Mentaliti Mahasiswa Memimpin Perubahan

Oleh: Mohd Abdillah Bin Matlin


Setiap tahun akan berlaku Pilihanraya Kampus di seluruh negara terutama sekali yang melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Universiti. Dalam pilihanraya kampus, lazimnya setiap pelajar akan membuang undi iaitu satu undi untuk kawasan umum dan satu lagi untuk kawasan fakulti/ sekolah masing-masing. Ada pelajar yang melihat pilihanraya kampus sebagai acara rutin memilih perwakilan pelajar dan tidak memiliki hubungan langsung dengan kehidupan pelajar itu sendiri sekaligus tidak mempedulikan apa yang berlaku. Terdapat juga pelajar yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada pilihanraya kampus dan melihatnya sebagai medan perebutan golongan oportunis menonjol diri dan membina nama.

Budaya politik peringkat pelajar universiti perlu memiliki kecenderungan murni atas asas budaya ilmu yang dipandu oleh nilai agama dan budaya sopan. Kerjasama dan persefahaman antara pelajar dan pentadbir universiti penting untuk membentuk warna pilihanraya kampus. Suasana dalam institusi pendidikan bergantung kepada komitmen terutama peringkat pelajar dan pentadbir untuk memastikan kemurnian dan kelancaran acara tahunan ini memberi kesan budaya yang baik dan bukan sebaliknya.

Disamping kewujudan program rutin pelajar dan universit seperti Pesta Konvokesyen, pemimpin pelajar yang terpilih juga perlu menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa yang memiliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Kita juga melihat pemimpin pelajar yang terpilih perlu pemimpim pembina budaya (culture builder) dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.

Kita juga optimis agar pemimpin pelajar yang akan terpilih nanti mampu menjadi model kecemerlangan dan memiliki keyakinan diri dalam memimpin. Umat juga mengidamkan kelahiran pemimpin pelajar yang mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang membimbangi masalah sosial dan jenayah yang sudah menular dikalangan pelajar. Kita semua punyai amanah ilmu dan pengalaman menjadi mahasiswa yang perlu disalurkan kedalam gelojak masyarakat yang dahagakan pimpinan dan dorongan graduan universiti yang akan menjadi hati nurani umat. Mahasiswa perlu menterjemahkan idea dan cita-cita melalui pendekatan yang lebih operatif dan praktis diperingkat masyarakat dan bukannya berlegar disekitar dewan kuliah.

Landskap gerakan pelajar telah berubah seiring dengan usia kemerdekaan negara dan seusia sesebuah institusi pendidikan itu. Keperluan, cabaran dan masalah masyarakat berubah seiring dengan usia perjalanan sebuah negara seperti Malaysia. Tetapi prinsip kebenaran dan keadilan akan terus subur zaman berzaman seiring dengan semangat kemanusiaan sejagat yang kita dukung. Suasana yang ada kini perlukan pelajar yang lebih matang dan terhadapan dengan ruang dan batasan yang ada. Perubahan politik konfrantasi politik dialog (mina al'muwajahaa ila lihiwar) untuk menyampaikan pandangan pelajar perlu diraikan.

Pandangan pelajar yang mungkin betul dan mungkin silap ini akan mematangkan mahasiswa menyonsong masa hadapan negara. Segala ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan pandangan digunakan sebaiknya oleh semua pihak demi kebaikan bersama. Jangan perjudikan masa dan peluang mahasiswa untuk tujuan politik sementara. Kita bina atas semangat masa depan Malaysia yang lebih baik daripada apa yang kita ada kini.

Dalam satu kata-kata Almarhum Bapak Mohammad natsir, bahawa "pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tatapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan senagkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat".


"PRO-M: AGEN PENERAJU PERUBAHAN"


MOHD ABDILLAH BIN MATLIN
Naib Presiden (Kampus Antarabangsa Labuan)
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sabah
Sesi 2008/ 2009
http://naufalmuawiyyah.blogspot.com

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top