Majlis Ilmu di IPT Perlu Babit Pelajar, Masyarakat

PENGANJURAN majlis ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) sepatutnya terbuka kepada pelajar dan masyarakat, bukan eksklusif untuk ahli akademik dan kakitangan sesebuah universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim, berkata pihak berkenaan juga perlu diberi peluang supaya mendapat pendedahan mengenainya.

Katanya, selain menambah ilmu, peluang itu juga boleh dimanfaat untuk mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar serta mempraktikkan ketelusan antara pentadbiran IPT dan pelajar.

Beliau berkata, fungsi universiti perlu diperluas sebagai pusat pengantarabangsaan, yang mana warganya mencerminkan bangsa global, jangan hanya hebat di dalam negara tetapi di peringkat dunia ketinggalan.

“Contohnya dalam bidang penyelidikan, kita perlu bersikap lebih terbuka dengan mengambil kakitangan dari luar negara jika mahu bersaing dengan universiti terkemuka.

“Cara kerja pensyarah pula perlu diubah. Utamakan dan lebihkan fokus terhadap bidang akademik, bukan kerja sambilan seperti memberi khidmat nasihat atau perkara lain.

“Tidak mustahil kita juga mampu setanding Stamford University dan Harvard University yang mana kebanyakan pensyarahnya adalah jutawan hasil royalti dan pengkomersialan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan Wacana Intelek bertajuk Trial and Tribulation of an Excellent Academic di Serdang, baru-baru ini.

Sambil menjelaskan setiap kakitangan akademik perlu merealisasikan impian dalam bidang masing-masing, Syed Jalaluddin berkata, aspek diperlukan golongan pendidik di IPT ialah motivasi dan kesungguhan menjayakan sesuatu di samping kerja keras dan kerjasama berpasukan.

Beliau berkata, jangan tunggu hingga naib canselor atau dekan memberi arahan untuk melakukan sesuatu tugasan, sebaliknya jika ada idea bernas terus suarakan.

“Ia mestilah disertakan kertas kerja dan cadangan yang baik untuk meyakinkan pihak pentadbir kerana seperti sudah menjadi lumrah kita takut bersuara sebab bimbang perlu mengepalai sesuatu tugasan.

“Tugas pensyarah bukan sekadar mengajar, tetapi memberi inspirasi kerana akhirnya masyarakat akan menilai dari segi kualiti pelajar yang dihasilkan.

“Bukan hebahan atau iklan menaikkan nama sesebuah universiti sebaliknya apa yang lakukan seperti kejayaan program ditawarkan dan penyelidikan yang mampu membuatkan kita bertaraf dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top