Pilihanraya Kecil merupakan salah satu kompenen penting bagi Negara Malaysia yang mengamalkan konsep federalisme dan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen. Maka setiap inci rakyat Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan sistem ini terus berlangsung mengikut lunas-lunas perlembagaan.
Mahasiswa memberi jaminan bahawa PRK Galas kali ini bakal menyaksikan sekali lagi mahasiswa akan berpencak sebagai generasi muda pencinta Negara. Mahasiswa akan turun bersama rakyat untuk memimpin mereka mencorak masa depan yang terletak di tangan mereka sendiri. Keterbukaan Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa turun ke Galas akan digunakan sebaik mungkin bagi membuktikan peranan mahasiswa yang sentiasa dominan di sisi masyarakat. Mahasiswa tidak memiliki kepentingan kepartian, apa yang penting bagi mahasiswa ialah prinsip bersih, amanah, telus dan adil perlu berfungsi sebaik mungkin di Galas.
Mahasiswa sudah muak dengan berita berita kotor Pilihanraya yang sentiasa menerpa ruang media sehingga masyarakat sudah hilang percaya kepada sistem demokrasi Negara. Jika SPR kekurangan tenaga untuk memastikan PRK berjalan dengan adil dan bersih, biar mahasiswa menggalas tugas tersebut. Jika polis merasa berat tulang untuk memastikan keamanan sepanjang PRK, biar mahasiswa yang menggalas tugas tersebut agar rakyat dapat mengundi dengan selesa. Jika diberi peluang, mahasiswa akan pastikan setiap pentas kempen sentiasa padat dengan kelantangan aktivis mahasiswa yang sentiasa optimis untuk membela rakyat. Mahasiswa juga tidak akan menolak jika diberi peluang untuk tampil kehadapan sebagai calon alternatif kepada rakyat di Galas.
Tuntas, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh sahabat mahasiswa untuk turun ke medan Pilihanraya Kecil Galas sebagai agen tidak rasmi kepada sistem demokrasi Negara. Kita nilai, imbang, dan kita siapkan resolusi untuk masa depan demokrasi Malaysia melalui pemerhatian kita di Galas. Kita tidak turun untuk PAS, mahupun UMNO, tetapi kita turun ke Galas untuk rakyat dan masa depan Negara. Kita hormati mereka yang berada di pentas politik kerana mereka juga elemen yang menjayakan sistem demokrasi Malaysia. Namun kita sebagai mahasiswa boleh membantu rakyat untuk menentukan siapa yang lebih sesuai untuk memimpin mereka.
"MEMURNIKAN GERAKAN, MEMAKNAKAN MAHASISWA"
*Kenyataan media oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).
0 comments:
Post a Comment