Susur Gajah: Harapan Yang Tiada Penghujung


Wacana Siswa kali ini membangkitkan satu isu lama yang satu masa dulu merupakan salah satu isu hangat yang diperkatakan oleh mahasiswa UMSKAL. Isu berkenaan adalah isu pembinaan SUSUR GAJAH. Isu susur gajah ini pernah menjadi antara senarai penting manifesto calon-calon pimpinan mahasiswa yang bertanding dalam pilihanraya kampus. Masakan tidak, apabila hujan turun aktiviti mahasiswa menjadi terbatas. Urusan ke kelas, ke kafetaria untuk makan, atau ke perpustakaan untuk mentelaah, semuanya akan tergendala.

Semester ini khususnya, isu susur gajah ini seolah-olah hampir dilupakan. Malah mungkin adik-adik mahasiswa tahun satu tidak pernah tahu bahawa isu susur gajah ini pernah menjadi isu yang menarik perhatian mahasiswa UMSKAL. Mungkin isu air yang begitu menekan mahasiswa kini telah menenggelamkan beberapa isu lain yang pernah popular.

Sumber mengatakan, sudah terbina sebuah pelan pembinaan susur gajah secara berperingkat dan ini disahkan oleh Mantan Naib Presiden MPP KAL, Sdr. Mohd Nashad Mainor. Beliau menjelaskan bahawa Prof. Dr. Syed Azizi Wafa (ketika itu Pengarah KAL) semasa Persidangan PMUMSKAL sesi 07/08 pada 14 Ogos 2008 di Bilik Mesyuarat Utama, UMTP telah memaklumkan kepada semua pimpinan mahasiswa mengenai pelan pembinaan susur gajah di Kampus KAL ini. Namun, susur gajah yang ’bakal’ dinikmati mahasiswai ini hanya tinggal harapan. Hampir setiap hari ada yang mengeluh terpaksa berhujan dan berpanas untuk ke dewan kuliah atau mana-mana sekitar kampus. Ada kalanya terpaksa meredah hujan akibat ketiadaan atau kehilangan payung.

Susur gajah penting bagi kegunaan siswa/i untuk berulang alik dari kolej ke dewan kuliah dan sebagainya. Jika dilihat dari sudut pandangan geografi UMSKAL yang berada berhampiran laut maka, perubahan cuaca dan suhu dapat dirasakan lebih jelas sekali. Tambahan lagi keadaan Labuan yang panas dan hujan lebat yang tidak menentu. Siswa/i di sini juga hanya berjalan kaki ke dewan kuliah berbanding di kampus induk yang menggunakan khidmat pengangkutan bas. Oleh itu, secara tidak langsung SUSUR GAJAH amat diperlukan di sini berbanding di Kota Kinabalu!

Jika pihak pentadbiran mampu memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi pembinaan medan letak kereta pensyarah dan kakitangan, masakan pula manfaat dan keperluan mahasiswa tidak diurus dengan baik? Pembinaan tersebut tidak dapat memaksimumkan penggunaannya berbanding keperluan susur gajah kepada mahasiswa yang sememangnya tinggal di kampus berbanding kakitangan terbabit.

Mahasiswa UMSKAL sememangnya sedia maklum bahawa betapa jauhnya standard UMSKAL berbanding ‘KOLEJ MATRIKULASI LABUAN’ dari segi infrastukturnya. Di sini kita boleh persoalkan di mana sebenarnya standard sesebuah "universiti" itu? Mengapa infrastuktur sebuah institusi pengajian kolej mempunyai kemudahannya yang lebih baik dan teratur berbanding UNIVERSITI?

WACANA SISWA

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top