Jangan Bunuh Intelektual

Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.

Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah "orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya".

Menurutnya lagi, "Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya."

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:
  • Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.
  • Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.
  • Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.
  • Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.
  • Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.
  • Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.
Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:
  • Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
  • Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.
  • Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
  • Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
  • Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.
  • Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.
  • Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan "mencerca", tetapi "mengkritik", yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.
Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara "intelektual" dan "ulama"? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, "pengislaman ilmu" oleh Ismail Faruqi dan "mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual" oleh Mohd Natsir?
  • Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.
  • Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
  • Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.
  • Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.
  • Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.
Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Utusan Malaysia, 25 Nov 2009

0 comments:

 
Powered By ProMahasiswa | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top