Jangan perbodohkan mahasiswa

Oleh: Mohd Shafie Hashim

Mahasiswa sekali lagi cuba diperbodohkan. Maruah mahasiswa ibarat di letak bawah tapak kasut. Langsung tidak diiktiraf dan dihormati.

Paling dikesali mereka terdiri daripada yang berjawatan tinggi, berkelulusan pendidikan tinggi namun kenyataan dan pandangan mereka terhadap entiti mahasiswa ini tidak melambangkan ciri-ciri kelimuan yang sebenar.

Pro M berpandangan Program Soal Jawab di TV3 sminggu lalu yang dibarisi oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas Naib Canselor Universiti Tan Sri Ibrahim Abu Shah sangat wajar diteruskan. Ia mengambarkan keterbukaan media untuk membincangkan persoalan hak di media arus utama.

Namun Pro M kesal dengan beberapa kenyataan Tan Sri Ibrahim yang ternyata penuh dengan prasangka negatif terhadap mahasiswa. Sesi soal jawab yang membincangkan "Wajarkah mahasiswa menyertai parti politik" itu mendedahkan kedangkalan Ibrahim dalam mebincangkan isu berkenaan.

Beliau memilih untuk menafikan hak mahasiswa untuk berpolitik. Katanya, biar habis dahulu belajar, kemudian baru boleh terlibat dalam politik.

Dalam masa yang sama beliau terlalu serkap jarang dengan mengatakan mahasiswa yang aktif di kampus adalah mereka yang anti -kerajaan (anti-establishment dan pro-pembangkang).

Pro M mencadangkan Ibrahim perlu kembali masuk belajar ke menara gading dalam bidang politik sehingga habis dan terjun dalam aktiviti kemahasiswa semula. Baru beliau akan faham dengan baik.

Ingin ditegaskan, universiti adalah medan ilmu dan medan untuk mempraktik, dan mengasah bakat kepimpinan mahasiswa dalam mengurus tadbir aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri.

Tidak cukup jika mereka hanya sekadar berhempas dalam bilik kuliah, berserabut dengan tugasan yang bertimbun-timbun, berseronok dikolej dan hanya menunggu keputusan di akhir pengajian.

Mahasiswa adalah pelaburan rakyat utnuk mereka ini pulang dan berbakti kepada rakyat dan negara satu hari nanti. Jika di alam kampus mereka sudah disekat untuk bebas berfikir atas kapasiti ilmu dan idelisma mereka sendiri, ini akan memandulkan nilai dan kehebatan mahasiswa itu sendiri.

Ibrahim perlu kembali memahami sejarah mahasiswa yang penuh dengan idealisma tersendiri. Sejarah dunia ini kebanyakannya di lakarkan oleh anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, idea, cita-cita, keazaman untuk melakukan perubahan.

Tidak timbul mahasiswa pro-kerajaan ataupun anti-kerajaan. Ini kerana perjuangan mahasiswa adalah untuk menutut keadilan dan hak itu ditegakkan.

Mahasiswa adalah agen ketiga yang menjadi suara ketiga dalam mengemukan pandangan dan idea tidak kira kepada mana-mana pihak sekalipun.

Pro-M setuju dengan Saifuddin yang mengatakan bahawa bukan persoalan mahasiswa mahu pilih parti politik mana, apa baik dan buruknya, apa kesannya terlibat dalam politik. Namun perkara asas yang perlu difikirkan bersama politik itu adalah hak mahasiswa, jadi mahasiswa berhak untuk terlibat dengan politik.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top