Skandal UMS: PM Janji Siasat

Sumber: Malaysia Today

KOTA KINABALU: Para kontraktor tempatan mengalu-alukan jaminan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyiasat dakwaan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kontraktor-kontraktor tersebut menarik nafas lega apabila Najib, yang juga Menteri Kewangan mengarahkan satu siasatan dibuat berhubunga isu ini.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi jaminan bahawa satu siasatan akan dilakukan berhubung laporan polis yang kami buat itu," kata Abby Roy, salah seorang daripada 13 kontraktor yang membuat laporan polis tersebut.

Bercakap mewakili kontraktor yang lain, Abby berkata mereka berharap agar siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Najib berkata Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan siasatan SPRM.

"Pihak berkuasa yang berkenaan boleh menyiasat hal ini dan selepas kami menerima laporan daripada SPRM, kita akan teruskan siasatan tersebut," katanya dalam rangka lawatan ke Sabah selama tiga hari baru-baru ini.

Najib memberi reaksi berkenaan berhubung rayuan oleh kontraktor tempatan kepadanya agar Kementerian Kewangan dapat menyiasat projek pembangunan UMS yang dianugerahkan kepada kontraktor.

‘Pegawai lepaskan jawatan’

Dalam laporan berasingan, para kontraktor mendakwa seorang pegawai UMS memegang 78 peratus ekuiti saham dalam syarikat yang mendapat kontrak di universiti itu.

Mereka mengadu ekoran tidak mendapat peluang yang adil dalam membida projek berkenaan dan mempersoalkan sama ada pegawai terbabit mampu mengendalikan syarikatnya sendiri.

Kontraktor terbabit membuat laporan polis berhubung kenyataan Naib Canselor UMS Dr Kamaruzaman Ampon bahawa dakwaan mereka terhadap pegawai terbabit adalah tidak benar.

Kamaruzaman dilaporkan berkata pegawai yang telah meletakkan jawatan dalam syarikat itu sebelum menyertai universiti, individu terbabit adalah ‘bersih’ dan tiada sebarang tindakan akan diambil ke atasnya.

Beliau berkata, satu pasukan petugas khas disediakan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika dipanggil.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top