Bantahan Kenaikan Harga Petrol, Diesel, LPG dan Gula

Pada 4 Disember 2010, masyarakat dikejutkan dengan kenaikan harga barangan iaitu petro, diesel dan juga gula. Namun, bagi menggaburi mata masyarakat, media menggunakan istilah "Pengurangan subsidi bagi petrol, diesel dan juga gula." Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, RON97 RM2.30 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Alasan pengurangan subsidi itu adalah kerajaan ingin menguruskan kedudukan fiskalnya dengan meningkatkan jumlah kutipan hasil dan dalam masa yang sama, mengurangkan perbelanjaan. Malah, kerajaan melihat pengurangan subsidi tersebut dapat mengurangkan lagi kes penyeludupan barangan tersebut ke negara-negara jiran. Namun, alasan ini dilihat tidak relevan bersesuaian dengan tindakan kerajaan itu sendiri, sebagai contoh pembinaan Menara 100 tingkat, yang akan menelan belanja RM5 billion, kos permulaan penubuhan PEMANDU yang menelan belanja RM66 juta, dan bakal membeli aset baru iaitu pesawat pejuang.

Kenaikan harga barangan tersebut telah memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat umum kerana dilihat telah membebankan mereka dan menaikkan belanjawan seharian bagi seisi keluarga. Malah, pengurangan subsidi itu juga telah memberi tempias kepada mahasiswa, seperti kenaikkan harga rumah sewa dan perbelanjaan yang lain.

Oleh itu, MAHASISWA akan bersama RAKYAT bagi menyuarakan HAK mereka ini. Pungutan suara ini diperlukan untuk bersama-sama menyuarakan BANTAHAN atas kenaikan harga barangan tersebut.

Suarakan HAK dan BANTAHAN anda di sini

Baca seterusnya...

Kenali Pilihanraya Kampus - Part II

Pilihanraya kampus (PRK) saban tahun tetap dan pasti mewarnai suasana di institusi pengajian tinggi dan juga kolej universiti di seluruh negara. Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, ia juga bakal menjadi buah mulut masyarakat dan pemerhati politik tempatan.

Di celah-celah itu, ramai pihak luar yang mempertikai, mengapa para mahasiswa perlu ambil berat akan pilihanraya ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Yang lebih dibimbangi adakah ia sebagai alat kepada kumpulan atau parti politik tertentu yang berkepentingan?

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar itu sendiri. Kepercayaan bahawa setiap mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, serta menyediakan pelbagai jenis program samada ilmiah atau tidak. Juga atas keperluan lain. Alasan ini paling suci dan asli (genuine) serta perlu diberikan kredit.

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi yang unggul dan tunggal yang mampu mengajar para mahasiswa erti demokrasi dan pilihanraya sebagaiman di dunia luar sana. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya. Alasan ini kebiasaannya terpacul daripada mulut-mulut peminat politik negara; dan biasanya di kalangan orang lelaki Melayu.

Gagasan demokrasi yang ditonjolkan ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa setiap pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor sejauhmana demokrasi dalam diri mahasiswa diaplikasikan adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Selain itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang. Perkara ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

Di samping itu, dalam skop yang lebih besar, kepimpinan negara masa kini sangat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Mari kita selongkari sejarah lepas. Nama-nama pemimpin pelajar seperti (Tun) Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Shabery Cheek, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, semuanya pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar yang dilatih menggunakan demokrasi kampus dan kini berdepan dengan demokrasi negara.

Oleh yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara.

Baca seterusnya...

Kenali Pilihanraya Kampus - Part I

Dewasa kini, pilihanraya kampus (PRK) seakan-akan terjadi perkuburan lama yang sunyi dan ngeri akibat kekangan AUKU. Ini juga berikutan kurang pendedahan dan ketidakfahaman mahasiswa IPT tentang peri pentingnya dan ertinya sebuah 'demokrasi mahasiswa.'

Umum lebih melihat daripada sudut Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan pihak Aspirasi di IPT mereka seakan-akan dua pihak yang suka bergaduh tanpa noktah. Segala isu yang dibawa setiap tahun hampir sama iaitu menjaga kebajikan mahasiswa tetapi sebahagian besar mahasiswa meragui janji-janji mereka.

Berbalik kepada isu pilihanraya kampus pada kali ini lengang dan sunyi, selaku mahasiswa tidak dapat tidak kita perlu berbalik kepada objektif dan piroriti kita ke IPT. Tiada salah mahasiswa berpencak politik di kampus. Masing-masing dengan dengan cara masing-masing. Akan tetapi sudah semestinya tunjang akademik yang seharusnya dikejar dan tidak ditinggalkan. Prof. Emeritus Datuk Khoo Kay Kim mengungkapkan rasa kecewanya pada satu temu bualnya dengan rakan penulis, beliau melihat budaya mahasiswa kini semakin kurang berdaya saing dan berintelektual.

Beliau menambah jika 30 tahun dahulu, suasana di universiti-universiti terutamanya di Universiti Malaya seperti sebuah pesta ilmu di mana terlampau banyak diskusi yang dianjurkan untuk menambahkan keintelektualan mahasiswa. Akan tetapi pada masa kini ia seakan-akan pupus dan ditelanjangkan gara-gara budaya ilmu yang kian pudar.

Jika dahulu perhimpunan-perhimpunan dan suara-suara mahasiswa benar-benar jelas menunjukkan mahasiswa benar-benar menghayati isu rakyat tetapi pada masa kini ia hanya tinggal kenangan. Jika ada, mahasiswa tersebut dilabel sebagai 'pembangkang' dan 'pengacau' universiti. Muhamad Abu Bakar di dalam bukunya Mahasiswa Menggugat membuat kesimpulan bahawa perhimpunan dan perjuangan mahasiswa adalah berpunca “dari perasaan tidak puas hati terhadap sistem yang ada, kesedaran bahawa mereka boleh membuat pembelaanb terhadap masyarakat dan anggapan bahawa generasi mereka mempunyai peranan tersendiri dalam pembentukan zaman”.

Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) atau kini telah diubah kepada Majlis Perwakilan Pelajar (sengaja diubah untuk mematikan semangat mahasiswa) pada hari ini kelihatan seperti sebuah badan ekslusif dan badan yang gemar makan angin. Sehinggakan ada jenaka yang mengatakan kebanyakan MPM hanya tahu pergi ke luar negara kononnya mahu mengharumkan nama universiti tetapi yang dapat hanya 'haruman perfume luar negara saja' Ini jelas berlaku terutama di universiti-universiti yang senior di Malaysia.

PRK seharusnya berpaksi kepada demokrasi yang sebenar iaitu memperjuangkan isu mahasiswa, masyarakat dan nasional. Berpaksikan kepihatinan dan keadilan maka setiap mahasiswa haruslah menilai bahawa pilihanraya kampus bukanlah satu permainan tanpa wacana ilmu tetapi sebuah medan meningkatkan intelektual dan juga menggilap bakat kepemimpinan negara pada masa akan datang. Semua pihak haruslah berperanan sama meningkatkan keprihatianan dalam kelemahan kesedaran terhadap pendemokrasian kampus ini, ini kerana jika kita tidak serius, mahasiswa yang bakal lahir tidak lebih dari “robot-robot manusia” yang langsung tidak mengerti matlamat hidup dan makna perjuangan serta jiwa nurani menjadi keras dan gersang.

Mahasiswa seharusnya sedar bahawa PRK bukanlah hanya satu wadah memperjuangkan nasib mahasiswa, tetapi merupakan taman ilmu 'garden of knowledge' yang menghubungkan antara idealisme, realisme, aktivisme dan intelektualisme peringkat mahasiswa. Mahasiswa seharusnya menilai diri masing-masing dan mencabar diri supaya lebih berdaya saing dan berilmu yang bukan hanya di lapangan kuliah tetapi di persada mahasiswa dan masyarakat. Jika kita dapat menggilap bakat mahasiswa pada hari ini supaya menjadi 'the good leader of student' tidak mustahil untuk menjadi pemimpin negara yang hebat dan berintegriti pada masa hadapan. Maka wadah pilihanraya inilah perlu diambil peluang oleh mahasiswa untuk terus ke hadapan.

Benar kata hukama, “Ilmu itu bukan hanya di buku, tapi diakal dan dirimu agar kamu gunakannya untuk menjadi pemimpin diri yang berani”.

Baca seterusnya...

Rakyat Didahulukan...?


Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) kesal dan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 pada 3 Disember dan RON97 dua hari sebelumnya nyata gagal memahami kehendak dan keperluan rakyat.

Saudara Fadhlan bin Sugiman dari Gerakan Mahasiswa Lantang Negara berkata, pihaknya nyata bimbang dengan kenaikan minyak dan barangan keperluan seperti gula dan LPG (Liquid Petroleum Gas) bakal mengakibatkan inflasi negara semakin bertambah.

Di mana slogan 'rakyat didahulukan' yang dilaungkan sebelum ini sekiranya perkara asas rakyat sebegini tidak dipeduli?"

Kata beliau, persoalan yang lebih besar bakal memuncak apabila harga petrol dan diesel terutamanya naik dan akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara langsungnya.

"Kajian daripada kita juga (selepas beberapa siri kenaikan minyak diesel yang lalu) mendapati, kurang daripada (tempoh) dua bulan, harga-harga makanan dan minuman (akan turut) naik melambung yang sedikit sebanyak akan memberi kesan yang langsung terhadap kehidupan rakyat. Jangan fikir kami mahasiswa tidak ambil cakna (perkara-perkara sebegini).

"Pihak GMLN ingin mengucapkan 'tahniah' di atas tindakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kepenggunaan (KPDNK) dan menterinya (Dato' Ismail Sabri) yang baru-baru ini telah keluarkan (melahirkan) 'bunga-bunga' untuk menaikkan harga diesel (selepas insiden penyelewangan diesel); kerana hari ini telah 'menunaikan' kata-kata anda," tambah saudara Fadhalan sinis.

Dalam pada itu, Wartawan GMUKM turut mendapatkan pandangan daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkenaan isu ini.

MPP Alia Suzana ketika ditemui mempertikaikan kewajaran tindakan tersebut ketika mana bonus bagi kakitangan awam baru mula dirasai.

"Apakah kerajaan sengaja bermain tarik-tali; baru diumum bonus, tiba-tiba (harga) minyak naik pula?

"Sesudah minyak dinaikkan, apakah jaminan pula harga barangan lain tidak dinaikkan. Barang seperti susu, tepung, sayur-sayur semuanya diangkut guna lori, (yang) guna minyak. Bukankah ini semua 'side effect' bila kerajaan umumkan harga dinaikkan?

"Jangan fikir mahasiswa hari ini mudah dibodoh-bodohkan dengan alasan penyelewengan subsidi; kerana dari situ mahasiswa sudah dapat tangkap apa sebenar (makna tersirat) sesuatu isu tersebut." tambah beliau lagi.

MPP Yong Koh Beng dalam pada itu turut melahirkan rasa hairan di atas tindakan kerajaan yang kononnya ingin mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara apabila mengumumkan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Ini kerana menurut beliau, apa yang dilihatnya kos pembinaan Menara Warisan yang dicadangkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) lebih penting dan perlu dibawa masuk bagi menyerap faktor seretan (drag faktor) yang bakal timbul selepas ini lebih teruk dan mengundang inflasi yang lebih besar. Justeru itu, adalah lebih diutamakan buat masa ini menyerap kos subsidi daripada membina bangunan yang belum pasti keperluannya.

"Masyarakat Malaysia (hari ini) kita lihat lebih memerlukan duit (daripada bangunan). (Saya kira) bangunan-bangunan yang ada di KL hari ini (sudah mencukupi dan) tiada keperluan membinanya buat masa kini. Mungkin di masa depan, sesudah tiada (masalah) pengangguran, (idea) pembinaan bangunan itu (lebih) relevan (ketika itu)."

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga ingin memetik pandangan daripada GAMIS yang menurut Presidennya, saudara Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (UM), kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan. Persoalnnya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 billion tidak dipotong?


Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM 5 billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Kenapa kos permulaan penubuhan PEMANDU di bawah JPM berjumlah RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan media GAMIS dipetik berkata, sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan menarik hak rakyat marhaen.

Baca seterusnya...

Mengenali AUKU - Part II

Kelahiran Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971 dan diperketatkan lagi dengan pindaan pada tahun 1975 dikatakan berpunca dari sifat paranoid pihak berkuasa terhadap kegiatan mahasiswa terkeluar dari garis-garis dan landasan yang dikehendaki kerajaan.

Perkembangan-perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut diadakan pada tahun 1971 jelas menunjukkan pemerintah cemas dan dikatakan mulai merasa bimbang terhadap perhatian sesetengah pihak yang ingin menjadikan kampus universiti dan penghuninya melunaskan cita-cita mereka samada berbaur politik atau bukan. Ironinya setelah akta drakonian ini dilaksanakan pada tahun 1971 pun, kegiatan mahasiswa masih seperti biasa dan kadangkalanya semakin hebat.

Namun harus diakui AUKU menjadi igauan ngeri kepada mahasiswa apabila mereka tidak lagi gah menggugat yang setara potensi ilmu yang dimiliki. Mahasiswa hanya mampu berlegar di dalam kepungan empat penjuru tembok besar pagar universiti. Angkara AUKU juga, suara mahasiswa tidak lagi bergema dalam rintihan rakyat tertindas untuk membela nasib mereka. Malah mahasiswa juga turut tertindas dengan pelbagai konspirasi kerajaan dan kuasa universiti. Ilmu, daya fikir, semangat dan keperibadian yang kita bina di puncak menara gading tidak lagi mewakili masyarakat untuk diperjuang hak dan dipertahankan maruah mereka.

Perihal AUKU ini akhirnya menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara. Mahasiswa semakin bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan atasan menindas golongan bawahan dan rakyat marhaen. Majoriti sekadar mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa. Tidak hairan apabila negara didakwa semakin ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengah dan digunakan untuk menerajui kepimpinan negara.

Isu ini juga dipersetujui Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM, PM Dr Mohd Agus Yusoff, yang telah berada di lapangan ilmiah ini selama 26 tahun, yang membandingkan suasana mahasiswa hari ini dan 1980-an adalah sangat berbeza seperti bezanya siang dan malam.

"Para pelajar hari ini begitu lesu. Mereka bukan (tidak mampu menjadi) pemikir yang kritis," ujar beliau sambil menyifatkan AUKU dan jabatan hal ehwal pelajar universiti bertanggungjawab di atas kelesuan suasana kehidupan mahasiswa hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengatakan walaupun AUKU, mahasiswa pada tahun 1980 masih mempunyai ruang untuk bertindak melalui peraturan-peraturan yang ditetapkan. Beliau juga memberi contoh Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Husam Musa dan Datuk Puad Zakarshi sebagai contoh pemimpin hari ini yang muncul memimpin gerakan pelajar di universiti tempatan dan hari ini turut berjaya dalam politik.

"Saya mendapati mereka (Datuk Shabery, Datuk Husan & Datuk Puad) aktif berpersatuan dan (mereka juga) benar-benar mencapai kejayaan dalam akademik. Mereka adalah mahasiswa yang bijak. Mereka banyak terlibat (dalam persatuan), (bertindak di) dalam pasukan dan sangat teratur; jauh lebih baik daripada mahasiswa yang senyap dan menyendiri. "

Sumber:
Gabungan Mahasiswa UKM

Baca seterusnya...

Mengenali AUKU - Part I


Di celah kehangatan suasana Aidil Adha yang memasuki hari ke-4, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) berkesempatan melihat komen-komen, pandangan dan wacana daripada segenap peringkat usia berkenaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 atau lebih dikenali Akta 30 ini terutama selepas isu ini hangat dibincangkan di kalangan Ahli Parlimen dan ditambah pula isu UKM4 & 2UKM baru-baru ini.

Mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai 'independent group'. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).

Mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu 'maha' yang melambangkan besar atau berkuasa; dan 'siswa' iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di instiusi pengajian tinggi (IPT). Hasil sistesis kedua-dua suku kata ini memberi makna tersendiri – iaitu suatu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan menuntut ilmu di peringkat tinggi (Universiti), tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. (Zainulfaqar b. Yaacob, 2006:20)

Profesor Feaur dari Universiti Toronto dalam bukunya 'The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement' bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah 'establish'. Maka, mahasiswa dilihat sebagai 'pressure group' yang 'anti-establisment'. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).

Ironinya, mahasiswa mempunyai nilai-nilai tersendiri yang perlu diperhatikan;
(1) mahasiswa adalah ‘bangsa’ terpelajar.
(2) mahasiswa ini mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan yang tersendiri – disebut sebagai idealisme.
(3) pergerakan mereka adalah bersifat tersendiri.

Bersangkutan nilai-nilai di atas ini, lahirlah rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa Malaysia yang gemar berwacana, berdiskusi, berdebat, berpidato, mengeluarkan kenyataan akhbar, menghantar memorandum hatta berdemontrasi di universiti dan turun dalam lapangan ummat.

Sesungguhnya rakyat kepingin melihat bentuk dan wajah aktivitisme mahasiswa yang bersifat non-partisan. Begitu juga dengan parti-parti politik, kesatuan buruh/pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) hatta pihak Kerajaan sendiri. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri berhubung satu-satu atau majmuk aksi mahasiswa Malaysia.

Bagi kaum rakyat marhaen, mahasiswa dahulu lebih dekat dan terkenal dengan istilah 'independent group','pressure group', 'cataliyst', 'check and balance' dan sebagainya.

Ini kerana rakyat suatu masa dahulu pernah melihat partisipasi yang benar-benar menggugat daripada gerakan mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat di Teluk Gong (1967), Baling (1974) dan sebagainya.

Rakyat juga telah melihat betapa lantangnya mahasiswa dalam isu anti-kolonialisme oleh Kerajan (1946-1950an); isu anti-Tunku (1966); isu pencerobohan AS ke atas Hanoi-Haiphong (1966); isu bahasa dan kependidikan nasional (1967); isu sosio-ekonomi negara (1969); isu tuntutan Sabah oleh Filipina (1969); isu pencerobohan Rusia ke atas Szekoslovakia (1969); dan banyak lagi.

Aksi-aksi di atas ini turut diperhati kerajaan dan parti-parti komponen kerajaan. Mereka lebih prejudis dan menganggap bahawa mahasiswa cuba bersikap anti-establishment hatta berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Bertitik tolak pada sangkaan ini, AUKU mula diperkenalkan pada 27 April 1971 dan kemudiannya dipinda pada tahun 1974, 1995 dan 1999 (peringkat Universiti Malaya sahaja).

Adakah patut mahasiswa ditohmah sebagai 'anti-establishment' disebabkan sikap lantang mereka itu kebetulan sama dengan sikap lantang pihak-pihak tertentu (Contoh: Labour Party of Malaya, 1954)?

Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11)

Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)

Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’.

Sumber:
Gabungan Mahasiswa UKM

Baca seterusnya...
 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top