Selamat Bercuti…

Assalamualaikum wbt.

Perjuangan diibaratkan sebuah aliran arus air yang melalui sebatang sungai yang berbatu-batu. Asal kewujudannya dari sebuah mata air yang kecil. Lalu membentuk sungai yang alirannya tidak pernah lekang dari dihalangi batu-batuan sama ada kecil, besar ataupun tajam. Air perlu tetap mengalir walaupun payah. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap terhempas ke batu, dan sekejap terpercik ke udara. Sebelum ia mula membentuk sebatang sungai yang besar dan deras di mana ketika itu semakin berkurang liku-liku perjalanan dan sebelum ia mengalir ke muara lautan yang luas.

Ia juga sama seperti perjuangan kita sebagai mahasiswa/i untuk menuntut segunung ilmu dan mencari secebis pengalaman hidup. Asal kita bukan sesiapa. Tetap bertungkus lumus membentuk diri. Dari kecil kita telah melalui liku-liku perjalanan hidup yang serba mencabar. Setelah dewasa kita perlu juga melalui cabaran, tetapi berbeza dan luas ruang lingkupnya. Seharusnya sebagai seorang yang dewasa, kita lebih bijak memilih, menilai dan membezakan perkara yang baik juga yang buruk. Alam kampus banyak menguji kita dengan pengaruh kawan-kawan yang kuat. Terpulang pada diri kita untuk memilih kawan dan kehidupan yang bagaimana.

Begitu juga apabila kita pulang ke rumah dan bercuti panjang sebelum kembali ke kampus untuk sesi pengajian yang seterusnya. Kita yang memililih untuk mengisi cuti dengan perkara berfaedah atau tidak berbuat apa. Proses pembentukan diri perlulah berterusan dan bukan semata-mata di universiti, malah di mana jua. Dan sebagai pelajar universiti, kita adalah cerminan bagi golongan intelektual yang seharusnya menggambarkan seorang yang berkredibiliti tinggi dan jitu.

Saya dan seluruh saff kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP 08/09) ingin mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua mahasiswa/i Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan.

Naib Presiden KAL, MPP 0809

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top