Mahasiswa Desak KPT Kaji Semula Pindaan AUKU

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pada Rabu mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menilai semula pindaan terhadap Akta Univerisiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang didakwa menyekat kebebasan bersuara, berhimpun dan berpolitik terhadap mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pindaan AUKU perlu dibuat daripada kaca mata yang lebih rasional kerana akta tersebut dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kebanyakan pelajar di IPT berumur 21 tahun dan ke atas, mereka sepatutnya diberikan hak mengundi dan menyertai mana-mana parti politik. Perkara ini termaktub dalam perlembagaan.

“Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan berpolitik ke atas kami? Perkara ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi mStar Onlinedi sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menegaskan bahawa larangan berpolitik terhadap pelajar di IPT kekal walaupun ada gesaan supaya mahasiswa dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.

Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pindaan AUKU sedia ada sudah memadai kerana ia telah memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara di kampus.

Mengulas lanjut, Shazni yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar Univeristi Malaya berkata, mereka bukan mahu menentang kerajaan dalam hal ini sebaliknya mereka meminta kerajaan terutamanya KPT memberikan peluang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik.

“Mahasiswa bukan lah kanak-kanak mentah, mereka sudah tahu menilai apa yang baik dan buruk.

“Kerajaan juga usah bimbang, sekiranya ada pelajar yang melanggar undang-undang sudah pasti pelajar berkenaan akan dikenakan hukuman yang setimpal mengikut undang-undang negara,” katanya.

Jelasnya, pindaan AUKU yang diluluskan tahun lalu juga agak tidak rasional kerana pelajar hanya boleh terlibat dengan politik hanya selepas mereka mendapatkan kebenaran daripada Naib Canselor.

“Ini satu perkara yang tidak logik, Naib Canselor tidak perlu dibebankan dengan hal remeh-temeh seperti memberikan kebenaran berpolitik kepada pelajar.

“AUKU sepatutnya memfokuskan kepada soal berkaitan dengan pentadbiran dan hal ehwal pelajar di universiti dan bukannya soal politik,” ujarnya.

Lebih malang, Shazni menegaskan, bahawa semua mahasiswa di peringkat sarjana dan doktor falsafah juga tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan politik.

“Bagaimana sekiranya pelajar itu merupakan ahli politik dalam mana-mana parti politik. Adakah mereka perlu meletakkan jawatan dalam parti hanya kerana mereka melanjutkan pelajaran ke IPT?

“Ini tidak adil kepada mereka. Kita harap pindaan semula AUKU akan memberi perhatian kepada isu-isu sebegini,” ujarnya lagi.

Tahun lalu, kerajaan meminda AUKU bagi memberi banyak kebebasan tetapi masih tidak membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik mana-mana parti kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top