Greece, Brunei dan Filipina.

Sementara itu, katanya, pada kali ini juga pihaknya mempertimbangkan permohonan pelajar untuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran.

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top