Berlalunya Satu Semester...

Minggu peperiksaan telah pun masuk minggu yang terakhir, bermakna seminggu dari hari ini Kampus Antabangsa Labuan UMS akan sunyi daripada pelajar buat masa sebulan. Sekarang ini pun telah ramai pelajar yang tamat peperiksaan lebih awal mengambil peluang untuk pulang ke kampung. Satu semester berlalu dengan pelbagai kenangan manis mahu pun pahit. Manisnya kerana dapat menimba pelbagai ilmu dan bermesra sesama kawan-kawan, pahitnya pula mungkin kehadiran semester ini disambut dengan pelbagai masalah kebajikan mahasiswa dan yang paling meresahkan adalah masalah air.

Sejak September lalu, Majlis Perwakilan Pelajar telah menerbitkan Wacana Siswa Edisi Khas bagi merungkai dan berkongsi permasalahan dengan para mahasiswa. Menerusi risalah ini pihak MPP menerangkan langkah-langkah yang telah diambil sama ada di peringkat mahasiswa (MPP) sendiri mahu pun pihak pentadbiran dalam menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa. Sebahagian yang dilaporkan merupakan isu-isu baru, selebihnya pula isu-isu lama yang telah diperjuangkan oleh wakil-wakil mahasiswa sekian lama.

Di sebalik kehadiran pelajar baru diuji dengan ketiadaan air, pihak MPP telah mengambil pelbagai langkah mengatasinya. Menyedari masalah air ini bukanlah masalah UMSKAL secara bersendirian sebaliknya masalah seluruh Labuan, pihak MPP meletakkan sasaran sekurang-kurangnya kesulitan yang dialami mahasiswa dapat diringankan. Sdr. Abdilah sendiri bersama Exco 3K telah mendapatkan penjelasan situasi semasa berkenaan UMSKAL dalam menghadapi kebejatan air di Labuan daripada pihak HEP dan juga Pentadbiran, malah satu perjumpaan bersama Pengarah juga diatur. Kemudian, MPP turut menghubungi Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) untuk mendapatkan penjelasan dalam hal yang sama. Seterusnya, JBAL telah membekalkan air melalui lori tangki yang membekalkan air ke tangki-tangki simpanan di belakang blok kediaman. Terbaru, pihak MPP melalui Wacana Siswa memaklumkan berkenaan satu perjumpaan bersama Ketua Menteri Sabah yang juga Pro-Canselor UMS pada bulan Disember bagi membincangkan isu ini.

Selain itu, Wacana Siswa juga pernah melaporkan isu bas yang masih tidak memuaskan hati mahasiswa selaku pembayar yuran. Seterusnya, masalah-masalah seperti kelewatan proses pinjaman PTPTN bagi kelompok kedua dan ketiga, isu pelajar yang masih mempunyai hutang tidak dapat menuntut slip peperiksaan sedangkan peperiksaan semakin hampir, dan juga isu susur gajah yang dibangkitkan semula ekoran cuaca di Labuan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Kesemua ini masih menjadi satu senarai panjang isu kebajikan mahasiswa yang masih belum selesai. Kebajikan mahasiswa dan kemudahan infrastruktur UMSKAL yang masih ketinggalan di belakang Kolej Matrikulasi Labuan yang berdekatan tentu sekali mengecewakan mahasiswa, di kala peruntukan yang besar diberikan untuk membina kemudahan pensyarah dan kakitangan, yang hasilnya langsung tidak dapat dimanfaatkan untuk keperluan mahasiswa.

Di sini pihak MPP yakin mahasiswa sekaliannya pasti dapat menilai sejauh mana keseriusan pihak-pihak yang terlibat bagi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu mahasiswa, atau hanya hanya sekadar satu usaha sambil lewa untuk melepaskan tanggungjawab. Di sini juga pihak MPP pasti para mahasiswa boleh menilai adakah kualiti kebajikan mahasiswa meningkat atau terus merosot daripada tahun-tahun sebelumnya. Isu-isu baru yang lambat diambil tindakan mahu pun isu-isu lama yang masih berterusan namun tidak diambil perhatian ini, akan terus agenda MPP, selagi mana barisan kepimpinan MPP itu orientasi perjuangannya adalah mahasiswa itu sendiri.

Tidak lama lagi akan bermulanya semester yang kedua sesi 2009-2010, semester baru yang mungkin menjanjikan pelbagai harapan dan azam baru lebih-lebih lagi ia disusuli dengan sambutan tahun baru 2010. Suka untuk kami di pihak Wacana Siswa untuk mengajak mahasiswa untuk terus “bersama” dengan wakil-wakil anda di MPP meningkatkan kualiti kebajikan di kampus ini. Justeru, mahasiswa tidak harus memandang enteng akan proses pilihanraya kampus.

Oleh sebab pilihanraya kampus bakal berlangsung sebaik sahaja semester depan membuka tirai, barisan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (KAL) sesi 2008/2009 diketuai Sdr. Abdilah Mat Lin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih atas setiap sokongan diberikan dan juga memohon jutaan maaf andai kualiti kebajikan mahasiswa tidak berrtambah baik. Namun harus diingat, MPP bukanlah pihak yang “menyediakan” kebajikan, sebaliknya MPP adalah wakil-wakil membawa suara anda “memperjuang” kebajikan mahasiwa sekaliannya, yang dilantik oleh undi anda sendiri melalui pilihanraya kampus. Semakin kuat suara mahasiswa melalui MPP, maka peluang menikmmati kebajikan yang lebih baik akan lebih terbuka. Kekuatan atau kelemahan MPP bergantung sejauh mana anda memberikan sokongan anda kepada mereka.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top