UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) memenangi lapan pingat pada Persidangan Bioteknologi (BioMalaysia 2009) berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.
Ketua kontinjen UMS yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rosnah Ismail, berkata universiti itu meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa berdasarkan kajian dalam bidang pertanian/industri asas tani serta penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.
Katanya, tiga emas dimenangi Prof Madya Dr Chye Fook Yee melalui kajian Acti-Yo, Prof Madya Dr Charles S Vairappan (Actiderm) dan Sim Kheng Yuen (MYFis).
Dua perak dimenangi menerusi projek Lestani: A Potential Biofungicide for Present and Future Control of Ganoderma Boninse (Chong Khim Phin) dan Dr Julian Ransangan (MyVNNeasy Detection Kit).
“Gangsa pula dimenangi Prof Madya Dr How Siew Eng (Osadhi Sensation: Natural Fragrances For Well Being), Prof Madya Dr Vijay Kumar (Plant Total RNA Isolation Kit) dan Ruzaidi Azli Mohd Mokhtar (Innovative Screening Method of Potential AntiDiabetic Plants),” katanya dalam satu kenyataan.
Persidangan bioteknologi terbesar Malaysia itu menjadi platform mengumpulkan idea bernas, penyelesaian praktikal dan kerjasama berkesan di kalangan pakar dalam bidang teknologi bioteknologi dari dalam dan luar negara.
Pada persidangan itu, Rosnah berkata, UMS bertanding dengan lebih 100 peserta antarabangsa, universiti, pusat penyelidikan, agensi kerajaan dan syarikat swasta tempatan.
“Kita akan berusaha memenangi lebih banyak pingat pada masa depan, sekali gus menaikkan lagi nama universiti ini di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Post a Comment