Larangan Politik: Pelajar Cadang Anjur Forum Terbuka

Sekumpulan mahasiswa bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membahaskan keputusan kerajaan melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Ridhuan Othman berkata pihaknya bercadang menganjurkan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya akan menjemput wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan perkara tersebut.

Mohd Ridhuan yang juga graduan pelajar Universiti Malaya (UM) mengulas mengenai keputusan kabinet kelmarin yang melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Turut hadir dalam sidang media itu antaranya jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma),Abdullah Omar Muhammad Fuad.

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Mohd Ridhuan berkata pihaknya akan bermesyuarat hujung minggu ini bersama wakil persatuan mahasiswa lain untuk menetapkan tarikh, tempat serta aturcara forum tersebut.

‘Kami ada otak’

“Hasil forum itu nanti akan dimasukan dalam memorandum untuk diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MT untuk dibincangkan mesyuarat tersebut,” katanya.

Mereka juga bercadang untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada PKR dan PAS supaya dapat dibincangkan di peringkat parti masing-masing.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama juga, Ahmad Syukri berkata beliau “muak” dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled yang melarang mahasiswa supaya tidak terlibat dengan politik.

“Mahasiswa tidak bodoh, kami ada otak. Kami sudah muak dengan dogma tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik,” katanya.

Beliau juga menempelak kerajaan yang didakwanya bersikap dwi-standard kerana membenarkan penubuhan kelab Umno di luar negara tetapi tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik di dalam negara.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top