Berhutang? Slip Anda Ditahan!

Hanya tinggal seminggu lagi sebelum peperiksaan akhir semester bermula, pastinya beberapa persoalan lumrah akan hadir di kotak fikiran mahasiswa. Soal mendapatkan slip peperiksaan terutamanya, tidak dapat diperoleh jika seseorang pelajar itu masih berhutang dengan dengan pihak universiti, sama ada hutang yuran pengajian, yuran kolej kediaman, denda-denda tertentu yang masih belum dilangsaikan, dan seumpamanya. Tidak boleh dinafikan, kebimbangan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan mahasiswa berkenaan dalam mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan sebelum peperiksaan.

Isu ini, sebagaimana beberapa permasalahan mahasiswa yang lain yang pernah diperbincangkan sebelum ini, bukanlah isu baru. Ia menjadi suatu isu yang akan timbul saban semester. Bahagian Kewangan telah pun menaikkan senarai pelajar yang berhutang beserta jumlahnya sekali, di tingkat 4 Bangunan Menara. Daripada senarai tersebut, sebahagian pelajar hanya menanggung hutang pengajian semester berkenaan, manakala sebahagian yang lain menanggung hutang mencecah RM6,000.00 – satu jumlah yang cukup besar.

Wacana Siswa merasakan tidak ada isu pelajar yang mendapat pinjaman melengah-lengahkan bayaran yuran, kerana kebiasaannya yuran pengajian akan dipotong terus daripada jumlah yang disalurkan kepada peminjam. Jika ada pun, ia hanyalah kes terpencil.

Wacana Siswa juga sempat menemubual Sdr. Abdilah Matlin, Naib Presiden MPP UMSKAL. Walaupun beliau sibuk dengan hal-hal kemahasiswaan, namun beliau juga peka terhadap masalah ini dan beliau sendiri telah mangambil inisiatif menulis surat permohonan pelepasan pengambilan slip peperiksaan bagi pelajar berhutang. Surat tersebut bakal dihantar kepada pihak yang berkenaan sedikit masa lagi. Beliau turut memberitahu kebiasaannya pada semester-semester yang lalu, pelajar yang berhutang dibenarkan mengambil peperiksaan setelah membayar RM 100.00 daripada keseluruhan hutang.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top