Mahasiswa Lesu: Di Mana Silapnya

Mahasiswa/i dianggap mutiara yang bersinar di puncak yang tertinggi. Sudah semestinya menjadi kebanggaan keluarga daan masyarakat apabila melihat anak yang ditatang sejak kecil itu berjaya melangkah ke menara gading. Dengan harapan, mereka dapat menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat suatu hari nanti. Untuk melahirkan belia harapan negara, ia bukanlah tertumpu kepada akademik semata-mata. Tetapi, kemahiran dan nilai tambah dalam diri mahasiswa/i itulah menjadi pemangkin untuk melahirkan generasi yang berintelektual tinggi dan berkredibiliti kepimpinan.

Jika dilihat konsep mahasiswa/i itu sendiri, mahasiswa merupakan salah satu agen yang sangat penting dalam menentukan perkembangan masyarakat dari segi "Intelectual Quality" (IQ), "Spritual Quality" (SQ) dan "Emotional Quality" (EQ). Mahasiswa perlu membawa pendirian mereka tersendiri tanpa dieksploitasioleh mana-mana badan politik. Sejarah telah membuktikan pada masa sekitar 1960-1970an, memaparkan bagaimana gerakan mahasiswa/i Universiti Malaya (UM) berani menampilkan diri dan menggoncang dunia pada ketika itu demi membawa suara rakyat. Isu yang kerap menjadi perhatian adalah isu "Hamid Tuah" hinggalah ke isu "Kebangkitan Rakyat Baling", yang menjadi wadah mahasiswa/i berhubung dengan masyarakat. Tidak asing lagi pemimpin mahasiswa/i pada masa itu seperti Anwar Ibrahim (Datuk Seri), Hamid Ali, Hishamuddin Rais dan sebagainya yang terus menerus lantang bersuara untuk menegakkan hak rakyat itu sendiri.

Namun, hari ini lain pula yang terjadi. Mahasiswa/i hanya tertumpu pada akademik semata-mata tanpa kemahiran. Hal ini berikutan selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975, yang melahirkan gerakan mahasiswa/i yang semakin lesu. Kelesuan dari sudut kebajikan rakyat, masalah jenayah dan sebagainya. Sebelum AUKU dipinda, mahasiswa/i bebas untuk memperjuangkan idealisme mereka masing-masing. Kini, AUKU telah membantutkan pemikiran yang kreatif dan inivatif untuk terus berkembang. Segala kegiatan mahasiswa/i perlu ditapis oleh pihak universiti sebelum dijalankan. Andaikata mahasiswa/i menjalankan perkara yang memainkan sentimen yang tidak memihak kepada universiti dan kerajaan, belum sempat bermula pasti dihalang terlebih dahulu.

Kini, gerakan mahasiswa kelihatan lemah tidak bermaya serta sudah hilang taring yang pernaah menggegar Malaysia suatu masa dahulu. Terus, yang menjadi tanda tanya adalah, mengapa mahasiswa lesu? Adakah AUKU penyumbang utama kepada permasalahan ini atau ada permasalahn lain yang berbangkit? Namun, kita sebagai mahasiswa yang berintelektual perlulah sentiasa menganalisis, mengapakah isu mahasiswa lesu tidak pernah lekang disebut sejak tahun 1970an hinggalah sekarang? Mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri. Kita selaku mahasiswa sentiasa sibuk dengan kuliah, tugasan dan ulangkaji, namun kita terlupa seketika, bukan input itu saja yang kita cari di universiti. Seorang mahasiswa/i sewajarnya aktif bermasyarakat sama ada masyarakat dalam kampus, mahupun masyarakat umum. Mentaliti mahasiswa/i, "universiti hanya sebagai gedung ilmu, bukan wadah bermasyarakat" perlu diubah. Jangan jadikan tugasan dan peperiksaan sekatan kepada mahasiswa/i kini untuk memberi komitmen dengan perkara-perkara lain. Jika hal ini berlaku, maka hilanglah gerakan mahasiswa/i yang lantang menjadi wadah kepada suara rakyat.

Adakah kita ingin terus berada dalam situasi tersebut selama-lamanya dan melihat generasi seterusnya terus lesu? Jika kita berkata "tidak", maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah hari ini, menjadi lebih baik untuk keberjayaan pada masa akan datang. Kita mesti berani melakukan pembaharuan untuk menegakkan kepentingan mahasiswa/i di universiti terutama UMSKAL. mahasiswa/i perlu mula dan bijak merancang strategi bermula hari ini. Seperti kata pepatah Inggeris, "if we fail to plan, we are plan to fail".

Nurul Aida Abdul Aziz, UMSKAL

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top