2011 Tahun Penuhi Permintaan Mahasiswa


Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganjuran Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 dan mendoakan ia berjaya menjadi katalis untuk memperkasa gerakan mahasiswa negara dalam seluruh spektrum kehidupan, termasuk politik.

YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini menyatakan bahawa beliau menganggap remaja sebagai “rakan kongsi” kerajaan. Seruan ini amat bersesuaian dengan dua keperluan besar dalam gerakan pembangunan mahasiswa. Pertama, keperluan untuk memenuhi tiga permintaan asas mahasiswa, iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranannya diiktiraf, dan mahasiswa mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mahasiswa. Dan kedua, keperluan menghayati hakikat bahawa, di samping sebagai pemimpin masa depan, sebenarnya mahasiswa adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda, pemimpin bagi angkatannya, dan rakan kepemimpinan dengan universiti, kerajaan dan sebagainya.

Justeru, sudah tiba masanya kita bersama dalam langkah untuk memenuhi kedua-dua keperluan tersebut. Satu daripada kaedahnya ialah dengan melakukan inovasi demokrasi, iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Di sinilah relevannya isu membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, iaitu dalam maknanya yang sebenar. Dalam konteks ini, terdapat banyak usaha yang mencadangkan agar ia menjadi realiti. Contohnya, mutakhir ini, ia didokong oleh pelbagai pihak, seperti GAMIS, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPT 2010, Makmal Pemuda Barisan Nasional dan Makmal Belia Kementerian Belia dan Sukan.

Di samping itu, kita perlu memulakan diskusi inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi yang lain seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebagainya.

Semua ini adalah langkah-langkah untuk mengisi perjuangan membentuk masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, tamadun tauhidik, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar, sesuai dengan gagasan IMalaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selamat menyambut tahun 2011 dan salam perjuangan.


SAIFUDDIN ABDULLAH
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Baca seterusnya...

Mahasiswa Golongan ‘Third Force’ Semasa PRU Nanti

PETALING JAYA: Mahasiswa merupakan golongan ‘third force’ yang bila-bila masa sahaja akan membuat keputusan penentu sama ada mengekalkan kepimpinan yang ada atau menggulingkan kepimpinan baik di negeri Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Ridzuan Othman berpendapat, mahasiswa berperanan sebagai ‘check and balance’ yang akan menentukan sokongan kepada kerajaan yang diperintah BN ataupun pembangkang bukan kerana agenda politik mereka tetapi menilai sejauh mana ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara.

Beliau menegaskan "tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang"

"Jika hak mahasiswa dijamin, jika mahasiswa diberikan ruang bebas berbicara dan melontarkan pendapat, jika AUKU tidak mengekang hidup mahasiswa, jika PTPTN tidak menyusahkan hidup mahasiswa dengan kadar faedah yang tinggi, saya yakin dan percaya mahasiswa sudah celik dan mampu berfikir siapa yang mereka perlu pilih untuk perjuangkan hak-hak mahasiswa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kelmarin, yang berkata pemimpin mahasiswa berperanan penting untuk membantu mengembalikan keyakinan di kalangan penuntut universiti supaya menyokong kerajaan kerana trend kebanyakan mahasiswa yang kini lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.

Mahasiswa menolak politik sempit

Sehubungan itu, beliau menasihati penuntut universiti agar tidak terpedaya dengan pelbagai tohmahan dan janji-janji yang diberikan oleh mereka kerana ia akan merugikan negara dan rakyat Malaysia.

"Mahasiswa dan mahasiswi perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dan menilai sendiri pihak manakah yang lebih berkhidmat kepada rakyat," kata Mukhriz.

Mohd Ridzuan berkata, walaupun kenyataan Mukhriz hanya merupakan pandangan peribadi, ‘ketakutan’ yang dirasai oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa adalah pandangan sisi yang perlu dinilai sebaik mungkin kerana mahasiswa hanya akan memilih kerajaan yang adil dan amanah di dalam pemerintahan.

Beliau menegaskan mahasiswa adalah golongan bersifat bebas dan tegas menolak politik sempit dan perkauman yang menebal, berpendapat tidak tepat jika mengatakan bahawa kerajaan telah memberikan pelbagai kemudahan dan peluang kepada mahasiswa.

"Bagi saya mana-mana parti pun yang memerintah, tanggungjawab sebagai kerajaan adalah membantu rakyatnya.

Jika parti itu tidak mampu menunaikan tanggungjawab, maka mahasiswa akan menghukum di dalam pilihan raya, berteraskan konsep demokrasi berparlimen," katanya.

Baca seterusnya...

Mahu Ubah Kuasa, Fahamkan Anak Muda - Samad Said


Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.

Menurutnya, harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau bukan.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan politik taksub seperti kalangan dewasa.

Pak Samad berkata demikian ketika menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini kelmarin.

Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid 2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.

“Hanya melalui undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.

“Antaranya mereka perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas Samad.

Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.

Tambahnya, apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion sahaja?

Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu disegerakan.

Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan fikiran dan budaya.

“Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio budaya.

“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi rakyat.

“Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.

Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, wakil Abim dan ramai tetamu serta perwakilan dari seluruh negara termasuk luar negeri turut hadir.


Baca seterusnya...

Siswa Diminta Banding Negeri BN & Pakatan

Pemimpin Mahasiswa berperanan penting untuk membantu mengembalikan keyakinan di kalangan penuntut universiti supaya menyokong kerajaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya cabaran yang dihadapi kerajaan sekarang adalah mendapatkan sokongan daripada penuntut-penuntut universiti di Malaysia kerana kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.

"Mahasiswa dan mahasiswi perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dan menilai sendiri pihak manakah yang lebih berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Bicara Orang Muda anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir ialah Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah.

Sehubungan itu, beliau menasihati penuntut universiti agar tidak terpedaya dengan pelbagai tohmahan dan janji-janji yang diberikan oleh mereka kerana ia akan merugikan negara dan rakyat Malaysia, kata Mukhriz.

Selain itu, pihak Miti juga membantu graduan-graduan universiti untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan tetapi mereka dinasihati agar melakukan kaji selidik mengenai pemasaran supaya barangan dan perkhidmatan yang disediakan memenuhi kehendak pasaran semasa, katanya.

Beliau berkata Miti mendapati beberapa usahawan gagal menebusi pasaran antarabangsa kerana tidak melakukan persediaan dan perancangan terperinci mengenai pemasaran dan tidak memenuhi kehendak pasaran semasa.

Baca seterusnya...

Tiga Pemimpin Mahasiswa Dibebaskan

Putrajaya, : Tiga pemimpin mahasiswa yang ditahan ketika menyertai perhimpunan memprotes kenaikan harga bahan api dan gula dibebaskan pada jam 6.10 petang tadi.

Mereka yang ditahan termasuklah Mohd Ridzuan Othman, Setiausaha gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Syukri Abd Razab, Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS dan Mohd Syahruldeen, wakil aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Mereka ditahan ekoran menyertai perhimpunan tanpa permit yang juga disertai oleh 200 orang mahasiswa.

Mereka diwakili oleh dua peguam iaitu Puspawati Rosman dan juga Haijan Omar.

Puspawati menyatakan, semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis setelah disoal-siasat hampir empat jam.

“Setakat ini belum ada apa-apa dakwaan khusus terhadap mereka.

Walaubagaimanapun ketiga-tiga yang ditahan diminta melapor diri semula ke IPD Putrajaya pada 23 Disember ini. – Mahasiswakini

Baca seterusnya...

SMM seru mahasiswa turun himpunan 1.1.11

Kuala Lumpur : Kira-kira seribu mahasiswa merancang berhimpun di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Januari ini bagi menunjukkan “persaudaraan bawah semangat patriotisme”.

Presiden Solidariti Malaysia (SMM) Shazni Munir Mohd Ithnin (kiri) berkata program itu antaranya bertujuan lebih mendekatkan diri kepada dunia aktivisme mahasiwa.

“Program ini diharap menjadi pemanas badan kepada program lain pada tahun depan,” katanya sambil memberitahu ini kali pertama pihaknya menganjurkan program sebegitu.

Menurut Shazni juga, permit polis akan dipohon hari ini bagi menjalankan program yang dinamakan Himpunan Mahasiswa untuk Malaysia.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, seorang jurucakap Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – penganjur bersama – Ahmad Shukri Kamarudin berkata, program lima jam bermula 8.30 pagi itu juga bertujuan memberikan mesej bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat.

Selain itu, tambahnya, ia menujukkan bahawa segala tindakan mahasiswa hendaklah dibuat berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap negara.

Katanya, program itu akan diisi dengan acara melakar kain rentang bertemakan Jalur Gemilang, “pidato mahasiswa berantai” dan pengisytiharan deklarasi mahasiswa 1.1.11 (1 Januari 2011).

Sumber : Malaysiakini


Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top