Dari Meja Naib Presiden MPPKAL 08/09

Salam Pro-Mahasiswa...!!


Terlebih dahulu marilah kita bersama merafakkan setinggi kesyukuran kehadrat Ilahi dengan limpah inayahNya, maka kita bersua bersama menempuh alam peperiksaan bagi semester ini. Selawat serta salam buat junjungan Nabi Muhammad saw, para keluarga, sahabat baginda serta seluruh para penggerak dan pejuang Islam yang kini sedang berusaha merancang strategi, menempuh halangan dan menghadapi benteng rintangan pertemuan antara hak dan batil dalam memperjuangkan agama ad-deen ini.

Minggu ini merupakan bermulanya satu perlumbaan ke arah mendapatkan kejayaan dan kecemerlangan. Tidak dinafikan bahawa, rata-rata diantara sahabat-sahabat senantiasa berusaha dan gigih menelaah pelajaran. Perpustakaan kini menjadi medan utama untuk mendapatkan maklumat tambahan selain pertemuan bersama pensyarah masing-masing. Semoga dengan usaha dan semangat ini bakal membuahkan hasil yang diinginkan. Saya teringat akan titipan bicara Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang berbunyi:

"Wahai Pelajar..! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis begini, maka menjadi satu kesukaran aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya... alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melaarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan".

Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan agar semua sahabat dapat mengambil ruang dan peluang yang ada ini untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran sama ada secara berkumpulan mahupun seorang diri disamping dapat membantu sahabat lain yang lemah dalam akademik. Dalam keghairahan mengulangkaji, jangan lupa kebergantungan kepada Allah sangat tinggi. Dan, sebagai pelajar dan mahasiswa universiti, usaha di samping doa dan kebergantungan kepada Allah sangat perlu dalam mencapai cita-cita yang diidam-idamkan.

Bersempena dengan minggu peperiksaan ini juga,
saya mewakili suara Pro-Mahasiswa mengucapkan

..Salam Peperiksaan..
..Semoga Kejayaan Milik Anda..

..1Kejayaan 1Kecemerlangan Sejuta Harapan..
..Pro-M: Agen Peneraju Perubahan..

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top