MAKLUMAN: Pemanjangan Masa Pembukaan Waktu Perkhidmatan Perpustakaan Sehingga Jam 12.00 Malam

  1. Berdasarkan perjumpaan MPP bersama Pihak Pengurusan Universiti pada 04 Mac 2010 yang lalu, pihak MPP telah memohon agar waktu perkhidmatan perpustakaan dipanjangkan pada waktu malam.
  2. Pihak Perpustakaan UMS Kota Kinabalu telah bersetuju untuk memanjangkan waktu perkhidmatan perpustakaan UMS KAL sehingga jam 12.00 malam dan akan melaksanakannya sebagai permulaan selama 3 bulan.
  3. Pelaksanaan pemanjangan waktu perkhidmatan ini akan berkuatkuasa pada 23 Mac 2010 (Selasa). Mohon perkara ini diwar-warkan kepada seluruh warga kampus khususnya pelajar-pelajar UMS KAL.

Daripada:
Majlis Perwakilan Pelajar (Pro-Mahasiswa)
Universiti Malaysia Sabah
Kampus Antarabangsa Labuan

Baca seterusnya...

Kongres Mahasiswa Mencorak Langkah

PETALING JAYA, Mac 20 Sabtu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan jayanya telah menganjurkan satu Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional yang bertemakan “Menjana Gerakan Baru Mahasiswa”.

Kongres itu telah berlangsung di Dewan BANQUET, Dewan Sivik MBPJ, PETALING JAYA. Mengikut makluman, Kongres yang pada awalnya dijangka akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall ( KLSCAH ) dan kemudian terpaksa ditukar kepada DEWANCENTRUM SETIAWANGSA dan akhirnya Dewan BANQUET Petaling Jaya. Menurut sumber, tempat Kongres terpaksa ditukar kerana terdapat pihak yang mensabotaj mereka.

Memetik kata-kata Hilman Idham, yang juga merupakan pengerusi pertubuhan front mahasiswa (Kumpulan Anak Muda Independent-KAMI-) - beliau menyebut, biar beberapa kali kita berpindah tempat, walaupun di jalan raya sekalipun kita tetap akan bersidang. Kata beliau -MAHASISWA TETAP AKAN BERSIDANG BIAR DI JALAN RAYA SEKALIPUN- di sambut oleh sorakan dari mahasiswa saat itu semalam.

Penganjur Kongres juga telah menjemput Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk menjadi perasmi kepada Kongers Mahasiswa Nasional itu. Menurut beliau dalam ucapannya, beliau tidak langsung menyangka akan melibatkan diri di dalam politik, tetapi oleh kerana melihat keadaan bapanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim dihina dan di keji suatu ketika dahulu, maka naluri seorang anak bangun untuk mempertahankan maruah seorang ayah pun timbul, katanya.

SMM mengambil inisiatif untuk mengadakan kongres mahasiswa sebagai usaha untuk menyatukan idea-idea aktivis-aktivis di Malaysia bukan sahaja di peringkat mahasiswa malah aktivis negara. Program ini akan menjadi perintis ke arah SMM untuk menyatukan dan memperkasakan ‘wajah’ Malaysia agar menjadi negara yang unggul bukan sahaja dari satu aspek malahan meliputi keseluruhan aspek utama dalam mentadbir negara maju.

Mahasiswakini

Baca seterusnya...

UMS dan Warganya: Hasil Pemerhatian Ringkas

**Disiarkan semula daripada blog Iecothinker.


Oleh: Aliff bin Basri

Minggu ini adalah minggu terakhir saya berada di UMS, kerana minggu depan saya akan pulang ke Semenanjung, pada 18 Ogos, hari Selasa.

Selama beberapa hari ini, saya diasak dengan beberapa tanggungjawab yang belum dapat diselesaikan. Perkongsian untuk menghayati pembudayaan ilmu masih belum terlaksana dengan baik. Ada halangan akibat ke-belum-faham-an dalam kalangan sahabat-sahabat, saya jadikan sebagai pengalaman berharga. Ada perbezaan dalam kalangan sahabat-sahabat tentang hal ini, di saat-saat akhir perpisahan memang menguji iman dan ukhwah.

Proses pelaksanaan WAMY siri II tidak dapat dilakukan akibat kekangan masa yang amat singkat, namun bahannya sudah ada. Cadangnya ingin berkongsi dengan adik-adik tentang Keserasian Antara Falsafah pendidikan Negara dan Visi UMS: Suatu Petunjuk Ke Mana Hala Tuju UMS Kini?

Hasil analisis menunjukkan, secara ringkasnya, UMS masih belum menuju ke arah yang dimaksudkan. Selain daripada itu, apa yang lebih penting ialah FPN itu kelihatan seperti tidak dihayati oleh setiap warga UMS, sama ada para pelajarnya atau pun para pensyarahnya. Bagaimana kesimpulan itu dibuat? Ia berdasarkan pemerhatian dan dapatan selama melalui manhaj pendidikan UMS kurang-lebih 4 tahun ini. Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan, terdapat beberapa orang pensyarah yang berjiwa pendidik dan berusaha menerapkan pembudayaan ilmu dalam diri para pelajarnya. Syabas saya ucapkan!

Kepada para pelajar Kewangan Islam, anda beruntung mempunyai para pensyarah yang berjiwa pendidik. Jangan abaikan peluang ini untuk menggali ilmu-ilmu mereka. Rajin-rajinlah berjumpa dengan mereka dan bawa berbincang isu-isu semasa berlandaskan ilmu yang benar. Jangan hanya berbincang soal assignment semata-mata. proses pembudayaan ilmu ini tidak terhad kepada aktiviti kuliah, tutorial dan assignment semata-mata, malah ia meliputi segala bentuk keilmuan untuk menjadikan diri benar-benar menghayati hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi Allah.

Dan intipati hasil pendidikan yang dikehendaki ialah lahirnya kesempurnaan diri insaniah dan bukannya untuk mencapai tahap kesempurnaan kewarganegaraan. Inilah seperti yang diterangkan secara tuntas oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Penubuhan universiti-universiti sedia ada dianggap sudah mencukupi untuk menampung penghasilan warganegara yang berpendidikan, tetapi sejauh mana kecukupan ini mampu memainkan perananya yang sebenar? Siapa yang akan mengubah lanskap universiti yang kelihatan bersikap menghasilkan mesin-mesin kapitalism (baca: Universiti and The Captive Mind) atau melahirkan para robotik untuk masa depan negara? (baca: isi ucapan Prof. Emiritus Khoo Kay Kim) Adakah ini yang dikehendaki menurut Falsafah Pendidikan Negara? Jika tidak, apa perubahan yang perlu dilakukan? Jika ya, maka nantikan saat kehancuran Malaysia, dalam keadaan terselindung, atas nama ingin melahirkan guna tenaga yang kompeten dalam setiap bidang (semata-mata)!

Oleh itu, saya pulangkan kembali kepada warga UMS untuk menilai sejauh mana hala tuju yang sedang di-tuju-i oleh para penggerak UMS yang saya yakin mempunyai pengalaman yang lebih luas dan lebih arif dalam perkara ini. Peranan dan kehadiran saya dalam dunia kampus ini, dalam menyuarakan perkara ini ialah sebagai satu muhasabah, tanda sayangnya saya pada UMS, tidak kira UMS Labuan atau Kota Kinabalu. Diharapkan tidak berlaku salah anggap. Tiada niat langsung untuk saya condemn mana-mana pihak. Saya sentiasa meyakini, para penggerak UMS sentiasa melakukan yang terbaik, cuma moga artikel ini mampu menjadi pembantu untuk melihat dari sisi lain barangkali.


UMS KAL: Moga dapat mengembalikan watak insan yang kian pupus, di samping membina tenaga pakar dalam bidang masing-masing

Saya adalah warga UMS yang telah melalui lanskap pentarbiyyahan UMS. Terlibat dengan pentadbiran UMS secara tidak langsung selama setahun melalui peluang yang diberikan oleh Allah melalui pentaklifan sebagai ahli MPP. Ia memang benar-benar memberikan saya satu indikasi bahawa UMS memerlukan penelitian semula dari sudut cara pandang-alam warganya. Ini asas yang membentuk tindakan bagi setiap warga UMS. Tidak kira, ahli gerakan Islam, mahasiswa biasa, para pemimpin pelajarnya, para pensyarahnya, para kakitangan pentadbirannya, termasuk staf-staf sokongan yang membantu untuk memastikan UMS sentiasa bersih dan selesa untuk diduduki.

Jika pandangan-alam warganya baik, ia akan mempengaruhi attitude atau sikap pelakunya. Sebagai contoh, UMS akan sentiasa cantik tanpa berlaku pembuangan sampah merata-rata. Maknanya, walau tiada staf sokongan (domestik engineer) yang membersihkan lanskap kampus selama 1 minggu sekalipun, kampus akan sentiasa bersih! Tapi ini tidak berlaku di UMS Labuan. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam proses penghasilan insan, berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara. Jika berpandukan FPN.

Walau bagaimanapun, diperingkat peribadi, perjuangan akan tetap diteruskan. Proses memberi faham akan kepentingan membudayakan ilmu ini moga diteruskan oleh sahabat-sahabat junior yang mempunyai semangat yang sama. Idea dan gagasan untuk long-term ini bukan hanya melibatkan sahabat-sahabat tidur sebantal dan makan setalam sahaja. tetapi melibatkan setiap warga kampus, melibatkan setiap para pensyarah, melibatkan setiap kakitangan dan staf sokongan yang ada di UMS.

Ia adalah gagasan pembentukan individu muslim melalui pemerkasaan ilmu dan faham di jiwa, secara menyeluruh, dan tidak hanya bergantung kepada politik kampus semata-mata.

Oleh yang demikian, jika perkara ini tidak dapat diterima dalam kalangan sahabat-sahabat se-manhaj dalam tarbiyyah, saya tidak segan silu berkongsikan ia dengan sahabat-sahabat junior yang mempunyai idealisme yang tinggi, cuma memerlukan sokongan dan dorongan dari sudut serba sedikit pengalaman waqi’ di kampus dan motivasi untuk meneruskan agenda pembudayaan ilmu di UMS Labuan, malah Labuan seluruhnya, Insya-ALlah.

Seperti yang telah dikongsikan bersama adik-adik yang mempunyai minat dan kesungguhan yang sama, moga sebelum saya pergi ini, akan saya serahkan hasil pemerhatian saya selama lebih kurang 4 tahun ini tentang budaya warga UMS yang perlu diubah beserta dengan langkah-langkah praktikalnya. Apa yang diperlukan sekarang ialah para penggeraknya. Dan saya sudah jumpa beberapa orang untuk diberikan amanah ini. Moga-moga ia akan berjalan dengan baik dan proses ini akan terus memberikan manfaat kepada warga kampus seluruhnya, termasuk sahabat-sahabat se-manhaj.

Masing-masing mampu menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Jika ada tanggungjawab yang tidak dapat dibuat akibat kekurangan kepakaran, kemahiran atau ilmu yang berkaitan dengannya, mengapa tidak kita serahkan kepada segolongan yang mempunyai kapasiti dan mampu untuk melaksanakannya. Hal ini perlu dilakukan agar kita tidak bertindak zalim ke atas individu-individu yang mempunyai potensi untuk digilap. Jika tidak dengan cara kita (tarbiyyah kita), mungkin dengan cara yang lain.

Satu perkara yang saya belajar selama berkecimpung dalam dunia gerakan mahasiswa Islam ini ialah, gerakan kita masih belum menuju ke arah ke-syumul-an sekiranya kita masih gagal menarik golongan-golongan yang berpotensi dalam bidang dan kepakaran masing-masing untuk tegakkan Islam dihati setiap individu Muslim dan di tanah air tempat bumi dipijak.

Saya akan tolong selagi mampu, insya-Allah.

Di luar sana, ramai lagi sahabat-sahabat yang perlu didekati, dengan konsep yang berbeza, untuk mereka bersama-sama memperjuangkan Islam. Apa yang perlu di sini ialah dorongan, nasihat dan ukhwah Islamiyyah yang perlu disemai dengan penuh ikhlas untuk terus merasai kebersamaan, walau tidak se-manhaj dalam dunia pentarbiyyahan.

Apa yang saya nukilkan di atas ialah apa yang saya rasa, perhatikan, fikir, dan alaminya. Moga ia memberi manfaat untuk semua.

Mohon maaf jika agak kasar. Mohon teguran untuk diperbaiki.

Wallahu ‘alam.

Aliff Basri, 12 Ogos 2009

Baca seterusnya...

Menanti Kebebasan Bersuara 'Parlimen Mahasiswa'

Oleh: Pro Mahasiswa Nasional


Parlimen Mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.

Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.

Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU?

Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)?

Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek.

Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.

Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan?

Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil masa yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.

Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini.

Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.

Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:

1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.

Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa peka dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus.

Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.

Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.

Parlimen Mahasiswa

GEORGETOWN: Penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mampu memberi lebih ruang kepada pelajar menyuarakan pandangan mereka tanpa dipengaruhi pihak luar.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa juga boleh dipertimbangkan ketika penggubalan akta universiti yang baru.

“Kementerian memberi kebebasan kepada IPT membentuk Parlimen Mahasiswa bagi memberi ruang kepada golongan itu meluahkan pendapat yang mampu membangunkan universiti dan negara tetapi ia perlu mengikut modul yang dibenarkan universiti saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kertas cadangan Parlimen Mahasiswa daripada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamed Shafiq Abd Aziz, di universiti itu di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Terdahulu, Saifuddin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Jabatan Kimia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

USM diwakili Dzulkifli manakala Jabatan Kimia oleh Ketua Pengarahnya, N Hithaya Jeevan.

Perjanjian yang membabitkan kerjasama selama lima tahun bertujuan memberi latihan dan penempatan kepada pelajar USM serta peluang melanjutkan pengajian di USM bagi pegawai Jabatan Kimia.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, modul Parlimen Mahasiswa terserah kepada universiti berdasarkan kepada kesesuaian masing-masing kerana ada IPT yang mempunyai banyak cawangan.

“Menerusinya, pelajar boleh berbincang mengenai politik tetapi perlu ada had dan tidak menyentuh isu perkauman sehingga mampu menggugat keamanan,” katanya.

Berita Harian

IPT disaran tubuh Parlimen Mahasiswa

KOTA KINABALU 18 Jan. – Institusi pengajian tinggi tempatan disaran menubuhkan Parlimen Mahasiswa sebagai platform untuk golongan itu mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan berkaitan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai landasan terbaik untuk mahasiswa bersuara, setiap universiti perlu mempunyai model Parlimen Mahasiswa sendiri.

“Setakat ini, belum ada yang menubuhkan Parlimen Mahasiswa, tetapi beberapa buah universiti diketahui dalam proses ke arah itu.

“Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan yang pertama akan melancarkan Parlimen Mahasiswa pada Februari ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Ilmu Ke Arah Pemantapan Pelajar di Dewan Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, proses menyalurkan pendapat dilakukan melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan, tetapi ia kurang berkesan dalam mewakili suara mahasiswa.

Sementara itu, Saifuddin turut meminta pihak pentadbiran universiti agar tidak memperlekeh dan mengetepikan pandangan mahasiswa berhubung sesuatu isu kerana ia boleh menyekat budaya intelektualisme.

Beliau berkata, tindakan itu juga akan mengekang usaha menyuburkan minda dan memberi pendedahan kepada mahasiswa agar lebih berani bersuara.

“Perkara ini perlu dihentikan. Kita tidak mahu mahasiswa berasa dikongkong, diperkecil atau dianggap seperti budak-budak.

“Kita mesti mengiktiraf suara mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai tindakan segelintir pemimpin dan pensyarah universiti yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekehkan pandangan mahasiswa.

Katanya, golongan mahasiswa seharusnya diberi pendedahan dan peranan untuk mengemuka idea-idea baru.

Mengenai rancangan untuk menaik taraf tiga daripada 32 politeknik di seluruh negara menjadi universiti pada tahun ini, beliau memberitahu, perkara itu masih dalam proses pemilihan.

Utusan Malaysia

Baca seterusnya...

Mahasiswa Boleh Kritik Kerajaan - Saifuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

Oleh: Hazayani Zakaria

Baca seterusnya...

GST: Apa Kata Mahasiswa?



Baca seterusnya...

Tingkat Penggunaan WiFi di Universiti

PETALING JAYA - Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini perlu memberi kelonggaran kepada pelajar terhadap penggunaan WiFi di universiti dan kolej mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun terdapat belanjawan dipotong namun bukan alasan untuk IPT menaiktarafkan perkhidmatan Internet kepada pelajar.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan sikap pemimpin IPT kerana mengehadkan penggunaan akses Internet dengan mengenakan tindakan terhadap calon tertentu pelajar yang berkempen melalui laman sosial Facebook kerana Perdana Menteri turut menggunakannya.

“Saya sudah menasihatkan hal ini kepada mereka namun ia masih berterusan. Internet adalah medium penting kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Seminar Muslim Super di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, kesesakan trafik Internet merupakan masalah utama yang dihadapi pelajar walaupun mempunyai akses.

“Saya menerima keluhan berhubung pelajar gemar memuat turun video sedangkan perkara ini menjadi kebiasaan pada masa kini kerana terdapat bahan pembelajaran berbentuk video yang diperlukan untuk tugasan mereka.

“Mereka tiada pilihan dan perlu mengubah fikiran dalam memahami cara pembelajaran moden. Pelajar yang menelaah tidak kira masa dan tempat perlu menggunakan Internet sebagai medium mendapatkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata, mereka perlu mempertingkat kelajuan Internet yang setaraf dengan perkembangan teknologi kini untuk kemudahan pelajar di samping melahirkan modal insan generasi muda.

Sumber: Sinar Harian Online, http://www.sinarharian.com.my/com/content/story6949101.asp

Baca seterusnya...

Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional


Tarikh: 20 Mac 2010 (Sabtu)
Tempat: Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
Anjuran: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)*

- Terbuka kepada seluruh anak muda mahasiswa & orang awam -


Pengenalan

Kongres Mahasiswa adalah satu perkara yang mustahak yang perlu dilakukan dalam negara ke arah mencapai negara maju. Kongres ini penting untuk aktivis mahasiswa khususnya membentuk gerakan yang bersifat yang lebih bersepadu, menyeluruh dan berkesan untuk memajukan negara pada masa akan datang.

SMM mengambil inisiatif untuk mengadakan kongres mahasiswa sebagai usaha untuk menyatukan idea-idea aktivis-aktivis di Malaysia bukan sahaja di peringkat mahasiswa malah aktivis negara. Program ini akan menjadi perintis ke arah SMM untuk menyatukan dan memperkasakan 'wajah' Malaysia agar menjadi negara yang unggul bukan sahaja dari satu aspek malahan meliputi keseluruhan aspek utama dalam mentadbir negara maju.

Jika dilihat kepada realiti kepada keadaan Malaysia pada hari ini, sewajarnya gerakan mahasiswa perlu diber nafas baru yang lebih segar seterusnya meninggalkan ciri-ciri mahasiswa lesu, bisu dan kaku yang akhirnya mencerminkan corak Malaysia akan datang. Oleh itu generasi bakal pemimpin perlu bersedia menggunakan daya intelektual yang ada bergabung suara dan tenaga supaya bakal pemimpin negara akan datang lebih berdaya maju, berkarisma dan prihatin kepada kebajikan masyarakat.


Objektif Kongres

1. Menyusun semula gerakan mahasiswa peringkat nasional.

2. Memperkemaskan struktur gerakan di setiap peringkat (Nasional dan Kampus).

3. Re-branding semula SMM sebagai satu wadah dan koalasi gerakan mahasiswa yang terbesar di peringkat nasional.


Matlamat Kongres

1. Memberi penerangan kepada semua aktivis mahasiswa berkenaan struktur gerakan serta halatuju dan matlamat SMM.

2. Memperkenalkan pimpinan setiap kampus kepada seluruh aktivis.

3. Menyusun semula perwakilan yang terpilih dalam satu organisasi di peringkat Nasional (MPMN)

4. Membuka keahlian SMM secara terus dan menarik lebih ramai anak muda menyertai SMM.


*Solidariti Mahasiswa Malaysia merupakan himpunan gerakan mahasiswa iaitu
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional, Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Baca seterusnya...

Notis

Pengumuman !

Pengedaran air mineral sedang dijalankan oleh JAKMAS. Mahasiswa/i bolehlah mendapatkannya di pejabat JAKMAS masing-masing. Tuntutlah hak anda!

Sekian, Harap Maklum.

Baca seterusnya...

Jangan Leka...!

Penumpuan terhadap isu air belakangan ini, membuatkan pelbagai permasalahan lain tenggelam dari menampakkan kelemahannya. Biarpun air menjadi permasalahan utama bagi setiap mahasiswa, pihak pro-mahasiswa merasakan banyak pro dan kontranya. Bukan bermakna perjuangan mahasiswa dalam menangani isu air menunjukkan tiada permasalahan di kampus yang lain seperti harga makanan di kafetaria yang agak mahal, kebersihan kafetaria yang meruncing, SMP yang masih belum updated,dan sebagainya.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan barisan kepimpinan mahasiswa yang lainnya, seharusnya tidak terlepas pandang pelbagai perkara lain yang perlu diambil tindakan. Mahasiswa tetap akan memerhati dan seterusnya menilai. Antara isu lainnya yang baru-baru ini berlaku adalah isu bilik kediaman mahasiswi dimasuki lelaki pada tengah malam sekitar jam 3 pagi. Tujuan utama lelaki tersebut memasuki bilik diragui. Individu berkenaan telahpun melaporkan perkara ini kepada pihak universiti. Kes ini amat berat sekali kerana melibatkan keselamatan mahasiswi UMSKAL itu sendiri. Pihak keselamatan seharusnya mempertingkatkan keselamatan belakangan ini, memandangkan kontraktor keluar masuk kawasan kediaman mahasiswi bagi pembinaan tangki. Ini bukan bermakna peluang besar bagi sesiapa sahaja untuk memecah masuk bilik kediaman mahasiswi.


Bukan itu sahaja, turut dilaporkan seorang mahasiswa telah kehilangan komputer riba milik persendiriannya sewaktu malam 'Pertemuan Mahasiswa dengan Pihak Pentadbiran Universiti' yang berlangsung Jumaat lalu. Mahasiswa melihat ramai pengawal keselamatan yang turut berada di Dewan Utama ketika itu. Bagaimana pula kawalan keselamatan diluar dan kawasan kolej kediaman? Adakah mahasiswa lebih ganas dan perlu dikawal oleh pihak keselamatan sepanjang masa berbanding orang luar yang tidak dikenali?

Perkara ini perlu dipandang lebih berat oleh pihak terbabit bagi mengatasinya. Sepatutnya kawalan di pintu masuk utama dikawal rapi bagi kereta dan individu yang tidak dikenali. Akan tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Pengawal keselamatan sibuk menahan mahasiswa yang ingin membawa naik kereta sewa yang mereka gunakan untuk menghantar barang yang banyak dan berat walaupun sekejap sahaja masa yang diperlukan. Sebaliknya pula yang berlaku ketikamana orang luar yang tidak dikenali pula yang dibenarkan naik ke kawasan kediaman walaupun tidak mempunyai 'sticker' yang tidak langsung ditahan dan tanpa perlu memberi sebab.

Penulis berpengalaman mengalami sendiri perbezaan layanan pengawal keselamatan bilamana penulis sendiri memandu kereta sewa dan tidak dibenarkan untuk naik ke kawasan kolej kediaman. Akan tetapi, bilamana penulis dihantar oleh keluarga angkat pula dibenarkan untuk naik ke kawasan kediaman walaupun kedua-dua kereta tidak mempunyai 'sticker' Keselamatan UMS. Sama juga ia berlaku untuk entah keberapa kali. Layanan pihak keselamatan turut berbeza terhadap kereta besar dan mahal tidak mengira siapa pun pemandunya.

Lalu, harus bagaimana perkara ini diselesaikan? Banyak laporan dan aduan sudah dibuat, namun perkara yang sama tetap berlaku setiap semester. Kerana masih lagi sistem yang sama digunakan. Adakah sistem keselamatan kampus sudah cukup membuatkan mahasiswi terutamanya, merasa nyenyak untuk tidur malam? Apakah tindakan yang pihak barisan kepimpinan mahasiswa telah lakukan?

Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) pula sibuk dengan program-program mereka. Tapi, adakah kebajikan mahasiswa sudah cukup dibela? Yang manakah sebenarnya misi utama mereka yang ingin mereka dahulukan dalam kepimpinan mereka?

Baca seterusnya...

Air: Kita Tunggu dan Lihat

28 Februari lalu genap sebulan sejak barisan kepimpinan pro-M UMSKAL mendapat mandat besar daripada mahasiswa. Hari ini pula genap seminggu sejak demonstrasi Himpunan Mahasiswa Mendesak Pulihkan Air (PULIH). Lebih seribu mahasiswa turun menyertai, jumlah yang secara statistiknya melebihi 50% daripada jumlah keseluruhan penuntut UMSKAL. Sekejap sahaja nama UMSKAL telah menjadi sebutan, demonstrasi seumpamanya yang pertama di Labuan, lapor Bernama.

Selama sebulan ini, krisis air ini tidak mengizinkan Saudara Herryanto selaku Naib Presiden (KAL) yang baru untuk berehat. Walaupun baru sahaja mengambil alih kerusi kepimpinan daripada pimpinan terdahulu, barisan kepimpinan baru MPP tidak membuang masa untuk memperjuang nasib mahasiswa KAL. Setiap peluang perlu digunakan untuk menyuarakan perkara ini (air) ke atas, lengkap dengan cadangan penyelesaian. Malangnya, daripada berita yang didengar, apabila dibawa ke mesyuarat MPP di kampus induk, suara KAL diperlekeh, dikatakan “kebudak-budakan,” konon banyak lagi isu lain yang lebih penting untuk dibincangkan. Ini belum lagi diperkatakan halangan-halangan lain yang diterima oleh MPP KAL dalam membawa isu ini.

Walaupun masalah air ini, masalah yang dikongsi bersama oleh seluruh penduduk Labuan, namun KAL mengalami kesan yang paling teruk. Jika di tempat lain catuan air masih berjalan, di sini mahasiswa pernah tidak menerima walau setitis air dalam beberapa hari. Hal ini berlaku ketika di institusi-institusi pengajian lain di Labuan seperti Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dan Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) masih menerima bekalan air secara berterusan walaupun secara catuan, hasil pengurusan yang yang cekap pihak pengurusan institusi berkenaan yang mengutamakan kebajikan pelajarnya.

Kemuncaknya, mahasiswa tidak lagi dapat menahan rasa. Perjumpaan awal dengan pihak HEP dan pentadbiran serta pihak JBA pada malam Isnin, 1 Mac lalu hampir sahaja menimbulkan demonstrasi “pertama.” Seterusnya suara mahasiswa ini akhirnya “bergema” dalam demonstrasi keesokan harinya, Selasa 2 Mac.

Ternyata demonstrasi ini banyak memberi kebaikan kepada mahasiswa KAL, sama ada kepada yang menyokong atau yang tidak menyokongnya. Isu yang tidak dapat diselesaikan selama 9 bulan, akhir telah nampak usaha-usaha penyelesaiannya. Syukur, harapnya segala janji-janji yang dinyatakan dalam perjumpaan Jumaat lepas tertunai dan dapat diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan. Kini pada mahasiswa, hanya tinggal tunggu dan lihat. Mahasiswa adalah “hakim” yang akan terus mengadili. MPP pula akan meneruskan kerja-kerja mereka menyemak isu lain pula demi kesejahteraan mahasiswa.

Baca seterusnya...

Hasil Pertemuan Pihak Pentadbiran UMSKAL Bersama Mahasiswa


Maklumat Yang Diperoleh:

En. Mohd Zamri B. Mohd Tuah (Penolong Pendaftar Kanan HEPA)
  1. Jawatankuasa 'ad-hock' telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah air di Labuan. Berperanan memastikan air yang dibekalkan mencukupi, konsisten dan berkeadaan baik.
  2. HEP akan memastikan bekalan air (lori) dibekalkan secara berterusan.

Cik Kamisah Husin (Timbalan Pendaftar)
  1. Dalam masa 10-14 hari akan siap pam dan saluran tangki ke tangki-tangki atas blok kediaman untuk 5 buah tangki utama di kolej kediaman. untuk tangki-tangki selebihnya, akan disipkan dalam bulan 4 tahun ini.
  2. 10 buah kanvas tertutup dibekalkan, 8 buah di kolej kediaman mahasiswi, dan 2 buah di kolej kediaman mahasiswa.
  3. Memegang prinsip "Customer is Always Right'.
  4. Kontrak dengan 'Major Maintenance' sebanyak RM18juta diperuntukkan untuk menaiktaraf dan membangunkan UMSKAL: -Pembersihan tangki-tangki air secara berkala di UMSKAL. -mengemaskini kabel elektrik. -menaiktaraf kompleks sukan.
  5. RM600,000 diperuntukkan untuk 15 buah tangki dan pam.
  6. Setiap minggu laporan kesihatan akan dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan yang memantau kualiti air yang dibekalkan.
  7. Laporan 'task force' turut dilaporkan.

Walaupun pelbagai tohmahan yang diberi dari pelbagai pihak dan dari pelbagai sudut, mahasiswa UMSKAL telah dapat membuktikan bahawa 'KITA SATU KELUARGA'. Saling lindung-melindungi dan saling bersatu hati menyuarakan hak sebagai seorang mahasiswa. Sehinggakan, penjelasan dan resolusi yang dinantikan oleh mahasiswa dari pihak pentadbiran universiti telah dapat dicapai. Ini dibuktikan dengan kesatuan mahasiswa yang hadir di dewan utama pada malam Jumaat tersebut dengan memakai pakaian berwarna hitam.
"Mahasiswa bukanlah kanak-kanak yang senang ditipu dengan janji-janji, tetapi mahasiswa perlukan penjelasan konkrit untuk memahami keadaan selain dapat memberi cadangan..."
- mantan exco 3K MPP
Antara cadangan mahasiswa:
  1. Perkasakan 5S yang tidak tercapai dikalangan staf. (Sdra.Musid, SSIL)
  2. Kurangkan birokrasi dikalangan staf dan pentadbiran universiti terutama bagi kes-kes kecemasan. (Sdri.Qatrunnada, mantan exco 3K)
  3. Memberi penerangan umum kepada mahasiswa secara telus dan tepat bagi permasalahan yang melibatkan mahasiswa. (Sdri. Qatrunnada, mantan exco 3K MPP)
  4. Memandang tinggi peranan pemimpin mahasiswa yang seharusnya dipandang suara mereka mewakili suara 2000 orang mahasiswa, dan bukannya suara individu. (Sdri.Qatrunnada, mantan exco 3K)
  5. Membuat pemerhatian terperinci tentang permasalahan kualiti air di kampus oleh pihak yang pakar dalam bidang tersebut. (Sdra. Abdillah, mantan naib presiden MPP)
  6. Memasang kanvas yang kukuh atau memperbaharui kanvas penghadang tempat mandi sedia ada. (Sdri.Hanisah, SPKAL)
  7. Untuk sesi baru yang bermula Julai akan datang, UMSKAL dicadangkan supaya ditutup sehingga permasalahan air selesai dan mahasiswa KAL dipindahkan di kampus induk untuk meneruskan pengajian. (Sdra.Abdillah, mantan naib presiden MPP)
  8. Memperkasakan cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam kertas kerja cadangan MPP yang diserahkan sewaktu delegasi.
Pelbagai perkara yang telah disampaikan oleh Pengarah Kampus, Prof.Dr.Shariff A.K Omang, yang menunjukkan kepada mahasiswa bahawa beliau cuba melindungi staf bawahannya dan menyalahkan mahasiswa sehingga menimbulkan kemarahan mahasiswa. Namun, beliau tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya oleh mahasiswa memandangkan beliau baru sahaja ditukarkan ke UMSKAL dari kampus induk di Kota Kinabalu.

"Saya amat mengenali Prof.Shariff...Saya cukup kenal dengan sifat beliau yang cukup mengambil berat mahasiswa dan seringkali turun padang. Seringkali saya berdiskusi dengannya tentang isu-isu kampus. Pertemuan pada malam ini yang pada awalnya cuba dibatalkan oleh pihak HEP memandangkan keselamatan telah ditarik balik oleh Prof. dan beliau meminta untuk bersemuka dengan mahasiswa menghadapi masalah yang timbul. Saya tahu tidak banyakyang beliau ketahui tentang permasalahan air ini dan adalah tidak adil beliau yang perlu menjawab segala permasalahan yang dipersoalkan mahasiswa..."
- mantan naib presiden MPP

Kenyataan yang diberikan oleh mantan Naib Presiden MPP tersebut, sedikit sebanyak meredakan keadaan dewan yang gamat dek kerana respon terhadap pengucapan Pengarah Kampus. Namun, ia digantikan pula dengan sorakan mahasiswa menyeru pihak HEP untuk memberi penjelasan serta resolusi, dan bukanlah semata-mata pengakuan salah oleh Pengarah Kampus atas kelambatan bertindak menangani permasalahan air oleh kakitangan yang sepatutnya bertanggungjawab.

Walaupun sesetengah pihak telah berusaha melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka yang sepatutnya menjaga kebajikan mahasiswa dengan baik, akan tetapi terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan mereka sebaliknya yang pastinya terancam.
"Kepada staf dan kakitangan sokongan yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan berusaha sehabis baik, tahniah diucapkan. Akan tetapi, bagi mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka, bersedialah, kerana anda akan menjadi sasaran mahasiswa seterusnya pada masa akan datang kerana mahasiswa sedang memerhati..."
- mantan exco 3K MPP
Dari pihak pro-mahasiswa melihat bahawa, mahasiswa UMSKAL bukanlah lagi seperti kayu yang basah. Mahasiswa kini telah menjadi kayu yang kering dan telah terbakar dek kerana isu yang melibatkan kebajikan ini. Bukan sahaja kini, malah pada msa akan datang, mahasiswa pastinya bangkit pada bila-bila masa sahaja untuk menegakkan hak mereka yang tercalar. Kerana, kayu yang kering itu, bila-bila masa sahaja boleh terbakar. Pemimpin yang telah dilantik, perlulah memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam pada kita sama-sama membawa mahasiswa kearah kebangkitan yang sejajar dengan keintelektualan tinggi dengan menerapkan kasahsiahan yang jitu dan seimbang dari sudut IQ, EQ, dan SQ secara terfokus dan bukanlah tergopoh-gapah.

Tahniah Mahasiswa UMSKAL!

Baca seterusnya...

MAKLUMAN


PERJUMPAAN KHAS PIHAK PENTADBIRAN UMSKAL
BERSAMA MAHASISWA

TARIKH : 5 MAC 2010 (JUMAAT)
MASA : 7.30 MALAM
TEMPAT : DEWAN UTAMA
PAKAIAN : SEMI FORMAL
ANJURAN : MPP & PMUMSKAL

Pengarah kampus bersama wakil semua jabatan pentadbiran UMSKAL akan hadir pada malam tersebut.

Gunakan ruang dan peluang yang kita ada untuk menyampaikan suara MAHASISWA

"DARI MAHASISWA UNTUK MAHASIAWA"

Baca seterusnya...

"Saya Tidak Akan Halang Mahasiswa" - Naib Presiden MPP UMSKAL


Kenyataan Sdra. Herry Anto Hasanuddin (Naib Presiden MPP UMSKAL Sesi 2009/2010)

Mahasiswa mengalami kesusahan menjalani sesi pengajian bukan sahaja sehari dua ini, malahan bermula semenjak bulan Jun tahun lalu. Bagaimana dapat kita bayangkan mahasiswa yang perlu menumpukan perhatian terhadap pembelajaran terpaksa mengharungi kehidupan kampus yang ketiadaan air? Setiap hari perlu mengangkut air untuk keperluan harian selain memperolehi air yang kurang bersih dan tidak sesuai untuk diminum.

Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sebelum ini telah melahirkan mahasiswa kelas pertama yang mendapat pelbagai bentuk anugerah. Akan tetapi, perkara ini tampaknya hanya mimpi untuk sesi akan datang. Bukan sahaja motivasi mahasiswa yang telah terjejas, malahan terdapat banyak kes-kes tarik diri dari meneruskan pengajian telah berlaku.

Hal ini telah mendapat perhatian berat oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi kepimpinan lalu, yang mana mereka telah berusaha agar air tetap dibekalkan kepada mahasiswa walaupun melalui penghantaran oleh lori-lori tangki air pada setiap hari di kolej kediaman mahasiswa dan sekitar kampus. Perbincangan demi perbincangan telah dibuat. Mesyuarat demi mesyuarat telah dijalankan untuk mendapatkan solusi dari permasalahan yang berlaku. Daripada punca hinggalah kepada penyelesaian dicari untuk dimaklumkan kepada mahasiswa. Sehinggakan MPP sesi lalu telah menjalankan ‘Delegasi Ke Putrajaya’ dan ‘Delegasi Ke Pejabat Menteri Sabah’ untuk menghantar memorandum dan kertas Kerja Cadangan bagi penyelesaian masalah air di kampus bahkan untuk seluruh Labuan.

Rentetan dari itu, permasalahan air ini telah mendapat perhatian banyak pihak tertinggi kerajaan. Mesyuarat dan pertemuan dijalankan diantara Pemimpin Mahasiswa UMSKAL dan pihak pentadbiran UMS bersama Menteri Wilayah, Jabatan Bekalan Air Labuan, Ahli Parlimen Labuan, dan Perbadanan Labuan. Walaupun beberapa resolusi telah dicapai dan disepakati, saya melihat ia hanyalah janji semata-mata tinggal janji. Kerana permasalahan air tetap berlaku malah lebih teruk berbanding hujung tahun 2009 yang lalu.



Biarpun air nampaknya sedikit pulih pada awal Januari 2010 yang lepas, air kembali tiada sejak Khamis minggu lalu malah lebih teruk lagi. Bukan sahaja air tiada untuk kegunaan harian mahasiswa di kolej kediaman, malah menara pentadbiran, masjid dan cafeteria turut sama kekeringan air. Penjualan makanan di kafetaria turut berkurang gara-gara ketiadaan air. Saya mendapat khabar bahawa masalah ini bukan sahaja di UMSKAL, malah sekitar Labuan turut terjejas. Perkara ini sangat-sangat membuatkan mahasiswa hilang kesabaran dan mula menunjukkan kemarahan.

Saya turut mendapat aduan dan respon kemarahan mahasiswa yang secara terang ingin mogok tidak mahu datang ke kuliah sehingga masalah air selesai. Bukan itu sahaja, demonstrasi yang ingin dijalankan oleh mahasiswa pada bulan Ogos 2009 yang lalu yang telah dihalang oleh MPP sesi lepas kini dikatakan akan terjadi.

Saya sebagai pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL bagi sesi 2009/2010 yang baru sahaja ditaklifkan pada hujung Januari lalu, dengan tegas ingin menyatakan bahawa saya tidak akan menghalang mahasiswa untuk menjalankan mogok ataupun demonstrasi terhadap permasalahan air yang berlaku. Malahan, saya menyatakan sokongan terhadap tindakan ini. Saya turut membuka medan untuk mahasiswa meluahkan segala yang ingin disampaikan kepada mana-mana pihak yang ingin mendengar keluhan dan suara mahasiswa UMSKAL . Surat-surat telah diedarkan kepada pihak pentadbiran UMSKAL dan pensyarah-pensyarah untuk memaklumkan ‘Perjumpaan Tergempar Mahasiswa’ yang akan berlangsung di perkarangan PALAPES yang berhadapan dengan barisan gerai mahasiswa pada 1 Mac 2010, Isnin iaitu pada jam 8.30 malam. Terpulang kepada pihak pentadbiran universiti untuk hadir atau tidak kerana mahasiswa akan bersuara ketika itu.


Selain dari itu, mogok untuk tidak hadir ke kelas-kelas dan kuliah-kuliah bermula hari Selasa yang dinyatakan oleh mahasiswa juga tidak akan saya halang. Begitu juga dengan demonstrasi yang bakal berlaku. Pendirian saya yang mewakili seluruh kepimpinan mahasiswa UMSKAL adalah, kami tidak akan menghalang kebangkitan mahasiswa menghadapi permasalahan air di kampus disamping kami turut memberi sokongan dan akan menghadirkan diri untuk setiap perkara yang terjadi di kampus akan datang.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa kepimpinan kali ini adalah kepimpinan yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan bagi kepimpinan yang lalu dan kami bukanlah bermula semula dengan membuka buku baru dengan melakukan apa yang telah dilakukan oleh MPP lalu, tetapi kamilah yang akan menyambung segala perjuangan yang tidak sempat dihabiskan oleh mereka. Jika perbincangan, mesyuarat dan pertemuan tidak berjaya menyelesaikan masalah, maka saya dan barisan kepimpinan mahasiswa tidak akan ragu-ragu untuk tidak menghalang kebangkitan mahasiswa yang ingin suara mereka didengari sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah air ini. Walaupun meja rundingan masih terbuka luas untuk membincangkan masalah-masalah lain bersama-sama pihak pentadbiran university, akan tetapi permasalahan air, saya serahkan kepada mahasiswa untuk menilai dan mengambil tindakan dan saya tetap membantu setakat yang mampu untuk adil kepada semua pihak…

* kenyataan ini dirakamkan sebelum malam 'Pertemuan Tergempar Mahasiswa'


Pihak pro-mahasiswa merakamkan rasa simpati kepada pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL kerana terpaksa berhadapan dengan masalah mahasiswa yang sudah tidak dapat bersabar dengan tekanan hidup di kampus sehinggakan pertemuan yang dirancang telah bertukar menjadi luahan rasa kemarahan dan tekanan mahasiswa. Pada masa yang sama beliau turut perlu menjawab segala tohmahan pelbagai pihak samada dari atasan mahupun dalaman MPP juga masyarakat luar umumnya. Disamping ingin memuaskan hati mahasiswa, beliau turut perlu mempertimbangkan hati selain dari mahasiswa.

Pihak pro-mahasiswa bangga mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat! Kami tahu pemimpin kami tidak bersalah, malah kami turut mendesak pemimpin kami untuk memberi ruang dan peluang untuk kami bersuara...

Makluman: Sdra. Herry Anto Hasanuddin, Naib Presiden MPP UMSKAL telah diarahkan untuk ke kampus induk pada pagi ini (Rabu, 3 Mac 2010) untuk menjawab segala perkara yang berlaku 2 hari ini. Kemungkinan juga, beliau akan mendapat tuduhan menganjurkan demonstrasi walaupun bukanlah beliau yang menganjurkannya. Sama-samalah kita pertahankan pemimpin kita...!

Baca seterusnya...

Pelajar UMSKAL Berdemonstrasi Tuntut Bekalan Air

02 Mac, 2010 21:13 PM

LABUAN, 2 Mac (Bernama) -- Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Selasa mengadakan piket bagi menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian segera terhadap masalah bekalan air di kampus itu.



Piket tersebut adalah yang pertama seumpamanya di pulau ini berikutan kekurangan bekalan air yang berlaku di sini sejak pertengahan tahun lepas.

Sambil membawa sepanduk dan poster, mereka berkumpul di kampus itu, yang terletak kira-kira 14km dari bandar Labuan, sejak pukul 9 pagi di bawah pengawasan polis.

Kuliah di kampus berkenaan dihentikan sementara berikutan piket itu.

Bercakap kepada Bernama, naib presiden majlis perwakilan pelajar UMSKAL Heryanto Hasanudin berkata mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti itu sebelum piket tersebut diadakan.

Katanya dalam memorandum itu, pelajar meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat UMSKAL bagi melihat sendiri keadaan di situ; meminta bekalan air bersih disediakan secara berterusan; dan meminta universiti itu ditutup sehingga masalah bekalan air di situ diselesaikan.

Lebih 2,500 pelajar menuntut di universiti itu, sebahagian besarnya berasal dari tanah besar Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta sebilangan kecil dari China, Indonesia dan negara lain.

"Akibat masalah bekalan air ini, ada pelajar yang berhenti dan melanjutkan pengajian di universiti lain," katanya.

Heryanto berkata pelajar menghadapi masalah bekalan air di kampus itu sejak semester pertama tahun lepas dan berharap keadaan akan bertambah baik pada semester kedua.

"Malangnya, keadaan bertambah buruk. Kami telah suarakan masalah ini sejak tahun lepas, tapi ia terus berlarutan. Kami harap menteri berkenaan akan mencari jalan bagi membantu kami," katanya.

Kini, pelajar universiti itu bergantung pada bekalan air yang dihantar oleh lori tangki Jabatan Bekalan Air bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Heryanto berkata mereka cuba menghubungi naib canselor universiti itu untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak berjaya.

Usaha Bernama untuk menghubungi pengarah UMSKAL juga tidak berhasil.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata beliau telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mencari penyelesaian bagi masalah kekurangan bekalan air di Labuan.

"Kami tidak boleh biarkan para pelajar dan rakyat kami terus mengalami masalah ini sepanjang masa. Kami tak akan dapat menarik pelabur sekiranya masalah ini berterusan," katanya.

UMSKAL memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 gelen air sehari bagi memenuhi keperluan pelajar dan petugasnya.

Sementara itu, berikutan perbincangannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talip, Jabatan Bekalan Air dijangka menghantar bekalan air yang secukupnya ke universiti itu.

Masalah kekurangan bekalan air di Labuan dijangka berakhir Disember ini apabila projek saluran paip dasar laut dari Beufort ke pulau berkenaan berharga RM365juta, disiap sepenuhnya.

Kini, Labuan bergantung pada bekalan air dari tanah besar Sabah melalui saluran paip dasar laut dari Sungai Padas di daerah Beaufort. Permintaan terhadap bekalan air di Labuan ialah kira-kira 56 juta liter sehari, sedangkan bekalan semasa hanya berjumlah 42 juta liter.

Masalah bekalan air di Labuan bermula apabila dua daripada tiga empangan kering awal tahun lepas.

-- BERNAMA--

Baca seterusnya...

"Janji Pentadbiran UMS dan JBA Perlu Ditunaikan!" - Pengerusi Pro-M UMSKAL

Masalah air di Labuan, khususnya UMS KAL, belum lagi menemui jalan penyelesaian. Malah, janji manis yang ditaburkan oleh pihak pentadbiran dan pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) pada mesyuarat lalu kelihatannya tidak bermakna, hanya seperti 'gula-gula' yang diberikan kepada kanak-kanak yang merengek untuk men'diam'kannya.

Kebelakangan ini, pihak pro-mahasiswa mendapati, masalah ini kelihatannya seperti menjadi semakin serius, dan tidak ada petanda bahawa pihak pentadbiran yang menjanjikan akan menambah bilangan tangki di blok kediaman pelajar berserta pam (pam air ke tangki atas blok) dan janji JBA untuk membekalkan 12 tangki air sehari kepada mahasiswa UMSKAL akan tertunai. Malah saya mendapati, mahasiswa semakin mendesak agar janji-janji tersebut segera ditunaikan.

Diperingkat pro-mahasiswa, saya berpandangan tindakan-tindakan agresif daripada semua persatuan pelajar khususnya MPP itu sendiri sangat diperlukan ketika ini untuk menunjukkan bahawa kita tidak selesa dengan kadar usaha pihak pentadbiran yang seolah-olah meremehkan isu ini. MPP pro-M sendiri telah mengatur strategi-strategi segera untuk menghimpunkan mahasiswa yang sengsara ini untuk kita dengar suara dan sepakat daripada mahasiswa untuk tindakan selanjutnya yang perlu diambil diperingkat mahasiswa.

Perjumpaan tergempar ini, bukan sekadar perjumpaan 'biasa-biasa' untuk kita bertempik dan mencarut, tetapi perjumpaan ini haruslah menjadi medan memberi sumbang saran terhadap kepimpinan mahasiswa untuk sama-sama mencari dan bersepakat dengan satu pelan tindakan segera yang akan diambil oleh mahasiswa sebagai langkah desakan terhadap pihak pentadbiran universiti khususnya dan kepada kerajaan malaysia umumnya berhubung dengan masalah hak asasi yang tidak tertunai ini.

Pihak pro-m sangat mengagumi, semangat dan kesungguhan segelintir mahasiswa yang menghubungi saya sendiri dan wakil-wakil MPP pro-M, menyatakan hasrat besar untuk bertindak dengan lebih agresif mendepani masalah air ini. Desakan dan sokongan padu inilah yang kami harapkan daripada kita semua sebagai mahasiswa sedar. Antara idea-idea dilontarkan kepada pihak pro-m seperti mengadakan mogok tidak datang kelas, dan demonstrasi besar-besaran sebagai tanda protes mahasiswa terhadap masalah air ini. Lontaran idea ini, sememangnya terkandung dalam perancangan pro-M dengan mempertimbangkan kerjasama dan kesediaan semua mahasiswa untuk bersama-sama kami. Pihak pro-M tidak akan teragak-agak menyambut saranan anda semua, sekiranya anda sebagai mahasiswa bersedia mengembling tenaga, menghimpun daya, menyatu suara untuk kita bangkit menyatakan kepada semua bahawa kita bukan anak-anak kecil yang begitu senang diperlekehkan.

Namun ingin saya nyatakan disini, kepada pihak-pihak yang menganggap tindakan agresif mahasiswa ini sebagai tindakan tidak profesional, sila nyatakan cara profesional bagaimana yang dicadangkan untuk memberitahu pihak berwajib bahawa kita sedang sengsara. Apa lagi prosedur yang tidak kita lalui, sekian banyak mesyuarat dan perbincangan meja bulat melibatkan menteri-menteri, berapa banyak surat telah pihak MPP hantarkan kepada pihak yang bertanggungjawab mohon penjelasan dan penyelesaian, malah pihak MPPKAL telah sedaya upaya membawakan isu ini untuk dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini, malangnya kenyatan berlepas tangan yang diberikan.

Lebih mendukacitakan, apabila dikhabarkan pihak MPP UMS induk pada awalnya menyekat MPPKAL untuk menyuarakan isu air ini dalam perjumpaan tersebut kerana kononnya isu 'kebudak-budakan' tetapi setelah didesak dan MPPKAL bertegas terhadap pendirian untuk membawakan juga isu air tersebut sebagai salah satu agenda perbincangan. Pihak lain yang hanya sekadar mendengar dan melihat kesengsaraan kita sebagai mahasiswa dalam masa ketiadaan bekalan air ini, memang tidak akan memahami kondisi dan situasi mahasiswa kita.

Saya selaku pengerusi pro-M UMSKAL, merakamkan penghargaan terhadap sokongan dan kesepaduan semua mahasiswa menghadapi isu air ini. Saya juga mengharapkan kita semua bersatu, berganding bahu, tidak mengira kaum, agama dan bangsa, kita laungkan suara mahasiswa, kita beritahu kepada massa, kita menderita dengan ketiadaan air ini. mari mahasiswa, kita turun perhimpunan tergempar membuktikan bahawa kita menyokong sebarang desakan untuk menyelesaikan masalah ini. Sekurang-kurangnya, janji pihak pentadbiran dan JBA perlu ditunaikan!!!.

"DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA"

Mohd. Abdillah bin Matlin
Pengerusi Pro-Mahasiswa, UMSKAL

Baca seterusnya...

Perjumpaan Tergempar Mahasiswa!


Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top