Mahasiswa Anjur Forum Terbuka Bantah E-Voting

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah) akan menganjurkan satu forum sebagai usaha meneruskan kempen mereka memberi kesedaran kepada masyarakat kampus berhubung kesan terhadap demokrasi kampus jika pengundian secara elektronik (e-voting) dilaksanakan pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

Mereka dengan kerjasama wakil fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan menganjurkan forum terbuka bertajuk 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' yang dijadual berlangsung jam 8 malam 1 Januari ini bertempat di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam UM.

Tiga ahli panel yang akan ditampilkan termasuk pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi maklumat UM, Dr. Chiew Thiam Kian dan seorang bekas aktivis mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Chang Lih Kang yang juga ADUN Teja.

Pengerusi Bantah, Mohd Aizat Salleh (gambar) ketika dihubungi memberitahu penganjuran tersebut sebgai usaha berterusan gabungan pelajar itu membantah e-undi dan memberi kesedaran kepada pelajar berhubung demokrasi kampus.

"Kita anjur forum ni kerana mahu menyedarkan student tentang demokrasi kampus.

"Kita cuba tampilkan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk menjelaskan kepada kita tentang kesan e-voting ini," katanya ketika dihubungi.

Ditanya berhubung kesan membawa masuk ahli politik sebagai panel forum tersebut, Aizat memberitahu ianya tiada masalah kerana program itu anjuran wakil fakulti dan tidak berkaitan dengan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Sebelum ini lapan mahasiswa UM telah didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh membawa masuk ahli politik ke dalam universiti

Mereka dihadapkan ke perbicaraan oleh Tribunal Universiti dan dituduh melakukan kesalahan disiplin dibawah seksyen 16 (c) Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999. Bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan dan dibuktikan tiada kes.

Bantah disertai lebih 18 organisasi mahasiswa seluruh negara memperjuangkan supaya sistem e-voting bagi PRK akan datang dimansuhkan kerana didakwa terdapat bayak ruang yang boleh dimanipulasi dan disalahguna pihak berkepentingan.

Beberapa memorandum bantahan juga telah diserahkan kepada pelbagai pihak termasuk kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) agar hasrat itu dikaji semula.

Sumber: Harakahdaily

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top