Pengukuhan Jatidiri dalam Aktiviti Kemahasiswaan

Peningkatan program-program kemahasiswaan yang berunsurkan ilmiah dan pengukuhan jati diri mahasiswa itu sendiri sememangnya amat dialu-alukan. Jika sebelum ini, program-program sebegini kurang mendapat tempat, namun kesediaan badan-badan seperti Sekretariat Masjid dan JAKMAS mengangjurkannya wajar mendapat pujian.


Kejayaan mereka menganjurkan program yang berbentuk kemahasiswaan dan keintelektualan dapat mengembangkan dan mengasah bakat kepimpinan, sahsiah dan jatidiri mahasiswa. Program Pembangunan Modal Insan anajuran Sekretariat Masjid (SM) menjadi pembuka tirai semester ini membuktikan pembangunan jatidiri dan nilai-nilai sahsiah mahasiswa amat dititik beratkan. Hal ini menunjukkan kepimpinan mahasiswa optimis dan telus bahawa melalui modal insan dapat membentuk mahasiswa yang mempunyai karisma dan daya intelek yang tinggi.

Manakala, Seminar Keganasan Terhadap Wanita yang dianjurkan oleh JAKMAS pula mencerminkan keprihatinan dan kepekaan mahasiswa terhadap isu-isu semasa negara terutama yang melibatkan hal ehwal kewanitaan. Sungguhpun, seminar tersebut menjurus kepada aspek kewanitaan namun golongan mahasiswa lelaki tidak boleh tidak memahami peranan wanita dalam institusi pendidikan dan pembangunan negara.

Tatkala negara digembar-gemburkan mengenai permasalahan intergriti di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan maka sekali lagi JAKMAS tampil kehadapan menganjurkan Seminar Pencegahan Rasuah. Hal ini juga secara langsung melibatkan peranan mahasiswa dalam mengukuhkan integriti yang mencerminkan taraf mahasiwa itu sendiri.

Sebelum ini mahasiswa lebih banyak didedahkan kepada aktiviti-aktiviti berbentuk hiburan seperti Pertandingan Karaoke dan sebagainya. Penganjuran program seumpama ini tidaklah salah namun ianya harus dikurangkan dan memperbanyakkan program sesuai dengan status universiti itu sendiri — taman ilmu yang menjunjung budaya keintelektualan.

Secara tuntasnya Wacana Siswa mengharapkan keadaan seperti ini akan terus berkekalan dan akan terus dikembangkan pada masa akan datang bagi mewujudkan kondisi pendidikan yang lebih baik.

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top