"Saya Tidak Akan Halang Mahasiswa" - Naib Presiden MPP UMSKAL


Kenyataan Sdra. Herry Anto Hasanuddin (Naib Presiden MPP UMSKAL Sesi 2009/2010)

Mahasiswa mengalami kesusahan menjalani sesi pengajian bukan sahaja sehari dua ini, malahan bermula semenjak bulan Jun tahun lalu. Bagaimana dapat kita bayangkan mahasiswa yang perlu menumpukan perhatian terhadap pembelajaran terpaksa mengharungi kehidupan kampus yang ketiadaan air? Setiap hari perlu mengangkut air untuk keperluan harian selain memperolehi air yang kurang bersih dan tidak sesuai untuk diminum.

Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sebelum ini telah melahirkan mahasiswa kelas pertama yang mendapat pelbagai bentuk anugerah. Akan tetapi, perkara ini tampaknya hanya mimpi untuk sesi akan datang. Bukan sahaja motivasi mahasiswa yang telah terjejas, malahan terdapat banyak kes-kes tarik diri dari meneruskan pengajian telah berlaku.

Hal ini telah mendapat perhatian berat oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi kepimpinan lalu, yang mana mereka telah berusaha agar air tetap dibekalkan kepada mahasiswa walaupun melalui penghantaran oleh lori-lori tangki air pada setiap hari di kolej kediaman mahasiswa dan sekitar kampus. Perbincangan demi perbincangan telah dibuat. Mesyuarat demi mesyuarat telah dijalankan untuk mendapatkan solusi dari permasalahan yang berlaku. Daripada punca hinggalah kepada penyelesaian dicari untuk dimaklumkan kepada mahasiswa. Sehinggakan MPP sesi lalu telah menjalankan ‘Delegasi Ke Putrajaya’ dan ‘Delegasi Ke Pejabat Menteri Sabah’ untuk menghantar memorandum dan kertas Kerja Cadangan bagi penyelesaian masalah air di kampus bahkan untuk seluruh Labuan.

Rentetan dari itu, permasalahan air ini telah mendapat perhatian banyak pihak tertinggi kerajaan. Mesyuarat dan pertemuan dijalankan diantara Pemimpin Mahasiswa UMSKAL dan pihak pentadbiran UMS bersama Menteri Wilayah, Jabatan Bekalan Air Labuan, Ahli Parlimen Labuan, dan Perbadanan Labuan. Walaupun beberapa resolusi telah dicapai dan disepakati, saya melihat ia hanyalah janji semata-mata tinggal janji. Kerana permasalahan air tetap berlaku malah lebih teruk berbanding hujung tahun 2009 yang lalu.



Biarpun air nampaknya sedikit pulih pada awal Januari 2010 yang lepas, air kembali tiada sejak Khamis minggu lalu malah lebih teruk lagi. Bukan sahaja air tiada untuk kegunaan harian mahasiswa di kolej kediaman, malah menara pentadbiran, masjid dan cafeteria turut sama kekeringan air. Penjualan makanan di kafetaria turut berkurang gara-gara ketiadaan air. Saya mendapat khabar bahawa masalah ini bukan sahaja di UMSKAL, malah sekitar Labuan turut terjejas. Perkara ini sangat-sangat membuatkan mahasiswa hilang kesabaran dan mula menunjukkan kemarahan.

Saya turut mendapat aduan dan respon kemarahan mahasiswa yang secara terang ingin mogok tidak mahu datang ke kuliah sehingga masalah air selesai. Bukan itu sahaja, demonstrasi yang ingin dijalankan oleh mahasiswa pada bulan Ogos 2009 yang lalu yang telah dihalang oleh MPP sesi lepas kini dikatakan akan terjadi.

Saya sebagai pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL bagi sesi 2009/2010 yang baru sahaja ditaklifkan pada hujung Januari lalu, dengan tegas ingin menyatakan bahawa saya tidak akan menghalang mahasiswa untuk menjalankan mogok ataupun demonstrasi terhadap permasalahan air yang berlaku. Malahan, saya menyatakan sokongan terhadap tindakan ini. Saya turut membuka medan untuk mahasiswa meluahkan segala yang ingin disampaikan kepada mana-mana pihak yang ingin mendengar keluhan dan suara mahasiswa UMSKAL . Surat-surat telah diedarkan kepada pihak pentadbiran UMSKAL dan pensyarah-pensyarah untuk memaklumkan ‘Perjumpaan Tergempar Mahasiswa’ yang akan berlangsung di perkarangan PALAPES yang berhadapan dengan barisan gerai mahasiswa pada 1 Mac 2010, Isnin iaitu pada jam 8.30 malam. Terpulang kepada pihak pentadbiran universiti untuk hadir atau tidak kerana mahasiswa akan bersuara ketika itu.


Selain dari itu, mogok untuk tidak hadir ke kelas-kelas dan kuliah-kuliah bermula hari Selasa yang dinyatakan oleh mahasiswa juga tidak akan saya halang. Begitu juga dengan demonstrasi yang bakal berlaku. Pendirian saya yang mewakili seluruh kepimpinan mahasiswa UMSKAL adalah, kami tidak akan menghalang kebangkitan mahasiswa menghadapi permasalahan air di kampus disamping kami turut memberi sokongan dan akan menghadirkan diri untuk setiap perkara yang terjadi di kampus akan datang.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa kepimpinan kali ini adalah kepimpinan yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan bagi kepimpinan yang lalu dan kami bukanlah bermula semula dengan membuka buku baru dengan melakukan apa yang telah dilakukan oleh MPP lalu, tetapi kamilah yang akan menyambung segala perjuangan yang tidak sempat dihabiskan oleh mereka. Jika perbincangan, mesyuarat dan pertemuan tidak berjaya menyelesaikan masalah, maka saya dan barisan kepimpinan mahasiswa tidak akan ragu-ragu untuk tidak menghalang kebangkitan mahasiswa yang ingin suara mereka didengari sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah air ini. Walaupun meja rundingan masih terbuka luas untuk membincangkan masalah-masalah lain bersama-sama pihak pentadbiran university, akan tetapi permasalahan air, saya serahkan kepada mahasiswa untuk menilai dan mengambil tindakan dan saya tetap membantu setakat yang mampu untuk adil kepada semua pihak…

* kenyataan ini dirakamkan sebelum malam 'Pertemuan Tergempar Mahasiswa'


Pihak pro-mahasiswa merakamkan rasa simpati kepada pemimpin tertinggi mahasiswa UMSKAL kerana terpaksa berhadapan dengan masalah mahasiswa yang sudah tidak dapat bersabar dengan tekanan hidup di kampus sehinggakan pertemuan yang dirancang telah bertukar menjadi luahan rasa kemarahan dan tekanan mahasiswa. Pada masa yang sama beliau turut perlu menjawab segala tohmahan pelbagai pihak samada dari atasan mahupun dalaman MPP juga masyarakat luar umumnya. Disamping ingin memuaskan hati mahasiswa, beliau turut perlu mempertimbangkan hati selain dari mahasiswa.

Pihak pro-mahasiswa bangga mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat! Kami tahu pemimpin kami tidak bersalah, malah kami turut mendesak pemimpin kami untuk memberi ruang dan peluang untuk kami bersuara...

Makluman: Sdra. Herry Anto Hasanuddin, Naib Presiden MPP UMSKAL telah diarahkan untuk ke kampus induk pada pagi ini (Rabu, 3 Mac 2010) untuk menjawab segala perkara yang berlaku 2 hari ini. Kemungkinan juga, beliau akan mendapat tuduhan menganjurkan demonstrasi walaupun bukanlah beliau yang menganjurkannya. Sama-samalah kita pertahankan pemimpin kita...!

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top