Oleh: Ahmad Syukri bin Che Ab Razab*
Dasar BTN yang Tersasar
Rata-ratanya umum sudah mengetahui doktrinisasi yang diamalkan UMNO melalui BTN yang sememangnya berbaur kepentingan politik dan perkauman yang melampau. Membakar semangat kemelayuan, membunuh simpati terhadap pembangkang dan kemudian mendewa-dewakan UMNO sebagai penyelemat bangsa terus menjadi modus operandi BTN untuk memelihara survival UMNO.
Sepanjang pengalaman menyertai program BTN di sekolah, memang cukup menyedihkan apabila melihat penceramah yang memiliki mustawa ilmu yang cukup tinggi namun sanggup menjadi balaci yang membenarkan pembohongan. Pada perkiraan saya, BTN tidak lagi memainkan peranan yang sebenar dalam memupuk semangat patriotisma namun lebih menjurus kepada perpecahan akibat sentimen permusuhan politik dan bangsa.
Pembawaan dengan cara doktrin paksa.
Boleh dikatakan setiap penjawat awam perlu menghadiri program yang diadakan secara khusus oleh BTN mahupun slot-slot kecil yang ditumpang oleh wakil BTN. Diperingkat mahasiswa pula, kebanyakan pelajar yang menganggotai Majlis Perwakilan Mahasiswa akan dibawa untuk mengikuti kursus BTN yang kebiasaannya menjadi aktiviti awal untuk setiap sesi kepimpinan. Maka disaat inilah kerajaan Barisan Nasional melalui BTN akan sehabis mungkin cuba menyebarkan doktrin secara paksa agar setiap inci isi rakyat tunduk dan patuh pada telunjuk pemerintah.
Ini menjawab persoalan mengapa wujudnya rasa takut pegawai kerajaan untuk melahirkan sokongan terhadap pembangkang bahkan wujud sentimen yang menyifatkan bahawa tanpa UMNO negara akan huru-hara. BTN juga dilihat menyumbang kepada kemandulan idealisma mahasiswa hasil daripada cerapan anti-pembangkang yang dikatakan tidak patriotik. Tindakan agresif mahasiswa terdahulu disifatkan sebagai pemecah belah bangsa dan tidak berlunaskan adab perlembagaan.
Maka nama-nama tokoh mahasiswa seperti Anwar Ibrahim dan Hishamudin Rais dilabel sebagai agen penjajah yang cuba merosakkan kemerdekaan tanah air melalui tindakan subversif yang menggugat keamanan. Inilah bentuk paksaan minda yang diamalkan oleh BTN bagi memastikan pesertanya meyakini bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
BTN membantutkan daya intelektual masyarakat
Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah pencapaian status negara maju, pembinaan minda rakyat juga seharusnya dibenarkan untuk berkembang secara bebas selaras dengan tahap intelektual berkelas dunia. Kerajaan Barisan Nasional seharusnya meneladani kepimpinan negara-negara maju yang mampu bersifat terbuka terhadap persepsi masyarakat samada negatif mahupun positif.
Presiden Indonesia misalnya, beliau mampu mempamerkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin berwibawa apabila beliau bukan sahaja tidak menyekat rakyatnya melakukan demonstrasi, bahkan menasihatkan agar rakyatnya menjaga keselamatan semasa berdemonstrasi.
Namun keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia apabila semangat reformasi rakyat terus dihalang melalui kekangan kuasa dan jiwa rakyat terus tekan melalui doktrinisasi BTN. Natijahnya, wujud sebahagian rakyat Malaysia yang terus dibelengu dengan ketakutan terhadap perubahan lantas mereka sanggup duduk terperuk dan melayan ugutan pemerintah terhadap periuk nasi mereka.
Pemimpin Mahasiswa Perlu Bangkit
Kini sudah tiba masanya untuk mahasiswa tampil dan membantu dalam memulihkan kembali integriti rakyat Malaysia yang pada pandangan saya amat jauh ketinggalan berbanding rakyat negara maju yang lain. Saya tidak memaksudkan rakyat Malaysia secara kolektif, namun ada sebilangan besar yang telah dijangkiti sindrom ketakutan dan konflik kepercayaan akibat saduran BTN yang melampaui hak kebebasan minda untuk berfikir dan memilih. Maka rakyat sedang menanti satu suara yang mampu menggegarkan suasana kondusif pemerintah agar mereka tidak menyisih pandang tuntutan rakyat ini.
BTN sudah tidak relevan dengan zaman kebebasan ilmu pengetahuan serta tahap pemikiran masyarakat yang semakin berkembang maju. Oleh itu BTN perlu dirombak atau dimansuhkan secara total.
Maka saya menyeru setiap pemimpin mahasiswa untuk tampil dan menyuarakan pendirian bahawa mahasiswa menuntut agar kerajaan mengkaji semula perlaksanaan BTN melalui rombakan diperingkat dasar mahupun pemansuhan BTN secara total.
Mahasiswa menyokong sebarang usaha untuk membina semangat patriotisma yang tinggi, namun mahasiswa juga meyakini bahawa BTN bukan jalan tunggal untuk usaha tersebut.
*Penulis ialah Pengerusi Kelab Bahasa Dan Sastera (BAHTERA) merangkap aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
1 comments:
BTN dan program seumpamanya telah wujud sejak dulu,sejak zaman Tun M lagi. Kini anda kata BTN menyekat keintektualan mahasiswa. Kenapa anda tak cakap bahawa islam itu dgn pelbagai sekatan juga menyekat keintektualan anda. Kalau anda tak cukup bijak dan intelek, jangan salahkan kepompong. Tun M yang diakui kebijaksanaannya pun masih tak terpengaruh dgn BTN AUKU dsb. Anda nampaknya terlalu bongkak dgn sedikit kecerdikan pemberian Allah. Orang lain yang sepuluh kali lebih cerdik pun masih boleh mengenang jasa kepimpinan negaranya. Anda lupa bahawa setiap inci kehidupan anda datang dari Allah melalui bantuan kepada kerajaan melayu ini, yang anda bertempik tentang pelbagai keburukan konon. Ingat... orang boleh musnahkan karier dan masa depan politik anda hanya dlm satu sesi urusniaga sahaja, jangan terlalu bongkak.
Post a Comment