Mahasiswa Berpolitik:Saifuddin Sedia Temui Sesiapa Termasuk Pemuda PAS

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini melahirkan kesediaan untuk menemui sesiapa sahaja termasuk Pemuda PAS bagi membincangkan idea membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, saya akan menerima jemputan sesiapa sahaja sama ada Pemuda PAS atau daripada mana-mana pihak,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Saya akan menemui mereka atas kapasiti sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Temerloh ini juga berkata, beliau juga ada menerima permintaan daripada beberapa pihak lain berhubung isu semasa ini.

Bagaimanapun Saifuddin enggan berkongsi identiti pihak-pihak terbabit yang turut mempelawa beliau.

Ketika ditanya sama ada akan menemui mereka serentak dalam satu pertemuan, Saifuddin menjelaskan, ia bergantung kepada mereka.

“Kalau hendak diadakan sekali pun pun OK, tiada masalah,” katanya lagi sambil menekankan, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan melihat kemungkinan membebarkan mahasiswa menyertai politik.

Berita The Malaysian Insider awal pagi ini menyebut, Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Saifuddin untuk mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya membuat pelawaan itu ekoran rentetan daripada sikap keterbukaan ditonjolkan oleh Saifuddin bagi memberi lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia,” kata beliau.

Nasrudin menambah, perbincangan bersama dengan golongan pemuda terutamanya daripada Pakatan Rakyat juga perlu disebabkan perkara tersebut mempunyai kaitan dengan ruang lingkup sistem parti politik yang dihadapi pada hari ini.

Dalam reaksi pagi ini, Saifuddin juga mengesahkan beliau akan membawa idea berkenaan ke perhatian Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini.

“Ya, saya akan mengetengahkan pandangan membenarkan mahasiswa menyertai politik,” katanya.

Majlis Tertinggi Umno dijadual mengadakan mesyuarat bulanannya 27 Ogos ini.

Dalam mesej menerusi Twitter lewat malam tadi, Saifuddin berkata, beliau “menantikan mesyuarat MT 27 Ogos (ini) untuk membawa isu-isu politik dan pelajar.”

Reaksi itu dikeluarkan selepas laporan awal menyebut Kabinet telah menolak idea membenarkan mahasiswa menyertai politik secara aktif.

Laporan awal Bernama petang semalam menyebut Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik.

Laporan itu yang memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin ditarik balik beberapa jam kemudian.

Ekoran laporan awal media termasuk berita SMS keluaran beberapa akhbar, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan awal 27 Julai lalu, Saifuddin berkata beliau akan membawa cadangan itu mesyuarat MT Umno akan datang.

Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.

Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut IPTA dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata akta itu perlu dikaji semula.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top