UMS-KAL Belanja RM13j Naik Taraf

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
pengarang@utusan.com.my


LABUAN 13 Julai - Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) membelanjakan kira-kira RM13 juta untuk menaik taraf prasarana dan kemudahan bagi keselesaan pelajar baru dan lama kampus itu.

Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Shariff Abdul Kadir Omang berkata, projek berkenaan termasuk menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat (IT), kolej kediaman pelajar seperti memasang pagar keselamatan, kafetaria, kemudahan sukan, perpustakaan dan landskap.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyediakan tangki dan paip air serta membina tembok konkrit untuk memudahkan pelajar.

''Kita jangkakan semua projek ini dapat disiapkan pada pertengahan Ogos ini bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan yang selesa dan selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 624 pelajar baru mendaftar di UMS-KAL bagi sesi 2010/2011.

Dr. Shariff berkata, daripada jumlah itu, seramai 494 pelajar mendaftar di Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL) manakala 97 lagi di Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL).

Beliau berkata, kampus UMS itu turut menerima 29 pelajar baru dari China dan empat orang dari Turki yang akan mengikuti pengajian SPKAL dan SSIL selama tiga tahun.

Katanya, SPKAL masing-masing menerima 320 pelajar perempuan dan 174 pelajar lelaki manakala 68 pelajar perempuan dan 29 pelajar lelaki mendaftar di SSIL.

''Semua pelajar baru akan di tempatkan di Kolej Kediaman Mutiara, Sungai Bedaun dan selebihnya di dalam kampus UMS-KAL," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr. Shariff berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang sesi pendaftaran pelajar ini termasuk taklimat sekolah, kepimpinan mahasiswa, pendaftaran kursus, kurikulum, riadah senam seni dan majlis penutupan.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top