Mahasiswa bersiap sedia gempur Galas dan Batu Sapi


Pilihanraya Kecil merupakan salah satu kompenen penting bagi Negara Malaysia yang mengamalkan konsep federalisme dan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen. Maka setiap inci rakyat Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan sistem ini terus berlangsung mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Mahasiswa memberi jaminan bahawa PRK Galas kali ini bakal menyaksikan sekali lagi mahasiswa akan berpencak sebagai generasi muda pencinta Negara. Mahasiswa akan turun bersama rakyat untuk memimpin mereka mencorak masa depan yang terletak di tangan mereka sendiri. Keterbukaan Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa turun ke Galas akan digunakan sebaik mungkin bagi membuktikan peranan mahasiswa yang sentiasa dominan di sisi masyarakat. Mahasiswa tidak memiliki kepentingan kepartian, apa yang penting bagi mahasiswa ialah prinsip bersih, amanah, telus dan adil perlu berfungsi sebaik mungkin di Galas.

Mahasiswa sudah muak dengan berita berita kotor Pilihanraya yang sentiasa menerpa ruang media sehingga masyarakat sudah hilang percaya kepada sistem demokrasi Negara. Jika SPR kekurangan tenaga untuk memastikan PRK berjalan dengan adil dan bersih, biar mahasiswa menggalas tugas tersebut. Jika polis merasa berat tulang untuk memastikan keamanan sepanjang PRK, biar mahasiswa yang menggalas tugas tersebut agar rakyat dapat mengundi dengan selesa. Jika diberi peluang, mahasiswa akan pastikan setiap pentas kempen sentiasa padat dengan kelantangan aktivis mahasiswa yang sentiasa optimis untuk membela rakyat. Mahasiswa juga tidak akan menolak jika diberi peluang untuk tampil kehadapan sebagai calon alternatif kepada rakyat di Galas.

Tuntas, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh sahabat mahasiswa untuk turun ke medan Pilihanraya Kecil Galas sebagai agen tidak rasmi kepada sistem demokrasi Negara. Kita nilai, imbang, dan kita siapkan resolusi untuk masa depan demokrasi Malaysia melalui pemerhatian kita di Galas. Kita tidak turun untuk PAS, mahupun UMNO, tetapi kita turun ke Galas untuk rakyat dan masa depan Negara. Kita hormati mereka yang berada di pentas politik kerana mereka juga elemen yang menjayakan sistem demokrasi Malaysia. Namun kita sebagai mahasiswa boleh membantu rakyat untuk menentukan siapa yang lebih sesuai untuk memimpin mereka.


"MEMURNIKAN GERAKAN, MEMAKNAKAN MAHASISWA"
*Kenyataan media oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Baca seterusnya...

Menara Warisan : Apa kelebihan pada RAKYAT..?


Datuk Seri Najib Razak sememang seorang Perdana Menteri yang prihatin. Prihatin dengan peninggalan dahulu. Terlalu sangat prihatin. Sehingga mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan 100 tingkat yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong. Rancangan untuk projek mega itu, yang akan dibina dan dibiayai oleh syarikat kaitan kerajaan - Permodalan Nasional Bhd (PNB) - terdiri daripada tiga fasa dan dijadual siap pada 2020.

Amat menarik. Menara warisan sebagai lambang negara maju. Apa kaitanya negara maju dengan menara warisan? Keadaan kini menampakkan pembaziran kerajaan kepada perkara yang sia- sia. Jika projek sebegini diluluskan, maka akan banyak duit rakyat akan di perah. Semakin kuruslah perut-perut rakyat. Semakin kembung pula poket orang- orang mereka. Kerajaan pusat bukan lah kerajaan yang membela rakyat. Kita terfikir, kenapa Najib beriya mahu membina menara warisan sedangkan banyak perkara yang di perlukan kepada perkara lain.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga - keluarga miskin yang berada di negeri - negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri - negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam - macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga - keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan lain - lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket kami semakin kering. Jika benar Belanjawan ini untuk rakyat, salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji. Ini bukan mental subsidi, tapi sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang memikirkan masalah rakyat.

Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya - raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerananya semua sudah mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik - klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka. Kita orang bandar jangan angkuh. Sila lihat apa yang terjadi kepada saudara - mara kita yang berada di kampung. Baik yang Melayu, Cina, India, Iban dan lain - lain.

5 Billion jika disalurkan kepada 100 orang keluarga yang susah. Sudah pasti nilainya lebih bermakna daripada bangunan 100 tingkat. Bangunan yang boleh dibina kemudian hari. Yang penting adalah rakyat. Rakyat yang menjadi aset penting kepada negara. Tanpa rakyat hilanglah Malaysia. Tanpa rakyat siapalah Rosmah?

5 Billion jika disalurkan kepada pendidikan. Mahasiswa dan para pelajar merupakan pemimpin masa depan negara. Golongan sebegini sebenarnya waris negara. Membina waris negara. Bukan membina menara warisan. Sepatutnya peruntukan untuk membina menara tersebut di salurkan kepada kalangan mahasiswa.

Diberi biasiswa kepada mahasiswa atau golongan yang kurang kemampuan. Mengurangkan yuran pembelanjaan mahasiswa di kampus- kampus. Membina penempatan yang secukupnya kepada mahasiswa. Membina infrastuktur di universiti supaya pembelajaran menjadi lebih lancar.

Rakyat ternyata susah dengan pembinaan menara warisan yang belum pasti lagi fungsinya. Projek ini hanyalah alasan untuk meluluskan proses mengeluarkan duit negara kemudian di masukkan ke poket masing- masing.

Jika kerajaan prihatin, hapuskan segala bayaran di sekolah- sekolah. Beri bantuan kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan atau sekolah agama rakyat(SAR). Malu jika sebuah kerajaan negeri mampu memberi pelbagai bantuan. Kerajaan pusat sepatutnya mampu buat lebih daripada itu.

Buat rakyat Malaysia yang punya otak dan akal. Berfikirlah dengan baik. Kita sebagai rakyat Malaysia semakin terdesak. Kita semakin kurang duitnya dalam poket kita. Apa yang perlu kita buat. Ubah sebelum parah!! Kita ubah kerajaan. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.


Oleh:
MOHD YUSOF HADHARI
Ketua Penerangan
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Baca seterusnya...

Cuma Speaker’s Corner, bukan demonstrasi - Syazwan

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) semalam mengadakan bantahan terhadap Islamic Fashion Festival (IFF) bagaimanapun mendapat tentangan oleh pihak polis. Mereka yang diketuai oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Ahmad Syazwan Mohamad Hasan berkumpul sesudah solat Jumaat tengahari semalam di masjid Ar-Rahman sebelum pihak polis menghalang mereka.

Sekumpulan aktivis mahasiswa tersebut berkumpul hanya untuk tujuan mengadakan speaker’s corner bagi menyatakan pendirian mereka terhadap penganjuran IFF yang jelas betentangan dengan cara berpakaian Islam. Ada antara mereka yang sudah bersedia dengan banner, kertas bantahan yang antaranya tertulis ‘IFF hina Islam’ dan gambar-gambar IFF yang menunjukkan pakaian yang tidak langsung sama sekali bertepatan dengan syariat.

Syazwan dalam kenyataanya melalui rakaman video rakan wartawan UM, beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang menghalang mereka daripada menyatakan suara mereka.

“..Isu ini isu yang besar. Isu yang berkaitan dengan penghinaan agama Islam, isu eskploitasi wanita, isu yang menjejaskan umat Islam itu sendiri..” Ujarnya lagi.

Selain video kenyataan Syazwan, video lain yang merakamkan mengenai tindakan pihak polis juga banyak disebarkan melalui laman sesawang facebook beberapa aktivis ini. Pihak kami bagaimanapun cuba menghubungi sendiri Syazwan bagi mendapatkan keterangan beliau.

“Semalam kita hanya mahu berkumpul untuk menyatakan pendirian. Bukan nak buat demonstrasi besar-besaran atau sebagainya. Tapi kita kesal apabila pihak polis turun beramai-ramai seolah-olah kita merancang satu demonstrasi besar-besaran yang mengancam keselamatan. Sedangkan sebelum ini, kita biasa buat speaker’s corner tanpa ada apa-apa halangan. Saya percaya, ini kerana kita membincangkan mengenai isu ini(IFF)” Ujarnya ketika dihubungi. – Mahasiswakini.com

Baca seterusnya...

Hanya Satu Penyelesaian, Mansuhkan AUKU

Saya kira keputusan untuk mengenakan tindakan terhadap dua orang mahasiswa UKM yang terlibat dengan perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bukan langkah yang tepat. Saya juga dengan tegas menyatakan bahawa mahasiswa akan tetap membantah sekiranya dua mahasiswa tersebut dikenakan tindakan tatatertib atas dasar menjunjung prinsip demokrasi berpelembagaan. Selaku pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS, saya berpandangan sudah tiba masanya konflik AUKU yang tidak pernah selesai ini disudahkan bagi membuka lapangan yang lebih selesa untuk mahasiswa berperanan sebagai negarawan muda.

Keterlibatan dua orang mahasiswa UKM dalam Perhimpunan Agung UMNO sebenarnya memberi petunjuk bahawa elemen Politik sudah tidak boleh dipisahkan daripada mahasiswa. Bagi saya, adalah tidak perlu untuk difikirkan samada mahasiswa patut terlibat dengan Parti Kerajaan atau Parti Pembangkang, kerana saya optimis mahasiswa sebagai generasi muda yang berprinsip tidak mudah untuk diperbodohkan. Atas dasar ini saya mempercayai mahasiswa sentiasa sedar dengan keputusan yang diambil dan tindakan yang mereka lakukan. Maka saya tidak melihat keterlibatan mahasiswa UKM dalam perbarisan Perhimpunan Agung UMNO sebagai suatu yang janggal jika tindakan itu mereka lakukan dengan penuh rasional. Namun dengan adanya akta zalim AUKU, saya kira tidak ada jaminan untuk dua orang mahasiswa tersebut terlepas daripada tindakan tatatertib.

Begitu juga dengan isu empat orang mahasiswa UKM jurusan Sains Politik yang bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib akibat terlibat dengan Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Saya pasti kehadiran mereka ke Hulu Selangor adalah dengan penuh sedar ingin memerhati dan menjiwai semangat demokrasi melalui Pilihanraya Kecil tersebut. Namun sekali lagi AUKU bertindak sebagai pembunuh senyap yang mematikan semangat mahasiswa untuk terus cakna dan terlibat dengan arena politik negara.

Persoalan yang penting ialah, apakah begitu susah untuk pihak yang bertanggungjawab mempertahankan AUKU menghapuskan pandangan skeptikal terhadap mahasiswa?. Sekiranya pandangan mantan Naib Canselor UITM, Datuk Seri Prof Ibrahim Abu Shah terus dijadikan sandaran untuk merendahkan kematangan mahasiswa, saya kira negara yang kita cintai ini bakal berhadapan dengan kekontangan pelapis negarawan yang serius.

Ekoran perkara ini, saya menyambut baik pandangan Ketua Pemuda UMNO, Sdra Khairy Jamaluddin yang menggesa pihak kerajaan memberi perhatian terhadap tuntutan mahasiswa yang ingin AUKU dimansuhkan. Samada populis atau tidak, saya mengambil kenyataan tersebut dari sisi positif dengan mengambil kira Sdra Khairy Jamaluddin sebagai pemuda yang sudah pasti memahami aspirasi anak muda dan keperluan masa depan negara. Saya juga tidak teragak-agak untuk merancang satu kolaborasi dengan beliau semata-mata ingin memastikan mahasiswa mengecapi kebebasan berpolitik .

Sdr. Ahmad Syukri Ab Razab
Pengerusi
Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia

Baca seterusnya...

GAMIS Sabah Bantah Keras Konsert Adam Lambert

Kehadiran penyanyi yang terkenal dengan budaya ”homoseksual”, Adam Lambert ke Malaysia menyaksikan satu lagi pencabulan minda dan kerosakan akhlak yang cuba ditonjolkan menerusi medium dunia hiburan di negara ini.

Dengan sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sabah hari ini tampil dengan menyatakan bantahan sekeras-kerasnya penganjuran konsert berkenaan yang jelas menyalahi norma-norma hidup manusia beragama.

Kerajaan Malaysia perlu jelas matlamat dasar sesebuah pemerintahan dan bijak menilai kerelevenan kemasukan artis barat bagi mengelakkan kejadian dan penyebaran kerosakan budaya timur.

GAMIS Sabah juga melarang keras sebarang bentuk pencabulan terancang bagi memburuk-burukkan konsep Negara Islam Malaysia. Tiada bezanya dengan kelainan konsep tersebut sekiranya perkara halal dan haram menjadi mainan untuk mendapat pengaruh politik sempit.

Kebisuan pihak pemimpin kerajaan dan kabinet Malaysia terhadap penganjuran konsert ini jelas apabila tiada seorang pun dikalangan menteri dan anggota kabinet bangkit berani bersuara dan seakan mempersetujui konsert ”gay” ini diadakan.

GAMIS Sabah secara peribadi mahu kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kerosakan sosial yang melanda remaja kini. Bagaimana untuk membentuk generasi madani, akta digubal dan terus digubal, namun kerosakan tangan-tangan pemimpin masih dibiarkan berterusan. Seakan tiada perasaan positif untuk membawa balik rakyat Malaysia amnya dan para remaja khususnya ke arah kemuliaan Islam.

Justeru, GAMIS Sabah mendesak pihak yang berkenaan supaya tampil ke hadapan dan menyatakan pendirian masing-masing agar tidak membiarkan dosa-dosa ini meresap ke jiwa masyarakat yang tidak bersalah.


Oleh:

HARIEYADI KARMIN
Timbalan Pengerusi I
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Negeri Sabah

Baca seterusnya...

Bantah Adam Lambert di Malaysia

Assalamualaikum wbt, salam hormat dan salam sejahtera..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, hari ini, saya, Herry Anto Hasanuddin, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, tampil ke hadapan untuk memberi kenyataan saya, selaku wakil Mahasiswa di UMSKAL mengenai kehadiran Adam Lambert ke Malaysia untuk menjayakan konsertnya iaitu, “Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010”.

Saya dengan ini, sekeras-kerasnya membantah konsert yang bakal diadakan pada esok, 14 Oktober 2010, Khamis di Stadium Bukit Jalil anjuran Marctensia Entertainment dan syarikat rakamannya, Sony Music. Hal ini disebabkan, Adam Lambert, merupakan seorang artis yang cukup popular dengan sikap tidak bermoralnya dan ‘gay’ yang ditonjolkan kepada umum, tanpa rasa malu. Beliau juga dengan bangga, pernah mencium seorang lelaki semasa konsertnya sebelum ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak sesuai untuk melakukan konsertnya di Malaysia, sebuah Negara yang tinggi nilai moralnya.

Banyak mudarat dari manfaat yang akan diperolehi sekiranya beliau turun dan menjayakan konsertnya di Malaysia. Trend ‘gay’ yang dibawa olehnya, mampu menjadi ikutan para belia pada masa kini. Malah, anak-anak remaja yang lebih terdedah dengan hiburan, mampu mengikut jejak langkahnya menjadi ‘gay’ yang sememangnya sikap ini sangat dibenci dan tidak dapat diterima oleh masyarakat umum.

Oleh itu, saya menyaran kepada mahasiswa/i UMSKAL terutamanya, untuk bersama-sama saya, membantah dengan kehadirannya ke Malaysia, bagi menjayakan konsertnya itu. Saya berharap pihak kerajaan mampu mendengar suara Mahasiswa terutamanya mahasiswa Borneo meskipun konsert itu dianjurkan di Semenanjung Malaysia. Saya, mewakili Mahasiswa UMSKAL berharap pihak kerajaan menghentikan penganjuran konsert tersebut demi keamanan dan keharmonian negara Malaysia yang tercinta sekaligus menjaga kemuliaan agama Islam, sebagai agama rasmi negara kita.

Sekian, terima kasih.

Wassalam…

“DARI MAHASISWA, UNTUK MAHASISWA”

Baca seterusnya...

Jangan Salahkan Pelajar Tolak e-Undi

Penolakan mahasiswa terhadap sistem pengundian berkomputer (e-undi) yang dilaksanakan sepanjang Pilihan raya Kampus di seluruh intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu diberikan perhatian serius universiti dalam memastikan sistem berkenaan diterima umum memandangkan kaedah berkenaan adalah pendekatan terkini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, universiti terlibat perlulah mengkaji masalah yang dihadapi pihaknya berikutan bantahan mahasiswa dipremis mereka sedangkan masalah berkenaan tidak melibatkan universiti lain.

“Buat masa ini hanya Universiti Malaya (UM) menerima bantahan keputusan e-undi dan tidak timbul isu yang sama di IPTA lain.

“Jadi tidak timbul isu e-undi, sebaliknya pihak Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) universiti berkenaan perlu mengembalikan keyakinan mahasiswa dalam melaksanakan sistem ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Karangkraf di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu hanya timbul selepas mahasiswa hilang keyakinan terhadap pengurusan universiti dari segi ketelusan dalam melaksanakan e-undi.

“Sepatutnya, universiti perlu memainkan peranan mereka sebagai badan yang bebas dan telus sebagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika melaksanakan pengundian.

“Di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) e-undi adalah yang terbaik dan harus diteruskan, oleh yang demikian sekiranya ada bantahan kita berpendirian universiti perlu memainkan peranan mereka menerangkan mahasiswa tentang manfaat dan kaedah perlaksanaannya

“Berhubung kes ini, KPT telah mengarahkan pihak universiti menyelesaikan perkara ini dan masih menunggu keputusan mengenainya,” katanya.

Dalam sidang medianya selepas itu, beliau berkata, pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana menga-dakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus di ibu negara Sabtu lepas.

“Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tatatertib di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu.

“Mengikut artikel 7 Perlembagaan Persekutuan, ada menyebut tidak ada dwi dakwaan terhadap rakyat Malaysia selepas didapati bersalah,” katanya.

Baca seterusnya...

Kolokium Penyelidikan Pemasaran UMS Pelengkap Diri Penuntut


Labuan: Bagi melengkapkan diri penuntut mengenai penyelidikan pemasaran, sebuah Kolokium Penyelidikan Pemasaran 2010 (MARCOL) telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Menurut Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki, penyelidikan pemasaran mempunyai skop yang luas dan penuntut tidak sepatutnya menumpukan kepada buku semata-mata kerana bidang pemasaran memerlukan perlaksaan dan gerak kerja terutama bagi mempersiapkan para graduan kepada alam pekerjaan.

“Melalui seminar tersebut, para penuntut boleh terlibat secara langsung dalam senario nyata dari segi penyelidikan pemasaran dan menyertai seminar ini sebagai tapak permulaan mereka untuk meningkatkan pengetahuan yang di perlukan dalam perlaksanaan penyelidikan pemasaran,” katanya.

Katanya lagi tujuan utama Kolokium itu diadakan bagi memperlengkapkan diri penuntut dengan pengetahuan penyelidikan yang berguna dalam meningkatkan keyakinan diri mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dalam pada itu Norazah berkata, melalui seminar ini penuntut boleh menyuarakan pendapat mereka melalui pelbagai topik berkaitan pemasaran seperti pembelian melalui talian, e-filing, e-kerajaan dan kegiatan aplikasi yang lain.

“Mereka bukan sahaja dapat berkongsi idea dan pendapat malah kemahiran komunikasi dan kepimpinan di kalangan penuntut dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Seminar yang disertai 100 penuntut itu turut menyaksikan 25 peserta melakukan pembentangan mengenai penyelidikan mereka mengenai bidang pemasaran yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Program yang dianjurkan oleh Dr. Norazah disertai oleh penuntut tahun akhir jurusan pemasaran antarabangsa universiti itu.

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top