Suatu Petang di "Rumah Kebijaksanaan"

Minggu ulangkaji hanya tinggal lebih kurang beberapa hari sahaja lagi sebelum tibanya minggu peperiksaan. Ia juga dikenali sebagai ’study week’ (mohon izin…macam dalam parlimen pula). Sepanjang minggu ini, mahasiswa kelihatan semakin sibuk dengan hidupnya sebagai mahasiswa. Seolah-olah baru nampak watak mahasiswa sebagai seorang mahasiswa dalam konteks menuntut ilmu. Suasana belajar wujud di mana-mana sahaja sekitar kampus. Terutama sekali di perpustakaan. Semalam, sewaktu saya mentelaah di perpustakaan, para pelajar sibuk mencari dan menyalin soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Di sudut lain, saya melihat pelajar-pelajar cina yang hampir sehari suntuk berada di perpustakaan. Setiap kali selepas saya menunaikan solat, seorang pelajar cina di suatu penjuru tetap tekun dengan komputer ribanya beserta dengan buku-buku rujukannya. Tidak jemu mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan rakan-rakan mahasiswa yang lain. Tidak ramai.


Fungsi Perpustakaan Zaman Silam

Dalam kesibukan para pelajar menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar, tempat menyalin soalan-soalan dari bank soalan, tempat membuat sebarang tugasan yang diberikan oleh para pensyarah, tempat beristirehat dengan membaca majalah kesukaan atau membaca surat khabar, fikiran saya menerawang ke zaman lampau. Zaman sewaktu perpustakaan menjadi kebanggaan sesebuah kerajaan besar. Zaman yang amat memuliakan ilmu dan cabang-cabangnya. Zaman yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat menjana pemikiran dan idea baru untuk kepentingan ummah. Ketika itu, perpustakaan melambangkan suatu kemahsyuran. Tanda ketamadunan sesebuah kerajaan. Saya kagum bila mendengar atau membaca kisah-kisah berkaitan dengan perpustakaan dan fungsinya di zaman lampau. Rasa seolah-olah ingin kembali ke zaman tersebut dan melihat bagaimana sesuatu ilmu itu dikembangkan oleh para intelektual zaman tersebut. Saya teringin melihat Ibnu Rusyd yang amat rajin mentelaah karya-karya agung Yunani, Saya teringin juga melihat al-Khawarizmi mentelaah sesuatu ilmu sehingga berjaya mewujudkan ilmu matematik(Algorithm). Saya teringin merasai penat lelah Imam Bukhari dalam usaha mengumpulkan hadis Nabi SAW, saya juga teringin melihat dan menghayati kehidupan para intelektual Islam yang lain dalam usaha mereka memartabatkan dan menzahirkan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal kepada umat manusia secara keseluruhannya.

Akibat dari keinginan saya yang mendalam itulah, saya mewujudkan sendiri suasana tersebut dalam diri saya dengan cara bertandang ke perpustakaan hampir setiap hari. Saya berminat melihat beribu-ribu buku yang terdapat di dalamnya. Kadang-kadang saya belek satu persatu buku yang ada. Pelbagai kategori buku ada di perpustakaan UMS-KAL ini. Kalau ikutkan hati, mahu saja saya menghabiskan semua buku yang terdapat di dalamnya. Tapi apakan daya, saya tidak mampu membaca semua buku yang ada. Masa saya sebagai seorang pelajar bukan semata-mata duduk di perpustakaan sahaja. Banyak tanggungjawab lain lagi yang perlu diselesaikan. Pada saya, perpustakaan merupakan rumah ketiga saya selain di bilik dan masjid. Perpustakaan adalah tempat saya mempelajari ilmu baru selain di dewan kuliah. Saya semakin jatuh cinta dengan perpustakaan.

Minggu ini, perpustakaan tetap menjadi destinasi utama saya. Kalau pelajar lain, mereka mungkin datang ke perpustakaan untuk ‘memunggah’ bank soalan peperiksaan yang lepas. Kalau pelajar lain, mereka mungkin menggunakan perpustakaan sebagai tempat belajar untuk peperiksaan, saya pula menggunakan perpustakaan untuk membaca buku selain daripada untuk peperiksaan. Jika mahu ulangkaji, saya boleh ulangkaji di bilik sahaja. Tapi untuk mendapatkan ilmu selain daripada di dewan kuliah, perpustakaan adalah destinasi yang tepat (selain daripada melayari internet). Sekarang, saya dalam proses membedah ilmu ekonomi Islam berkaitan dengan wakaf kerana saya perlukan maklumat untuk mengukuhkan kertas kerja saya yang bertajuk ‘Potensi Wakaf Tunai di UMS’. Jadi memerlukan maklumat berkaitan dengan wakaf secara umum dan khusus. Selain itu, bidang falsafah juga mencuri tumpuan saya untuk dibedah. Saya ingin tahu lebih mendalam tentang apa titik perbezaan yang berlaku antara Ibnu Rusyd dan Imam al-Ghazali dalam mempertahankan hujah masing-masing berkaitan dengan ilmu falsafah kerana saya amat baru dalam bidang falsafah ini. Ini antara tujuan utama saya mengapa saya hadir ke perpustakaan, selain belajar ilmu pengkhususan saya dalam bidang kewangan Islam.

Kesimpulan

Saya melihat ada sebahagian para pelajar yang tidak suka ke perpustakaan dengan pelbagai alasan yang tersendiri. Saya hormati pendapat dan pandangan mereka. Tetapi bagi saya, perpustakaan yang ada seharusnya dimaksimakan penggunaannya sebagai tempat untuk menuntut ilmu. Proses menuntut ilmu bukan senang, tapi ia amat menyeronokkan bagi saya. Kelazatan membelek buku dan membaca satu persatu frasa ayat yang ada mampu memuaskan hati saya. Tapi saya tidak nafikan wujudnya kekangan dalam memahami bahasa selain daripada bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, ia tidak pernah melunturkan keinginan yang mendalam saya untuk membaca intipati yang terdapat di dalam sesebuah buku tersebut. Kamus menjadi teman saya dalam menterjemahkan isi buku.

Apapun, semoga perpustakaan dapat menjadi tempat di mana idea-idea atau gagasan besar untuk kebaikan manusia sejagat dapat tercipta atau terhasil di bumi UMS-KAL ini. Ini memerlukan komitmen semua pihak.

Oh, sudah petang, saya terpaksa beransur dahulu.

Catatan 29 Oktober 2008/29 Syawwal 1429

P/S: Kadang-kadang perpustakaan jadi tempat tidur sebab pendingin hawa sejuk sangat…

BERUBAH UNTUK MENGUBAH

ALIFF BASRI
BA ISLAMIC FINANCE (HONS), UMS
W. P. Labuan
http://hadifulwan.wordpress.com

Penulis adalah mantan Naib Presiden (KAL) Majlis Perwakilan Pelajar UMS 0607.

Baca seterusnya...

Pelajar Berhutang dan Isu PTPTN

Terdapat beberapa punca yang menjadi sebab mengapa terdapatnya mahasiswa yang berhutang. Faktor terbesar datangnya daripada permasalahan berkaitan pinjaman PTPTN. Terdapat mahasiswa yang ditahan pinjamannya kerana PNGS pada semester berkenaan berada di bawah 2.00. Ada pula yang langsung tidak pernah mendapat pinjaman. Lebih menyedihkan, golongan yang turut terbeban dengan masalah hutang ini adalah mahasiswa tahun 1 yang merupakan kelompok ke-2 dan ke-3 penerima skim pinjaman PTPTN ekoran kelewatan pihak PTPTN turun ke UMS-KAL menyelesaikan urusan peminjaman. Ianya dinyatakan sendiri oleh seorang pelajar SSIL tahun 1 yang ditemui Wacana Siswa, berkaitan kerisauan mereka jika gagal menyelesaikan yuran pengajian. Wacana Siswa telah melaporkan hal ini pada keluaran 23 Oktober 2009.

Pihak MPP UMSKAL sesi 2006/07 pernah membawa isu penahanan pinjaman PTPTN ini ke Perhimpunan MPP Kebangsaan pada tahun 2006 yang lalu, di mana mereka memperjuangkan pelajar yang mendapat PNGS di bawah 2.00 pada satu-satu semester tidak ditahan pinjamannya secara sepenuhnya, memadai ditahan separuh atau PTPTN hanya membayar yuran pengajiannya sahaja pada semester berkenaan. Isu ini mendapat perhatian Dr. Adham Baba, Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu. Namun sehingga kini, mungkin disebabkan kurangnya follow-up oleh barisan kepimpinan sesi-sesi selepas itu maka isu ini tenggelam. Mungkin telah tiba masanya untuk isu ini diperjuangkan sekali lagi.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Berhutang? Slip Anda Ditahan!

Hanya tinggal seminggu lagi sebelum peperiksaan akhir semester bermula, pastinya beberapa persoalan lumrah akan hadir di kotak fikiran mahasiswa. Soal mendapatkan slip peperiksaan terutamanya, tidak dapat diperoleh jika seseorang pelajar itu masih berhutang dengan dengan pihak universiti, sama ada hutang yuran pengajian, yuran kolej kediaman, denda-denda tertentu yang masih belum dilangsaikan, dan seumpamanya. Tidak boleh dinafikan, kebimbangan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan mahasiswa berkenaan dalam mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan sebelum peperiksaan.

Isu ini, sebagaimana beberapa permasalahan mahasiswa yang lain yang pernah diperbincangkan sebelum ini, bukanlah isu baru. Ia menjadi suatu isu yang akan timbul saban semester. Bahagian Kewangan telah pun menaikkan senarai pelajar yang berhutang beserta jumlahnya sekali, di tingkat 4 Bangunan Menara. Daripada senarai tersebut, sebahagian pelajar hanya menanggung hutang pengajian semester berkenaan, manakala sebahagian yang lain menanggung hutang mencecah RM6,000.00 – satu jumlah yang cukup besar.

Wacana Siswa merasakan tidak ada isu pelajar yang mendapat pinjaman melengah-lengahkan bayaran yuran, kerana kebiasaannya yuran pengajian akan dipotong terus daripada jumlah yang disalurkan kepada peminjam. Jika ada pun, ia hanyalah kes terpencil.

Wacana Siswa juga sempat menemubual Sdr. Abdilah Matlin, Naib Presiden MPP UMSKAL. Walaupun beliau sibuk dengan hal-hal kemahasiswaan, namun beliau juga peka terhadap masalah ini dan beliau sendiri telah mangambil inisiatif menulis surat permohonan pelepasan pengambilan slip peperiksaan bagi pelajar berhutang. Surat tersebut bakal dihantar kepada pihak yang berkenaan sedikit masa lagi. Beliau turut memberitahu kebiasaannya pada semester-semester yang lalu, pelajar yang berhutang dibenarkan mengambil peperiksaan setelah membayar RM 100.00 daripada keseluruhan hutang.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Ayuh Peka Hak Kita Mahasiswa

Rungutan penghuni Kolej Beta yang menerima saman tempoh hari telah mendapat perhatian saya, lebih-lebih lagi setelah rungutan-rungutan tersebut tersiar di laman Facebook tidak lama kemudian. Justeru, wakil sekretariat MPP telah ditugaskan mendapatkan penjelasan pihak Kolej Kediaman Beta mengenai kekeliruan mahasiswa berkenaan, dan laporannya telah disiarkan dalam Wacana Siswa pada keluaran 23 Oktober 2009.

Berikutan ini juga, wujudnya perbincangan di kalangan mahasiswa bahawa beberapa peraturan kolej yang sedia ada seperti syarat pemasangan talian internet adalah agak ketat dan kadangkala sebahagian daripadanya kelihatan agak kurang munasabah. Justeru pihak MPP bersedia mengkaji beberapa peraturan ini yang bakal diterjemahkan melalui satu kertas kerja cadangan kepada pihak universiti.

Hal ini mungkin akan melibatkan beberapa peruntukan dalam AUKU namun cadangan ini hanya merujuk kepada peraturan yang tertakluk kepada kuasa autonomi pihak universiti, yang mana peruntukan ini boleh ditambah, dimansuh atau dipinda berdasarkan budi bicara Naib Canselor.
Jika anda semua masih ingat, mantan Naib Presiden KAL yang lalu, Sdr. Nashad Mainor pernah menjalankan kempen pemansuhan bayaran RM3 kolej kediaman waktu cuti bagi pelajar yang tidak pulang ke kampung. Soal bayaran RM3 ini juga sebenarnya satu peruntukan dalam AUKU, namun akhirnya bayaran RM3 ini dimansuhkan juga (dengan budi bicara Naib Canselor) setelah petisyen bersama satu kertas kerja dihantar.

Indikasinya daripada apa yang berlaku adalah, mahasiswa perlu mengetahui dan memahami hak-hak mereka sebagai seorang mahasiswa di universiti ini. Soal memandang enteng kepada hak-hak kemahasiswaan tidak seharusnya berlaku.

Mengetahui dan memahami hak mahasiswa bermaksud kita akan peka sama ada hak kita tersekat atau tidak. Jika apa yang kita ada sekarang belum memenuhi hak kita yang sebenar, maka kita perlu perjuangkan. Begitu pun, ia juga tidak bermakna kita boleh menuntut di luar yang menjadi hak kita.

Mahasiswa adalah tonggak harapan negara. Sejarah membuktikannya, di mana jua negara. Justeru mahasiswa perlu menjadi agen perubahan. Namun, jika hak kita sendiri pun tidak kita ketahui, masakan kita mampu melakar sesuatu yang lebih besar bermakna? Anda tahu jawapannya.

ABDILLAH MAT LIN
Naib Presiden MPP, UMSKAL 0809

Baca seterusnya...

"Study Week" Bermula...

Dalam menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang ini sudah tentu mahasiswa semakin sibuk. Ada yang sibuk menyiapkan tugasan (assignment) untuk dihantar dan ada juga yang sibuk dengan mengulangkaji pelajaran. Persediaan awal sememangnya perlu dibuat bagi memastikan kejayaan bakal tercapai.

Tetapi masih ramai juga di kalangan mahasiswa yang masih leka dan tidak mengambil berat tentang kedatangan peperiksaan akhir semester ini. Ingatlah mahasiswa sekalian demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Oleh itu marilah bermula dari sekarang agar kita dapat kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.

Peperiksaan ini merupakan medan dalam kita selaku mahasiswa untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan kita untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dan terbilang. Namun harus diingat persediaan yang rapi perlu agar tekanan ketika menghadapi peperiksaan dapat diatasi. Dinasihatkan juga supaya semua dapat luruskan dan ikhlaskan niat belajar bukan hanya untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata. Perlu memandang betapa tinggi nilainya ilmu itu dan tidak layak untuk dilimpahkan di atas kertas peperiksaan sahaja, malah ilmu harus diaplikasikan dalam kehidupan dan disampaikan kepada masyarakat. Oleh itu selamat maju jaya dan berusahalah bersungguh-sungguh agar dapat mengecapi kejayaan pada masa hadapan.

Baca seterusnya...

Gangguan Elektrik Lagi...

24 Okt — Satu gangguan elektrik telah berlaku semalam menyebabkan ramai pelajar yang mengeluh. ‘Sudah jatuh, ditimpa tangga‘ pula, masalah air belum pernah selesai, sekarang timbul masalah elektrik pula, jika masalah ini berlanjutan selama 2 atau 3 jam tidak menjadi masalah, malangnya masalah ini berlanjutan selama hamper 20 jam, bermula jam 10.00 malam 22 Oktober hingga jam 6.00 petang 23 Oktober. Hal ini tentu sekali mengganggu tumpuan pelajar yang ingin belajar dan mengulangkaji untuk menduduki ujian pertengahan semester yang masih berjalan, dan peperiksaan akhir semester yang bakal tiba tidak lama lagi.

Hal ini pasti mengingatkan kita akan permasalahan gangguan elektrik yang berlaku pada penghujung semester lepas yang kerap kali berlaku, di kala mahasiswa sibuk membuat persediaan terakhir menuju peperiksaan. Jika kali ini gangguan berlaku pada menjelang "study week", semester lepas pula bekalan elektrik putus di tengah-tengah minggu peperiksaan! Bayangkan, pelajar-pelajar yang sedang membuat persediaan untuk kertas bakal diduduki esoknya, tiba-tiba dikejutkan dengan bekalan elektrik yang terputus. Pastinya kemarahan dan kekecewaan akan hadir di perasaan mereka. Andaikan pula jika pelajar berkenaan baru sahaja menghabiskan satu atau dua kertas pada siang hari tersebut dan hanya mempunyai masa terhad pada malam itu untuk mengulangkaji. Atau pun esoknya kertas yang diduduki bukan satu, tapi dua! Maka, rasanya pentadbiran UMS boleh menambah dalam senarai punca kemerosotan prestasi mahasiswa dalam peperiksaan.

Isu gangguan eleketrik ini juga bukannya isu baru, ia sudah terlalu acap kali berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Ia mengundang persoalan bilakah permasalahan ini akan diselesaikan secara tuntas. Barangkali sistem bekalan elektrik sedia ada sudah terlalu “lanjut usia”, jadi ianya perlu diganti dengan sistem atau pendawaian yang baru. Atau sebarang penyelesaian lain juga tidak mengapa, asalkan ianya mampu memberi kelegaan kepada mahasiswa. Biasanya soalan yang sering kali kedengaran, mana inisiatif pihak yang berkenaan untuk membendung masalah ini?

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Kemenangan Pro-Mahasiswa di UPSI dan UNIMAS Satu Amaran Jelas kepada ASPIRASI

oleh: Norazali Bin Zainuddin

Mengulas kemenangan kerusi Pro-Mahasiswa di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan juga Pro-Mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang boleh dianggap bahawa mahasiswa kini mahukan perubahan dan kemenangan Pro-Mahasiswa semakin hampir bagi kampus Lembah Kelang. Pro-Mahasiswa UPSI yang menang bergaya dengan berjaya menawan 8 kerusi yang mana 3 daripadanya merupakan kerusi umum daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Di sebelah Borneo, Pro-Mahasiswa UNIMAS telah menang 3 kerusi daripada 6 kerusi yang dipertandingkan iaitu satu kerusi umum dan 2 kerusi fakulti. Kemenangan kedua-dua kampus ini sekaligus menafikan 2/3 kuasa ASPIRASI yang sekian lama bertapak di seluruh kampus. Kemenangan demi kemenangan yang berlaku memberi signal kepada Pro-Mahasiswa daripada kampus yang lain supaya bekerja kuat lagi untuk memastikan kemenangan pilihanraya kali ini berpihak kepada kita. Norazali Zainuddin, selaku Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional mengingatkan kepada calon Pro-Mahasiswa yang telah menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini, bahawa kemenangan yang diberikan bukanlah untuk dijadikan kebangaan dan juga mengejar populariti semata, tetapi kerja kuat kita ialah memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa. "Tugas berat yang dihadapi oleh kita ialah kini bagaimana untuk mengisi kemenangan dan menyakinkan bahawa undi mahasiswa kepada Pro-Mahasiswa kali ini adalah berbaloi" ujar Norazali.

Kerisauan bagi Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional ialah calon yang menang hanyut dengan buaian keseronokan kemenangan sehinggakan tidak tahu apa yang akan dilakukan pada masa akan datang. Tetapi beliau yakin bahawa pemerintahan Pro-Mahasiswa dan ASPIRASI adalah sesuatu yang berbeza dan menasihati kepada calon yang menang supaya merancang agenda mahasiswa di kampus masing-masing selepas daripada ini. Pada Pro-Mahasiswa kampus Lembah Kelang saat pilihanraya kampus pada bulan Januari ini merupakan saat yang dinanti-nantikan kerana pertempuran sengit akan berlaku secara jelas antara Pro-Mahasiswa dengan ASPIRASI.


NORAZALI BIN ZAINUDDIN
Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional
Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Malaya
Exco Kenegaraan, Etika & Patriotisme
(Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya)

http://norazali.blogspot.com

Baca seterusnya...

Kelewatan PTPTN — Bebanan Mahasiswa

Umum mengetahui beberap bulan lalu UMSKAL telah menerima siswa dan siswi tahun 1 dan kegembiraan nyata terpancar di wajah mahasiwa tahun satu kerana cita-cita untuk menjejakkan kaki ke menara gading bukan lagi satu anggan mat jenin tetapi satu realiti yang tidak ternilai harganya. Suasana kampus UMSKAL menjadi ceria dengan kehadiran “adik-adik” baru kerana mereka inilah yang ramai memenuhi ruang-ruang utama UMSKAL seperti perpustakaan, podium, Megalab dan kafetaria.

Namun di sebalik semangat dan kecerian itu ada kisah yang agak kurang enak keluar di bibir mereka. Selain masalah air yang ”menyambut” kehadiran mereka di UMSKAL, masalah PTPTN yang lambat pada sesi kali ini telah melenturkan sedikit motivasi mahasiswa terutama pelajar tahun 1. Mungkin tidak bagi pelajar tahun 1 yang menjadi kelompok pertama penerima skim pinjaman ini, mereka boleh menarik nafas lega kerana mereka telah pun mendapat pinjaman lebih awal.

Permasalahanya di sini adalah mahasiswa yang yang menjadi penerima bagi kelompok 2 dan 3. Mereka menyatakan pihak pengurusan PTPTN lewat datang ke UMSKAL untuk mengutip borang-borang tersebut. Maklumat awal menyatakan borang bagi kelompok ke-2 akan dikutip pada pertengahan bulan puasa lalu dan akibat masalah yang kurang jelas puncanya tarikh tersebut ditunda.

Bagi kelompok ke-3 pula dikhabarkan tarikh untuk pihak PTPTN akan datang pada 6 dan 7 haribulan Oktober, namun tarikh ini juga ditunda. Akhirnya satu tarikh dipilih iaitu 13 Oktober 2009 untuk pihak PTPTN datang ke UMS-KAL untuk mengutip semua borang untuk kelompok ke-2 dan ke-3. Ramai mahasiswa sudah mengeluh kerana masalah pinjamaan lambat selesai sedangkan pada masa yang sama “duit poket” semakin berkurangan akibat menanggung perbelanjaan harian.

Hal yang paling merisaukan jika ada mahasiswa yang belum membayar yuran pengajian dan kolej kediaman kemungkinan tidak boleh menghadiri peperiksaan semester kerana notis telah pun dinaikkan di pejabat kewangan agar semua mahasiswa melunaskan hutang sebelum hari peperiksaan.

Justeru, pihak MPP kini dalam usaha mengatasi masalah mahasiswa yang berhutang akibat kelewatan atau langsung tidak mendapat pinjaman PTPTN ini untuk dibenarkan menduduki peperiksaan akhir semester.

Oleh: Herry Anto Hassanuddin
WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Kualiti Mahasiswa Kini

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but ROBOTS."

Petikan di atas adalah petikan ucapan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim semasa menyampaikan ucapan selaku ketua panel hakim bagi sebuah pertandingan menulis esei pada tahun 2008 yang lalu, anjuran Perdana Leadership Foundation, iaitu sebuah organisasi amal yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebanyak lebih kurang 400 penyertaan diterima oleh pihak pengajur dan yang paling sedikit menghantarnya adalah golongan mahasiswa daripada Institut Pendidikan Tinggi berbanding pelajar sekolah menengah. Dalam ucapan beliau ini juga, beliau melahirkan kerisauan akan kualiti penulisan para peserta masih jauh daripada piawaian yang diharapkan oleh para hakim. Akhirnya, panel hakim membuat keputusan mengejut dengan tiada peserta yang mendapat tempat pertama, dan hadiah utamanya, sebuah kereta Chevrolet Aveo tidak diberikan untuk sesi pertandingan kali ini sebaliknya ditunda ke sesi pertandingan 2010.

Isi ucapan Dr. Khoo Kay Kim ini umumnya kritikan kepada dua entiti. Pertama sistem pendidikan negara semasa, dan yang kedua sikap dan tanggapan mahasiswa kini terhadap institusi pendidikan bernama universiti. Artikel ini memberi fokus kepada entiti kedua.

Perspektif mahasiswa di Malaysia kini menganggap universiti, atau menggenggam ijazah itu sebagai kunci untuk mendapat pekerjaan yang baik yang menjamin pendapatan yang lumayan. Walaupun tidak dinafikan universiti turut menyediakan kursus yang menepati peluang pekerjaan, namun harus diingat ianya bukanlah matlamat utama. Universiti sebenarnya bermatlamatkan institusi yang membangun pemikiran penuntutnya ke satu tahap yang lebih tinggi dengan penguasaan ilmu akademik dan kepekaan serius terhadap dunia sekeliling.

Justeru, masih belum terlambat untuk kita mengubah paradigma kita terhadap institusi universiti.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Kementerian Benar Semula Sudut Pidato

Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker’s Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.


Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.

Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.

“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan.

Berita Harian, 15 Oktober 2009

Baca seterusnya...

Tahniah Graduan UMS 2009


Konvokesyen UMS ke-11 telah berlangsung bermula 10 hingga 13 Oktober 2009, melibatkan lebih kurang 3000 orang graduan. Bahkan, di beberapa IPTA lain turut mengadakan majlis konvokesyen masing-masing dalam beberapa waktu terdekat ini seperti UUM, UiTM, dan beberapa IPTA lain.

Pro-Mahasiswa UMSKAL mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan UMS terutamanya graduan UMSKAL yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Tentu sekali pengalaman tiga tahun atau lebih di Labuan meninggalkan 1001 kenangan manis dan pahit kepada graduan.

Konvokesyen adalah indikasi bahawa akan bertambah lagi bilangan tenaga kerja di pelbagai bidang dan kepakaran. Ia sudah tentu akan mampu memberi impak dalam pelbagai sektor dalam negara dalam tempoh 10-50 tahun akan datang. Hal ini sudah tentu menuntut kepelbagaian sektor untuk memiliki kepakaran dalam kepelbagaian bidang.

Walau bagaimanapun, penentuan sebagai seorang individu yang baik bukan hanya bergantung kepada terbentuknya tenaga pakar dalam setiap bidang kerjaya, malah lebih dari itu ialah bagaimana sesuatu ‘nilai baik’ itu terbentuk dalam diri setiap graduan. Indikasi pembentukan nilai yang baik dalam diri individu mampu menjadi penentu kepada kestabilan dalam setiap bidang yang diceburi mereka, seterusnya mampu memberi impak positif dalam proses menjaga kedaulatan negara, perpaduan antara kaum dan pembangunan Negara yang berterusan. Maka sesi konvokesyen IPTA dan IPTS bakal menjadi kayu ukur penghasilan ahli masyarakat dalam tempoh 50 tahun dari sekarang.

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Peraturan dan Syarat Pemasangan Streamyx

Salah satu punca mahasiswa/i disaman di Kolej Kediaman baru-baru ini adalah disebabkan oleh pendawaian streamyx. Denda bagi kesalahan pendawaian streamyx yang tidak mengikut peraturan adalah maksimum RM20.00 atau kurang berdasarkan budi bicara pihak kolej.

Dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, ada memaparkan beberapa kesalahan yang dilakukan yang menyebabkan akan didenda. Kadar bayaran denda yang dikenakan kepada penghuni-penghuni yang melanggar peraturan juga ada tercatat.

Menurut Puan Azleena Nordin, Penolong Pengurus Asrama, Kolej Kediaman Beta, penghuni bagi semua kolej kediaman di UMSKAL sememangnya diwajibkan mempunyai lesen bagi pemasangan talian streamyx. Pada borang setebal 6 muka surat itu, tercatat beberapa peraturan berkaitan syarat-syarat memasang talian internet (streamyx) di kolej kediaman, antaranya:

  1. Bayaran lesen Internet sebanyak RM20 setiap sesi pembelajaran
  2. Pemasangan router atas penama pemohon dikenakan bayaran RM10 seorang bagi tempoh 1 sesi.
  3. Pemasangan router hanya dibenarkan kepada ahli yang tinggal seunit dengan penama pemohon.
  4. Pihak Pengetua, kakitangan dan Felo adalah bertanggungjawab untuk memotong/merampas mana-mana router/kabel yang didapati/dilaporkan bersambung/tanpa sengaja oleh mana-mana pemohon dengan unit kediaman yang lain (selain daripada unit penama pemohon sendiri)

WACANA SISWA

Baca seterusnya...

Saman: Pelajar Kolej kediaman Beta boleh merayu

Oleh: Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan

Pelajar Kolej Kediaman Beta boleh merayu kepada pihak pengurusan Kolej Kediaman Beta bagi mengurangkan caj bayaran denda yang dikenakan. Menurut wakil Exco Kebajikan, Kesihatan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar, pelajar tersebut boleh merayu kepada mana-mana pihak sama ada kakitangan mahupun Pn. Azleena Nordin sendiri selaku Penolong Pengurus Asrama Kolej Kediaman Beta.

Menurut Pn. Azleena, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan secara mengejut (sportcheek) ke atas penghuni bagi Kolej Kediaman Beta bagi memastikan penghuni tersebut sentiasa mematuhi peraturan yang telah termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (bagi kolej kediaman).

Pada 14 hingga 18 Oktober lalu, pihak Kolej Kediaman Beta telah melakukan pemeriksaan ke dan telah mengeluarkan saman terhadap penghuni terbabit atas pelbagai kesalahan. Walaubagaimanapun, "saman" tersebut telah menimbulkan rasa diskriminasi terhadap pelajar terbabit apabila ada penghuni yang melakukan kesalahan sama tetapi tidak pula dikenakan denda.Terdapat juga segelintir penghuni yang hanya dikenakan amaran dan ada juga yang dikenakan bayaran denda yang terlalu tinggi.

Baca seterusnya...

UM Kini dalam Ranking 200 Terbaik Dunia


PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) meletakkan Malaysia semula dalam senarai 200 universiti terbaik oleh Times Higher Education (THE)-QS World University Rankings 2009 selepas melonjak sebanyak 50 tangga tahun lalu ke tangga 180 tahun ini.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata, ranking itu bukan sahaja mengenalpastikan ranking tertinggi universiti di dunia, bahkan universiti yang cemerlang dalam subjek-subjek utama tertentu, menjadi sasaran para majikan, menghasilkan penyelidikan terbaik, melabur dalam pengajaran serta mempunyai profil antarabangsa.

Universiti tempatan lain yang turut meningkat rankingnya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menduduki tangga 320 berbanding 356 tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) jatuh antara satu hingga 41 tangga kepada kedudukan ke-291, 314 dan 345 masing-masing.

Ketua QS Quacquarelli Symonds Ltd Intelligence Unit Ben Sowter berkata, kebangkitan semula UM dalam ranking 200 terbaik dunia adalah amat mengagumkan.

"Usaha kolektif universiti untuk menarik sejumlah besar para pelajar antarabangsa menunjukkan satu harapan yang progresif," katanya dalam satu temuramah emel.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu The Star bahawa kementerian menyedari universiti-universiti tersebut lemah dalam citation per faculty dan peer review.

Universiti Harvard sekali lagi mengungguli ranking THE-QS diikuti Cambridge, Yale, University College London, Imperial College, Universiti Oxford, Universiti Chicago, Universiti Princeton, Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Institusi pengajian tinggi Asia yang mempunyai ranking tertinggi dalam senarai THE-QS adalah Universiti Tokyo (22), Universiti Hong Kong (24), Universiti Kyoto (25) dan National University of Singapore (30).

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata kejayaan tersebut meningkatkan semangat dan motivasi semua staf dan pelajar agar lebih berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Pendefinisian semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk para akademik, inisiatif-inisiatif baru dilaksanakan dalam rangkaian antarabangsa, pengambilan staf dan para pelajar telah menghasilkan impak yang cepat dan positif," katanya.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata peningkatan dalam ranking universiti adalah ekoran strategi dalam perangkaian, kualiti, penyelidikan strategik, sinergi dan budaya organisasi.

Mengenai kejatuhan ranking UKM dari tangga 250 ke 291, Timbalan Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dr Hassan Basri berkata pihak universiti tidak terkejut dengan penurunan ranking itu.

Ini kerana katanya, THE-QS telah menunjukkan bahawa penyelarasan secara metodologi dan tinjauan dinamik akan mengurangkan markah secara signifikan untuk academic peer review and kriteria tinjauan majikan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun 2008.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata dia hairan mengenai penurunan ranking universiti walaupun pencapaian universiti tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel ini dipetik daripada akhbar The Star, 8 Oktober 2009.

Wacana Siswa: Bilakah UMS akan berada dalam senarai? Bersediakan semua warga UMS, terutama mahasiswa, ke arah itu?

Baca seterusnya...

Imbasan Isu Air

Penyelesaian pihak kerajaan

10 Sept — Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan bahawa masalah air di Labuan akan pulih setelah projek paip air dasar laut bernilai RM365 juta dari Beaufort, Sabah siap sepenuhnya menjelang akhir 2010.

Kajian masalah air

7 Sept — Ucaptama Naib Censelor semasa majlis berbuka puasa bersama pelajar UMSKAL, mengatakan beliau akan menghantar pelajar UMS Kota Kinabalu daripada bidang kejuruteraan untuk mengkaji masalah air di UMS KAL dengan lebih mendalam.

Air suling?

Terbaru keratan akhbar di papan kenyataan staf: UMSKAL SULING AIR LAUT ATASI MASALAH BEKALAN AIR — Mengambil contoh dari Brunei.

Baca seterusnya...

Sistem E-Vote Satu Penyelewengan..?

Kewujudan sistem Pilihan Raya Kampus (PRK) di semua kampus-kampus universiti di Malaysia sememangnya menjadi suatu perkara besar yang sering diperbincangkan. Perkara seperti siapakah calon yang bakal bertanding Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)? Siapa yang bakal memenangi pilihanraya? Siapakah calon Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi? Sememangnya menjadi penantian yang amat mendebarkan kepada siswa-siswi yang celik akan kepentingannya.

Siswa-siswi sekalian,

Malaysia merupakan sebuah negara maju yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan di mana ianya menjalankan sistem undi atau sistem demokrasi sebagai kaedah bagi menentukan wakil rakyat bagi mewakili sesuatu tempat atau kawasan. Calon yang meraih undi paling banyak akan diumumkan sebagai wakil Parlimen atau wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili parti atau pertubuhan tertentu dan seterusnya mewakili masyarakat sesuatu tempat untuk membela nasib dan kebajikan rakyat.

Alasan-alasan seperti sistem E-Vote lebih selamat, cepat dan mengikut peredaran semasa adalah merupakan alasan songsang daripada pihak berkepentingan yang buta sistem politik kampus. Mereka takut dan gentar berhadapan mahasiswa Pro-M. Hasilnya calon yang berjaya menjadi MPP, menjadi bacul dan hanya tunduk serta patuh sahaja menurut telunjuk mereka.

Siswa-siswi peneraju negara,

Perlu difahami secara konkrit arus modenisasi yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan satu kenikmatan yang sewajarnya digunakan dengan sebaiknya. Namun, penggunaan sistem ini sebenarnya memiliki unsur-unsur ketidakpastian yang boleh dan sering saja dipertikaikan keselamatan dan ketelusan pengaplikasiannya. Hal ini adalah berdasarkan hujah-hujah seperti berikut:

  • Ketidakadilan sistem pengiraan sesuatu sistem maklumat komputer yang dibuat pelbagai sistem perisian data yang boleh sahaja dimanipulasikan pihak tertentu bagi menjayakan rancangan mereka.
  • Pelaksanaan sistem pilihan raya di negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, England hatta Indonesia sekalipun menggunakan sistem undi seperti biasa (pangkah). Justeru, kenapa di kampus tidak berlaku sedemikian?
  • Pengaplikasian sistem tersebut masih terdapat unsur-unsur penyelewengan dan penipuan. Penggunaan sistem E-Vote tersebut tidak mengambarkan secara telus sistem demokrasi dan pemilihan kepimpinan negara ini. Ironinya, ketelusan sistem pengiraan undi adalah menjadi faktor utama bagi menjamin ketelusan sistem demokrasi negara.
Justeru, minda mahasiswa sewajarnya berubah dan tidak hanya mengangguk dan menggeleng sesuatu dengan mudah tanpa mengkaji dan mengambil kira faktor jadian dan tujuan kepentingannya. Adalah menjadi sia-sia buat diri kita yang sudah dewasa ini diperanak-anakkan serta diperbodohkan dengan selesa oleh mereka ini. Sampai bila?

Ayuh...! mahasiswa adalah penyambung. Marilah sama-sama kita merobah sistem ini. Kembalikan sistem Pilihan Raya Kampus secara adil.

sharulfasta

Baca seterusnya...

Mentaliti Mahasiswa Memimpin Perubahan

Oleh: Mohd Abdillah Bin Matlin


Setiap tahun akan berlaku Pilihanraya Kampus di seluruh negara terutama sekali yang melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Universiti. Dalam pilihanraya kampus, lazimnya setiap pelajar akan membuang undi iaitu satu undi untuk kawasan umum dan satu lagi untuk kawasan fakulti/ sekolah masing-masing. Ada pelajar yang melihat pilihanraya kampus sebagai acara rutin memilih perwakilan pelajar dan tidak memiliki hubungan langsung dengan kehidupan pelajar itu sendiri sekaligus tidak mempedulikan apa yang berlaku. Terdapat juga pelajar yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada pilihanraya kampus dan melihatnya sebagai medan perebutan golongan oportunis menonjol diri dan membina nama.

Budaya politik peringkat pelajar universiti perlu memiliki kecenderungan murni atas asas budaya ilmu yang dipandu oleh nilai agama dan budaya sopan. Kerjasama dan persefahaman antara pelajar dan pentadbir universiti penting untuk membentuk warna pilihanraya kampus. Suasana dalam institusi pendidikan bergantung kepada komitmen terutama peringkat pelajar dan pentadbir untuk memastikan kemurnian dan kelancaran acara tahunan ini memberi kesan budaya yang baik dan bukan sebaliknya.

Disamping kewujudan program rutin pelajar dan universit seperti Pesta Konvokesyen, pemimpin pelajar yang terpilih juga perlu menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa yang memiliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Kita juga melihat pemimpin pelajar yang terpilih perlu pemimpim pembina budaya (culture builder) dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.

Kita juga optimis agar pemimpin pelajar yang akan terpilih nanti mampu menjadi model kecemerlangan dan memiliki keyakinan diri dalam memimpin. Umat juga mengidamkan kelahiran pemimpin pelajar yang mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang membimbangi masalah sosial dan jenayah yang sudah menular dikalangan pelajar. Kita semua punyai amanah ilmu dan pengalaman menjadi mahasiswa yang perlu disalurkan kedalam gelojak masyarakat yang dahagakan pimpinan dan dorongan graduan universiti yang akan menjadi hati nurani umat. Mahasiswa perlu menterjemahkan idea dan cita-cita melalui pendekatan yang lebih operatif dan praktis diperingkat masyarakat dan bukannya berlegar disekitar dewan kuliah.

Landskap gerakan pelajar telah berubah seiring dengan usia kemerdekaan negara dan seusia sesebuah institusi pendidikan itu. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat berubah seiring dengan usia perjalanan sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi prinsip kebenaran dan keadilan akan terus subur zaman berzaman seiring dengan semangat kemanusiaan sejagat yang kita dukung. Suasana yang ada kini perlukan pelajar yang lebih matang dan terhadapan dengan ruang dan batasan yang ada. Perubahan politik konfrantasi politik dialog (mina al'muwajahaa ila lihiwar) untuk menyampaikan pandangan pelajar perlu diraikan.

Pandangan pelajar yang mungkin betul dan mungkin silap ini akan mematangkan mahasiswa menyonsong masa hadapan negara. Segala ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan pandangan digunakan sebaiknya oleh semua pihak demi kebaikan bersama. Jangan perjudikan masa dan peluang mahasiswa untuk tujuan politik sementara. Kita bina atas semangat masa depan Malaysia yang lebih baik daripada apa yang kita ada kini.

Dalam satu kata-kata Almarhum Bapak Mohammad natsir, bahawa "pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tatapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan senagkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat".


"PRO-M: AGEN PENERAJU PERUBAHAN"


MOHD ABDILLAH BIN MATLIN
Naib Presiden (Kampus Antarabangsa Labuan)
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sabah
Sesi 2008/ 2009
http://naufalmuawiyyah.blogspot.com

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top