Kolokium Penyelidikan Pemasaran UMS Pelengkap Diri Penuntut


Labuan: Bagi melengkapkan diri penuntut mengenai penyelidikan pemasaran, sebuah Kolokium Penyelidikan Pemasaran 2010 (MARCOL) telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Menurut Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki, penyelidikan pemasaran mempunyai skop yang luas dan penuntut tidak sepatutnya menumpukan kepada buku semata-mata kerana bidang pemasaran memerlukan perlaksaan dan gerak kerja terutama bagi mempersiapkan para graduan kepada alam pekerjaan.

“Melalui seminar tersebut, para penuntut boleh terlibat secara langsung dalam senario nyata dari segi penyelidikan pemasaran dan menyertai seminar ini sebagai tapak permulaan mereka untuk meningkatkan pengetahuan yang di perlukan dalam perlaksanaan penyelidikan pemasaran,” katanya.

Katanya lagi tujuan utama Kolokium itu diadakan bagi memperlengkapkan diri penuntut dengan pengetahuan penyelidikan yang berguna dalam meningkatkan keyakinan diri mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dalam pada itu Norazah berkata, melalui seminar ini penuntut boleh menyuarakan pendapat mereka melalui pelbagai topik berkaitan pemasaran seperti pembelian melalui talian, e-filing, e-kerajaan dan kegiatan aplikasi yang lain.

“Mereka bukan sahaja dapat berkongsi idea dan pendapat malah kemahiran komunikasi dan kepimpinan di kalangan penuntut dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Seminar yang disertai 100 penuntut itu turut menyaksikan 25 peserta melakukan pembentangan mengenai penyelidikan mereka mengenai bidang pemasaran yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Program yang dianjurkan oleh Dr. Norazah disertai oleh penuntut tahun akhir jurusan pemasaran antarabangsa universiti itu.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top