KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.
Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.
“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi .
Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.
Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.
Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.
Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.
Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.
“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment