Keperluan Penta’diban ke Atas Para Pemimpin Masyarakat (dan Negara)

Oleh:
Wan Mohd Nor Wan Daud
“Dalam Terang”

Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjangnya umur
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:
Pada bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikam gunung
Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung,

Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadap pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman adabi medan penta’diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan.

Terdapat banyak lagi puisi-puisi yang Prof Wan Mohd Nor garapkan didalam karya-karyanya, berkisar tentang keperluan untuk setiap ahli masyarakat kita berasa insaf terhadap apa yang sedang berlaku dalam diri kita (setiap diri). Ini adalah salah satu puisi yang mendalam maksudnya, sesuai untuk segenap lapisan peringkat ahli masyarakat, terutamanya bagi para pemimpin (umara’),

Adalah sangat disyorkan puisi-puisi beliau dikupas di diperingkat sekolah menengah supaya anak muda dapat menilai sejak dari awal tentang apa yang perlu mereka lakukan. Perkara ini adalah lebih dari pada hanya sekadar untuk lulus peperiksaan.

Untuk menjadi doktor, amat perlu kepada latihan intensif sebagi seorang doktor. Untuk menjadi jurutera, perlukan juga latihan intensif bagi mendapatkan taraf professional. Begitu juga sebagai seorang akauntan dan bidang-bidang aplikasi ilmu yang lain. Jika begitulah keadaannya, adalah lebih utama lagi, untuk para pemimpin menjalani latihan intensif sebagai persediaan sebagai seorang pemimpin masyarakat dan negara.

Oleh itu, memang menjadi keperluan mewujudkan institusi bebas bagi menjalankan proses penta’diban ke atas para pemimpin masyarakat sebagai persediaan melahirkan pemimpin yang berwibawa, berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan.

Diperingkat anak muda gerakan Islam, sudah perlu menyediakan diri untuk mengambil kisah tentang perkara-perkara kompleks yang melibatkan perjalanan sistem kenegaraan, seperti ekonomi negara, perundangan negara, pendidikan dan sebagainya.

Untuk mencapai tahap ini, kesedaran dalaman sangat penting supaya dapat mengasak diri berusaha bersungguh-sungguh berdikari dalam menuntut ilmu dengan mencari guru-guru bagi setiap disiplin ilmu yang dipelajari serta mentelaah karya-karya mereka, sama ada masih hidup atau meninggal dunia. Jika sudah tiada, carilah anak-anak murid mereka dan belajarlah dari mereka.

Anak muda perlu ada tahap kesedaran yang maksima untuk melakukan anjakan paradigma dalam berfikir dan bertindak.

Dan yang lebih penting, Pandangan alam Islam harus menjadi dasar kepada cara kita berfikir. Pandangan alam Islam adalah rahsia hati manusia tentang bagaimana seseorang individu itu menginterpretasikan apa yang berlaku disekeliling mereka, mengikut pandangan alam Islam, berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu ‘alam.

Sumber: http://hadifulwan.wordpress.com

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top