**Disiarkan semula daripada blog Iecothinker.
Oleh: Aliff bin Basri
Minggu ini adalah minggu terakhir saya berada di UMS, kerana minggu depan saya akan pulang ke Semenanjung, pada 18 Ogos, hari Selasa.
Selama beberapa hari ini, saya diasak dengan beberapa tanggungjawab yang belum dapat diselesaikan. Perkongsian untuk menghayati pembudayaan ilmu masih belum terlaksana dengan baik. Ada halangan akibat ke-belum-faham-an dalam kalangan sahabat-sahabat, saya jadikan sebagai pengalaman berharga. Ada perbezaan dalam kalangan sahabat-sahabat tentang hal ini, di saat-saat akhir perpisahan memang menguji iman dan ukhwah.
Proses pelaksanaan WAMY siri II tidak dapat dilakukan akibat kekangan masa yang amat singkat, namun bahannya sudah ada. Cadangnya ingin berkongsi dengan adik-adik tentang Keserasian Antara Falsafah pendidikan Negara dan Visi UMS: Suatu Petunjuk Ke Mana Hala Tuju UMS Kini?
Hasil analisis menunjukkan, secara ringkasnya, UMS masih belum menuju ke arah yang dimaksudkan. Selain daripada itu, apa yang lebih penting ialah FPN itu kelihatan seperti tidak dihayati oleh setiap warga UMS, sama ada para pelajarnya atau pun para pensyarahnya. Bagaimana kesimpulan itu dibuat? Ia berdasarkan pemerhatian dan dapatan selama melalui manhaj pendidikan UMS kurang-lebih 4 tahun ini. Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan, terdapat beberapa orang pensyarah yang berjiwa pendidik dan berusaha menerapkan pembudayaan ilmu dalam diri para pelajarnya. Syabas saya ucapkan!
Kepada para pelajar Kewangan Islam, anda beruntung mempunyai para pensyarah yang berjiwa pendidik. Jangan abaikan peluang ini untuk menggali ilmu-ilmu mereka. Rajin-rajinlah berjumpa dengan mereka dan bawa berbincang isu-isu semasa berlandaskan ilmu yang benar. Jangan hanya berbincang soal assignment semata-mata. proses pembudayaan ilmu ini tidak terhad kepada aktiviti kuliah, tutorial dan assignment semata-mata, malah ia meliputi segala bentuk keilmuan untuk menjadikan diri benar-benar menghayati hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi Allah.
Dan intipati hasil pendidikan yang dikehendaki ialah lahirnya kesempurnaan diri insaniah dan bukannya untuk mencapai tahap kesempurnaan kewarganegaraan. Inilah seperti yang diterangkan secara tuntas oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Penubuhan universiti-universiti sedia ada dianggap sudah mencukupi untuk menampung penghasilan warganegara yang berpendidikan, tetapi sejauh mana kecukupan ini mampu memainkan perananya yang sebenar? Siapa yang akan mengubah lanskap universiti yang kelihatan bersikap menghasilkan mesin-mesin kapitalism (baca: Universiti and The Captive Mind) atau melahirkan para robotik untuk masa depan negara? (baca: isi ucapan Prof. Emiritus Khoo Kay Kim) Adakah ini yang dikehendaki menurut Falsafah Pendidikan Negara? Jika tidak, apa perubahan yang perlu dilakukan? Jika ya, maka nantikan saat kehancuran Malaysia, dalam keadaan terselindung, atas nama ingin melahirkan guna tenaga yang kompeten dalam setiap bidang (semata-mata)!
Oleh itu, saya pulangkan kembali kepada warga UMS untuk menilai sejauh mana hala tuju yang sedang di-tuju-i oleh para penggerak UMS yang saya yakin mempunyai pengalaman yang lebih luas dan lebih arif dalam perkara ini. Peranan dan kehadiran saya dalam dunia kampus ini, dalam menyuarakan perkara ini ialah sebagai satu muhasabah, tanda sayangnya saya pada UMS, tidak kira UMS Labuan atau Kota Kinabalu. Diharapkan tidak berlaku salah anggap. Tiada niat langsung untuk saya condemn mana-mana pihak. Saya sentiasa meyakini, para penggerak UMS sentiasa melakukan yang terbaik, cuma moga artikel ini mampu menjadi pembantu untuk melihat dari sisi lain barangkali.
UMS KAL: Moga dapat mengembalikan watak insan yang kian pupus, di samping membina tenaga pakar dalam bidang masing-masing
Saya adalah warga UMS yang telah melalui lanskap pentarbiyyahan UMS. Terlibat dengan pentadbiran UMS secara tidak langsung selama setahun melalui peluang yang diberikan oleh Allah melalui pentaklifan sebagai ahli MPP. Ia memang benar-benar memberikan saya satu indikasi bahawa UMS memerlukan penelitian semula dari sudut cara pandang-alam warganya. Ini asas yang membentuk tindakan bagi setiap warga UMS. Tidak kira, ahli gerakan Islam, mahasiswa biasa, para pemimpin pelajarnya, para pensyarahnya, para kakitangan pentadbirannya, termasuk staf-staf sokongan yang membantu untuk memastikan UMS sentiasa bersih dan selesa untuk diduduki.
Jika pandangan-alam warganya baik, ia akan mempengaruhi attitude atau sikap pelakunya. Sebagai contoh, UMS akan sentiasa cantik tanpa berlaku pembuangan sampah merata-rata. Maknanya, walau tiada staf sokongan (domestik engineer) yang membersihkan lanskap kampus selama 1 minggu sekalipun, kampus akan sentiasa bersih! Tapi ini tidak berlaku di UMS Labuan. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam proses penghasilan insan, berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara. Jika berpandukan FPN.
Walau bagaimanapun, diperingkat peribadi, perjuangan akan tetap diteruskan. Proses memberi faham akan kepentingan membudayakan ilmu ini moga diteruskan oleh sahabat-sahabat junior yang mempunyai semangat yang sama. Idea dan gagasan untuk long-term ini bukan hanya melibatkan sahabat-sahabat tidur sebantal dan makan setalam sahaja. tetapi melibatkan setiap warga kampus, melibatkan setiap para pensyarah, melibatkan setiap kakitangan dan staf sokongan yang ada di UMS.
Ia adalah gagasan pembentukan individu muslim melalui pemerkasaan ilmu dan faham di jiwa, secara menyeluruh, dan tidak hanya bergantung kepada politik kampus semata-mata.
Oleh yang demikian, jika perkara ini tidak dapat diterima dalam kalangan sahabat-sahabat se-manhaj dalam tarbiyyah, saya tidak segan silu berkongsikan ia dengan sahabat-sahabat junior yang mempunyai idealisme yang tinggi, cuma memerlukan sokongan dan dorongan dari sudut serba sedikit pengalaman waqi’ di kampus dan motivasi untuk meneruskan agenda pembudayaan ilmu di UMS Labuan, malah Labuan seluruhnya, Insya-ALlah.
Seperti yang telah dikongsikan bersama adik-adik yang mempunyai minat dan kesungguhan yang sama, moga sebelum saya pergi ini, akan saya serahkan hasil pemerhatian saya selama lebih kurang 4 tahun ini tentang budaya warga UMS yang perlu diubah beserta dengan langkah-langkah praktikalnya. Apa yang diperlukan sekarang ialah para penggeraknya. Dan saya sudah jumpa beberapa orang untuk diberikan amanah ini. Moga-moga ia akan berjalan dengan baik dan proses ini akan terus memberikan manfaat kepada warga kampus seluruhnya, termasuk sahabat-sahabat se-manhaj.
Masing-masing mampu menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Jika ada tanggungjawab yang tidak dapat dibuat akibat kekurangan kepakaran, kemahiran atau ilmu yang berkaitan dengannya, mengapa tidak kita serahkan kepada segolongan yang mempunyai kapasiti dan mampu untuk melaksanakannya. Hal ini perlu dilakukan agar kita tidak bertindak zalim ke atas individu-individu yang mempunyai potensi untuk digilap. Jika tidak dengan cara kita (tarbiyyah kita), mungkin dengan cara yang lain.
Satu perkara yang saya belajar selama berkecimpung dalam dunia gerakan mahasiswa Islam ini ialah, gerakan kita masih belum menuju ke arah ke-syumul-an sekiranya kita masih gagal menarik golongan-golongan yang berpotensi dalam bidang dan kepakaran masing-masing untuk tegakkan Islam dihati setiap individu Muslim dan di tanah air tempat bumi dipijak.
Saya akan tolong selagi mampu, insya-Allah.
Di luar sana, ramai lagi sahabat-sahabat yang perlu didekati, dengan konsep yang berbeza, untuk mereka bersama-sama memperjuangkan Islam. Apa yang perlu di sini ialah dorongan, nasihat dan ukhwah Islamiyyah yang perlu disemai dengan penuh ikhlas untuk terus merasai kebersamaan, walau tidak se-manhaj dalam dunia pentarbiyyahan.
Apa yang saya nukilkan di atas ialah apa yang saya rasa, perhatikan, fikir, dan alaminya. Moga ia memberi manfaat untuk semua.
Mohon maaf jika agak kasar. Mohon teguran untuk diperbaiki.
Wallahu ‘alam.
Aliff Basri, 12 Ogos 2009
0 comments:
Post a Comment