Kenali Pilihanraya Kampus - Part I

Dewasa kini, pilihanraya kampus (PRK) seakan-akan terjadi perkuburan lama yang sunyi dan ngeri akibat kekangan AUKU. Ini juga berikutan kurang pendedahan dan ketidakfahaman mahasiswa IPT tentang peri pentingnya dan ertinya sebuah 'demokrasi mahasiswa.'

Umum lebih melihat daripada sudut Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan pihak Aspirasi di IPT mereka seakan-akan dua pihak yang suka bergaduh tanpa noktah. Segala isu yang dibawa setiap tahun hampir sama iaitu menjaga kebajikan mahasiswa tetapi sebahagian besar mahasiswa meragui janji-janji mereka.

Berbalik kepada isu pilihanraya kampus pada kali ini lengang dan sunyi, selaku mahasiswa tidak dapat tidak kita perlu berbalik kepada objektif dan piroriti kita ke IPT. Tiada salah mahasiswa berpencak politik di kampus. Masing-masing dengan dengan cara masing-masing. Akan tetapi sudah semestinya tunjang akademik yang seharusnya dikejar dan tidak ditinggalkan. Prof. Emeritus Datuk Khoo Kay Kim mengungkapkan rasa kecewanya pada satu temu bualnya dengan rakan penulis, beliau melihat budaya mahasiswa kini semakin kurang berdaya saing dan berintelektual.

Beliau menambah jika 30 tahun dahulu, suasana di universiti-universiti terutamanya di Universiti Malaya seperti sebuah pesta ilmu di mana terlampau banyak diskusi yang dianjurkan untuk menambahkan keintelektualan mahasiswa. Akan tetapi pada masa kini ia seakan-akan pupus dan ditelanjangkan gara-gara budaya ilmu yang kian pudar.

Jika dahulu perhimpunan-perhimpunan dan suara-suara mahasiswa benar-benar jelas menunjukkan mahasiswa benar-benar menghayati isu rakyat tetapi pada masa kini ia hanya tinggal kenangan. Jika ada, mahasiswa tersebut dilabel sebagai 'pembangkang' dan 'pengacau' universiti. Muhamad Abu Bakar di dalam bukunya Mahasiswa Menggugat membuat kesimpulan bahawa perhimpunan dan perjuangan mahasiswa adalah berpunca “dari perasaan tidak puas hati terhadap sistem yang ada, kesedaran bahawa mereka boleh membuat pembelaanb terhadap masyarakat dan anggapan bahawa generasi mereka mempunyai peranan tersendiri dalam pembentukan zaman”.

Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) atau kini telah diubah kepada Majlis Perwakilan Pelajar (sengaja diubah untuk mematikan semangat mahasiswa) pada hari ini kelihatan seperti sebuah badan ekslusif dan badan yang gemar makan angin. Sehinggakan ada jenaka yang mengatakan kebanyakan MPM hanya tahu pergi ke luar negara kononnya mahu mengharumkan nama universiti tetapi yang dapat hanya 'haruman perfume luar negara saja' Ini jelas berlaku terutama di universiti-universiti yang senior di Malaysia.

PRK seharusnya berpaksi kepada demokrasi yang sebenar iaitu memperjuangkan isu mahasiswa, masyarakat dan nasional. Berpaksikan kepihatinan dan keadilan maka setiap mahasiswa haruslah menilai bahawa pilihanraya kampus bukanlah satu permainan tanpa wacana ilmu tetapi sebuah medan meningkatkan intelektual dan juga menggilap bakat kepemimpinan negara pada masa akan datang. Semua pihak haruslah berperanan sama meningkatkan keprihatianan dalam kelemahan kesedaran terhadap pendemokrasian kampus ini, ini kerana jika kita tidak serius, mahasiswa yang bakal lahir tidak lebih dari “robot-robot manusia” yang langsung tidak mengerti matlamat hidup dan makna perjuangan serta jiwa nurani menjadi keras dan gersang.

Mahasiswa seharusnya sedar bahawa PRK bukanlah hanya satu wadah memperjuangkan nasib mahasiswa, tetapi merupakan taman ilmu 'garden of knowledge' yang menghubungkan antara idealisme, realisme, aktivisme dan intelektualisme peringkat mahasiswa. Mahasiswa seharusnya menilai diri masing-masing dan mencabar diri supaya lebih berdaya saing dan berilmu yang bukan hanya di lapangan kuliah tetapi di persada mahasiswa dan masyarakat. Jika kita dapat menggilap bakat mahasiswa pada hari ini supaya menjadi 'the good leader of student' tidak mustahil untuk menjadi pemimpin negara yang hebat dan berintegriti pada masa hadapan. Maka wadah pilihanraya inilah perlu diambil peluang oleh mahasiswa untuk terus ke hadapan.

Benar kata hukama, “Ilmu itu bukan hanya di buku, tapi diakal dan dirimu agar kamu gunakannya untuk menjadi pemimpin diri yang berani”.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top