“Saya Tidak Berpuas Hati Terhadap AUKU” – Dato’ Saifuddin Abdullah

Universiti Malaya 14 Apr - Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin bin Abdullah hari ini menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kenyataan tersebut diucapkan ketika Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia sempena pelancaran UM Centre of Democracy & Election (UMCEDEL) yang berlangsung di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

“Sebenarnya AUKU ini sudah 1 tahun 2 bulan digazetkan kepada AUKU pindaan baru, tapi saya pun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan yang ada.” Katanya.

Beliau juga berkata, hakikatnya tidak banyak sekatan di dalam AUKU yang dikenakan kepada mahasiswa, kecuali hanya terhadap tiga perkara iaitu menjadi ahli kepada parti politik, menjadi ahli kesatuan sekerja dan menjadi ahli atau memberi sokongan kepada pertubuhan yang disenarai hitamkan oleh pihak Menteri.

“Hal ini bergantung kepada tafsiran terhadap AUKU itu sendiri.” ujar beliau.

Tambahan beliau, pihak menteri juga tidak berhajat untuk menyenarai hitamkan mana-mana pertubuhan daripada mendapat keterlibatan mahasiswa.

Berkenaan dengan sekatan-sekatan terhadap aktiviti yang dijalankan di dalam universiti yang melibatkan orang luar seperti pihak pembangkang, beliau mengatakan bahawa tidak sepatutnya wujud sekatan sedemikian.

“Saya sebenarnya sudah memberitahu pihak universiti, mahasiswa dibenarkan panggil mana-mana wakil daripada pihak pembangkang dan kerajaan. Kalau ada yang halang, beritahu saya.” tegas beliau.

Beliau juga memberi amaran supaya pihak universiti tidak menghalang keterlibatan mahasiswa dan masyarakat sekalipun dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Jangan lupa bahawa universiti juga guna duit rakyat.” katanya.

Forum yang dihadiri hampir 200 orang mahasiswa itu dianggap merupakan titik permulaan dalam membangunkan kesedaran politik anak muda di samping mengembalikan semula roh universiti dalam menjunjung tradisi keilmuan.

-umtoday

1 comments:

Mohd Asraf Sharafi said...

AUKU yg dipinda pun hanya membuatkan mahasiswa seperti seekor burung yang sekian lama di dalam sangkar lalu sangkarnya dibuka..tetapi malangnya kaki burung itu diiikat pula dengan sekatan2 yang bertujuan utk mengongkong langkah langkah aktif mahasiswa..mahasiswa telah kehilangan nila2 utk mempertahankan hak mereka sendiri dan juga telah kehilangan semangat dan sensitiviti utk membela nasib rakyat seperti dekad kemaraan mahasiswa dekad 60an dan 70an..ayuh mahasiswa sekalian..kalian adalah pencorak tamadun dunia!bersama kita bingkas bangun untuk berjaya!

TAKBIR!

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top