69 760 Graduan IPTA Daftar di Jobs Malaysia

DEWAN Rakyat diberitahu seramai 69,760 graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendaftar menerusi portal Jobs Malaysia untuk mencari pekerjaan tahun ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, mereka yang mendaftar sehingga 13 November lalu itu membabitkan 12,768 graduan Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1,731), Universiti Kebangsaan Malaysia (2,399), Universiti Malaya (2,059), Universiti Malaysia Sabah (1,820), Universiti Malaysia Sarawak (1,007), Universiti Perguruan Sultan Idris (192), Universiti Putra Malaysia (2,681), Universiti Sains Malaysia (1,980), Universiti Teknologi Malaysia (2,943), Universiti Utara Malaysia (4,151) dan lain-lain universiti (36,029).

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 18 orang memiliki ijazah kedoktoran, sarjana (1,165), ijazah (36,985) dan diploma (31,592). “Jumlah pencari kerja ini tidak menggambarkan jumlah sebenar pengangguran di kalangan graduan kerana ada di antara mereka sudah bekerja dan berhasrat mendapatkan pekerjaan lebih baik atau bertukar tempat kerja.

“Graduan yang mendaftar ini terdiri daripada pelbagai bidang dan pengkhususan termasuk pentadbiran perniagaan; elektrik, elektronik dan kejuruteraan telekomunikasi, mekanikal, perakaunan dan sains tulen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang), yang meminta penjelasan kerajaan berhubung bilangan graduan menganggur berdaftar dengan Jobs Malaysia atau dulu dikenali sebagai Job Clearing System mengikut IPTA dan bidang utamanya.

Menjawab soalan tambahan Baharum sama ada majikan berpuas hati dengan graduan yang ditempatkan di syarikat mereka menerusi sistem itu, Maznah berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan besar membabitkan perkara itu.

sumber: berita harian.com

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top