Pensyarah Turut Mohon Berpolitik

Sumber: Sabahdaily

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pegawai Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan memperluaskan kebenaran untuk bertanding, dilantik dan memegang jawatan dalam parti politik, kepada kira-kira 20,000 pegawai akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata pegawai akademik di IPTA amat wajar diberikan hak sama rata seperti yang bakal dinikmati guru Gred DG41 hingga DG48, berikutan pensyarah sering dilihat sebagai idola kepada pelajar universiti yang sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Tambahan pula, katanya, rata-rata pensyarah menepati kriteria kepemimpinan yang digariskan belia, antaranya memiliki ilmu pengetahuan dan berkelulusan tinggi, selain mempunyai sahsiah baik.

Ketika ini, pegawai akademik di IPTA tidak dibenarkan untuk bergiat aktif dengan memegang sebarang jawatan dalam parti politik tetapi secara asasnya, boleh dikatakan ramai yang berminat.

Malah, sudah terbukti ramai wakil rakyat, termasuk dalam Jemaah Menteri, adalah bekas pensyarah. Ini menunjukkan pensyarah adalah role model di universiti dan pada masa sama, mampu menjadi pemimpin pelapis yang berkualiti dalam arena politik negara.

Pensyarah bukan saja berilmu pengetahuan tinggi tetapi juga memiliki banyak maklumat awal kerana terbabit dalam pelbagai penyelidikan penting melalui pusat kecemerlangan di universiti, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini. Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kelmarin, membabitkan 140,000 guru.

Noor Aziah mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48, bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos ini dengan menyifatkannya sebagai permulaan kepada perkembangan berpolitik yang semakin terbuka di negara ini, lebih-lebih lagi guru memang mempunyai kedudukan yang istimewa dan dihormati masyarakat sejak dulu.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif MAAC yang juga Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Dr Raja Roslan Raja Abd Rahman, berkata pensyarah berupaya menjadi ahli politik yang berjaya kerana mempunyai hubungan langsung yang rapat dengan masyarakat peringkat akar umbi.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top