RM3 Dikenakan Semula

Oleh Herry Anto Hasanuddin

5 November – Mahasiswa dikejutkan dengan pengumuman berkenaan bayaran tambahan penginapan sebanyak RM3.00 sehari kepada mahasiswa/i yang tinggal di kolej kediaman pada waktu cuti semester ini. Hal ini sememangnya merunsingkan mahasiswa/i yang akan pulang lewat ke kampung, dan terutamanya yang tidak pulang langsung ke kampung semasa cuti semester ini. Sedangkan adalah sedia maklum bahawa kebanyakan pelajar yang tidak pulang ke kampung adalah kerana disebabkan masalah kewangan. Jika bayaran ini dikenakan, tentu sekali ianya akan membebankan mahasiswa berkenaan.

Pengumuman tersebut disertai dengan pengumuman untuk pelajar mengosongkan bilik masing-masing semasa cuti semester yang bakal tiba bagi membolehkan penyusunan semula bilik dilakukan, yang biasanya dibuat pada cuti panjang di penghujung sesi. Sumber memberitahu, penyusunan semula ini bertujuan menempatkan semula pelajar pelbagai kaum dalam sebuah unit kediaman. Namun pengumuman ini ditarik balik kemudiannya dengan campur tangan pihak MPP.

Sdr. Abdillah Matlin, Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL berkata isu bayaran RM3.00 ini sememangnya terkandung dalam seksyen Perumahan dan Kolej Kediaman yang dikenakan kepada mahasiswa/i yang menginap di kolej kediaman semasa cuti semester panjang mahupun pendek. Ianya merupakan salah satu peruntukan kecil dalam AUKU yang mana ianya selaras di semua universiti seluruh negara, yang mana menyatakan caj RM3.00 sehari akan dikenakan bagi pelajar yang tinggal di kolej kediaman di luar tempoh sesi pengajian. Walau bagaimanapun, perkara terakhir dalam akta yang sama turut memperuntukkan Naib Canselor Universiti boleh memansuhkan peruntukan tersebut dengan budi bicara.

Menurut Sdr. Abdillah lagi, isu pembayaran RM3.00 ini pernah timbul semasa cuti pendek sesi yang lepas. Naib Presiden MPP KAL pada waktu itu, Sdr. Nasyad Mainor telah mengadakan satu road-show bagi memberi penjelasan kepada mahasiswa berkenaan isu terbabit dan seterusnya mengambil tandatangan mahasiswa bagi menyokong petisyen pemansuhan caj RM3.00 ini yang kemudiannya dihantar terus kepada Naib Canselor. Hasilnya, pihak Kolej Kediaman telah memansuhkan bayaran tersebut.

Justeru, pihak MPP kali ini juga bakal mengadakan satu petisyen bagi menuntut pemansuhan bayaran ini bagi meringankan beban mahasiswa. Pihak MPP juga sedang mempertimbangkan untuk membuat satu memorandum bagi menuntut bayaran ini dimansuhkan bukan sahaja pada semester ini, bahkan untuk semester-semester dan sesi-sesi yang seterusnya. Sdr. Abdilah yakin bahawa bayaran ini akan berjaya dimansuhkan jika mendapat sokongan mahasiswa/i melalui pengumpulan tandatangan yang akan dimuat bersama petisyen dan memorandum tersebut. Melihat kondisi UMS-KAL pada ketika ini yang kekurangan air dan kerap kali terputus bekalan elektrik merupakan antara hujah yang kuat untuk memansuhkan caj agar sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban mahasiswa.

Sdr. Abdillah turut menyeru semua mahasiswa, tidak kira bagi yang akan pulang bercuti atau tidak, untuk bersedia menurunkan tandatangan pada petisyen berkenaan. Bagi yang pulang bercuti, perlu merasa prihatin terhadap rakan-rakan yang tidak pulang. Beliau menyatakan seruan ini berikutan pengalaman bersama Naib Presiden lalu, ketika mengadakan pengumpulan tandatangan, ada juga pelajar yang enggan menurunkan tandatangan dengan alasan, peruntukan untuk bayaran ini sememangnya terkandung dalam peraturan kolej.

Walau bagaimanapun, setakat ini disebabkan minggu peperiksaan yang sedang berlangsung, pihak MPP telah menangguhkan Program Bersama Mahasiswa untuk mengambil tandatangan sokongan mahasiswa, yang sepatutnya diadakan pada Jumaat lalu.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top