Mahasiswa Kecam Tindakan Polis Bunuh Aminulrasyid

27 April: Kesalahan Bush membunuh umat Islam memang tidak dapat dimaafkan. Kejahatan Ariel Sharon menyembelih umat Islam sangat menyayat hati.


Namun apakah yang lebih kejam apabila seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh Polis Raja di Malaysia (PDRM) atas kesalahan yang belum pasti lagi?

Begitulah nasib malang yang menimpa adik Aminulrasyid yang mati ditembak pada awal pagi Isnin di Seksyen 11, Shah Alam.

Luluh hati seorang ibu melihat anak yang dikandung selama 9 bulan itu akhirnya menemui ajal dalam keadaan sedemikian.

Tambah memeritkan ia bukan dilakukan oleh penjenayah, ia dilakukan oleh anggota polis! Pasti hancur hati ibu tersebut.

Mahasiswa berasa sangat kesal bagaimana kejadian sebegini boleh berlaku. Jika perkara sebegini boleh berlaku, masih berkreadibilitikah polis Malaysia ini?

Mahasiswa tidak akan berdiam diri dalam hal ini. Mahasiswa menuntut kes ini diadili dengan telus.

“Kami menuntut supaya kes ini diadili sewajarnya. Kes ini melibatkan nyawa dan keadilan. Jika kes ini tidak diadili sewajarnya, pasti negara luar akan memandang serong terhadap keselamatan Malaysia seterusnya menjejaskan status Malaysia dipersada dunia” kata Mohd Fadzil, timbalan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

Manakala Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), melalui pengerusinya, saudara Shazni Munir mengatakan Mahasiswa akan turun bersama rakyat Malaysia menuntut keadilan jika kes ini tidak diadili sewajarnya.

“Kita meminta kes ini diadili dengan telus dan adil. Jika tidak, kami (mahasiswa) akan turun bersama rakyat Malaysia bagi menuntut keadilan kematian adik Aminulrasyid” tegas beliau.

Beliau juga mempersoalkan sejauh mana kuasa polis dalam undang-undang.

“Adakah polis boleh menembak sesiapa sahaja yang mereka suka? Tidakkah undang-undang dicipta untuk melindungi. Bukan untuk diguna sesuka hati oleh pihak-pihak tertentu” katanya lagi.

Mahasiswakini

Anak saya bukan seorang penjenayah - Norsiah

SHAH ALAM 27 April - Ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11 di sini awal pagi semalam, mahu pasukan itu melakukan siasatan secara telus dan adil serta tidak melindungi sesiapa bersalah.

Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, yang masih lagi sedih dengan kejadian menimpa anaknya itu, juga menegaskan bahawa anaknya bukan penjenayah seperti dilaporkan oleh media.

Sebagai seorang ibu, dia lebih arif tentang sikap dan tingkah laku Allahyarham yang bersopan santun serta menghormati orang lebih tua.

"Malah kami bukan daripada keluarga penjenayah. Saya akan berbincang dengan ahli keluarga lain bagi melantik peguam untuk tindakan selanjutnya agar anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya juga mahu pihak polis menjalankan siasatan telus dan tidak melindungi anggota-anggota polis peronda yang terlibat dalam insiden tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu, terbunuh apabila terkena tembakan polis setelah mangsa dan rakannya yang menaiki kereta Proton Iswara cuba ditahan polis kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Norsiah berkata, dia mendapat tahu anaknya keluar rumah secara senyap menggunakan kereta kakaknya untuk menonton perlawanan bola sepak di Seksyen 7 di sini.

Namun katanya, rakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta itu memberitahu, dalam perjalanan pulang mereka sempat membantu rakan yang kerosakan motosikal di Seksyen 2.

Katanya lagi, malangnya selepas itu, kereta mereka terlanggar pula sebuah kereta Mercedez-Benz.

"Mereka panik kerana tiada lesen memandu lalu terus memecut laju menyebabkan beberapa buah motosikal mengejar kereta anak saya hingga bergesel dengan salah sebuah motosikal tersebut.

"Tiba-tiba mereka bertembung dengan sebuah kereta polis... Disebabkan takut mereka terus memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, polis yang mengejar kereta itu telah melepaskan tembakan dan mengenai salah satu tayar manakala satu das lagi menembusi cermin dan belakang kepala anaknya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya melepaskan stereng kereta dan rebah ke pangkuan rakannya di sebelah, lalu menyebabkan kereta itu terus bergerak sebelum terbabas di dalam longkang.

"Oleh itu, saya meragui dengan kenyataan polis bahawa tembakan dilepaskan kerana kereta itu mengundur dan cuba merempuh anggota polis berkenaan," ujar beliau.

Seorang ahli kariah surau Seksyen 11 yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian tersebut memang mengejutkan penduduk kerana arwah kerap mengunjungi surau tersebut

"Dia kawan anak saya dan bukan budak rempit. Apabila polis mengesyaki arwah penjenayah, kami mengenali arwah sangat terluka dengan kenyataan itu kerana dia budak yang sangat baik, bukan seperti didakwa," ujarnya pula.

Guru Aminulrasyid yang enggan dikenali berkata, anak muridnya itu seorang pelajar ceria, mesra dan menghormati guru-guru serta aktif dalam kegiatan kokurikulum selain mewakili daerah Petaling Jaya dalam pertandingan bola sepak.

Utusan Malaysia

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top