GAMIS Sabah Bantah Keras Konsert Adam Lambert

Kehadiran penyanyi yang terkenal dengan budaya ”homoseksual”, Adam Lambert ke Malaysia menyaksikan satu lagi pencabulan minda dan kerosakan akhlak yang cuba ditonjolkan menerusi medium dunia hiburan di negara ini.

Dengan sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sabah hari ini tampil dengan menyatakan bantahan sekeras-kerasnya penganjuran konsert berkenaan yang jelas menyalahi norma-norma hidup manusia beragama.

Kerajaan Malaysia perlu jelas matlamat dasar sesebuah pemerintahan dan bijak menilai kerelevenan kemasukan artis barat bagi mengelakkan kejadian dan penyebaran kerosakan budaya timur.

GAMIS Sabah juga melarang keras sebarang bentuk pencabulan terancang bagi memburuk-burukkan konsep Negara Islam Malaysia. Tiada bezanya dengan kelainan konsep tersebut sekiranya perkara halal dan haram menjadi mainan untuk mendapat pengaruh politik sempit.

Kebisuan pihak pemimpin kerajaan dan kabinet Malaysia terhadap penganjuran konsert ini jelas apabila tiada seorang pun dikalangan menteri dan anggota kabinet bangkit berani bersuara dan seakan mempersetujui konsert ”gay” ini diadakan.

GAMIS Sabah secara peribadi mahu kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kerosakan sosial yang melanda remaja kini. Bagaimana untuk membentuk generasi madani, akta digubal dan terus digubal, namun kerosakan tangan-tangan pemimpin masih dibiarkan berterusan. Seakan tiada perasaan positif untuk membawa balik rakyat Malaysia amnya dan para remaja khususnya ke arah kemuliaan Islam.

Justeru, GAMIS Sabah mendesak pihak yang berkenaan supaya tampil ke hadapan dan menyatakan pendirian masing-masing agar tidak membiarkan dosa-dosa ini meresap ke jiwa masyarakat yang tidak bersalah.


Oleh:

HARIEYADI KARMIN
Timbalan Pengerusi I
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Negeri Sabah

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top