Pemuda PAS Ajak Saifuddin Bincang Idea Politik IPTA

Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara ekoran laporan bahawa Kabinet telah menolak cadangan tersebut semalam.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Loke Siew Fook pula berkata pihaknya mengecam keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya membuat pelawaan itu ekoran rentetan daripada sikap keterbukaan ditonjolkan oleh Saifuddin bagi memberi lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia,” kata beliau.

Nasrudin menambah, perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.

“Justeru, Dewan Pemuda berpendapat perkara ini bukan semata-mata untuk kepentingan semua parti, bahkan ia adalah untuk membina idealisme mahasiswa di samping menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Saifuddin dijangka akan terus membangkitkan idea tersebut pada mesyuarat Majlis Teringgi Umno 27 Ogos ini walaupun dilaporkan Kabinet telah menolaknya.

Usaha beliau itu pertama kali dibangkitkan pada 27 Julai lalu.

Loke menjelaskan DAPSY amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

“Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut Loke, keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

“Keputusan Kabinet (semalam) menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan,” katanya.

Kata beliau, keputusan itu juga membuktikan bahawa sayap Pemuda BN khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

“Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

“DAPSY akan terus mendesak supaya AUKU dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

“DAPSY yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan,” katanya lagi.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top