Ubah Paradigma IPT Malaysia

Ubah Paradigma IPT Malaysia (Bahagian 1)

Perkembangan dunia kini yang pesat membawa bersama-samanya cabaran-cabaran tertentu telah menagih peranan dan komitmen kita yang besar. Cabaran ini termasuklah bagaimana kita memimpin ekonomi kita supaya berteraskan pengetahuan dan inovasi, mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan seterusnya komitmen untuk mewujudkan ketahanan nasional yang dapat melahirkan bangsa yang ampuh dan mampu mendepani cabaran semasa.

Bagi tujuan itu, saya sukacita mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi-agensi di bawahnya menggunakan tema 'Menjamin Masa Depan Malaysia atau 'Securing Malaysia's Future' sebagai asas kepada perancangan KPT untuk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10. Masa depan Malaysia hanya boleh terjamin jika kita melakukan yang terbaik melalui sektor pengajian tinggi.

Jika sistem pengajian tinggi kita tidak dinamik dan progresif, maka Malaysia yang sejahtera, maju dan berdaya saing hanyalah tinggal impian dan harapan. Ini adalah kerana sebarang kekurangan atau kegagalan dalam sistem pendidikan tinggi akan menyebabkan negara menjadi lemah dan tertinggal dalam persaingan global.

Dengan segala kepakaran dan sumber-sumber yang ada di dalam Kementerian ini disertai oleh keazaman dan komitmen yang tinggi, kita boleh bersama-sama melakukannya dan seterusnya mencapai kejayaan dan menjamin masa depan Malaysia.

Saya ingin melakarkan beberapa agenda dan strategi yang harus menjadi asas kepada perancangan RMK-10 KPT. Dengan strategi dan agenda itu, kita boleh mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

Agenda 1: Menonjol Potensi Setiap Rakyat Malaysia

KPT mesti konsisten dalam usahanya melebarkan akses dan peluang pengajian tinggi kepada setiap rakyat Malaysia. Dalam erti kata lain, tidak ada seorang pun daripada kalangan rakyat Malaysia dinafikan peluang untuk mendapatkan pengajian tinggi yang bermutu dan mampu dimiliki.

Malaysia yang maju mestilah berupaya memaksimumkan sumbangan kreativiti dan potensi rakyatnya. Bila saya bercakap tentang melebarkan akses, saya tidak bermaksud kita harus membina kampus yang lebih besar, universiti yang lebih banyak, membina universiti di pelbagai tempat atau menambahkan bilangan mahasiswa dengan sewenangnya.

Kita harus beralih paradigma kita. Kita harus mengoptimumkan peluang dan kemudahan sedia ada dengan memastikan prasarana yang kita ada digunakan sebaik dan seoptimum mungkin. Ini bermaksud, kita harus menggunakan bukan sahaja universiti, tetapi juga politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan swasta, institut latihan dan pelbagai lagi organisasi pendidikan.

Namun begitu, akses kepada pengajian tinggi bukan bermakna peluang mendapatkan ijazah semata-mata. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk menambahkan kemahiran, mempelajari yang baru dan mempelbagaikan potensi.

Dalam hal ini, tidak semua harus dijamin tempat di universiti tetapi ditawarkan peluang di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara. Contohnya kita dalam usaha untuk menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan yang menawarkan program yang berkualiti dan setanding dengan IPT lain.

Kita harus menyingkir mentaliti lapuk yang berpandangan bahawa politeknik atau kolej komuniti itu hanyalah mempunyai satu fungsi; iaitu memberikan pendidikan kepada 'semi profesional' dan menyediakan hanya pendidikan asas berteraskan kemahiran semata-mata.

Kedua-dua institusi ini mesti diberikan nafas baru agar Malaysia mampu mempunyai sistem pendidikan yang komprehensif tetapi pelbagai.
Sehubungan dengan itu, kita mesti mempertingkatkan keupayaan institusi pengajian tinggi kita dan bukannya mencari jalan pintas dengan membina prasarana dan kampus baru. Kita harus menaikkan taraf beberapa politeknik selari dengan kewibawaan mereka.

Kita mesti menambah lebih banyak peluang pendidikan ijazah tinggi kepada setiap pensyarah dan tenaga pekerja. Kita mesti memberikan mereka autonomi dan kebebasan untuk merencana dan membangunkan potensi mereka.

Oleh itu, kita tidak boleh lagi meminggirkan mereka daripada arus perdana pengajian tinggi kerana kita percaya mereka mempunyai keupayaan untuk membantu negara dalam menyediakan akses dan mengurangkan jurang dalam pengajian tinggi.

Peranan yang sama besar perlu diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Bila saya datang ke KPT, saya melihat hampir 70 peratus perhatian kita dedikasikan kepada IPTA sedangkan yang akan menggerak dan memacukan pelebaran akses ini ialah IPTS.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar KPT dapat merangka strategi untuk melebarkan akses pengajian tinggi dengan melibatkan sama peranan IPTS. Jika IPTA tidak mampu menyediakan tempat mencukupi untuk bidang-bidang misalnya perubatan dan kejuruteraan, maka IPTS harus diberikan peranan dalam bentuk insentif untuk membina sekolah-sekolah perubatan dan kejuruteraan.

Kita memerlukan penyelesaian yang efektif dan bukannya pendekatan yang akan terus membebankan kerajaan.

Agenda 2: Pelaburan dalam Sains dan Teknologi

Pencapaian kita dalam bidang sains dan teknologi jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan negara seangkatan dengan kita seperti Korea, Taiwan, Ireland dan Thailand.
Kalau kita membandingkan diri kita dengan Singapura, maka kita berada dua dekad di belakang. Akan tetapi, itu tidak bermakna kita tidak mempunyai pencapaian langsung.

Oleh itu, saya mencadangkan agar dana penyelidikan untuk universiti ditambah secara signifikan dalam RMK-10 dan jika boleh, ia mensasarkan kadar 1.5 ke 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) atau GDP negara.

Saya percaya cadangan ini mungkin sedikit keterlaluan. Akan tetapi nyatakan kepada saya manakah negara maju yang pelaburan dan penyelidikannya kurang dari 1.5 peratus daripada GDP negaranya.

Jika kita ingin mengekalkan daya saing sebagai antara negara yang paling kompetitif dan berekonomi global, maka kita harus mengambil tindakan yang tegas dan jitu.

Kita tidak memerlukan bangunan yang canggih dan mahal untuk melaksanakan penyelidikan bermutu sebaliknya kita memerlukan peralatan yang baik, penyelidik yang baik dan projek penyelidikan yang bermutu. Ini bermakna kita harus mensasarkan pengagihan geran penyelidikan secara kompetitif tanpa mengira sama ada IPTA atau IPTS.

Bagaimana pun, strategi kita untuk mengukuhkan beberapa IPTA sebagai universiti penyelidikan harus didokong secara agresif. Oleh yang demikian, KPT mesti menyediakan satu permohonan untuk mendapatkan peruntukan penyelidikan yang boleh mendatangkan impak terhadap sektor inovasi negara.

Walaupun kita memohon dana penyelidikan dipertingkatkan, kementerian juga ingin melihat kadar kebergantungan IPTA untuk mendapatkan geran penyelidikan dikurangkan, sekali gus kebergantungan kepada kerajaan dapat diminimumkan.

Untuk melonjakkan prestasi penyelidikan, semua IPTA harus mengatur strategi bagaimana mereka boleh mendapatkan dana penyelidikan selain dari FRGS yang berjumlah sekitar RM250 juta sahaja itu. Contohnya mereka perlu berusaha untuk mendapatkan dana dari Kementerian lain khasnya MOSTI dan MOA, dana penyelidikan dari swasta dan industri malahan perlu meluaskan sasaran untuk mendapatkan dana penyelidikan dari sumber luar atau antarabangsa.

Saya percaya ini hanya boleh dilakukan apabila para akademik mempunyai penyelidikan yang mempunyai nilai yang tinggi kepada pihak-pihak berkenaan selain dari aktiviti research for the sake of doing research sahaja.

Selain daripada itu, saya juga mencadangkan agar setiap projek yang berjaya mendapat geran penyelidikan dari industri, syarikat multinasional dan institusi antarabangsa bolehlah dipertimbang untuk diberikan matching grant oleh kerajaan.

Ini bermakna jika penyelidik kita mendapat RM2 juta, maka kerajaan harus memberikan geran setimpal untuk melebarkan penyelidikan yang dijalankan agar ia berterusan.

Ini adalah untuk memastikan berlakunya kesinambungan dalam penyelidikan. Komitmen sebagai research partner ini ialah penyelidikan tersebut membuahkan hasil dalam bentuk ganjaran wang ringgit tetapi komitmen kerajaan adalah untuk mengukuhkan national innovation chain.

Oleh itu, kita harus memastikan dalam RMK10, kita tidak hanya memohon geran penyelidikan tetapi juga memohon geran insentif untuk mana-mana penyelidik yang mampu mendapatkan dana luar bagi tujuan penyelidikan.

Agenda 3: Malaysia Sebagai Pusat kepada Perkembangan Pengetahuan dan Inovasi

Malaysia perlu muncul dalam konteks antarabangsa sebagai pusat kepada perkembangan pengetahuan dan inovasi dan bukannya sekadar hub pengajian tinggi. Kita mesti beralih daripada paradigma untuk hanya menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

Kita sudah ada pesaing yang sangat berjaya seperti Dubai dan Doha. Australia umpamanya, sudah jauh mengatasi United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam menarik kedatangan pelajar asing. Untuk kita menandingi mereka, kita perlu lebih kreatif dan berani mengambil risiko.

Kita perlu mengubah matlamat kehadiran di peringkat antarabangsa kerana Malaysia sudah mempunyai pengalaman dalam menawarkan pengajian tinggi yang bermutu. Akan tetapi kita tidak berupaya melonjak daripada pencapaian yang sedia ada. Kita harus meneroka pasaran baru seperti Afrika Utara, Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

Kita harus lebih agresif bukan hanya untuk menarik pelajar tetapi pelajar terbaik di kalangan mereka. Jika universiti kita ingin menjadi terbaik, maka kita mesti mencari pelajar yang terbaik. Dalam masa sekarang, cara kita mempromosikan Malaysia perlu nilai strategi. Kita tidak boleh hanya memaparkan seolah-olah Malaysia adalah tempat yang murah dan mudah untuk pendidikan. Kita mesti menukar strategi ini.

Kita mesti meyakini pasaran bahawa kita menawarkan bukan sahaja pendidikan bermutu tetapi juga peluang untuk meneroka kosmopolitan dan multi budaya, sekali gus menyediakan pelajar antarabangsa perspektif tentang budaya dan sistem nilai Asia.

Nilai ini penting kerana abad ke-21 merupakan abad Asia dan pusat pertumbuhan ekonomi dunia paling dinamik ialah di rantau sebelah sini.

Kedua, Kita memerlukan individu yang berbakat dan kreatif. Dalam hal ini, Malaysia harus membuka ruang seluas-luasnya untuk pelajar daripada negara maju, membangun dan mundur, tetapi mempunyai kebolehan luar biasa untuk datang dan belajar di Malaysia.

Ketiga, Malaysia harus menjadi negara yang kosmopolitan, kerana kita memang sangat kaya dengan kepelbagaian. Kita harus menjadi negara di mana kepelbagaian amat dijaya dan diraikan sehingga mereka mempunyai peluang untuk bukan sahaja pendidikan yang baik tetapi juga kehidupan yang bermutu.

RMK-10 harus memberi fokus untuk menjayakan idea menonjolkan Malaysia sebagai pusat perkembangan pengetahuan dan inovasi yang tersohor. Saya mencadangkan agar Malaysia dapat memastikan biasiswa yang telah disediakan oleh kerajaan dapat diagihkan secara strategik dalam usaha menarik kedatangan hanya pelajar terbaik dunia daripada pelbagai peringkat menjalankan penyelidikan di Malaysia.

Biasiswa yang disalurkan ini hendaklah lumayan nilainya dan turut melibatkan penerima daripada kalangan pelajar di peringkat ijazah pasca ijazah. Dalam masa yang sama, Malaysia mesti juga menarik penyelidik terbaik dari pelbagai negara kerana merekalah yang akan menjadikan Malaysia sebagai pusat perkembangan ilmu yang mempunyai reputasi antarabangsa.

KPT juga harus menjayakan Malaysia sebagai pusat penciptaan perkembangan pengetahuan dan inovasi ini dengan merangka strategi untuk menyediakan insentif kepada mana-mana universiti atau institusi penyelidikan luar untuk ditubuhkan di Malaysia.

Begitu banyak insentif ditawarkan oleh kerajaan kepada pelabur langsung asing dan juga syarikat-syarikat yang menempatkan operasi mereka di Koridor Raya Multimedia (MSC) atau Iskandar. Akan tetapi kita tidak menyediakan insentif yang sama untuk institusi pendidikan dan penyelidikan luar untuk menempatkan operasi atau kampus cawangan mereka di Malaysia.

Pengajian tinggi juga boleh digunakan sebagai sebahagian daripada dasar luar negara. Salah satu program yang boleh dilaksanakan ialah dengan melaksanakan dasar Inisiatif Ikatan Antarabangsa Pengajian Tinggi Malaysia.

Dasar ini bertujuan untuk membolehkan Malaysia menawarkan kepakaran dan pengalamannya dengan negara serantau dan juga negara membangun lain.

Keupayaan Malaysia menjadi salah sebuah negara membangun yang paling berjaya di dunia boleh dikongsi dengan pelbagai negara membangun dan mundur lain. Negara-negara CLMV atau ASEAN 4 iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam umpamanya amat memerlukan bantuan Malaysia dalam membangunkan sumber daya manusianya terutama dalam melatih tenaga akademik mereka.

Saya menganjurkan agar Malaysia menggiatkan usaha dalam RMK-10 untuk menawarkan peluang pendidikan ijazah tinggi kepada tenaga akademik dari negara-negara CLMV dan negara lain seperti Timur Leste, Papua New Guinea, negara di Asia Tengah dan juga negara mundur di Afrika.

Saya mencadangkan kita memperuntukkan dana untuk tujuan tersebut dan pada masa yang sama, memohon dana dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Bank Pembangunan Islam dan pelbagai institusi pembangunan antarabangsa untuk tujuan tersebut.

Kita mesti berusaha menyakinkan institusi tersebut bahawa mereka boleh menjayakan misi membangunkan sumber daya manusia dengan menyalurkan dana bagi Malaysia melatih tenaga akademik untuk negara-negara tersebut.

Saya juga mencadangkan satu konsortium IPTA dan IPTS diadakan untuk Malaysia menubuhkan sebuah universiti di luar negara seperti di Afrika dan Asia Tengah kerana strategi kita harus pelbagai dalam menjayakan dasar pengantarabangsaan kita. Pengantarabangsaan pengajian tinggi bukan bermakna kita hanya menerima kebanjiran pelajar dan penyelidik dari seluruh dunia, tetapi juga melangkah keluar dan membawa pendidikan tinggi Malaysia ke persada global.

Kita boleh memberikan impak yang sangat besar jika kita berjaya menubuhkan sebuah universiti di luar negara yang berorientasikan keuntungan tanpa mengabaikan komitmen kepada tradisi ilmu.

Sesungguhnya telah tiba masanya kita berjiwa besar, menawarkan pendidikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa dan merasa bangga melakukannya kerana ia adalah strategi diplomasi kita, Malaysia untuk dunia.

Utusan Malaysia, 21 Nov 2009

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top