Ramai aktivis mahasiswa tersenyum apabila Dato’ Saifuddin Abdullah melontarkan idea bagi membenarkan mahasiswa untuk terlibat dalam politik. Bagi sesetengah pihak, cadangan ini sudah pasti agak kontra kerana ia datang dari seorang pegawai kerajaan. Ibaratnya seperti menyerahkan leher kepada musuh untuk disembelih. Namun, saya berkeyakinan pandangan ini lahir dari kesedaran serta rasa tanggungjawab pemimpin.
Menyoroti semula perjuangan mahasiswa sebelum AUKU dikuatkuasakan, mahasiswa memainkan peranan penting sebagai ‘pressure group’ atau kumpulan pendesak kepada kerajaan. Pelbagai peristiwa memperlihatkan mahasiswa sentiasa bersama membela rakyat. Peristiwa ‘Hamid Tuah’ dan ‘Demonstrasi Baling’ misalnya memperlihatkan sikap dan perjuangan sebenar mahasiswa waktu itu.
Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Dunia juga melihat bagaimana mahasiswa beraksi sehingga berkemampuan untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Sebagai contoh di China, tokoh mahasiswa seperti Mao Tze Tung dan Li Ta Chao merupakan antara individu penting yang menyumbang kepada pembentukan sebuah negara republik di tanah besar China.
Justeru, saya melihat cadangan Dato’ Saifuddin ini suatu yang perlu disegerakan. Bahkan, usaha untuk menyekat mahasiswa dari berpolitik yang diperkenalkan melalui AUKU tidak seharusnya wujud sama sekali. Sebagai rakyat Malaysia yang sudah berumur 21 tahun,hak berpolitik itu sudah sedia terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, jaminan tersebut seharusnya difahami dan dihormati oleh semua pihak.
Kita juga seharusnya tidak terus hidup dalam penafian dan pembohongan ciptaan sendiri. Perlu diakui, parti-parti politik dalam negara sentiasa cuba untuk meraih simpati mahasiswa dalam kampus. Baik dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, persaingan untuk merebut sokongan dari mahasiswa terus berlaku. Jadi, apa perlu dan relevannya peraturan yang wujud dalam Seksyen 15 AUKU hari ini?
Suatu lagi kecelaruan yang ingin saya sentuh ialah layanan kelas kedua terhadap tuntutan berpolitik mahasiswa di universiti tempatan. Sikap ‘double standard’ itu jelas dengan kewujudan Kelab UMNO Luar Negara. Dalam satu keadaan, mahasiswa disuruh menghabiskan pengajian dahulu sebelum terjun ke dunia politik. Dalam satu keadaan lain pula, mahasiswa diberi galakan dan platform untuk berpartisipasi.
Sebaiknya, tali yang mengikat mahasiswa selama hampir 39 tahun ini dileraikan. Kembalikanlah semula hak mahasiswa yang dirampas sejak tahun 1971 itu. Biarlah mahasiswa yang menentukan masa depannya sendiri. Saya percaya, jika pemimpin yang ada hari ini benar-benar ikhlas, tiada sebab mengapa mahasiswa tidak boleh berpolitik.
Syed Syafiq Syed Hashim
Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM
0 comments:
Post a Comment