‘Hentikan Campurtangan Politik di Universiti’

Syarahan perdana dan tayangan Student Power oleh seorang aktivis sosial, Fahmi Reza telah mendapat perhatian umum di kalangan anak muda dan mahasiswa di Malaysia, kata Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Beberapa siri syarahan telah dijalankan secara terbuka di luar kampus khusus di Lembah Klang, kata presidennya Hilman Idham.

Menurutnya, pihak penganjur juga telah menambah inisiatif untuk menjalankan syarahan perdana ini di dalam kampus.

“Namun, percubaan untuk menganjurkannya di dalam kampus itu telah digagalkan apabila program itu diarah dibatal serta-merta – minggu lepas di UiTM Kampus Puncak Perdana dan semalam di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

“KAMI melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran universiti yang membatalkan program syarahan itu tanpa sebab yang munasabah.

“KAMI juga mengecam sekeras-kerasnya campurtangan politik yang tidak mahu program sebegini terus berlangsung,” tegasnya.

Bagi KAMI, tambahnya, pihak universiti seharusnya lebih bersikap terbuka dalam membuat keputusan dan mengabaikan sebarang tekanan politik yang diberikan khususnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.

“KAMI menolak sebarang campurtangan politik dalam universiti atas kesedaran bahawa autonomi universiti itu harus diserahkan kembali kepada mahasiswa.

“Masalah yang terbesar dengan sistem pengajian tinggi di Malaysia ialah apabila segala keputusan dan tindakan yang akan diambil itu adalah tindakan dan keputusan politik.

“Keputusan ini akhirnya adalah di tangan naib canselor yang dilantik langsung oleh Menteri Pengajian Tinggi atas dasar lantikan politik.

“Maka keputusan yang dibuat oleh Naib Canselor dan pentadbirannya juga adalah keputusan politik. Ini adalah masalah yang terbesar bagi IPTA di Malaysia,” tambahnya.

Atas kesedaran itu, katanya, KAMI berpendirian bahawa:
  1. `Pihak Naib Canselor dan pentadbiran universiti harus lebih terbuka dan demokratik dalam membuat keputusan;
  2. Mengecam keras sebarang campurtangan politik dalam keputusan yang diambil oleh universiti; dan
  3. Mendesak agar universiti membenarkan penganjuran program syarahan perdana Student Power.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top