Pelajar Bumiputera Bila Ibu atau Ayah Bumiputera - Khalid

7 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengiktiraf seseorang pelajar itu bumiputera walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapa mereka dikategorikan sebagai bumiputera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan melaksanakan peraturan baru itu pada bila-bila masa kerana Kabinet telah bersetuju dengan langkah tersebut.

Sebelum ini katanya, Perkara 161A(6)(b) berkenaan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang bumiputera jika ibu dan bapanya adalah seorang pribumi Sarawak.

''Kita bersetuju jika salah seorang daripada ahli keluarga mereka iaitu ibu atau bapa pelajar berkenaan adalah bumiputera, maka dia juga layak diberi tempat di matrikulasi atau institusi pengajian tinggi (IPTA) yang dikhaskan untuk bumiputera.

''Pelajar tersebut akan diterima sebagai bumiputera walaupun namanya tidak menggambarkan nama seorang bumiputera," katanya pada sidang akhbar Majlis Graduasi Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) 2009 Kali Ke-36 di sini hari ini.

Hadir sama Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ahmad.Beliau mengulas kes seorang pelajar perempuan, Marina Unau yang tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau IPTA pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai bukan bumiputera.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu merupakan anak kedua Unau, hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau mendakwa, maklum balas yang diterimanya daripada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan terdapat perbezaan status kedudukan bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia jika dibandingkan kedudukan bumiputera Sarawak.

Maklum balas itu antara lain menyebut, bagi Semenanjung Malaysia jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya dianggap seorang bumiputera.

Sebaliknya bagi Sabah, seseorang calon dianggap seorang bumiputera jika bapa calon adalah seorang Melayu beragama Islam/pribumi Sabah seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Utusan Malaysia, 8 November 2009

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top