Mahasiswa dan Masa Depan Ekonomi Negara


Situasi Ekonomi Semasa


Kemelesetan ekonomi dunia yang bermula berikutan krisis sub-prima telah berakhir, namun pemulihannya ketika ini berkembang pada tahap yang perlahan.

Ketika saya menghadiri “2010 Post Budget Economic Outlook Seminar”, yang dianjurkan oleh Penang Chinese Chamber of Commerce dengan kerjasama ASNB dan CIMB yang diadakan pada 3 November 2009 di Hotel Cititel, Pulau Pinang, secara global memperlihatkan perkembangan ekonomi Malaysia berada antara negara yang melalui tahap perkembangan ekonomi yang terendah, 2.5%.

Justeru usaha-usaha yang lebih mampan harus dijana dari semasa ke semasa dan untuk itu, para mahasiswa yang lahir dari seluruh IPTA umumnya dan dari UMS-KAL khususnya harus turut serta dalam arus memperbaiki ekonomi negara pada tahun-tahun mendatang. Usaha ke arah tersebut mesti bermula dari ketika masih di universiti ini.

Kepentingan Mahasiswa dalam Membentuk Senario Masa Depan Malaysia

Antara agenda Bajet 2010 yang di ‘highlight’ dalam seminar tersebut adalah memacu negara ke arah rakyat berpendapatan tinggi di samping memberi fokus kepada hub halal dan pembangunan teknologi hijau (green technology development). Namun usaha ini tidak akan berjaya tanpa kehadiran para mahasiswa yang meletakkan diri mereka sebagai entiti yang penting dalam pembangunan negara. Mahasiswa harus berjiwa besar namun tidak sombong; hebat dan belajar menjadi hebat, tetapi beriman dan berpegang teguh pada agama. Berfikiran terbuka, tetapi dengan panduan para ulama’ yang berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah (teladan Rasulullah s.a.w). Kekuatan ini yang perlu dalam diri kalian.

Cabaran Ekonomi Malaysia yang perlu dihadapi:
a) pemulihan ke arah ekonomi yang lebih stabil;
b) Defisit fiskal yang kekal sejak 13 tahun lalu;
c) Pelaburan swasta yang rendah, dari 32% (1997) menjadi 9.6% (2009);
d) Persaingan ke atas Pelaburan Langsung Asing (FDI);
e) Tenaga kerja yang berkemahiran;
f) Keperluan untuk memacu perubahan ke arah ekonomi yang inovatif dan kompetitif.

Apa yang penting pada masa ini buat kalian adalah dua cabaran (e) dan (f). Para graduan yang lahir dari universiti tidak dapat tidak untuk memiliki nilai tambah (value added) dan kemahiran dalam bidang lain, tidak mencukupi hanya dengan ijazah yang dimiliki, kerana rentak pekerjaan semasa melihat kepada fleksibiliti perlaksanaan tugas. Dengan kekuatan manpower yang berkemahiran tinggi dapat merubah persekitaran ekonomi yang inovatif dan kompetitif seperti yang diinginkan.

Daripada "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Statistik menunjukkan Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan perundangan dan pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun. Nah! Ini satu lagi perkara yang harus diberi perhatian oleh mahasiswa. Sebagai sebuah generasi baru yang berkredibiliti serta memiliki ilmu pengurusan, statistik ini harus diperbaiki sebaik kalian keluar dari universiti tempat kalian bertapak mencari ilmu.

Secara seriusnya, saya mengharapkan agar mahasiswa mengambil peluang di universiti untuk "menguasai" bukan sekadar "mengetahui" ilmu-ilmu yang dipelajari. Selain itu, mahasiswa juga perlu mengasah pemikiran untuk lebih kreatif dan kritis, serta sentiasa peka dan menilai dengan tepat isu-isu semasa negara. Malaysia menagih kebijaksaan dan usia muda kalian untuk meneraju masa depannya. SALAM MAJU JAYA!

MOHD HAFIZ BIN TAJUDIN
Penolong Penyelidik Sosioekonomi
Penang Research Centre in Socio-Economy (PReCISE)

Penulis ialah seorang alumni UMSKAL 2005-2009

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top