Mahasiswa Agen Transformasi

Sumber: Pro-Mahasiswa USM

Perubahan merupakan cogankata yang kerap diperkatakan dewasa ini. Dalam konteks masyarakat kampus kini, mahasiswa-mahasiswi merupakan pemuda-pemudi yang subur untuk dijadikan agen kepada sesuatu perubahan. Apabila kebergantungan diletakkan kepada pemuda, bukanlah hal ini bermakna peranan orang ‘veteran’ dilupakan sepertimana fahaman Korainisme iaitu seorang pemimpin selepas berlakunya revolusi telah menuntut supaya dihapuskan kesemua orang tua supaya tidak menjadi beban kepada negara. Manusia mempunyai kebolehan dan kemampuan yang sesuai dengan tugas-tugas yang tertentu pada setiap peringkat usianya dalam kehidupan. Tugas pada masa usia kanak-kanak lain daripada tugas ketika usia belia, begitu juga dengan tugas sewaktu usia dewasa dan hari-hari tua.

Mahasiswa-mahasiswi adalah aset kepada negara. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dan mampu membuat keputusan yang rasional serta mengkritik apabila berlakunya ketidakseimbangan dalam sesuatu perkara. Sumbangan idea yang bernas dari mahasiswa merupakan permata yang mampu membawa perubahan yang positif kepada mahasiswa serta universiti malah negara. Maka, mahasiswa yang berkualiti dan seimbang dari segi fizikal dan spiritual akan memacu universiti ke arah yang kecemerlangan.

Selain itu, mahasiswa-mahasiswi perlu berdiri atas kaki sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan pihak lain. Mahasiswa perlu diberi dorongan dan semangat yang positif supaya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Hal ini kerana, mahasiwa juga bukan boneka ataupun robot tetapi bertindak selaku agen kepada tranformasi yang mampu membentuk jati diri mahasiswa yang seimbang dan sekaligus memartabatkan nama universiti dan negara di persada dunia. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa mahasiswa yang tidak dikongkong, disekat serta dirosakkan pemikirannya akan menghasilkan modal insan (human capital atau human resource) yang berkepimpinan, bebas dan prihatin terhadap persekitarannya.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top