Perkhidmatan Shuttle-bus Dihentikan

Wacana Siswa pernah melaporkan isu perkhidmatan bas dalam edisi September lalu. Sebagai mana yang dilaporkan, ketidakpuashatian mahasiswa bermula daripada sistem agihan kupon lagi yang didakwa tidak memadai dengan bayaran RM70 dalam yuran pengangkutan, sehinggalah akhirnya perkhidmatan shuttle-bus mula diperkenalkan awal tahun ini. Walaupun jadual perjalanan Shuttle-bus agak kurang efisien namun ianya telah banyak membantu mengurangkan masalah untuk ke bandar.

Permasalahan timbul semula apabila perkhidmatan Shuttle-bus ini ditangguhkan sejak kebelakangan ini. Perkara ini menimbulkan tanda tanya kepada siswa/i berkenaan dengan penangguhan tersebut.

Pihak MPP sehingga kini masih tidak mendapat maklumat yang jelas berhubung perkara ini. Hal ini kerana pegawai-pegawai berkaitan tidak dapat dihubungi oleh sebab berada di luar kawasan. Pengarah Kampus sendiri kini sedang berada di Tanah Suci kerana mengerjakan haji manakala Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar, Encik Zamri Muhammad Tuah, yang bertanggungjawab langsung terhadap perkhidmatan Shuttle-bus ini, kini sedang menghadiri kursus sejak minggu lalu. Justeru kebanyakan urusan berkaitan pelajar kini diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Terkini, menurut Naib Presiden KAL, pihak MPP telah meminta penjelasan Bahagian Pentadbiran (bahagian yang bertanggungjawab menyediakan bas) mengenai punca kegagalan perkhidmatan bas disediakan. Penjelasan yang diterima adalah, isu penangguhan Shuttle-bus ini adalah disebabkan oleh kekurangan pemandu selain terdapat juga bas yang rosak. Ini merupakan antara sebab mengapa penggunaan Shuttle-bus ditangguhkan. Justeru buat masa ini Bahagian Pentadbiran hanya dapat menyediakan perkhidmatan bas untuk tujuan pengangkutan pelajar dari Kolej Taman Mutiara sahaja.

Oleh itu siswa/i terpaksa menggunakan inisiatif sendiri jika ingin ke bandar. Pihak MPP akan terus memantau perkembangan isu ini sehinggalah isu ini diselesaikan dan seterusnya memudahkan urusan pelajar ke bandar.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top