Harapan Baru Isu Air

Oleh: Paezah binti Andilala


Mahasiswa/I Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) masih cekal meneruskan kehidupan seharian dengan penuh semangat dan harapan tinggi untuk mencapai kejayaan. Kesukaran mendapatkan air paip menyebabkan mahasiswa/i menjalani kehidupan seharian dengan penuh kesulitan. Masalah air ini sudah berbulan-bulan menyebabkan para pelajar menjadi biasa dengan keadaan tersebut seperti peribahasa “alah bisa tegal biasa”.

Selasa, 27 Oktober 2009 pihak MPP UMSKAL telah mengadakan pertemuan empat mata dengan wakil MPP Universiti Malaysia Sabah Kota Kinabalu (UMSKK). Dalam pertemuan tersebut beberapa perkara penting telah dibincangkan. Salah satu agenda penting yang dibincangkan adalah masalah air di UMSKAL.

Isu air dibawa ke Parlimen

Menurut Naib Presiden MPP Sdr. Mohd Abdillah Mat Lin, isu air di Labuan telah disuarakan ke persidangan parlimen. Beliau memberitahu, masalah air di Labuan akan dapat diselesaikan dengan dua cara iaitu pelan jangka panjang dan pelan jangka pendek. Dalam pelan jangka panjang, satu loji tambahan yang membekalkan air tambahan kepada penduduk Labuan bakal dibina. Hal ini kerana sebelum ini loji-loji sedia ada di Labuan tidak dapat menampung jumlah permintaan penggunaan penduduk di Labuan, tetapi dengan adanya pembinaan loji tambahan ini sudah pasti masalah bekalan air dapat diselesaikan. Sehingga kini, sebahagian besar sumber air di Labuan masih bergantung kepada bekalan air daripada Beaufort. Buat masa ini juga, kebanyakan bekalan air ke Labuan disalurkan ke kawasan perindustrian di sekitar kawasan Bandar Labuan (Victoria) termasuk Rancha-Rancha.

Pelan jangka pendek pula, menurut Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan, dalam masa terdekat JBA akan menggerudi tanah untuk membina perigi bagi kemudahan pelajar mendapatkan air.

Pembinaan perigi ini akan dilaksanakan di sekitar kolej kediaman pelajar. Namun demikian tempat yang sesuai masih dalam perbincangan. Kaedah ini serba sedikit dapat meringankan beban pelajar UMSKAL yang bilangannya seramai 2108 orang. Kaedah gali perigi ini telah dilaksanakan di Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Kesannya pelajar KML dapat melaksanakan aktiviti harian dengan lebih selesa berbanding sebelumnya.

Pihak MPP pula bakal mengambil inisiatif untuk bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang juga merangkap Pro-Canselor UMS, pada bulan Disember untuk membincangkan masalah air di Labuan yang masih berlarutan selain membincangkan tentang empangan air di Sabah.

Satu lagi usaha yang bakal pihak MPP laksanakan adalah, satu memorandum akan dihantar kepada Ahli Parlimen Labuan, Y.B. Datuk Hj Yusuf Hj Mahal, dan juga Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenai masalah air ini. Bagi menyokong usaha ini, MPP akan mengadakan ‘Hari Bersama Mahasiswa’ dalam masa terdekat, untuk mengumpulkan suara aduan dan mendapatkan sokongan dari mahasiswa untuk menandatangani petisyen. Hal ini untuk mengukuhkan lagi suara mahasiswa UMSKAL dalam memorandum tersebut. Justeru, kerjasama semua mahasiswa amatlah diharapkan. Mahasiswa diseru untuk peka terhadap hak dan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah ini secara bersama.

Walau bagaimanapun, buat sementara waktu ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMSKAL masih meneruskan langkah mengurangkan masalah air dengan mendapatkan air daripada Syarikat Harapan Cerah Enterprise. Selain itu, menurut En. Saradli Arsat, Pegawai Unit Kebajikan HEP, jadual catuan air akan dikeluarkan untuk memudahkan mahasiswa/i menadah air paip untuk kegunaan harian pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Hal ini memudahkan mahasiswa/i mengetahui waktu-waktu tertentu air akan disalurkan. Selain itu, pihak MPP mengharapkan mahasiswa/i berjimat pengunaan air dalam keadaan air yang tidak menentu sekarang ini.

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top